Ramai orang meminati seni taman atau landskap dan mahukan tamannya sentiasa cantik dan menarik. Malangnya mereka tidak ada masa yang banyak untuk membina dan menyenggara taman. Supaya taman sentiasa kelihatan menarik dan mudah disenggara, di sini saya nyatakan beberapa tip yang berkaitan dengannya.
1. Reka bentuklah taman yang ringkas. Rekalah (design) taman yang mudah untuk dibina dan mudah disenggara. Pilihlah tumbuh-tumbuhan hiasan tertentu yang mempunyai fungsi dan sebab-sebab tertentu yang bersesuaian dengan konsep taman. Tanamlah hanya beberapa jenis pokok renik tetapi dengan jumlah yang banyak kerana penjagaan dan penyenggaraannya mudah. Tumbuhan ini juga menarik.
2. Pilih elemen taman yang mudah disenggara. Secara umumnya landskap kejur (hardscape) seperti 'deck', 'patio' dan 'walk ways' memerlukan penjagaan berkala yang mudah dan ringkas. Elemen-elemen ini boleh digandingkan bersama pergola. Jika kita mahu membina gandingan elemen-elemen ini dalam taman, carilah yang tahan lasak dan memerlukan kurang penyenggaraan. Contohnya elemen-elemen yang dibina daripada konkrit dan batu.
3. Tumbuhan padat adalah strategi yang penting. Tanamlah tumbuh-tumbuhan (terutamanya tumbuhan renek) hiasan rapat-rapat. Daun, dahan dan rantingnya tumbuh menjadi padat. Ini untuk mengelakkan daun-daun yang gugur kelihatan bersepah di bawah pokok selain boleh mengurangkan peluang tumbuhnya rumpai di sekeliling tumbuhan hiasan.
4. Penanaman tumbuhan hiasan yang rapat dan padat akan memudahkan memotong rumput di sekelilingnya di bandingkan memotong rumput di sekeliling tumbuhan yang ditanam satu-satu. Masa untuk membuat kerja-kerja memotong rumput juga dapat dikurangkan.
5. Penanaman tumbuhan hiasan yang padat memudahkan kerja-kerja penyenggaraan terutamanya membuat kerja-kerja pemangkasan ranting-ranting dan daun-daun yang tua dan yang mati. Dengan menggunakan satu jenis peralatan memangkas, ia boleh memangkas semua tumbuhan dengan mudah dan sekali lalu.
6. Gunakan baja yang paling sesuai dengan jenis pokok. Sebaik-baiknya gunakanlah baja dari jenis 'slow release' untuk mengelakkan pembajaan yang kerap. Tumbuhan akan sentiasa menerima baja dalam waktu yang lebih lama. Ini akan mengurangkan masa untuk membaja.
7. Letakkan bahan organik di pangkal pokok. Kita boleh gunakan 'coco peat' sebagai sungkupan di pangkal pokok. Dengan cara ini kandungan bahan organik akan bertambah dan ia boleh mengelakkan rumpai tumbuh, mengekalkan kelembapan tanah dan mengekalkan suhu tanah.
8. Elakkan menanam banyak tumbuhan renek yang tinggi dan lebih besar daripada biasa. Elakkan juga menanam banyak tumbuhan yang besar. Tumbuhan yang besar memerlukan ruang yang besar, mengeluarkan dahan dan ranting yang banyak dan daun yang berguguran juga banyak. Ini bermakna kerja-kerja memangkas, mencantas dan dan membersihkan daun-daun kering dilakukan dengan lebih kerap. Ia perlukan banyak masa untuk melakukan kerja-kerja tersebut.
9. Potong rumput mengikut paras dikehendaki. Ini untuk mengelakkan rumput tumbuh lebih cepat. Jika rumput dipotong tinggi, ia akan mudah tumbuh semula yang menjadikan kerja-kerja memotong dilakukan dengan lebih kerap. Sebaik-baiknya tanamlah rumput yang lambat tumbuh selepas dipotong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan