Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Ahad, Disember 06, 2009

PERMOHONAN MEMBINA BENGKEL LANDSKAP DAN NURSERI SMK TELOK KERANG

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TELOK KERANG,
PONTIAN, JOHOR

MPV LANDSKAP DAN NURSERI

PERMOHONAN MEMBINA BENGKEL LANDSKAP DAN NURSERI



1. Pendahuluan

MPV Landskap dan Nurseri SMK Telok Kerang telah dimulakan pada tahun 2002. Sekolah ini adalah sekolah perintis bagi mata pelajaran ini dan ia adalah satu-satunya yang ada di daerah Pontian. Pada masa ini Bengkel Landskap dan Nurseri berkongsi (menumpang) dengan Bengkel Sains Pertanian. Beberapa ubah suai telah dilakukan oleh pihak Kementerian Pelajaran agar ia bersesuaian dengan proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Landskap dan Nurseri. Beberapa pegawai sama ada dari Pusat perkembangan Kurikulum, Lembaga Peperiksaan Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri Johor dan Pejabat Pelajaran Daerah Pontian telah melawat dan memantau bengkel dan perkembangan perjalanan mata pelajaran Landskap dan Nurseri. Saya sebagai guru yang mengajar mata pelajaran ini juga telah beberapa kali dipanggil bermesyuarat dan memberi cadangan bentuk bengkel dan tapak untuk pembinaan bengkel baru.

2. Bengkel Sedia Ada

Bengkel sedia ada asalnya adalah Bengkel Sains Pertanian (rujuk foto). Bengkel ini diubahsuai untuk dijadikan bengkel Landskap dan Nurseri dengan bajet minima oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Beberapa keperluan asas telah dibina seperti setor peralatan, setor bahan, dan nurseri. Tempat belajar pelajar adalah ruang terbuka. Didapati pelajar kurang selesa belajar di tempat sebegini terutamanya apabila mereka belajar melukis pelan landskap dan membina model landskap. Adalah dicadangkan ruang-ruang seperti ruang P&P, studio melukis dan membina model landskap, bilik menyimpan bahan pentaksiran, ruang membuat kerja-kerja simen ferro, ruang pembiakan, nurseri, ruang pameran, bilik persediaan guru, stor-stor dan bilik air hendaklah disediakan apabila bercadang membina Bengkel Landskap dan Nurseri.
3. Keluasan Bengkel Sedia Ada

Bengkel Landskap dan Nurseri sedia ada diubahsuai daripada Bengkel Sains Pertanian berkeluasan 30 kaki X 60 kaki. Bengkel ini berkongsi dengan Bengkel Sains Pertanian. Beberapa penambahan yang bersesuaian telah dibina seperti ruang nurseri bersimen yang berkeluasan 15 kaki X 90 kaki dan sebuah pondok setor berkeluasan 12 kaki X 15 kaki. Ruang P&P (ruang terbuka) untuk teori dan melukis pelan landskap serta membina model landskap berkeluasan 18 kaki X 30 kaki.

4. Cadangan Membina Bengkel Landskap dan Nurseri

Saya amat mengharap satu bengkel baru dibina agar bengkel ini tidak menumpang dan berkongsi dengan Bengkel Sains Pertanian. Tapak yang sesuai dan dicadangkan ialah di kawasan tapak Projek Fertigasi Rockmelon bersebelahan dengan Bengkel Kemahiran Hidup (rujuk pelan kawasan sekolah dan foto). Kawasan yang berkeluasan 120 kaki X 100 kaki ini muat untuk membina sebuah Bengkel Landskap dan Nurseri mengikut spesifikasi Kementerian Pelajaran Malaysia yang berkeluasan 90 kaki X 30 kaki. Pemilihan tapak ini telah dipersetujui oleh pengetua terdahulu dan pengetua sekarang iaitu En. Ahmad Khairi Bin Paimin. Rumah Pelindung Hujan (RPH) Projek Fertigasi Rockmelon telah dibuka dan akan dipindahkan di belakang Bengkel Kemahiran Hidup.

5. Guru dan Pelajar Landskap dan Nurseri

Pada masa ini Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang menawarkan mata pelajaran Landskap dan Nurseri dan membuka satu kelas tingkatan 4 dan satu kelas tingkatan 5. Jumlah pelajar di Tingkatan 4 Landskap dan Nurseri ialah 20 orang dan jumlah pelajar di Tingkatan 5 Landskap dan Nurseri seramai 18 orang. Kesemua pelajar itu adalah laki-laki. Pelajar-pelajar ini diajar, dididik dan dibimbing oleh dua orang guru iaitu En. Hasan Bin Kasmuri dan En. Nordin Bin Ehsan.

6. Harapan dan Penghargaan

Kami amat mengharap agar dibina Bengkel Landskap dan Nurseri di sekolah ini. Telah 8 tahun mata pelajaran ini diajar di sekolah ini, namun tempat untuk pelajar-pelajarnya belajar masih berkongsi dan menumpang di bengkel Sains Pertanian. Pelajar-pelajar Sains Pertanian pula terpaksa menumpang di Makmal Biologi apabila membuat kerja amali sebab bengkel mereka digunakan oleh pelajar-pelajar Landskap dan Nurseri. Masa pembelajaran LN panjang sehingga 12 waktu seminggu (24 waktu untuk dua kelas).

Di sini juga saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah menaikkan bantuan kewangan untuk P&P mata pelajaran Landskap dan Nurseri.

Tapak cadangan Bengkel Landskap dan Nurseri yang baru terletak di sebelah Bengkel Kemahiran Hidup. Tapak itu sekarang digunakan untuk Projek Fertigasi Rockmelon. RPH projek fertigasi telah dibuka dan akan dipindahkan di belakang Bengkel Kemahiran Hidup.

Tiada ulasan: