Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Selasa, Disember 15, 2009

STATUS SEKOLAH KLUSTER BERJAYA MENINGKATKAN PENGURUSAN DAN PENCAPAIAN


Usaha Kementerian Pelajaran mengiktiraf sekolah cemerlang dengan menganugerahkan status Sekolah Kluster berjaya menyuntik semangat pengurusannya meningkatkan pencapaian. Kesungguhan mereka terbukti, antaranya ada sekolah luar bandar menjalin kerjasama pintar dengan sekolah di bandar bagi memacu kecemerlangan akademik dan kokurikulum. 

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster, Ashah Samah, berkata Sekolah Kluster yang menjadi penanda aras kecemerlangan menyeluruh itu memberi suntikan baru kepada pengurusan melakukan yang terbaik. 

Sebagai contoh, katanya, Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai, Limbang, Sarawak mengadakan kerjasama pintar dengan komuniti setempat hingga melonjak kecemerlangannya dalam akademik dan kokurikulum. Beliau berkata, kesungguhan itu juga membolehkan sekolah berkenaan dianugerahkan Commonwealth Education Good Practice Award 2009.

“Sekolah ini meletakkan penanda aras khusus untuk mencapai kejayaan dengan meningkatkan prestasi akademik dan memperkasakan kokurikulum, selain pembabitan ibu bapa dan masyarakat. Kecemerlangan Sekolah Kluster juga terbukti menerusi rangkaian kerjasama akademik peringkat kebangsaan dan antarabangsa, di samping mempunyai kebitaraan dan kejayaan membanggakan. Kami kagum dengan kesungguhan pihak pengurusan sekolah terbabit dengan memberi komitmen penuh membabitkan kerjasama semua pihak, termasuk alumni,” katanya kepada Berita Harian. 

Ashah berkata, usaha kerajaan meningkatkan kecemerlangan pendidikan dengan mengiktiraf sesebuah sekolah mengikut kebitaraan selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan. Menerusi fasa pertama dan kedua, katanya, masing-masing 30 sekolah diberi status Sekolah Kluster, manakala 60 lagi dalam fasa ketiga.

“Antara syarat pemilihan Sekolah Kluster ialah kecemerlangan dalam akademik, kokurikulum, sahsiah dan kemenjadian murid. “Kecemerlangan kepemimpinan sekolah, pengurusan pengajaran dan pembelajaran serta program inovasi dan kreativiti yang sudah diterokai oleh sekolah. Bagi kecemerlangan budaya sekolah serta kebitaraan (niche areas), ia membabitkan pelbagai aktiviti antaranya pancaragam, orkestra, rugbi dan pasukan beruniform,” katanya. 

Ashah berkata, pengukuran pencapaian berbeza mengikut kategori sekolah kerana gred purata sekolah (GPS) untuk Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia dinilai dalam tempoh tiga tahun berturut-turut. Beliau menjelaskan penilaian GPS bagi Sekolah Berasrama Penuh (GPS2.5), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (GPS3.5), Sekolah Menengah Teknik dan Sekolah Menengah Harian, masing-masing (GPS4.0). Pencapaian sekolah dalam tempoh berkenaan juga katanya, mensyaratkan 80 peratus ke atas pelajar lulus semua mata pelajaran dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah atau kelulusannya menunjukkan peningkatan atau GPS pada paras 2.0.

“Dalam memastikan usaha melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan dicapai, Sekolah Kluster digalak membantu meningkatkan sekolah lain menerusi pelbagai kaedah.  Sebagai contoh, sekolah berhampiran diberi peluang menggunakan kemudahan sumber di sekolah berkenaan, selain berkongsi kepakaran untuk dimanfaatkan bersama. Kerjasama ini bagi melahirkan pelajar mempunyai minda kelas pertama, sekali gus melonjakkan kecemerlangan pendidikan negara,” katanya. 

Berita Harian 15 Disember 2009

Tiada ulasan: