Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Jumaat, Disember 11, 2009

TEKNOLOGI HIJAU WAJAR DIBANGUN SEBAGAI INDUSTRI STRATEGIK DI MALAYSIA


‘Teknologi hijau’ bukan frasa baru. Banyak frasa yang sama makna digunakan secara meluas termasuk teknologi bersih, ekoteknologi atau teknologi lestari merujuk kepada konsep hampir sama, iaitu teknologi memberi kesan paling minimum kepada kemudaratan, pencemaran dan penurunan kualiti alam sekitar serta kehidupan manusia secara holisitk bermula daripada konsep sesuatu produk, bahan mentah, proses penghasilan, bahan buangan, penggunaan produk atau perkhidmatan sehinggalah pelupusan. 

Teknologi hijau tidak terhad kepada sektor pengeluaran, malah membabitkan semua lapangan termasuk perkhidmatan dan pendidikan. Ada tiga komponen penting memastikan tahap ‘kehijauan’ sesuatu teknologi, iaitu kesan kepada alam sekitar, nilai kepada pengguna dan pemangkin kehidupan lestari. 

Kesan kepada alam sekitar boleh ditentukan menerusi kaedah analisis kitar hayat (LCA) atau pengiraan tapak ekologi. Penjanaan nilai kepada pengguna pula membabitkan pengurangan kos modal dan operasi, malah termasuk peningkatan keselamatan, kemudahan dari segi penggunaan dan praktikaliti. Misalnya ‘tenaga hijau’ seharusnya lebih menjimatkan, sekali gus mengurangkan pembebasan gas rumah kaca dan mesra alam.
Biar apapun natijah Copenhagen, teknologi hijau akan terus berkembang pesat menjadi pemangkin kehidupan lestari. Itulah sebabnya Lembah Silikon ketika ini tidak hanya menjadi medan kepada pembangunan teknologi maklumat malah semakin subur dengan idea terkini teknologi hijau.

Justeru, Malaysia perlu mengambil peluang untuk turut membangun, memasar dan menggunakan teknologi hijau. Untuk tujuan itu, pasaran dalam negara perlu diperluaskan terlebih dulu. Ini hanya boleh dilakukan jika minda dan cara hidup lestari menjadi amalan warga Malaysia. 

Warga Malaysia perlu didorong supaya menghayati cara hidup lestari dan menggunakan teknologi hijau bagi menangani keperluan setempat seperti pengurangan tahap pencemaran dalam sektor perkhidmatan air. Malah teknologi hijau wajar dibangunkan sebagai industri strategik seperti dimulakan Jerman, Denmark dan Jepun sejak 1990-an. 

Disebabkan teknologi hijau ialah suatu konsep berkaitan ciri teknologi dan idealisme lestari, maka penggunaannya perlu diperluaskan menggunakan pendekatan ‘built-in’ dan struktural, bukan tempelan atau sekadar penjenamaan murahan. 

Sejak akhir-akhir ini ciri ‘hijau’ menjadi satu daripada syarat untuk menembusi pasaran kebanyakan negara maju, termasuk produk kelapa sawit. Itulah pendorong utama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menubuhkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Ketika melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara 24 Julai lalu, Najib menegaskan betapa teknologi hijau akan dibangunkan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah pembangunan lestari.

Ketika ini, konsep ‘ICT hijau’, ‘bandar lestari’, ‘korporat hijau’ dan ‘kerajaan lestari’ semakin berkembang daripada perkakasan, sistem perolehan, peraturan, tata cara sehingga kerangka dasar dan budaya kerja. Inilah teras teknologi hijau. 

Dalam konteks Copenhagen, teknologi hijau terangkum dalam kerangka pembangunan berteraskan ekonomi karbon neutral. Untuk menjadikan sesuatu proses pembangunan mencapai tahap karbon neutral, maka banyak aktiviti yang boleh menyerap karbon perlu dilaksanakan. 

Antaranya, pemugaran kawasan hijau, terutama di kawasan padat penduduk seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya. Dari segi ekologi, hutan adalah ‘singki’ utama menyerap karbon dioksida dan menghasilkan pula oksigen. Demikian juga lautan yang ketika ini masih berupaya menyerap karbon dioksida di atmosfera pada paras 380 ppm (bahagian per sejuta). 

Selain menyerap karbon, aktiviti menghasilkan sidikir karbon perlu diperbanyakkan secara lebih meluas seperti proses penjanaan tenaga menggunakan pancaran suria dan angin. Demikian juga dengan tabiat berbasikal, berjalan kaki dan penjimatan air. 

Walaupun tumpuan syarahan saya banyak menjurus kepada pengurusan air lestari, konsep serupa perlu dilaksanakan dalam semua sektor. Saya mungkin kurang kreatif dan agak teoretikal menyampaikan pandangan walaupun tidak menggunakan sebaris formula matematik. 

Profesor Datuk Zaini Ujang
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
dan Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia.

Tiada ulasan: