Malaysia ke perlawanan akhir bolasepak Sukan Sea. Persembahan agak baik kesebelasan negara menang ke atas Laos 3-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Utama, Kompleks Sukan Laos, malam tadi. Rakyat Malaysia menonton secara terus menerus melalui TV2.
Baddrol Bakhtiar beraksi tepat pada masanya apabila menjaringkan dua gol.Manakala Safiq Rahim menambah derita Laos dengan jaringan satu gol.
Kini, ruang balas dendam menjelma dengan Vietnam, barisan yang menundukkan Malaysia 3-1 di peringkat kumpulan, menanti selaku penghalang terakhir kepada kilauan pingat emas pada Khamis ini. Vietnam menewaskan Singapura 4-1 dalam satu lagi separuh akhir.
Biarpun bingit dengan sorakan penyokong tuan rumah, skuad negara cepat menyesuaikan diri dan mula mengawal rentak aksi. Penantian gol negara dinoktahkan pada minit ke-13. Gerak pantas dari sayap kanan menyaksikan Abdul Manaf Mamat melintangkan bola yang cantik disambung dengan sepakan libas Baddrol Bakhtiar yang terus menerjah jaring gol lawan.
Padah memperlahankan rentak pada separuh masa kedua dirasai skuad negara apabila Laos mengikat kedudukan pada minit ke-73 menerusi rembatan deras lencong Kanlaya Sysomvang yang memperdaya Mohd Sharbinie Allawee untuk menerjah bahagian atas jaring gol. Enam minit kemudiannya, skuad negara kembali mendahului apabila cubaan jauh S Kunanlan terkena palang sebelum bola lantunan disudahkan Baddrol untuk gol kedua negara. Safiq Rahim memastikan namanya dalam senarai penjaring dengan gol pada ke-85 yang sama sekali melenyapkan bingit sorakan penyokong lawan.
Tahniah Malaysia. Perjuangan belum selesai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan