Guru cemerlang adalah guru yang berkualiti dan bagi Malaysia pula, guru cemerlang adalah guru yang berjaya melahirkan pelajar menjadi insan yang seimbang baik dari segi emosi, rohasi, jasmani dan intelek. Sahsiah guru cemerlang seharusnya dapat menyepadukan ilmu duniawi dan ilmu akhirat agar dapat membentuk dan mengembangkan anak didik menjadi insan yang bersepadu/insan kamil agar anak didik ini dapat memahami peranan mereka terhadap diri, terhadap masyarakat dan seterusnya terhadap negara.
Marzita (2003) dalam rencananya menegaskan seorang guru cemerlang selalunya sentiasa peka terhadap perubahan yang berlaku dipersekitaran. Selaras dengan itu, segala tindakannya akan berubah selari dengan desakan keadaan agar tidak ketinggalan dengan perkembangan semasa. Seperti mana yang dinyatakan dalam Tema Guru 2003 iaitu ‘Guru Berkualiti Inspirasi Negara’. Tema ini mengambarkan bahawa seorang guru yang berkualiti mestilah memiliki ciri-ciri guru cemerlang serta mampu melahirkan tenaga kerja yang dicitakan oleh sesebuah negara. Justeru, untuk melahirkan guru berkualiti mestilah wujud daripada PPG yang cemerlang.
Menurut Tuner dan Bash dalam Mohd Sani (2002) pula, guru cemerlang menunjukkan ciri-ciri seperti:
• Komitmen profesional yang tinggi.
• Pakar dalam semua bidang, sedia berkonsi pengalaman
• Kebolehan mengajar idea utama dan kandungan subjek.
• Kebolehan mengurus pelajar.
• Boleh bekerjasama dengan pelajar, rakan sejawat dan ibu bapa.
• Mampu melayan perkembangan nilai sosial dan budaya.
• Menunjukkan komitmen yang tinggi.
Seorang guru cemerlang sentiasa memiliki sikap tidak puas hati terhadap keupayaan diri, sentiasa ingin belajar bagi menambahbaikkan ilmu pengetahuan/kemahiran yang dimiliki. Kepekaan terhadap peubahan yang berlaku di serantau berkaitan dengan bidang pendidikan perlu dimiliki kerana ia menganggap perubahan sebagai petunjukarah terhadap perubahan yang perlu dilakukan olehnya terhadap diri mereka sebagai pelengkap untuk berhadapan dengan anak-anak didik. Jika guru bersedia maka gaya pengajaran dan pembelajaran juga akan berjaya diperoleh.
Pendeknya, ciri-ciri berkualiti tersebut adalah seperti mempunyai ilmu yang tinggi, seorang yang kreatif, sentiasa memperbaharui ilmu dan pandai menyampaikan ilmu yang dimiliki dengan menggunakan kaedah terkini. Sebagai contoh, guru tersebut hendaklah celek komputer, peka terhadap cara penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran (pernah mengambil kursus teknologi pendidikan). Guru tersebut juga mestilah memiliki sifat yang terpuji seperti sikap penyayang, penyabar, pandai berinteraksi, pandai menyelesaikan masalah pelajar yang pelbagai, dan sanggup menghabiskan masa termasuk masa di luar sekolah untuk mendalami masalah pelajar. Ini termasuk masalah keluarga pelajar.
Bagi mendapat ciri-ciri berkualiti ini, pendidik/guru perlu mempunyai minat dalam menambah ilmu pengetahuan yang dimiliki mereka. Ini adalah kerana dengan memiliki ilmu yang luas, guru tentu dapat mengajar dengan lebih baik dari pelbagai sudut. Mengajar dengan ilmu yang cetek iaitu hanya daripada satu sudut sahaja, proses pengajaran berkemungkinan menjadi tidak seronok. Tetapi kalau ilmu tersebut luas, pengajaran menjadi lebih menarik puas.
Sumber:
Program Pendidikan Guru Teknik Dan Vokasional Yang Cemerlang
Oleh Warnoh Katiman dan Norasmah Hj. Othman
Fakulti Pendidikan,Universiti Kebangsaan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan