Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Ahad, Disember 20, 2009

MOHON MASUK IPTA SESI 2010/2011 ONLINE



Permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi Program Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Setaraf dilaksanakan menerusi aplikasi dalam talian secara sepenuhnya mulai sesi akademik bagi 2010/2011.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi di sini semalam, permohonan diadakan dalam dua fasa dan bagi fasa pertama ia telah dibuka kepada pemohon mulai 2 November lalu dan tarikh tutup pada 31 Disember ini.

Fasa kedua permohonan pula akan dibuka pada 2 Februari 2010 mulai jam 12 tengah hari sehingga 30 Mac 2010.

Kenyataan itu berkata, permohonan kali ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu kategori A bagi pemohon SPM 2009, kategori B bagi lepasan SPM 2008 atau 2007, kategori C untuk lepasan SPM 2006 atau sebelumnya atau yang mempunyai sijil setaraf yang diiktiraf oleh IPTA dan kategori D adalah bagi lepasan SPM 2007 dengan sijil ulangan 2008 atau SPM 2007 dengan sijil ulangan 2009, atau SPM 2008 dengan sijil ulangan 2009. Pemohon boleh mengemukakan permohonan dengan mendaftar melalui URL laman web rasmi kemasukan ke IPTA di http://upu.mohe.gov.my/.

Bagi pemohon fasa satu, mereka dikehendaki mengemukakan permohonan dengan menggunakan nombor kad pengenalan atau MyKad serta kata laluan dan mengisi di bahagian maklumat peribadi, maklumat pekerjaan dan keluarga, kategori permohonan dan maklumat aktiviti kokurikulum yang disertai.

Bagi pemohon fasa dua pula, mereka perlu membuat permohonan dengan menggunakan nombor unik ID dan nombor kad pengenalan atau MyKad serta kata laluan.

"Pemohon boleh mendapatkan nombor unik ID yang boleh dibeli dengan harga RM10.60 di mana-mana kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) atau melalui mesin ATM atau SMS (jarak) Banking (bagi pemegang akaun Giro di seluruh negara mulai 1 Februari 2010 sehingga tarikh tutup permohonan pada 30 Mac 2010.

"Pemohon dibenarkan membuat sekali permohonan sahaja dan tiga kali pengemaskinian sehingga tarikh tutup permohonan iaitu pada 30 Mac 2010," kata kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di talian 03-88835801 atau 03-88835802 atau e-mel ke http://www.upu.mohe.gov.my/.

Sehubungan itu, kementerian menasihatkan pemohon lepasan SPM 2009 supaya memohon pada fasa satu, bagi meningkatkan kelancaran sekali gus mengurangkan tempoh masa mengemukakan permohonan mereka pada fasa dua nanti.

Tiada ulasan: