Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Sabtu, April 10, 2010

KEMENTERIAN KENAL PASTI PELAJAR CENDERUNG BIDANG VOKASIONAL

Berita Harian 8 April 2010


KEMENTERIAN Pelajaran akan mengenal pasti kecenderungan pelajar terhadap bidang vokasional dan teknikal seawal Tingkatan Satu bagi membolehkan mereka memasuki jurusan itu untuk memenuhi keperluan tenaga kerja separa mahir dan mahir.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata melalui cara itu pelajar yang tidak cenderung dalam akademik boleh disalurkan ke sekolah vokasional dan teknik selepas menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR), berbanding sekarang sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata Malaysia berminat mencontohi sistem pendidikan Perancis yang agak luar biasa apabila 50 peratus pelajarnya yang kurang berminat dalam bidang akademik, disalurkan ke aliran vokasional dan teknik. Di Malaysia, katanya, hanya 10 peratus pelajar mengikuti aliran itu. Perkara itu turut dibincangkan Muhyiddin dalam pertemuan dengan Menteri Pelajaran Perancis, Luc Chatel di sini, kelmarin.

"Di Perancis, bidang vokasional dan teknikal diberi perhatian apabila pelajar yang cenderung dalam bidang itu diambil lebih awal. Kita akan meneliti perkembangan pelajar kita dari Tingkatan Satu dan sebelum Tingkatan Tiga,” katanya kepada pemberita sebelum menghadiri hari kedua Sesi ke-184 Mesyuarat Lem-baga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) di sini, semalam.

Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran mengumumkan akan menukar status 68 daripada 87 sekolah teknik menjadi sekolah vokasional bermula tahun depan. Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Perancis turut berminat mempelajari kaedah penyediaan sekolah berasrama penuh seperti di Malaysia untuk pelajar miskin cemerlang di negaranya.

Sementara itu, berucap pada sesi Ke-184 Unesco, semalam, Muhyiddin mendesak negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Kumpulan Negara Maju (G-20) merangka pelan tindakan untuk membantu negara kurang membangun dalam bidang pendidikan, supaya sasaran pendidikan untuk semua (EFA) tercapai menjelang 2015. Katanya, bantuan negara maju semakin mendesak berikutan tempoh untuk mencapai sasaran EFA hanya tinggal kurang lima tahun. Muhyiddin diberi penghormatan sebagai perwakilan pertama berucap pada mesyuarat itu.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, program pembangunan bidang pendidikan untuk negara kurang membangun melalui inisiatif Dana Amanah Kerjasama Malaysia-Unesco yang menyaksikan Malaysia membantu melatih dan membina keupayaan guru negara terbabit akan dilancarkan pada Jun ini. Katanya, bagi menjayakan rancangan itu, Malaysia akan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Ketua Pengarah Unesco, Irina Bokova di Kuala Lumpur, pertengahan tahun ini. Melalui inisiatif itu, Malaysia memperuntukkan US$5 juta sebagai geran pelancaran, bertujuan memastikan matlamat EFA tercapai. Selain itu, kerajaan turut menyumbang US$S1 juta setiap tahun kepada dana berkenaan.Pengumuman mengenai komitmen Malaysia itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menghadiri Persidangan Agung Unesco ke-35, September tahun lalu.

Tiada ulasan: