Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Ahad, Mei 31, 2009

KARNIVAL PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL NEGERI JOHOR TAHUN 2009

Karnival Pendidikan Teknik dan Vokasional Negeri Johor Tahun 2009 telah diadakan di daerah Pontian dari 29 Mei hingga 30 Mei 2009. SMK Dato' Penggawa Barat dan SMK Dato' Ali Hj. Ahmad menjadi lokasi beberapa pertandingan. Sebanyak 15 pertandingan berjaya dijalankan. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh En. Mohd Hazidin Bin Zaini yang mewakili Pengarah Pelajaran Negeri Johor di Dewan Sri Gemilang SMK Dato' Penggawa Barat, Pontian, Johor.

SMK Telok Kerang telah diberi tugas untuk mengendalikan tiga pertandingan iaitu Pertandingan Terrarium Landskap dan Nurseri (En. Hasan Bin Kasmuri), Pertandingan Penyediaan Peranggu Meja Katering dan Penyajian (En. Shamsul Sazali Bin Salimin), dan Pertandingan Agro-Q Sains Pertanian (En. Nordin Bin Ehsan). Mereka dibantu oleh Pn. Hajjah Maznah Bt Abu Talib, En. Mohamad Yasin Bin Jaafar, En. Abd Hadi Bin Ambok Ingtang, Pn. Rosfatmawati Bt Hassan, dan lain-lain. Terima kasih cikgu-cikgu.....

PPD Pontian telah meminta SMK Telok Kerang menyertai dua pertandingan iaitu Pertandingan Terrarium Landskap dan Nurseri, Pertandingan Penyediaan Peranggu Meja Katering dan Penyajian, dan Pertandinga Kuiz Perdagangan. Atas rasa tanggungjawab dan penghormatan itu, guru-guru dan pelajar-pelajar SMK Telok Kerang yang menyertai ketiga-tiga pertandingan tersebut telah membuat persediaan yang rapi dan berlatih setiap hari bahkan sehingga ke malam. Selaku tuan rumah, Pontian ada kelebihan.... itulah pesan En. Selamat Bin Mon, PPPD Pontian Teknik dan Vokasional.

SMK Telok Kerang telah muncul jadi JOHAN dalam dua pertandingan yang disertai iaitu; Pertandingan Terrarium Landskap dan Nurseri (Azhar Bin Azaman dan Shafizad Norhadi Abd Aziz di bawah bimbingan En. Hasan Bin Kasmuri), dan Pertandingan Penyediaan Peranggu Meja Katering dan Penyajian (Faez, Latifah dan Raziana di bawah bimbingan En. Shamsul Sazali Bin Salimin). Tahniah!!!...

Pontian diisytiharkan menjadi JOHAN KESELURUHAN setelah memenangi lima emas. Tahniah PONTIAN!!!...

Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan, bantuan dan kerjasama semasa membuat persediaan ke pertandingan tersebut.



Azhar Azaman dan Shafizad Norhadi Abd Aziz pelajar 5 LN SMK Telok Kerang, Pontian, Johor bertungkus-lumus menyiapkan terrarium dalam pertandingan Terrarium Landskap dan Nurseri.


Terrarium dengan tema 'Dream Valley' dari SMK Telok Kerang, Pontian, Johor menjadi johan dalam pertandingan terrarium.


En. Ahmad Khairi B Paimin, Pengetua SMK Telok Kerang (kemeja oren) hadir untuk memberi sokongan kepada wakil SMK Telok Kerang dalam Pertandingan Terrarium Landskap dan Nurseri, dan Pertandingan Peranggu Meja Katering dan Penyajian. Beliau bergambar kenangan bersama guru-guru Landskap dan Nurseri Negeri Johor.


Raziana, Latifah dan Faez dari SMK Telok Kerang, Pontian, Johor berusaha keras menyiapkan hiasan dalam Pertandingan Peranggu Meja Katering dan Penyajian.


Bertemakan 'Peranggu Meja Dalam Taman', SMK Telok Kerang diisytiharkan sebagai johan dalam Pertandingan Peranggu Meja Katering dan Penyajian.


Shafizad Norhadi Abd Aziz dan Azhar Azaman menerima piala dari En. Mohd. Hazidin Bin Zaini setelah menjadi johan dalam pertandingan terrarium. Tahniah!!!!...


Faez, Raziana dan Latifah menerima piala dari En. Mohd Hazidin Bin Zaini setelah menjadi johan dalam pertandingan Peranggu Meja Katering dan Penyajian. Tahniah!!!...

En. Selamat Bin Mon, PPPD Pontian Teknik dan Vokasional menerima piala Johan Keseluruhan dari En. Mohd Hazidin Bin Zaini.

Selasa, Mei 26, 2009

FERTIGASI MELON SMK TELOK KERANG, PONTIAN, JOHOR 2 (1)

Pada petang Ahad, 24 Mei 2009 bermulalah pusingan kedua penanaman rockmelan secara fertigasi di SMK Telok Kerang, Pontian, Johor. Pada petang ini kerja-kerja mengubah anak-anak pokok rockmelon dari kotak semaian ke polibeg di SPH dijalankan.

Kerja-kerja penyemaian telah dilakukan pada hari Sabtu 16 Mei 2009 seminggu yang lepas. Kali ini saya mengambil masa 7 hari untuk menyemai. Keluar daun ketiga, saya pun terus ubahnya ke polibeg. Harap-harap ianya menjadi...

Dalam masa rehat sebulan, saya dan pembantu saya En. Roslee membuat kerja-kerja penyenggaraan paip-paip agihan dan menambah baik paip air ke tangki. Terdapat kebocoran pada tiub mikro. Sabut dalam polibeg juga dibilas bersih-bersih. Kawasan di sekitar SPH disapu. Daun-daun dan batang pokok rockmelon yang kering dibersihkan dan dibakar hangus.

Semasa saya pergi ke Terengganu untuk beli baja fertigasi beberapa minggu yang lalu, saya juga singgah di rumah En. Salim di Padang Negara bertanyakan bagaimana hendak membesarkan buah rockmelon. En. Salim yang tak lokek ilmu mengemukakan cara-cara atau kaedah agar buah lebih besar. Beliau mengesyorkan beberapa jenis foliar khas untuk daun. Macam-macam lagi syor dan petua yang beliau bagi. Belaiu juga bawa saya melawat ke beberapa lokasi Projek Fertigasi Rockmelon di sekitar K. Terengganu. Ada buah rockmelon yang ditanam oleh peserta beratnya mencapai 3.8 kg. Terima kasih En. Salim....


Anak benih rockmelon berusia 7 hari dalam kotak semaian 104 lubang.

Anak benih rockmelon telah ditanam dalam polibeg pada petang Ahad 24 Mei 2009.

Isnin, Mei 18, 2009

HARI GURU DI SMK TELOK KERANG, PONTIAN, JOHOR

Hari ini 18 Mei 2009 adalah Hari Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang, Pontian, Johor. Oleh kerana Hari Guru pada 16 Mei jatuh pada hari Sabtu, maka di peringkat sekolah sambutannya diadakan pada hari ini. Semua guru memakai baju batik sedondon. Lawo.... sungguh guru-guru pada hari ini. Beberapa acara diadakan. Pada 7.30 pagi diadakan majlis membaca perutusan daripada Pengarah Kementerian Pelajaran dan Menteri Pelajaran. Pada 9.00 pagi diadakan acara sukaneka dan perlawanan bola sepak dan bola jaring antara guru-guru dan pelajar-pelajar. Pada 10.30 pagi diadakan konsert di dalam dewan. Pelajar-pelajar seronok menonton persembahan hebat guru-guru di atas pentas. Pengetua turut menyanyi sama menghiburkan pelajar-pelajar.

Selamat Hari Guru kepada rakan-rakan guru di SMK Telok Kerang.



 

Guru-guru diarak menuju ke astaka untuk majlis Sambutan Hari Guru SMK Telok Kerang 2009


Pelajar-pelajar berkompang mengarak guru-guru menuju ke astaka.



Guru-guru menyanyi lagu "Guru Malaysia"

Cikgu Hasan menerima cenderahati Hari Guru daripada Cikgu Nordin, pengerusi Kelab Guru dan Kakitangan.

Puan Junainah dan Pn Norazrin mendeklamasikan puisi karya Seniman Usman Awang.

Barisan guru-guru dan kakitangan SMK Telok Kerang bergambar kenangan sempena Sambutan Hari Guru Tahun 2009.

Pengawas bertugas mengendalikan majlis.
Pasukan handalan guru-guru kaki bola.
Pasukan pelajar-pelajar yang tewas 1-4 kepada pasukan handalan guru-guru kaki bola.
Persembahan mantap 'band boy' guru-guru berjaya menghiburkan ramai penonton.
Pelajar-pelajar bagai kena histeria menonton persembahan guru-guru....
Inilah kad hari jadi saya yang diterima sempena Hari Guru dari Kelab Kakitangan dan Guru-guru SMK Telok Kerang. Ringkas dan menarik.... terima kasih.

Ahad, Mei 17, 2009

THE MALAKOFF MANGROVE INITIATIIVE - KEMPEN MENANAM POKOK BAKAU DI TANJUNG PIAI, PONTIAN, JOHOR

16 MEI 2009

Pagi ini atas jemputan rasmi, saya pergi ke Tanjung Bin Power Plant untuk menghadiri Majlis Perasmian "The Malakoff Mangrove Initiative". Majlis dirasmikan oleh YAB Dato' Hj. Abdul Ghani Bin Othman, Menteri Besar Johor.

Inilah pertama kali saya menjejakkan kaki di Tanjung Bin Power Plant. Di kiri kanan jalan ditanam barisan pokok kelapa. Cantik tersusun. Besar juga kawasannya. Ada serombong putih berbelang merah yang amat tinggi. Ada longgokan tinggi arang berwarna hitam. Jauh di seberang sana kelihatan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Tujuan majlis ini adalah untuk kempen menanam dan menambahkan bilangan pokok-pokok bakau di kawasan Tanjung Bin dan Tanjung Piai. Sebanyak lebih kurang 9000 pokok akan ditanam. Ramai yang hadir. Bagus juga usaha dan inisiatif Malakoff ini. Apa ke tidaknya, semasa pembinaan Loji Janakuasa Tanjung Bin dulu, berpuluh ribu pokok bakau telah musnah. Seharusnya, Malakoff bertanggung jawab ke atas kemusnahan tersebut.

Kalau kita pergi ke kawasan Rekreasi Hutan Bakau Tanjung Piai, didapati ada sebahagian pokok-pokok bakau yang mati atau musnah. Saya tak tahu sebabnya. Orang kata disebabkan gelombang kuat kesan kapal-kapal besar menuju ke Pelabuhan Tanjung Pelepas. Untuk kepastian kena tanya Jabatan Hutan.

Malakoff menjemput pelajar-pelajar sekolah di kawasan Serkat seperti SK Andek Mori, SK Sungai Boh, SK Chokoh dan SMK Sri Kukup untuk bersama-sama menyertai kempen menanam pokok bakau bersama YAB Menteri Besar Johor. Penduduk mukim Serkat juga ramai yang hadir. Saya juga sama-sama menyibuk memakai kasut but warna kuning. Niat hati nak tanam pokok bakau di sebelah Menteri Besar, tapi orang di keliling MB ramai sangat. Cukuplah ambil gambar sahaja. Buat kenangan. Kenangan yang terindah apabila diberi dua payung oleh kakitangan Malakoff. Sudah rezeki, orang lain diberi satu, saya pula dapat dua. Agaknya kerana saya pakai but kuning.

Loji Janakuasa Tanjung Bin


YAB Dato' Abdul Ghani Bin Othman berucap semasa merasmikan majlis.

YAB Dato' Abdul Ghani Bin Othman, Menteri Besar Johor sedang menanam pokok bakau.

Pelajar-pelajar sekolah sedang menanam pokok bakau.
Orang ramai mengambil kesempatan meninjau kawasan Loji Janakuasa Tanjung Bin.

SELAMAT HARI GURU

16 MEI.
Hari ini adalah Hari Guru. Semua guru di Malaysia menyambut Hari Guru penuh bermakna. Saya amat gembira pada hari ini kerana saya adalah seorang guru. Isteri saya juga seorang guru. Anak-anak saya dididik, dibimbing dan diajar oleh guru-guru.


Saya amat berminat dengan kata-kata sasterawan Usman Awang dalam karyanya:


"Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa,
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa."
(Usman Awang-1979)


Satu lagi,


"Guru ibarat Astro, dalam dirinya macam-macam ada
Guru ibarat Ferrari, disukai dan digilai kerana kualiti dan jenama
Guru ibarat Proton, walau tak suka dibeli juga kerana harganya
Guru ibarat sambal petai, pedas merah menyala tapi dicari jua
Guru ibarat ayam goreng KFC, digemari si kecil, dewasa dan yang tua
Guru ibarat Putra Jaya, terancang dan gah kebanggaan kita
Guru ibarat laptop, penuh maklumat mudah dibawa untuk buat kerja"
(Nonama-2009)



GURU PEMBINA NEGARA BANGSA


Bersedia melangkah megah
Walaupun sukar baktiku curah
Demimu ibu pertiwi
Sumpahku lafaz janji kukota


Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya


Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta


Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia


Itulah Guru.....


Selamat menyambut Hari Guru saya ucapkan kepada bekas guru-guru saya, rakan-rakan guru di SMK Telok Kerang, dan semua guru di Malaysia negara tercinta.

Memoir diriku seorang guru........



Rumah arwah ibu bapa saya, Hj. Kasmuri Bin Mursit dan Hajjah Johariah Binti Amat Taruno di Kg.Parit Rambai, Pontian, Johor. Di rumah inilah saya dilahirkan (rumah ini dah diubahsuai).


Saya, Abdullah Sani dan Bahran semasa di Tingkatan 2 tahun 1975.


Bersama rakan-rakan di Tingkatan 5 Kejuruteraan Awam, SM Teknik Johor Bahru tahun 1978.

Bersama rakan-rakan sekelas di Tingkatan 6 Atas SM Teknik Johor Bahru tahun 1980. Guru kelas, Hj. Zakaria Bin Shukur bekas Pengarah IPTI.
Hari pertama Minggu Suaikenal di Maktab Perguruan Teknik Kuala Lumpur tahun 1981. Senior-senior tengah mewawancara 'freshie' yang baru mendaftar. Biasalah..... zaman dulu-dulu... Di sinilah bermulanya karier saya sebagai seorang guru.....
Bersama rakan-rakan sekelas SPU bergambar bersama pensyarah di Maktab Perguruan Teknik Kuala Lumpur.

Menganggotai kumpulan koir dan mewakili Maktab Perguruan Teknik ke Pestarama di Pulau Pinang pada tahun 1981.

Saya bersama AJK Kelab Seni Budaya dalam Gerko semasa di MPTKL.

Bersama rakan-rakan sekelas selepas kelas PJK. Ketika ini di Tahun 2 di MPTKL 1982.

Mengetuai Kumpulan Kuda Kepang semasa membuat persembahan kebudayaan Hari Guru di MPTKL tahun 1981.

Bergambar bersama pelajar-pelajar di SM Sains Selangor semasa menjadi guru pelatih pada tahun 1983.

Saya dan Cikgu Mohd Hasan bertanggungjawab sebagai pemimpin pengakap semasa bertugas di SMJK Nan Hwa, Sitiawan, Perak.

Bersama pelajar semasa menyambut Hari Guru di SMJK Nan Hwa, Sitiawan, Perak.

Saya dan guru-guru SMJK Nan Hwa, Sitiawan, Perak. Berkot ialah pengetuanya iaitu En. Su Jee Hor. Di sebelah kanannya ialah En. Chong Chin Wah, Penyelia Petang yang pandai menyanyi.

Gambar ini semasa saya menjadi pemimpin pengakap yang menyertai Jambori Pengakap Malaysia di Telok Rubiah, Manjung, Perak. Pintu gerbang Negeri Perak di belakang tu dibuat oleh ahli-ahli pengakap. Adakah ahli pengakap zaman sekarang boleh buat binaan sebegitu rupa?

Jambori Pengakap Malaysia ketika itu dirasmikan oleh Tuanku Raja Muda Perak. Saya sendiri merakamkan gambar ini sebagai kenangan. Foto ini saya simpan sehingga sekarang.

Foto ini ketika saya bertugas di SMK King Edward VII, Taiping, Perak. Ketika itu saya suka hoki. Setiap pagi Jumaat saya bersama ahli Kelab Hoki berlatih di padang hoki SMK King Edward VII yang cantik, rata dan berumput menghijau.....ada lagi ke padang itu pada hari ini....

Foto ini diambil ketika saya menyertai rombongan UTM melawat Songkhla, Thailand. Pelajar -pelajar itu adalah pelajar sebuah kolej di Yala, Thailand.

Saya dan rakan-rakan serumah ketika menghadiri Jamuan Perpisahan di Tropical Inn Johor Bahru, semasa belajar di Universiti Teknologi Malaysia, Johor. Dari kiri: Redwan, saya, Selamon, Badrul, Rahmat, Bahrin, dan Abang Haji.

Foto ini diambil selepas majlis penyampaian Anugerah Dekan Fakulti Pendidikan sehari sebelum Hari Konvokesyen UTM Tahun 1998. Penerimanya menerima sijil dan kalung emas. Bergambar bersama Dekan Fakulti Pendidikan dan pensyarah-pensyarah. Saya berdiri nombor dua dari kiri di barisan hadapan.

Di hari Konvokesyen UTM tahun 1998.

Bergambar kenangan bersama rakan-rakan di Hari Konvokesyen UTM Tahun 1998.

Masing-masing bangga dengan kejayaan yang dikecapi.