JOHOR BAHRU 27 April - Kesemua 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) berperanan memberi tunjuk ajar dan berinteraksi dengan sekolah-sekolah yang masih di tahap sederhana bagi mengembangkan budaya kecemerlangan pelajaran, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Menurut Timbalan Perdana Menteri, langkah berkenaan penting bagi membolehkan lebih banyak sekolah biasa meningkatkan lagi prestasi untuk turut diiktiraf sebagai SBT pada masa depan.
"Kita mahu dengan adanya sekolah sebegini (SBT) budaya prestasi cemerlang boleh diperluaskan bukan kepada sekolah ini sahaja tetapi dengan pengalaman dan bimbingan yang ada, budaya itu boleh dikembangkan. "Sebab itu salah satu rancangan SBT ialah peranan sekolah itu dalam usaha untuk membantu sekolah lain yang belum capai tahap kecemerlangan seperti ini, maknanya sekolah itu boleh mengembangkan budaya ini ke sekolah lain," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Uda (2) di Bandar Baru Uda di sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Pengetua sekolah itu, Fuziah Hassan.
Pada awal tahun ini, kerajaan mengumumkan sebanyak 20 sekolah diiktiraf sebagai SBT dengan dua daripada jumlah itu adalah di Johor dan SK Bandar Uda (2) adalah salah satu daripadanya.
Muhyiddin memberitahu, pada masa yang sama sekolah-sekolah biasa itu perlu menjadikan SBT berkenaan sebagai contoh dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah.
Tegasnya, interaksi antara SBT dan sekolah lain perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi berkongsi pandangan dan memberi bimbingan untuk meningkatkan kecemerlangan sekolah biasa itu. Menurutnya, ia termasuk pertemuan dan perbincangan di antara pemimpin dan guru-guru sekolah untuk memberi bimbingan dan berkongsi pandangan.
"Sesebuah sekolah menjadi cemerlang dan diiktiraf sebagai SBT bukan sebab ia sekolah elit tetapi ia adalah sekolah biasa yang bertaraf tinggi pencapaiannya," katanya.
Beliau berkata, peranan SBT ke atas sekolah lain itu juga mampu membantu kejayaan pelajar dengan lebih cemerlang dalam tempoh yang singkat. Tambahnya, kejayaan SBT membuktikan sistem pendidikan negara mampu melahirkan sekolah dan warganya yang cemerlang hingga mencapai tahap antarabangsa. Namun, katanya, guru-guru SBT tidak boleh leka kerana sudah diiktiraf sebagai SBT sebaliknya perlu berusaha keras menggunakan keistimewaan dan kelonggaran yang diberi untuk mengekalkan prestasi.
"Kalau kita tak urus, jaga, ia (prestasi) mungkin menurun dan kalau menurun SBT itu tidak akan kekal selama-lamanya. Sebab itu kita nak tahap yang kita ada sekarang dipertahankan malahan mesti dipertingkatkan prestasi cemerlangnya pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata, antara keistimewaan itu ialah sekolah menggunakan autonomi untuk mengubah suai jadual secara lebih fleksibel untuk meningkatkan mata pelajaran yang perlu lebih diberi tumpuan. Contohnya, katanya, jika mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah berkenaan sudah mantap maka jadual waktu mengajar mata pelajaran itu mungkin boleh dan dipindahkan kepada mata pelajaran lain seperti Sains dan Matematik yang tidak mencukupi.
Beliau berkata, selain itu, komitmen dan kerjasama antara ibu bapa dan guru amat penting kerana mereka adalah punya peranan dalam usaha menambah baik prestasi secara lebih terperinci.
Katanya, mereka boleh membincang inisiatif baru dengan cadangan dan analisis terperinci bagi meningkatkan mutu pencapaian dan melengkapkan pelbagai prasarana fizikal.
"Ini bermakna dengan adanya gandingan kerjasama dan sokongan semua pihak maka sekolah boleh mencapai status kemajuan yang boleh dibanggakan. Saya berharap sekolah-sekolah yang banyak lagi yang masih belum sampai ke tahap ini boleh mengambil perkara ini sebagai contoh," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan