Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Isnin, November 16, 2009

TAWAKAL MESTI DIDAHULUI DENGAN IKHTIAR


Tentunya pelajar-pelajar khususnya pelajar-pelajar SMK Telok Kerang telah siap sedia menghadapi peperiksaan SPM. Peperiksaan yang bermula pada hari Rabu 18 November 2009 mungkin membuatkan dada pelajar-pelajar berdebar-debar. Apa yang hendak ditakutkan jika semua dah berusaha dan berikhtiar. Bertawakallah kepada Allah SWT. 

Mengenai tawakal ini, setiap orang beriman diperintahkan agar bertawakal kepada Allah SWT secara benar. Tawakal boleh membawa kepada kesesatan serta mengundang kemurkaa Allah SWT jika tersalah memahami konsep tawakal. Tawakal yang dikehendaki dalam Islam bukanlah menyerah bulat-bulat kepada Allah SWT. 

Tawakal yang sebenarnya mestilah terlebih dahulu berikhtiar dan berusaha yang bersungguh-sungguh berterusan sehingga berjaya. Tanggapan bahawa manusia tidak perlu penat bekerja, tidak perlu berusaha dan tidak perlu berikhtiar dimana hidupnya semata-mata diserahkan dan ditentukan oleh Allah SWT adalah salah sama sekali dan menyeleweng daripada pengertian sebenar. Pengertian sebenar tawakal adalah mengusahakan sesuatu dengan mempergunakan sebab-sebab yang lazim (sunnah Allah) serta mengharap pertolongan Allah SWT. 

Jelaslah bahawa segala bentuk urusan atau pekerjaan yang dihadapi hendaklah diusahakan terlebih dahulu sebelum bertawakal kepada Allah SWT. Sebagai pelajar yang inginkan kejayaan dalam pelajarannya, pelajar mestilah berusaha belajar dengan tekun lantaran kesempurnaan dan kecemerlangan yang ingin dicapai tidak akan dapat dicapai jika ada sikap malas. Islam sama sekali tidak menghendaki umatnya berpeluk tubuh dan hanya berserah kepada Allah SWT. Terus berusaha, terus bekerja, terus berikhtiar dan akhirnya bertawakallah kepada Allah SWT.

Tiada ulasan: