Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Selasa, November 24, 2009

JURANG AKADEMIK PELAJAR LELAKI DAN PELAJAR PEREMPUAN - CABARAN KEPADA GURU



Pada pertengahan 1990-an pencapaian rendah pelajar lelaki mula diperkatakan. Trend tersebut menjadi satu fenomena. Keputusan peperiksaan awam peringkat kebangsaan dari 1996 hingga 2007 menunjukkan secara keseluruhannya pelajar perempuan mempunyai pencapaian lebih baik berbanding pelajar lelaki bagi Sijil Pelajaran Malaysia dalam hampir semua mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. 

Jurang perbezaan ini memberi kesan kepada enrolmen pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Jumlah kemasukan pelajar perempuan secara umumnya melebihi 70 peratus kebelakangan ini. 

Prestasi akademik yang kurang memberangsangkan di peringkat persekolahan menafikan peluang pelajar lelaki melanjutkan pengajian ke IPTA. Perkembangan ini bakal memberi kesan negatif kepada sosioekonomi negara. Masalah sosial akan timbul. Potensi pelajar keluar daripada sistem persekolahan lebih awal akan menjadi senario. Senario ini memberi cabaran kepada pendidik dan sekolah. Faktor senario ini perlu diberi tumpuan dan dibuat kajian yang mendalam.

Daripada kajian didapati pelajar lelaki lebih cenderung kepada gaya pembelajaran tidak berstruktur iaitu kepada visual, taktual dan kinestatik serta memerlukan pergerakan dalam suasana tidak formal berbanding pelajar perempuan. Pelajar lelaki juga sukar memberi tumpuan dalam satu jangka masa yang lama untuk mendengar pengajaran guru berbanding pelajar perempuan. Selain itu pelajar lelaki lebih suka visual seperti program komputer yang mempunyai gambar, berwarna dan gambarajah. Disamping itu mereka lebih cepat mengingat melalui apa yang dilihat ditelevisyen, tayangan gambar atau video.

Justeru, guru perlu mempelbagai strategi, kaedah dan pendekatan pengajaran yang lebih kreatif, berinovasi serta disesuaikan dengan gaya pembelajaran pelajar lelaki dan perempuan. Guru-guru perlu membangunkan kaedah pengajaran dan pembelajaran, sumber dan aktiviti pembelajaran yang sesuai dengan pelajar serta menghapuskan halangan pembelajaran. Guru boleh mengubahsuai suasana dalam bilik darjah seperti mobiliti, bunyi dan persekitaran bilik darjah tersebut memenuhi profil gaya pembelajaran yang lebih digemari pelajar lelaki dan juga pelajar perempuan. Kurikulum pengajaran dan pembelajaran dicadang memberi penekanan yang lebih sensitif kepada jantina dan kepelbagaian pelajar.

Tiada ulasan: