Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Ahad, Disember 13, 2009

BUMI MESTI DISELAMATKAN SEKARANG


AKHIRNYA saat yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang prihatin dengan keadaan dan keselamatan bumi menjelma pada 8 Disember lalu di Copenhagen. Bagi mereka Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2009 bakal menentukan masa depan bumi yang semakin "menjerit kesakitan" akibat perbuatan manusia itu sendiri.

Dengan kehadiran 15,000 peserta dari 192 negara, di ibu negara Denmark menjadikan mesyuarat tersebut mesyuarat terbesar dalam sejarah mengenai iklim dunia.

Agenda utama mesyuarat adalah untuk mencapai perjanjian baru mengenai pengurangan pengeluaran gas rumah hijau, selain mengumpul berbilion-bilion dolar untuk menyalurkan bantuan dan teknologi hijau kepada negara-negara miskin.

Menurut aktivis alam sekitar ahli-ahli politik mempunyai tempoh dua minggu untuk menyelamatkan planet ini daripada perubahan iklim yang boleh membawa malapetaka besar.

Rundingan tersebut dijadual berakhir pada 18 Disember ini dengan sidang kemuncak 105 pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.

Kehadiran para pemimpin dunia serta ikrar untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau oleh semua negara pengeluar utama, diketuai China, AS, Rusia dan India, meniup harapan perjanjian akan dicapai berikutan rundingan lembap sejak dua tahun lalu.

Sidang kemuncak itu juga perlu mengatasi sikap saling curiga antara negara kaya dengan miskin berhubung perkongsian kos pengurangan gas rumah hijau.

"Copenhagen sudah pun menjadi titik peralihan dalam tindak balas antarabangsa terhadap perubahan iklim," kata ketua Sekretariat Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Yvo de Boer.

Keadaan persidangan kali ini jauh berbeza dimana pemimpin dunia tidak hadir semasa persidangan menteri-menteri alam sekitar pada 1997 mempersetujui perjanjian iklim PBB sekarang, iaitu Protokol Kyoto.

Semua kita sedia maklum kesan perubahan iklim kepada dunia. Lihat sahaja kesan kemusnahan yang berlaku di sekeliling akibat dari kegelojohan dan ketamakan manusia demi mengejar wang ringgit dan mengisi tembolok sendiri.

Di Malaysia misalnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, saiz negara semakin mengecil sehingga jarak 40 meter akibat hakisan pantai di 33 lokasi. Selain itu suhu di negara ini semakin meningkat kepanasan berbanding 20 tahun lepas.

Semua itu dikatakan akibat daripada peningkatan suhu dunia. Isu perubahan cuaca dunia merupakan ancaman besar kepada kehidupan bumi. Jika ia tidak ditangani dengan bijak, maka kita terpaksa bersiap-sedia untuk berhadapan dengan pelbagai bencana alam yang sukar diramal.

Perubahan iklim akan menyebabkan perubahan kepada atmosfera, suhu, penyejatan dan hujan serta ribut dan aras laut meningkat.

Akibat yang berlaku dengan peningkatan suhu adalah pertama, peningkatan intensiti ribut taufan. Bilangan ribut taufan kategori 4 dan 5 telah meningkat dua kali ganda untuk beberapa dekad ini. Lautan yang semakin panas membolehkan ribut tropika menambah tenaga dan menjadi lebih kuat. Walaupun ribut yang teruk menyebabkan banjir di sesetengah kawasan, kemarau dan kebakaran hutan juga akan berterusan berlaku.

Keduanya pulau di kawasan rendah tidak lagi sesuai didiami kerana aras laut yang semakin meningkat.

Ketiga hutan, ladang dan bandar akan berhadapan dengan masalah penyakit yang dibawa oleh nyamuk. Kerosakan habitat seperti terumbu karang dan hutan bermusim akan menyebabkan kepupusan pelbagai jenis flora dan fauna.

Selain itu suhu udara di Lautan Artik telah mencapai sehingga 4 darjah celsius sehingga mengakibatkan bongkah ais "mengembara" ke seluruh dunia.

Lebih malang lagi dalam kebimbangan kita tentang isu perubahan cuaca kita dikejutkan dengan skandal Climategate baru-baru ini yang menimbulkan keraguan terhadap teori peningkatan suhu.

Pendedahan skandal Climategate telah memalukan aktivis alam sekitar seluruh dunia kerana ia membuktikan betapa data-data mengenai peningkatan suhu dunia mungkin tidak boleh dipercayai.

Para penyelidik di Unit Kajian Iklim, Universiti East Anglia, bekerjasama sesama mereka untuk memastikan hanya data yang menyokong pandangan mereka sahaja yang dijadikan rujukan.
Mereka membuang data asal yang boleh digunakan untuk menyemak kesahihan teori peningkatan suhu dunia. Apabila data-data ini tidak disimpan, maka para saintis luar tidak dapat membuat pemeriksaan terhadap teori tersebut.

Pendedahan skandal Climategate memberitahu kita bahawa para pengkaji iklim dunia sendiri meragui teori peningkatan suhu. Tetapi mereka merahsiakan kebimbangan tersebut, mungkin kerana tidak mahu hasil kerja mereka dipersoalkan.

Golongan pengkaji tersebut berkonspirasi untuk memastikan hanya pandangan mereka sahaja yang tersiar yang akhirnya menunjukkan bahawa mereka yang berkepentingan mahu menjadi juara dalam agenda ini.

Kini terdapat kemungkinan bahawa karbon bukan punca masalah. Malah kita perlu menolak sebarang usaha mewujudkan satu bentuk tindakan secara global yang cuba mengehadkan emisi karbon, seperti yang cuba dicapai oleh Sidang Kemuncak Copenhagen.

Jika dikaji dengan mendalam sebarang keputusan untuk mewajibkan had emisi karbon akan hanya menindas rakyat termiskin. Ini kerana ia akan menghalang negara-negara miskin dan membangun untuk meningkatkan taraf hidup mereka kerana undang-undang ini akan menyekat aktiviti perdagangan antarabangsa.

Manusia termasuklah rakyat termiskin perlu diberi peluang untuk mengadaptasi cara hidup dengan iklim yang baru. Dasar yang menghalang kemajuan ekonomi dan meningkatkan kualiti rakyat terutama di negara miskin dan membangun perlu dinilai semula kerana ketika ini hampir kesemua dasar akan hanya memberi keuntungan kepada negara maju.

Kita boleh melihat sendiri dalam persidangan ini bagaimana negara pengeluar gas rumah hijau terbesar di dunia, China menuduh pengeluar terbesar di kalangan negara kaya menetapkan sasaran yang terlalu rendah dan mengelirukan bagi mengurangkan pengeluaran gas tersebut.

Menurut mereka pengeluar gas rumah hijau kedua terbesar, AS telah menetapkan matlamat pengurangan yang 'tidak ketara', sasaran Kesatuan Eropah (EU) 'tidak memadai' dan Jepun pula mengenakan pra-syarat yang mustahil dipenuhi.

China turut mencemuh cadangan negara kaya untuk menghulurkan bantuan kewangan AS$10 bilion (RM34 bilion) setahun kepada negara miskin sebagai hanya 'satu titisan air di lautan'.

Kejayaan rundingan di Copenhagen ini sebahagiannya bergantung kepada tawaran yang dibentangkan di meja rundingan oleh AS.

Malah sasaran yang ditetapkan oleh Obama bagi pengurangan pengeluaran gas karbon pada 2020 dikutuk hebat kerana kegagalan mengurangkan kadar pengeluarannya sendiri, berlainan dengan negara maju lain.

Usaha mencegah perubahan iklim bukanlah semudah yang dicanangkan. Ia menuntut kejujuran serta kerjasama yang baik dari seluruh warga dunia.

Ini tidak, negara sedang membangun seperti India dan China pula yang dipersalahkan gara-gara aktiviti perindustrian mereka yang semakin pesat.

Protokol Kyoto kini sudah di penghujung hayatnya dan inisiatif Copenhagen ini diharapkan tidak berakhir sekadar cakap-cakap kosong.

Seharusnya, semua pihak perlu adil dalam memastikan agenda mencegah perubahan iklim ini berjaya. Namun ia memerlukan dokongan kerjasama yang kuat agar ia dapat menjadi kenyataan. Sekali gus menjadi teras amalan dalam menjayakan agenda menyelamatkan bumi.


HAFIZAHRIL HAMID
Mingguan Malaysia Ahad 13 Disember 2009

Tiada ulasan: