Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Jumaat, April 02, 2010

GURU DIBEBANI TUGAS BERAT - BETUL ATAU SALAH?

IRMAZ DINI
Pendang, Kedah
Utusan Malaysia 2 April 2010


TERTARIK sungguh apabila membaca komentar Wahid Hashim dalam laman Pendidikan, Utusan Malaysia bertarikh 29 Mac 2010 yang bertajuk 'Mencemburui gaji guru'. Terdetik hati saya untuk bersama-sama berkongsi pendapat dan pandangan tentang isu-isu yang dibangkitkan.

Tulisan beliau yang menjurus kepada reaksi KPPK untuk bersemuka dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas beberapa isu berkaitan bebanan tugas dan kenaikan gaji guru, sedikit sebanyak mampu membuka minda semua yang terlibat dalam profesion keguruan.


Bebanan tugas guru ibarat isu yang tidak ada kesudahannya, padahal realiti sebenarnya bukan ditanggung oleh semua guru tetapi oleh sebahagian guru terutama guru mata pelajaran peperiksaan utama, guru yang menjawat jawatan penting sekolah dan guru yang terpaksa bertugas selepas waktu kelas seperti jurulatih sukan utama sekolah dan sebagainya.

Namun yang pelik dalam 'gegak-gempita' isu bebanan tugas guru ini, ada pula guru yang sempat membuka kedai kain, restoran, perniagaan jualan langsung dan pelbagai kerja sampingan yang tidak berkaitan dengan pendidikan.

Kalau terbeban dengan tugas sekolah, mana mampu guru tersebut menjawat 'dua profesion' dalam satu masa.

Sebenarnya 'atas kertas,' Kementerian Pelajaran telah imbangi bebanan tugas guru dengan jumlah masa mengajar mingguan maksimum hanya 13 jam seminggu dan gaji lumayan untuk guru-guru muda yang hanya mampu dicapai oleh guru lama yang berkhidmat lebih 18 tahun dan beberapa lagi insentif lain.

Akan tetapi yang peliknya, gaji lumayan seolah-olah membawa kesan negatif kepada dunia pendidikan apabila guru berkenaan hilang semangat untuk berkorban dan 'rasa susah' demi mendidik anak bangsa. Tuisyen berbayar hanya dipandang sebelah mata apatah lagi tuisyen percuma dan ditambah lagi dengan alasan suami tidak izin, anak sakit dan seribu satu alasan lain. Jika diminta bertugas di luar bandar pula, pelbagai alasan diberikan, berjenis 'kabel' digunakan untuk mengelakkan diri, sedangkan ketika temu duga 'jangankan Gunung Everest, lautan api sanggup direnangi'.

Jadi, apabila timbul keadaan ada segelintir guru yang 'enggan susah' dan bersikap 'anak manja' maka terbitlah masalah bebanan guru kerana ada guru terpaksa memikul beban guru terbabit. Ditambah pula dengan pentadbir sekolah yang mengejar populariti, guru yang rajin dan berkebolehan akan dibebani dengan pelbagai tugas tanpa memikirkan kebajikan guru tersebut. Mereka akan dihantui dengan kerja yang tidak berkesudahan setiap hari, sedangkan ada segelintir rakan guru yang lain 'enak dibuai mimpi'.

Setiap profesion tentu ada cabarannya lebih-lebih lagi profesion keguruan. Namun, jika ia tidak diseimbangkan dengan adil, akan berlakulah bebanan tugas tersebut. Tentu amat terbeban jika seseorang guru yang mengajar kelas peperiksaan lebih tiga tahun secara berterusan, guru yang memegang lima jawatan utama sekolah dalam satu masa dan sebagainya.

Sebagai 'orang lama' dalam dunia pendidikan, KPPK kini dilihat semakin hilang 'sengat' terutama pada kaca mata guru-guru lama. KPPK dilihat lebih mengejar populariti dan nama berbanding kebajikan guru. Isu yang diperjuangkannya seperti menguntungkan satu pihak tetapi menyakitkan hati pihak yang lain.

Jadi, untuk mengembalikan 'taring' KPPK, peranan sebenar KPPK adalah menuntut Kementerian Pelajaran memberi insentif untuk guru yang sanggup menanggung bebanan tugas yang diberikan. Insentif berbentuk elaun mampu memberi keadilan kepada guru-guru terbabit agar terubat duka menanggung bebanan tugas yang diberikan.

KPPK juga harus membuat soal selidik bebanan tugas guru di sekolah melalui wakil guru dan ahli KPPK yang hampir mencecah 200,000 guru itu. Jangan hanya 'terjah' dan 'timbang kilo' tanpa fakta yang tepat kerana ini hanya merugikan guru-guru yang berkebolehan, aktif dan produktif di sekolah.

Kerajaan pula hanya membazir wang negara andai kata memberi ganjaran seperti elaun dan bonus kepada kakitangannya yang tidak produktif. Eloklah kerajaan melalui Kementerian Pelajaran mengkaji elaun-elaun yang telah diberikan kepada guru-guru agar dinikmati hanya oleh guru-guru yang benar-benar layak dan berhak.

Setiap sen wang negara yang diperoleh oleh para guru adalah ibarat titisan keringat ibu bapa yang mengharapkan kejayaan anak-anak mereka demi kelangsungan hidup yang mendatang. Fikir-fikirkanlah.

Tiada ulasan: