Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Selasa, Disember 15, 2009

PEMIMPIN SEKOLAH


Tugas pengetua dan guru besar sebagai pemimpin sekolah kini semakin mencabar kerana selain berdepan tuntutan hakiki memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan lancar, pada masa sama mereka terpaksa memenuhi pelbagai tanggungjawab lain. 

Antaranya mereka juga perlu menghadiri mesyuarat di pejabat pendidikan daerah dan jabatan pelajaran negeri, selain mengikuti kursus berkaitan. Bebanan tugas itu menjadikan mereka ada kalanya tidak terkejar dan terpaksa mengagihkan tugas mengurus kepada guru penolong kanan.

Proses mengagihkan tugas kepada guru lain itu dapat mewujudkan semangat kerja dalam pasukan yang tinggi, selain memberi kepercayaan pegawai lain dalam menjayakan tugas mengurus. Namun pada masa sama, sesibuk mana sekali pun mereka, pemimpin sekolah tidak boleh melepaskan tanggungjawab mengawal selia proses P&P kerana ia adalah aktiviti teras yang menjadi tunggak kecemerlangan pendidikan.

Proses P&P berkesan menjadi penanda aras kepada kecemerlangan sesebuah sekolah sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Sebagai pemimpin berpengalaman dan melaksanakan proses P&P ketika menjadi guru biasa, kini bidang tugas mereka hanya memantau pelaksanaannya dan memastikan ia berjalan lancar. Sebagai pemimpin mereka perlu peka mengenai keperluan semasa dan kehendak pelajar. Pemantauan menyeluruh mengenal pasti prestasi adalah langkah awal pemimpin meningkatkan perkhidmatan sedia ada. Suntikan semangat serta bimbingan berterusan kepada guru penting supaya mereka dapat terus mendidik dengan penuh dedikasi.

Guru juga memerlukan bimbingan dan sokongan serta suntikan motivasi daripada pemimpin supaya mereka dapat memberikan yang terbaik dan sedia berganding bahu dalam memenuhi aspirasi sekolah mencapai kecemerlangan. Tidak dinafikan terlalu ramai guru besar dan pengetua terpaksa menghabiskan banyak masa di luar sekolah. Tugas mereka semakin mencabar terutama apabila berdepan dengan penanda aras kecemerlangan yang diukur berdasarkan pencapaian akademik menerusi sistem peperiksaan.

Tanpa disedari keghairahan mencapai kecemerlangan menyebabkan mereka terlepas pandang hingga menyebabkan proses P&P tidak seimbang. Guru mengajar semata-mata untuk menghabiskan sukatan mata pelajaran dan membolehkan peperiksaan dilaksanakan secepat mungkin. Pemimpin sekolah perlu melihat keadaan ini sebagai sesuatu yang perlu diperbaiki.

Senario ini menyebabkan ketulenan proses P&P tidak wujud kerana pelajar mengikuti pengajian semata-mata untuk menghabiskan silibus tetapi gagal menghayati pengetahuan dipelajari. Kita tidak mahu melahirkan pelajar cemerlang akademik semata-mata kerana khuatir apa yang dipelajari gagal menjadikan mereka insan berilmu dan memiliki sahsiah yang tinggi.

Pengetahuan bersifat subjektif, hanya pelajar yang dapat menghayati ilmu menjadikan mereka benar-benar individu berfikir dan membentuk sahsiah serta personaliti unggul. Sebelum ini banyak aduan terutama daripada ibu bapa mengenai sikap ghairah sekolah yang mengutamakan kecemerlangan akademik menyebabkan pelajarnya tertekan.

Tekanan yang diberikan pemimpin sekolah menyebabkan pelajar terutama di mereka yang cerdik terasa seolah-olah dipergunakan. Tindakan itu apabila diperhalusi ada sebabnya dalam usaha mendisiplinkan pelajar supaya memberikan perhatian berterusan dalam memacu kecemerlangan dan mengharumkan nama sekolah.

Tanpa disedari proses pembelajaran itu lebih menyeluruh kerana selain memberi ilmu pengetahuan, pada hakikinya ia membentuk insan terus berfikir apa yang dipelajari dan mengamalkannya dalam kehidupan harian.

Kebanyakan pemimpin di sekolah adalah mereka berpengalaman mengajar dan seharusnya di peringkat pentadbiran, masing-masing sudah bersedia berdepan suasana sedemikian. Pastikan pengalaman dikongsi bersama dalam menjayakan proses P&P yang lebih berkesan bagi melahirkan generasi lebih berdaya saing serta cemerlang akademik dan sempurna sahsiah. 

Prof Datin Dr Rahimah Ahmd
Felo Penyelidik Kanan Institut Pengajian Kepengetuaan Universiti Malaya
Berita Harian 15 Disember 2009

Tiada ulasan: