Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Khamis, Disember 24, 2009

ROYAL BELUM DIANCAM PEMBURU HARAM



Royal Belum Diancam Pemburu Haram Siti Mariam Md. Zain
Utusan Malaysia


Taman Negeri Royal Belum Perak (Royal Belum) di sempadan Malaysia-Thailand meliputi kawasan hutan seluas 117,500 hektar. Di sebelahnya, terbentang Hutan Simpan Temenggor yang mempunyai keluasan hampir sama. Kedudukan taman negeri ini dan Hutan Simpan Temenggor hanya dipisahkan oleh jalan menghubungkan Gerik di Perak dan Jeli di Kelantan.

Berbanding hutan-hutan lain di Malaysia, Royal Belum merupakan hutan simpan yang cukup istimewa kerana ia dikatakan satu-satunya yang masih "suci". Ini kerana ia diletakkan di bawah pengawasan tentera. Bermakna, kawasan ini tidak dibenarkan dimasuki oleh orang awam sesuka hati. Sejarah pula mencatatkan Royal Belum sebagai bekas kawasan hitam kerana ia merupakan pusat kegiatan Parti Komunis Malaya (PKM) dahulu. Keadaan ini menjadikan Royal Belum yang dihuni oleh pelbagai jenis flora dan fauna tidak 'tercemar' seperti hutan-hutan simpan lain termasuk Temenggor.

Dianggarkan, terdapat lebih 3,000 spesies flora selain 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai menghuni hutan ini. Di sini juga hidup tiga spesies bunga terbesar dunia, Rafflesia yang salah satunya ialah Azlanii, dinamakan sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Kewujudan banyak populasi haiwan mamalia seperti gajah, harimau belang, badak sumbu dan tapir menguatkan bukti bahawa Royal Belum masih terpelihara.
Bagi yang berpeluang berada di taman negeri ini, tentu sekali sering terserempak dengan kelibat binatang-binatang tersebut atau setidak-tidaknya menjumpai kesan-kesan tapak kaki haiwan terbabit. Selain flora yang hidup mekar dan fauna yang bebas berkeliaran, keistimewaannya bertambah apabila ia turut menjadi pilihan Orang Asli suku Jahai untuk terus kekal dan terasing daripada dunia luar.

Mengambil kira khazanah di dalam hutan dara yang berusia lebih 130 juta tahun ini maka, benarlah kata pujangga, bahawa nilainya tiada tara, bak permata yang dikelilingi kaca-kaca tidak berharga.
Namun, di sebalik kesucian dan keindahan alam semulajadinya, ramai di antara kita kurang menyedari khazanah berharga yang dimiliki itu kini mula terancam.

''Ada sebab untuk kita merasa bimbang. Royal Belum dihuni oleh banyak hidupan liar dan dalam masa sama, permintaan terhadap binatang ini di kalangan masyarakat semakin mendapat sambutan," kata Pegawai Kanan Komunikasi Rangkaian Pemantau Perdagangan Hidupan Liar (Traffic), Elizabeth Lisa John.

Menurutnya, harga lumayan untuk mendapatkan haiwan liar ini akan mendorong pemburu-pemburu haram melakukan apa sahaja termasuk menceroboh ke kawasan seperti Royal Belum.

''Perkara ini bukan mustahil kerana Royal Belum bersebelahan dengan Hutan Simpan Temenggor. Pemburu-pemburu haram akan memburu dengan sedar atau tanpa sedar bahawa mereka sebenarnya berada di kawasan larangan," ujarnya tegas.

Keadaan itu kata Elizabeth lagi, tidak mustahil berlaku memandangkan keluasan hutan terbabit menyukarkan pihak berkuasa melakukan pemantauan berterusan. Apa yang lebih membimbangkan katanya, semakin ramai pemburu haram daripada negara jiran memilih untuk menjalankan kegiatan itu di negara ini.
''Beberapa bukti yang kami temui menunjukkan pemburu haram ini turut terdiri daripada warga asing. Ini bukan sesuatu yang mustahil kerana Royal Belum terletak di sempadan," katanya.

Berdasarkan dakwaan itu, satu tinjauan bersama petugas Tabung Perlindungan Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dilakukan berhampiran Royal Belum. Apa yang dapat disaksikan ialah terdapat jerat yang dipasang di sekitar hutan dan lebih memeranjatkan, seekor harimau turut terperangkap. Agak malang apabila tindakan untuk menyelamatkan harimau belang tersebut gagal berikutan kecederaan teruk yang dialaminya.

Usaha menjejaki pemburu haram ini kemudian menemukan tempat tinggal sementara mereka. Selain plastik bungkusan makanan dan barangan lain - tertera tulisan dalam bahasa negara jiran - turut bertaburan ialah kelongsong peluru. Tok Batin suku kaum Jahai yang hanya dikenali sebagai Abu sendiri mengakui, dia sering terserempak dengan pemburu haram yang memasuki hutan itu.

''Kita tak kenal orang yang cari binatang dan buat jerat itu," katanya ketika ditanya lebih lanjut tentang pemburu-pemburu haram yang dimaksudkan.

Sementara itu, risikan dan penyiasatan WWF mendapati, Malaysia adalah antara negara hab transit popular di kalangan penyeludup hidupan liar dunia. Antara puncanya dikaitkan dengan aspek penguatkuasaan dan undang-undang yang lemah. Undang-Undang Perlindungan Hidupan Liar ketika ini telah digubal 40 tahun lalu, amat tidak sesuai untuk berdepan dengan cabaran hari ini.

Di sebalik kebimbangan ancaman pemburu haram tersebut, Elizabeth secara rasionalnya yakin, Royal Belum masih mempunyai harapan untuk dipelihara sebagai harta paling berharga negara khususnya kepada generasi masa depan.

''Ia memberi harapan kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan mempunyai peluang mengatasi masalah ini di peringkat paling asas," katanya merujuk kepada kesediaan kerajaan negeri untuk mengambil tindakan lebih tegas.

Dalam soal ini, usaha memelihara Royal Belum amat penting kerana ia bukan sahaja menyentuh soal survival hidupannya, malah turut memberi kesan kepada industri pelancongan negara seterusnya penentu ketamadunan sesebuah bangsa.

Tiada ulasan: