Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Jumaat, Disember 11, 2009

TAMAN ORKID TERBALIK


Masih lagi mengenai taman orkid. Semasa saya mengunjungi Floria 2009 di Putrajaya dari 1 hingga 9 Ogos yang lalu, saya amat tertarik dengan persembahan yang mantap Laman Johor. Orkid yang yang digantung terbalik menjadi tumpuan saya dan pengunjung yang lain. Sungguh unik dan menarik.

Beberapa hari yang lalu semasa mengemas timbunan akhbar-akhbar lama di setor rumah, saya terjumpa artikel ini di Berita Minggu yang saya kira belum lagi saya baca atau mungkin tak sempat membacanya dulu. Oleh kerana ia berkaitan dengan orkid tentunya ia menarik minat saya untuk terus membaca dan mengingat kembali persembahan Laman Johor di Floria 2009 yang lalu.




Gubahan unik Laman Johor raih anugerah emas Floria 2009 GUBAHAN orkid yang digantung terbalik di atas para di dalam pondok kayu terbukti menjadi kelainan ditonjolkan Laman Kerajaan Negeri Johor, sehingga membolehkannya meraih anugerah Emas Festival Bunga dan Taman Putrajaya 2009 (Floria 2009) yang berlangsung dari 1 hingga 9 Ogos lalu.

Teknik gantungan yang mungkin tidak pernah dilihat sebelum ini bukan setakat menawan hati juri, malah pengunjung turut terpikat dengan keunikan berkenaan setiap kali melalui ruang yang menempatkan pameran laman jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Floria.

Lebih unik lagi, laman itu menggunakan hampir 80 peratus orkid yang didatangkan khusus dari Johor yang merangkumi pelbagai spesies orkid tempatan dan hibrid.

Bagaimanakah teknik gubahan itu dihasilkan? Orkid yang digantung ditanam dalam pasu kecil yang kemudian dibungkus dengan plastik hitam bagi mengelakkan tanah dalam pasu jatuh. Bunga berkenaan pula disusun rapat dan digantung terbalik di atas para khas dengan pelbagai warna seakan taman tergantung di tengah laman.

Bagaimanapun, orkid yang ditanam di atas tanah saja se­suai untuk menjadi hiasan gantung terbalik kerana ia tumbuh menegak manakala orkid liar yang suka me­­numpang pada dahan pokok tidak sesuai untuk penataan gaya sedemikian.

Pondok kayu dengan tiang empat di tengah-tengah nampak ringkas tetapi praktikal untuk kawasan laman yang sederhana besarnya sesuai menjadi tempat istirahat sekeluarga pada waktu petang atau ruang bermain anak kecil, juga tempat membaca di waktu petang.

Bagi melengkapkan pondok serta melindungi cahaya matahari, bidai buluh diletak­kan di sisi pondok, manakala di sebelah kiri dan kanan pondok diletakkan bangku kayu serta terendak lampu kayu untuk menerangkan lampu pada waktu malam.

Ketua Juri Laman Floria 2009, Noriah Mat, berkata laman berkenaan dipilih menerima anugerah emas bukan hanya kerana keunikan orkid yang digantung terbalik semata-mata tetapi ia menepati ciri-ciri laman yang baik seperti mempunyai landskap menarik serta penca­hayaan yang sesuai.

"Ciri-ciri mapan juga jelas pada reka bentuk laman ber­kenaan dan kreativiti reka bentuk laman juga menyebabkan ia layak menerima anugerah emas," katanya.

Selain orkid, laman berke­naan dilengkapi tumbuhan seperti paku pakis, tanduk rusa, paku pandan, palas, pokok kelapa dan beberapa spesies palma.

Ciri-ciri landskap kejur termasuk batu kerikil dan sungai yang dihias berselang seli dengan pokok renek manakala landskap lembut terdiri daripada pelbagai pokok memanjat termasuk paku pakis ditanam di tepi tembok.

Tiada ulasan: