Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Rabu, Disember 30, 2009

MANIPULASI ILMU

Manipulasi Ilmu
Oleh Ruhaiza Rusmin 

Memanipulasi sektor pendidikan bagi kepentingan peribadi mahupun komersial bukan saja meresahkan banyak pihak yang tulus terbabit dalam sektor itu, malah mengganggu gugat perjuangan memartabatkan pembangunan masyarakat. Tanpa memperlihatkan agenda sebenar, pihak berkepentingan menggunakan platform pendidikan sebagai satu cara menghalalkan matlamat meskipun menyedari ia bakal mengorbankan masa depan seluruh generasi. Antara slogan yang sering diprovokasi adalah 'pendidikan jaminan masa depan' dan 'pendidikan termurah', tetapi haikatnya bukan semua mampu memperoleh pendidikan jika tidak didahulukan dengan keupayaan membayar yuran. Dan yuran dikenakan bukanlah murah atau percuma bagi sesebuah institusi, bahkan ada menyebabkan ibu bapa terpaksa bergolok gadai manakala anak melupakan hasrat mendapat pendidikan.

Bagi sektor penyelidikan di institusi pengajian tinggi pula adakalanya terpaksa 'mengemis' pada sesetengah pihak menagih simpati sokongan dana dan akhirnya terpaksa bersetuju hasil diusahakan bertahun lamanya terpaksa diniagakan bagi membayar semula pihak yang melabur. Bukankah ini satu manipulasi nyata yang boleh membunuh sektor pendidikan di seluruh dunia, sekali gus menyebabkan peluang sedia ada tertutup bagi sesetengah pihak?
Penyelidik dari Pakatan Pendidikan Maple River, (MREC),Amerika Syarikat, Dr Karen Effrem berkata, sukar menidakkan apa jua manipulasi dalam pelbagai sektor hari ini kerana masyarakat global terpaksa bergantung satu sama lain bagi mencapai sesuatu matlamat. Menurutnya, istilah manipulasi kurang tepat untuk menggambarkan senario itu, tetapi lebih elok jika perkataan perkongsian digunakan bagi mewujudkan persekitaran sihat seperti persaingan. 

"Masyarakat dunia hari ini sebenarnya tidak mampu menolak apa jua bentuk bantuan, pemberian mahupun sokongan diberikan suatu pihak berkemampuan. Dan yang pasti ia bukan percuma. Namun menggunakan istilah manipulasi, rasanya kurang tepat kerana ia seolah-olah menggambarkan sesuatu yang buruk dan langsung tidak membawa manfaat. Perkongsian lebih tepat kerana semua pihak bakal mendapat keuntungan. Sektor pendidikan juga seperti sektor lain memerlukan pembangunan, pembaharuan serta anjakan ilmu, jadi tidak salah rasanya kalau perkongsian itu dapat dibahagikan sama rata demi memastikan sasaran dibuat dapat dicapai," katanya. 

Menurut, Dr Effrem, peruntukan besar diguna pakai bagi membantu menaik taraf sektor pendidikan di seluruh dunia sejak revolusi pendidikan 1900-an dan tentunya menuntut pulangan setimpal dengan jumlah yang sudah dikeluarkan. Lebih ketara, jumlah besar di negara maju kerana kos pendidikan mahal manakala kebanyakan negara membangun lebih beruntung kerana manipulasi kurang terjadi kerana banyak mendapat bantuan daripada kerajaan. Dr Effrem berkata ibu bapa seharusnya tidak melihat pendidikan sebagai bebanan sebaliknya harus bersedia dari awal bagaimana merencanakan pelan pembelajaran anak. 

"Sangat menyedihkan apabila kajian dilakukan mendapati sebahagian besar ibu bapa lebih teruja memenuhi keperluan sendiri atau material lain berbanding kepentingan perbelanjaan pendidikan. Seharusnya mereka sedar, pendidikan hari ini bukanlah murah dan harus bersedia dengan kemungkinan bebanan itu. Tidak boleh mengharapkan satu pihak untuk membantu dan menghentam jika tidak dapat menolong. Ini bukan soal manipulasi atau hak, tapi tanggungjawab. Ibu bapa perlu tahu membezakan antara keperluan dan kepentingan. Mengapa tidak mendahulukan perkara penting ( pendidikan) tapi lantang bersuara memberi kritikan negatif tanpa melihat kesalahan pada diri sendiri?," katanya.

Sambil menyatakan, kini banyak alternatif boleh dilakukan bagi meringankan bebanan pendidikan seperti insurans pendidikan, beliau berkata, ibu bapa atau masyarakat tidak perlu mengeluh jika terpaksa mengeluarkan belanja besar bagi membayarnya.
"Insurans pendidikan adalah antara cara terbaik membantu anak memperoleh pendidikan pada masa depan. Memang perlu membayar sejumlah wang, tapi jika pandai merencana dan membuat bajet, pasti tidak timbul masalah. Perlu diingatkan, tidak ada perkara percuma pada hari ini. Semua orang perlu berusaha dan saling bergantung antara satu sama lain untuk terus hidup serta berjaya," katanya. 

Bagaimanapun pandangan itu dikritik serta dipertikai segelintir pihak yang menganggap dia hanya memberi penekanan terhadap kepentingan material, bukan emosi. Pakar sosial, psikologi dan pembelajaran Penilaian Pendidikan Kebangsaan (NAEP) Amerika Syarikat, Ralph Tyler, berkata manipulasi pendidikan bukan sekadar terhadap harga yang perlu dibayar, tetapi merangkumi semua aspek. 

"Bagaimana pula bebanan ditanggung pelajar terpaksa belajar dalam tempoh ama? Bagaimana pula tekanan ibu bapa yang mengharapkan kecemerlangan dalam akademik atau pusat pengajian tinggi yang mahu penghasilan terbaik semata- mata mahu menjaga status? Adakah aspek ini diambil kira? Bolehkah masyarakat menidakkan ia sebagai satu manipulasi nyata kepada sektor pendidikan? Melahirkan masyarakat cemerlang perlu didahulukan dengan pengukuhan emosi namun jika terus menekankan kepentingan bersifat material, adakah matlamat menjadikan sektor pendidikan sebagai pemangkin masa depan akan tercapai?," soalnya.

Tyler berkata, pelajar seharusnya mengharungi tempoh persekolahan maksimum enam jam sehari namun ada kajian menunjukkan segelintirnya terpaksa belajar hingga lapan jam sehari. 

"Ini bukan saja meletihkan, tapi menyekat ruang serta privasi mereka meneroka dunia luar yang juga penting bagi pembesaran dan mencari pengalaman. Pihak berkepentingan harus melihat aspek ini sebagai satu 'penindasan' kepada pelajar manakala jika membabitkan institusi lebih tinggi berbentuk keuntungan semata- mata," katanya.

Tiada ulasan: