Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Rabu, November 30, 2011

MASJID KEMBAR DI MUAR

Sesiapa yang pernah pergi ke Muar, Johor tentu pernah melihat atau bersolat di salah satu masjid ini iaitu dua buah masjid yang seakan-akan sama reka bentuknya. Kedudukan kedua-duanya terletak bertentangan yang dipisahkan oleh Sungai Muar. Yang terletak di Bandar Maharani dinamakan Masjid Sultan Ibrahim manakala yang terletak di Tanjung Agas dinamakan Masjid Sultan Ismail.

Masjid Jamek Muar (Masjid Sultan Ibrahim) adalah merupakan nama pertama yang diberikan sempena pembuatan masjid dan meupakan masjid yang tertua di Daerah Muar ini. Pembinaan ini ditaja pada tarikh 21 Rejab 1343 Hijriyyah bersamaan 15 Februari 1925 Masihi. Senibina masjid ini telah dilukis oleh “pelukis” Johor pada masa itu iaitu En. Sulaiman Bin Hj. Ilyas. Pembinaan tersebut diketuai oleh Mejar Al-Haj Muhammad Said Bin Hj. Sulaiman. Masjid ini telah dirasmikan oleh Yang Amat Mulia Tengku Ismail (Tengku Mahkota Johor), Yang Berhormat Dato’ Mustapha (Menteri Besar Johor) pada hari Jumaat, jam 11 pagi pada 29 Ramadhan 1347 Hijriyyah bersamaan 28 Februari 1930 Masihi.

Di seberang sungai iaitu di tanjung Agas, didirikan pula Masjid Sultan Ismail. Ia menjadi mercu tanda terbaru bandar Muar. Masjid Sultan Ismail iaiah Masjid Jamek Kedua yang terletak di tebing utara Sungai Muar. Ia adalah masjid terbesar di Muar dan rekabentuknya adalah replika kepada masjid Sultan Ibrahim, Masjid Jamek Pertama yang terletak di Jalan Petri di tebing selatan. Masjid ini disiapkan pada tahun 2002. Ia menyajikan pemandangan indah apabila dilihat daripada bandar Muar, seolah-olah ia terapung di atas sungai. Masjid ini dapat memuatkan lebih kurang 5000 jemaah didalam satu masa.

Sekilas mengenai Masjid Sultan Ismail:
  • Ia replika kepada Masjid Sultan Ibrahim yang bercirikan senibina Inggeris. Ia menjadi mercu tanda terbaru di Bandar Maharani. Didirikan betul-betul di utara tebing Sungai Muar. Pelan arkiteknya persis kepada Masjid Sultan Ibrahim.
  • Menara azannya lebih besar dan setingkat lebih tinggi daripada Masjid Sultan Ibrahim.
  • Rekabentuk dalamannya juga menerapkan nilai2 senibina dalaman Masjid Sultan Ibrahim. Perbezaannya hanyalah dari segi bahan binaan, saiz dan kehalusan seni pembuatannya.
  • Siling di sini adalah siling plaster gypsum yang bercorak sedangkan siling di Masjid Sultan Ibrahim masih menggunakan siling fibreboard 4x4 ber`beading' kayu yang dicat.
  • Lantai masjid ini disudahi dengan jubin manakala Masjid Sultan Ibrahim pula berlantaikan marmar putih bercorak. Ruang solat utama untuk kedua-dua masjid disudahi dengan permaidani.
  • Bentuk dan corak pintu masuk di sekeliling ruang solat utama Masjid Sultan Ismail ini adalah serupa dengan Masjid Sultan Ibrahim.
  • Tiang-tiang roman yang berjejeran di dalam ruang solat utama juga adalah versi yang sama, cuma di sini ianya berfungsi sebagai struktur penyokong tingkat mezanin dan juga bumbung sedangkan di Masjid Sultan Ibrahim ianya sebagai penongkah bumbung sahaja.
  • Bentuk dan saiz mimbar seakan-akan sama, tetapi tidak seiras. Kedudukan tangganya adalah serupa. Yang ketara berbeza adalah bahan buatannya serta seni ukirannya yang mana di sini ianya diperbuat daripada kayu berukir halus sedangkan di Masjid Sultan Ibrahim ia dibuat dari logam yang diukir juga.
  • Dinding belakang mimbar serupa dengan Masjid Sultan Ibrahim, cuma berlainan warna catnya.
  • Ruang wuduk berbentuk bulat di kedua-dua masjid. Namun di sini ianya berbumbung kubah sedangkan di Masjid Sultan Ibrahim ruang wuduknya dibiarkan lopong untuk menadah air hujan.
  • Kedua-dua masjid dicat dengan warna yang serupa dibahagian luar bangunan, iaitu putih dan biru. Di bahagian dalam warna catnya berbeza.
 

Masjid Sultan Ibrahim dilihat dari Masjid Sultan Ismail.

Bahagian hadapan Masjid Sultan Ibrahim.

Bahagian hadapan Masjid Sultan Ismail.

Bahagian belakang sisi kiri masjid Sultan Ibrahim.

Bahagian belakang sisi kiri Masjid Sultan Ismail.

Bahagian hadapan sisi kanan Masjid Sultan Ibrahim.


Bahagian hadapan sisi kanan Masjid Sultan Ismail.

Sisi kiri Masjid Sultan Ibrahim.

Sisi kiri Masjid Sultan Ismail.

Pintu utama Masjid Sultan Ibrahim.

Pintu utama Masjid Sultan Ismail.

Masjid Sultan Ismail.

Masjid Sultan Ibrahim.


Selasa, November 29, 2011

BANTUAN PERSEKOLAHAN RM100.00: BENARKAH WUJUD JURANG MAKLUMAT?

Kes pemotongan bayaran awal bantuan persekolahan yang berlaku di beberapa buah sekolah menimbulkan persoalan apakah wujud jurang maklumat antara sekolah dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)?

Sebuah sekolah di Keramat, Kuala Lumpur telah membuat potongan awal bantuan tersebut bagi kegunaan bayaran tahunan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) manakala sebuah sekolah di Sabah pula melakukan perkara yang sama bagi melunaskan yuran komputer lebih awal.

Lebih mengecewakan ialah sebelum insiden tersebut dilaporkan, di Selangor turut berlaku keengganan pihak sekolah untuk membuat bayaran kepada ibu bapa pelajar yang berada di Tahun 6 kerana mengandaikan bahawa mereka akan mendapat bayaran semasa berada di Tingkatan 1 tahun depan di sekolah lain. Pada 2012 hanya murid tahun 1 sahaja yang akan menerima bantuan khas RM100 itu.

Dari perspektif KPM perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana sejak 4 November lalu peruntukan tersebut telah dimasukkan ke akuan sekolah bagi membolehkan para pelajar menerimanya sebelum cuti sekolah bermula. Malah sebelum itu beberapa taklimat turut diberikan kepada pengetua dan guru besar bahawa bantuan awal persekolahan tersebut hendaklah diberikan sepenuhnya tanpa sebarang pemotongan walaupun murid terbabit berhutang dengan pihak sekolah.

Sekiranya pihak sekolah ingin menuntut sebarang hutang atau yuran tertunggak daripada pelajar, perbincangan hendaklah dibuat supaya satu persetujuan dicapai tetapi bukannya dengan cara memotong wang bantuan tersebut. Pada dasarnya, guru besar atau pengetua tidak dibenarkan membuat potongan.

Perbezaan tafsiran ketika melaksanakan sesuatu arahan, walaupun arahan itu telah diturunkan secara jelas, masih berlaku. Keadaan ini menyebabkan ramai yang tertanya-tanya bagaimana satu arahan boleh menjadi lebih banyak tafsiran? Apakah kaedah komunikasi yang digunakan tidak berkesan?

Jawapannya ialah kerana ada segelintir guru besar dan pengetua memberikan alasan kerana perkara tersebut sudahpun diputuskan oleh PIBG dalam mesyuarat tahunannya, maka ibu bapa tidak seharusnya merungut. Sewaktu keputusan itu dibuat, tidak ramai ibu bapa yang hadir dan apabila hendak dilaksanakan, maka ramailah ibu bapa tidak berpuas hati.

Setiap kali permulaan penggal sekolah, rungutan demi rungutan mengenai bayaran tambahan yang dikenakan oleh pihak sekolah menjadi perhatian masyarakat walaupun secara jelasnya KPM telah memansuhkan semua yuran-yuran yang dahulunya terpaksa dibayar oleh pelajar seperti yuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), yuran peperiksaan dan sebagainya.

Belum pun sekolah bermula, ada sekolah telah memberitahu bahawa setiap pelajar mesti membayar sejumlah wang bagi membolehkan beberapa aktiviti sekolah terus berjalan seperti biasa. Hal ini akan menyebabkan ibu bapa terus beranggapan, sekolah masih mengenakan yuran sedangkan kerajaan telah membuat keputusan memberi pendidikan rendah dan menengah secara percuma dengan memansuhkan semua yuran.

Di sinilah bermulanya salah faham antara ibu bapa dengan pihak sekolah. Maka adalah wajar pihak sekolah memberikan taklimat atau mengeluarkan surat siaran memberitahu ibu bapa bahawa yang mereka pungut bukanlah yuran. Sekolah memerlukan sumbangan daripada ibu bapa untuk melaksanakan beberapa aktiviti kokurikulum demi membolehkan para pelajar mencapai kecemerlangan dan menjadi modal insan terbaik.

Jika diberi penjelasan secara baik, ibu bapa secara rasional akan memahami kenapa sesuatu sumbangan itu penting. Namun begitu, pihak sekolah tidak boleh melakukan paksaan bahawa semuanya perlu dijelaskan sebelum berakhir minggu pertama persekolahan. Misalnya untuk sumbangan kepada tabung PIBG, pihak sekolah bolehlah membuat perancangan bahawa ibu bapa boleh menyumbang secara beransur-ansur selama tiga atau empat kali. Sekiranya ini sanggup dilaksanakan oleh pihak sekolah dan dipersetujui oleh PIBG, salah faham tidak mungkin berlaku.

Sumber: Utusan Malaysia

Selasa, November 22, 2011

GARUDA TERSUNGKUR DIBAHAM HARIMAU MUDA - SYABAS SKUAD HARIMAU MUDA MALAYSIA






Malam tadi pemain-pemain Malaysia dan berjuta rakyat Malaysia meraikan kejayaan memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA XXVI selepas menewaskan Indonesia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta. Dengan itu Malaysia mempertahankan pingat emas dalam acara bola sepak Sukan SEA.

Kekalahan ini memusnahkan harapan skuad Indonesia kendalian Rahmad Darmawan untuk meraih pingat emas sejak 20 tahun lalu di mana kali terakhir Indonesia memperolehi emas adalah pada 1991.

Tiada apa yang lebih sempurna daripada merangkul pingat emas Sukan SEA; ‘ibu’ kepada segala pingat sebagai penutup tirai temasya kali ke XXVI buat kontinjen Malaysia. Setelah berjuang habis-habisan di Stadium Gelora Bung Karno untuk lebih dua jam, skuad Harimau Muda kebanggaan kita memakbulkan harapan setiap rakyat Malaysia yang menyaksikan kelibat mereka di kaca televisyen malam tadi.

Beraksi di hadapan lebih 100,000 lautan merah putih, Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan gol lawan seawal minit keempat menerusi tandukan pemain pertahanan, Gunawan Dwi Cahayo. Ia berpunca daripada sepakan sudut di sebelah kiri gawang negara yang diambil oleh pemain tengah Octovianus Maniani sebelum Gunawan mudah menanduk masuk bola menewaskan penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat. Gol tersebut menyaksikan penyokong tuan rumah bersorak girang dengan jaringan pembukaan itu.

Walaupun tertekan dengan jaringan awal tersebut, anak didik Ong Kim Swee jelas tidak mudah mengalah dan melajukan rentak dengan mengatur beberapa serangan menerusi gandingan Baddrol Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani dan A Thamil Arasu, namun tagihan aksi negara masih belum panas.


Tidak mengapa kita ketinggalan pada awal permainan. Wira-wira kita tidak mengalah, sebaliknya mereka bangkit dengan segera untuk menyamakan kedudukan dan seterusnya mengawal permainan, sekali gus membuatkan kira-kira 100,000 penyokong fanatik tuan rumah terdiam.

Bermula dari saat itu, perlawanan berlangsung agak seimbang menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencari gol pada waktu sebenar permainan, malah 30 minit tambahan pun tidak berkesudahan.

Setiap kali penjaga gol sensasi kita, Khairul Fahmi Che Mat diperlukan, dia tidak pernah mengecewakan dan semalam dia membuktikan keupayaannya sekali lagi, komitmen yang sering kali ditunjukkannya apabila dengan tenang menyelamatkan sepakan penalti Ferdinan Sinaga.

Permainan yang terikat seri 1-1 dipaksa berlarutan kepada 120 minit masa tambahan memaksa kedua-dua pasukan rancak menyerang balas namun masih tiada penyudah yang berkesan oleh kedua-dua negara hinggalah terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti yang akhirnya memihak kepada negara.

Dan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar; salah seorang anggota skuad yang menjuarai temasya Vientianne dua tahun lalu melaksanakan tugasnya untuk mempertahankan pingat emas buat kali pertama sejak 1979 yang mana ketika itu turut dilakar di Jakarta.

Tangisan para penyokong Laskar Garuda adalah difahami. Bukan saja tewas di bumi sendiri, malah sudah dua dekad tidak mengecapi kejayaan sejak mereka menang di Manila 1991.

Memang Indonesia telah meraih 170 pingat emas Sukan SEA XXVI, namun terlepas pingat emas bola sepak (ibu kepada segala pingat) sudah tentu sesuatu yang mendukacitakan. Kalah di hadapan penonton sendiri pulak tu... Andai mampu merangkul semua pingat emas yang dipertandingkan sekali pun, luka mereka tidak akan terubat. Gelora Bung Karno bukan stadium keramat Laskar Garuda. Puas hati aku... Syukur kepada Ilahi...

Stadium Gelora Bung Karno senyap disaat pemain-pemain Harimau Muda meraikan kejayaan. Air mata penyokong Laskar Garuda bertitisan tumpah di bumi sendiri. Hilanglah segala ego mereka selama ini seolah-olah direntap oleh kuku-kuku tajam Garuda. Aku turut berasa sedih atas kematian dua orang penyokong Garuda akibat rusuhan pembakaran kaunter tiket sebelum perlawanan bermula. Aku simpati dengan mereka, penyokong Garuda.

Tahniah skuad Harimau Muda.

Ahad, November 20, 2011

ISTANA NEGARA BARU


Istana Negara baru ini yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur telah diserahkan kepada pentadbiran Istana Negara pada 18 Oktober 2011 yang lalu. Istana Negara, Jalan Duta ini beroperasi sepenuhnya pada 11 November 2011.


Pembinaan Istana Negara ini dikatakan menelan belanja sehingga RM 800 juta yang merangkumi 3 komponen utama; Kompleks Istana Negara bernilai kira-kira RM650 juta, persimpangan bertingkat (RM130 juta) dan menaik taraf jalan (RM32.5 juta).

Kompleks Istana Negara, Jalan Duta ialah sebuah kompleks istana Malaysia yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur, Malaysia. Secara rasminya, istana ini digunakan pada 15 November 2011 bagi menggantikan Istana Negara di Jalan Istana sebagai tempat bersemayam kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Malaysia. Istana ini telah diserahkan kepada pentadbiran Istana Negara pada 18 Oktober 2011 dan beroperasi sepenuhnya pada 11 November 2011.


Pada Disember ini, dijadual diadakan acara rasmi pertama di Kompleks Istana Negara baharu, yang terletak di atas bukit berhampiran Jalan Duta, Kuala Lumpur.Acara berkenaan adalah jamuan negara sempena tamatnya tempoh perkhidmatan Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.Para tetamu yang bakal menghadiri jamuan negara berkenaan sudah pasti akan teruja dengan ciri-ciri binaan Islam dan tradisional Melayu pada kompleks yang terletak di kawasan seluas 96.52 hektar.

Istimewa

Pembinaan itu merupakan sesuatu yang istimewa kerana ia merupakan kali pertama kerajaan mendirikan kompleks istana buat Yang di-Pertuan Agong bersemayam. Kompleks yang menjadi mercu tanda dan simbol kebanggaan sistem pemerintahan raja berperlembagaan di Malaysia turut memaparkan ciri-ciri estetika khusus dan hiasan dalaman yang boleh menjadi khazanah kebanggaan negara.Arkitek terkenal yang mereka bentuk kompleks berkenaan adalah Kumpulan Seni Reka Sdn. Bhd. Syarikat berkenaan pernah terlibat dalam reka bentuk Dataran Putra, Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Istana Darul Ehsan di Putrajaya.


Keunikan

Projek lain adalah Planetarium Negara, Muzium Kesenian Islam dan bangunan Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur serta kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor. Kontraktor reka dan bina kompleks berkenaan pula adalah Maya Maju (M) Sdn. Bhd. Baru-baru ini, wartawan dan jurugambar Mingguan Malaysia berpeluang secara eksklusif meninjau kerja-kerja akhir menyiapkan kompleks berkenaan sebelum ia diserahkan kepada kerajaan pada bulan depan. Antara keunikan yang dapat dilihat adalah bilangan kubah iaitu 21 buah.

Cahaya

Pada kubah berkenaan terdapat reka bentuk seperti sisik sebagai tapak untuk dipasang lampu. Pada waktu malam, cahaya yang menerangi kubah berkenaan akan memberi kesan ilusi seolah-olah seperti buah nanas. Cahaya yang boleh bertukar warna mengikut acara rasmi diadakan dapat dilihat secara jelas daripada dua bangunan tertinggi negara iaitu Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur. Dalam pada itu, melangkah masuk ke lobi utama, tetamu akan berada di bawah kubah utama setinggi 40 meter atau 10 tingkat bangunan. Ia juga menempatkan candelier terbesar buatan tempatan yang dihasilkan sebuah kilang di Kuala Selangor.

Sayap

Di sekeliling kubah yang disokong oleh tiang-tiang besar berbentuk bulat, terdapat lapan lukisan besar yang memaparkan sejarah negara sejak zaman Kesultanan Melaka sehingga era sekarang yang menyaksikan Malaysia membangun dengan pesat. Dari lobi utama, tetamu boleh memilih kawasan-kawasan khusus yang hendak dituju sama ada Sayap Formal, Sayap Diraja, Sayap Pentadbiran dan Sayap Fasiliti Sokongan. Komponen Sayap Formal menempatkan balai rong seri, bilik-bilik menunggu sebelum upacara menghadap, dewan bankuet, bilik mesyuarat Majlis Raja-Raja dan bilik penyerahan watikah pelantikan duta-duta. Sayap Diraja pula menempatkan bilik peraduan, persiraman, rehat dan santapan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta kerabat baginda serta bilik tetamu diraja.

Ukiran

Berbeza dengan Istana Negara lama di Bukit Petaling, Kuala Lumpur yang agak sempit dengan keluasan 11.34 hektar, kompleks istana baharu yang lebih luas membolehkan setiap bilik dan dewan dibina khusus untuk fungsi tertentu sahaja. Semua bilik dan dewan berkenaan memaparkan ukiran, lukisan dan hiasan dalaman tradisional Melayu dengan corak-corak seperti awan larat, bunga raya, bunga cengkih dan tumbuh-tumbuhan. Corak sedemikian tidak banyak dilihat pada istana lama yang sebelum ini merupakan sebuah vila milik jutawan Cina bernama Chan Wing dibina pada 1928.

Ciri-ciri Islam termasuk corak geometri tiga dimensi atau muqarnas, ukiran kalimah Allah, lampu hiasan seperti yang banyak diguna ketika zaman Khalifah Uthmaniah di Turki juga turut kelihatan terutama pada binaan surau. Dalam pada itu, tulisan ayat-ayat al-Quran yang terpapar di sekeliling ruang dalaman dan bahagian mihrab surau berkenaan dihasilkan oleh penulis khat profesional tanah air, Abdul Baki Abu Bakar. Pensyarah Seni Khat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu sebelum ini turut terlibat melakarkan ayat-ayat al-Quran di Istana Darul Ehsan, Putrajaya; Dewan Muktamar Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan surau Istana Alam Shah, Klang, Selangor.

Seni Khat

Anak kelahiran Baling, Kedah yang juga anak didik Yang Dipertua dan Pengasas Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Mohamed Yusof Abu Bakar menggunakan khat jenis thuluth dan nasakh bagi menulis sebahagian ayat-ayat daripada surah al-Furqan dan at-Taubah. Bahan yang digunakan untuk membuat tulisan ayat-ayat berkenaan adalah aluminium warna emas dan dipadankan dengan latar belakang kayu. Seperti binaan surau, hiasan dalaman keseluruhan kompleks berkenaan juga banyak menggunakan kayu daripada jenis mahogani. Selain kayu, turut digunakan secara meluas adalah keluli tahan karat dan anti kulat termasuk untuk bahagian bumbung yang dikenali dengan nama komersial Clean Colorbond.

Keluli yang amat sesuai dengan cuaca panas dan lembab di negara ini turut digunakan dalam pembinaan hangar pesawat A380 Malaysia Airline System Bhd. (MAS), Pangkalan TUDM Sungai Besi dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang. Singgahsana yang menjadi tempat persemayaman Seri Paduka di Balai Rong Seri mempunyai ukiran tradisional Melayu, 99 nama Allah dan ayat-ayat al-Quran.

Kemudahan

Ukiran berkenaan dilakukan oleh beberapa tukang ukir terkenal dari Terengganu yang diakui sejak zaman-berzaman mempunyai hasil kerja bermutu tinggi. Selain keunikan segi ukiran, lukisan dan hiasan dalaman yang dihasilkan dengan tangan sepenuhnya, keistimewaan lain yang terdapat pada kompleks berkenaan adalah suasana alam semula jadi di sekelilingnya. Ini berikutan hanya 28 hektar yang digunakan bagi pembinaan kompleks dan selebihnya dikekalkan sebagai taman dan zon penampan untuk keselamatan.

Kemudahan lain yang turut dibina di kompleks berkenaan adalah bangunan sokongan, rumah kediaman kakitangan istana dan polis, pejabat keselamatan, kem mini tentera, jalan masuk bertingkat dari Jalan Duta dan tempat meletak kenderaan bawah tanah. Turut disediakan kemudahan lif, eskalator , tanjakan (ramp), klinik, tapak pendaratan helikopter, gelanggang untuk bersukan, kolam renang dan taman permainan kanak-kanak.
   
Info
  1. Istana Negara bercirikan binaan Islam dan tradisional Melayu pada bangunan istana yang terletak di kawasan seluas 241.3 ekar (97.65 hektar).
  2. Beroperasi sepenuhnya pada tempoh pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Xlll, Tuanku Mizan Zainal Abidin Sultan Mahmud pada 11 November 1011.
  3. Istiadat menaikkan Bendera Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diadakan pada 15 November 2011 sebagai simbolik Istana Negara, Jalan duta secara rasminya menjadi Istana Negara di Malaysia.
  4. Keunikannya terletak pada bilangan kubah iaitu sebanyak 22 buah.
  5. Dua kubah besar mempunyai reka bentuk seolah sirih bertindih. Pada waktu malam, cahaya daripada lampu hiasan yang menerangi kubah akan memberi kesan ilusi. Cahaya boleh bertukar warna mengikut acara rasmi yang diadakan, selain mampu dilihat secara jelas daripada luar kawasan Istana Negara.
  6. Di lobi utama, terdapat chandelier terbesar buatan tempatan yang dihasilkan di Kuala Selangor.
  7. Di sekeliling kubah, terdapat lapan lukisan besar memaparkan sejarah negara sejak zaman Kesultanan Melaka hingga kini.
  8. Setiap bilik dan dewan dibina khusus untuk fungsi tertentu sahaja.
  9. Singahsana tempat bersemayam Seri Paduka Baginda di Balairong Seri Istana Negara mempunyai ukiran tradisional Melayu serta tulisan khat 99 nama Allah dan ayat suci al-Quran dihasilkan oleh beberapa pengukir terkenal dari Terengganu dan Kelantan.
  10. Pintu gerbang masuk utama yang menggunakan jalan masuk bertingkat dari Jalan Duta adalah bagi Yang di-Pertuan Agong.
  11. Laluan kedua terletak di Jalan Cangkat Semantan adalah pintu masuk bagi kegunaan tetamu diraja serta tetamu jemputan bagi menghadiri sesuatu majlis di Istana Negara.
  12. Laluan ketiga terletak di Jalan Sri Hartamas, Mont Kiara adalah pintu masuk bagi kegunaan rakyat yang ingin berurusan.
























GURU KERJA 9 JAM DIBATALKAN

Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan projek perintis yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari pada Januari ini di empat negeri. Kenyataan itu dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, langkah itu bertujuan mengelak salah sangka dan kekeliruan di kalangan masyarakat dan guru sendiri terhadap pelaksanaan program tersebut.

Tambah beliau lagi, kementerian berasakan program tersebut tidak perlu diteruskan, tetapi segala kajian yang telah dibuat akan dilakukan penelitian secara lebih mendalam.  Program itu juga tidak perlu diteruskan jika guru sendiri tidak memahami kehendak sebenar program tersebut yang bertujuan memperkasakan perkhidmatan guru di negara ini.

"Projek perintis itu sebenarnya tidak bertujuan membebankan guru-guru, sebaliknya ia merupakan proses menambah baik bidang pendidikan. Profesion guru amat istimewa kerana mereka mendidik anak bangsa. Program ini akan memantapkan lagi perkhidmatan perguruan selain memberi impak lebih besar kepada bidang pendidikan negara,” kata Tan Sri Muhyiddin.

Tan Sri Muhyiddin bagaimanapun berkata, projek perintis yang dimulakan di Melaka Tengah dan melibatkan 19 buah sekolah diteruskan seperti biasa.


Hasan:  Aku ucapkan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin....

Sabtu, November 19, 2011

CUTI SEKOLAH YANG PANJANG: ISIKANNYA DENGAN SESUATU YANG BERMANFAAT

Hari ini bermulalah musim cuti sekolah hujung tahun yang panjang. Murid-murid atau anak-anak tentunya gembira apabila cuti panjang tiba. Manakala ada di kalangan ibubapa yang resah dengan ketibaan cuti panjang ini. Tak kiralah sama ada berada situasi di kota atau di desa, cuti panjang ini harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Ibubapa harus merancang untuk mengisi cuti ini dengan aktiviti yang bermanfaat bagi anak-anak mereka.


Melancong dan melawat tempat-tempat yang menarik antara
pengisian cuti sekolah untuk anak-anak...

 Manfaatkanlah musim cuti sekolah yang panjang ini dengan aktiviti-aktiviti seperti:
  1. Lakukan aktiviti bercorak keluarga seperti berjalan-jalan, jogging, berkebun, mengajar memasak dan bertukang kayu.
  2. Gunakanlah juga peluang cuti persekolahan ini untuk berjalan-jalan menikmati keindahan alam semulajadi negara kita yang kaya dan indah ini. Aktiviti ini sebenarnya meningkatkan kefahaman akidah dan tauhid kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan supaya kita akan merasa betapa bersyukurnya mendapat berbagai-bagai kurniaan Allah.
  3. Bawa keluarga melancong dalam negeri dan lawatlah temapt-tempat yang menarik di seluruh negara atau berkelah di tepi pantai atau taman rekreasi.
  4. Melibatkan anak-anak dengan kelas-kelas kesedaran Islam, Fardhu Ain, Tahsin Qiraat, Smart Solat dan kelas-kelas hafazan jangka pendek.
  5. Bersukan atau bermain bersama anak-anak. Sekiranya anda mampu boleh hantar anak-anak menghadiri kelas badminton, renang, squash atau apa sahaja sukan yang mereka minati.
  6. Kalau ada perpustakaan awam yang berhampiran anda, bawalah anak-anak ke sana dan tanamkan tabiat membaca.
  7. Kalau anda mempunyai kemudahan internet di rumah, jelajahlah dunia maklumat bersama anak-anak.
  8. Hantar anak-anak ke kelas pengajian al quraan dan fardhu ain untuk memantapkan lagi ilmu agama mereka. Pastikan mereka tidak mengabaikan kewajiban bersolat dan tanamkan semangat cintakan Islam di dalam jiwa mereka.
  9. Bawalah anak-anak balik ke kampung untuk berjumpa saudara mara agar ikatan persaudaraan sentiasa utuh dan supaya hubungan kekeluargaan akan sentiasa rapat.
  10. Menyedarkan mereka bahawa musim cuti bukan dihabiskan untuk berehat semata-mata, bermain, tidur dan menonton televisyen sepuas-puasnya, sebaliknya musim cuti adalah masa untuk memperkayakan ilmu pengetahuan.
  11. Mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan pada tahun-tahun berikutnya.
  12. Ibu bapa dicadangkan mencari guru-guru yang berpengalaman untuk menyelesaikan masalah pembelajaran anak-anak dengan kelas-kelas tuisyen dan aktiviti latih tubi.
  13. Ibu bapa perlu membimbing anak-anak untuk memilih budaya hidup yang sihat.
  14. Masa lapang yang agak panjang pada musim cuti sekolah hendaklah diaturkan dengan program dan aktiviti yang mampu memantapkan fizikal anak-anak seperti penyertaan dalam ekspidisi mendaki bukit, berbasikal, penyertaan dalam sukan anjuran masjid, waja diri, berkebun dan lain-lain.
  15. Libatkan anak-anak dalam program dan aktiviti yang boleh mendorong mereka berjaya seperti Kem Motivasi, Nadwah Islam, rehlah, Kem Insan cemerlang dan lain-lain.
  16. Memberikan pendedahan kepada anak-anak remaja anasir-anasir yang boleh meruntuhkan Islam seperti keruntuhan akhlak, akidah dan syariat yang akhirnya membawa kerosakan kepada kehidupan.
  17. Ambillah peluang di musim cuti persekolahan ini untuk merapatkan hubungan silaturrahim, khususnya bagi keluarga terdekat dengan menziarahi saudara-mara sama ada yang di kampung atau di bandar apabila hubungan kekeluargaan dan saudara-mara menjadi akrab dan mantap, hidup akan menjadi ceria dan mendapat rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala.
  18. Luangkanlah sedikit masa merancang pengisian anak-anak walaupun hakikatnya bukan sahaja untuk musim cuti sekolah, bahkan setiap masa.
  19. Kita boleh menjadikan solat berjemaah di rumah sebagai budaya, dengan itu kita boleh melatih anak-anak lelaki menjadi imam seterusnya ia mampu melatih sifat berani dan kepimpinan di dalam diri selain dapat menghafal beberapa ayat sebagai bacaan di dalam solat.
  20. Budaya makan bersama juga boleh diamalkan. Dengan makan bersama, kasih sayang akan terjalin dan hubungan akan lebih erat. Ibu bapa berpeluang mengambil tahu perkembangan anak-anak ketika itu. Hasan Al-Banna sendiri tidak akan makan sehinggalah kesemua ahli keluarganya ada bersama-sama.
  21. Aktiviti gotong-royong membersihkan rumah akan mendidik anak-anak tentang kebersihan. Jika perkara ini menjadi kebiasaan, akan lahir sifat pembersih di dalam diri mereka. Selain itu, aktiviti ini akan melatih mereka menjadi anak yang taat kepada setiap arahan ibu bapa.
  22. Kem-kem motivasi dan kem ibadah semakin banyak diadakan sempena cuti sekolah. Memang benar yuran yang dikenakan agak mahal walaupun program tersebut hanya berjalan selama beberapa hari, namun anggaplah yuran tersebut sebagai pelaburan jangka masa panjang. Agak pelik juga apabila terdapat ibu bapa yang sanggup membayar harga yang mahal untuk membeli kereta dan perabot rumah tetapi tidak sanggup membayar untuk kebaikan anak-anak mereka.
  23. Ikuti program hafazan Al-Quran di masjid-masjid. Perkara ini amat positif kerana ia memupuk kecintaan kepada Al-Quran di dalam hati anak-anak. Menariknya, program ini dijalankan secara percuma dan turut dianjurkan pertandingan hafazan sebelum cuti berakhir.

Kesimpulannya, ibu bapa perlu menyedari kepentingan mengisi masa lapang anak-anak di musim cuti yang panjang ini. Rancang, susun dan isi percutian mereka agar cuti yang panjang ini boleh memberi manfaat kepada mereka. Elakkan anak-anak ini mengisi masa mereka mengikut selera sendiri sehingga boleh terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak baik daripada kawan-kawan dan persekitaran.
 
Selamat bercuti.

Khamis, November 17, 2011

MAKLUMAT MENGENAI KA'ABAH




Maklumat mengenai Kaabah
  1. Mekah adalah kawasan yang mempunyai graviti paling stabil.
  2. Tekanan gravitinya tinggi, dan di situlah berpusatnya bunyi-bunyian yang membina yang tidak boleh didengar oleh telinga.
  3. Tekanan graviti yang tinggi memberi kesan langsung kepada sistem imun badan untuk bertindak sebagai pertahanan daripada segala serangan penyakit.
  4. Graviti tinggi = elektron ion negatif yang berkumpul di situ tinggi = doa akan termakbul kerana di situ adalah tempat gema atau ruang dan masa serentak.
  5. Apa yang diniatkan di hati adalah gema yang tidak boleh didengar tetapi boleh dikesan frekuensinya. Pengaruh elektron menyebabkan kekuatan dalaman kembali tinggi, penuh bersemangat untuk melakukan ibadat, tidak ada sifat putus asa, mahu terus hidup, penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah.
  6. Gelombang radio tidak boleh mengesan kedudukan Kaabah.
  7. Malah teknologi satelit pun tidak boleh meneropong apa yang ada di dalam Kaabah. Frekuensi radio tidak mungkin dapat membaca apa-apa yang ada di dalam Kaabah kerana tekanan graviti yang tinggi.
  8. Tempat yang paling tinggi tekanan gravitinya, mempunyai kandungan garam dan aliran anak sungai di bawah tanah yang banyak. Sebab itu lah jika bersembahyang di Masjidilharam walaupun di tempat yang terbuka tanpa bumbung masih terasa sejuk.
  9. Kaabah bukan sekadar bangunan hitam empat persegi tetapi satu tempat yang ajaib kerana di situ pemusatan tenaga, graviti, zon magnetisme sifar dan tempat yang paling dirahmati.
  10. Tidur dengan posisi menghadap Kaabah secara automatik otak tengah akan terangsang sangat aktif hingga tulang belakang dan menghasilkan sel darah.
  11. Pergerakan mengelilingi Kaabah arah lawan jam memberikan tenaga hayat secara semula jadi daripada alam semesta. semua yang ada di alam ini bergerak mengikut lawan jam, Allah telah tentukan hukumnya begitu.
  12. Peredaran darah atau apa saja di dalam tubuh manusia mengikut lawan jam. Justeru dengan mengelilingi Ka abah mengikut lawan jam, bermakna peredaran darah di dalam badan meningkat dan sudah tentunya akan menambahkan tenaga. Sebab itulah orang yang berada di Mekah sentiasa bertenaga, sihat dan panjang umur.
  13. Manakala bilangan tujuh itu adalah simbolik kepada tidak terhingga banyaknya. Angka tujuh itu membawa maksud tidak terhad atau terlalu banyak. Dengan melakukan tujuh kali pusingan sebenarnya kita mendapat ibadat yang tidak terhad jumlahnya.
  14. Larangan memakai topi, songkok atau menutup kepala kerana rambut dan bulu roma(lelaki) adalah ibarat antena untuk menerima gelombang yang baik yang dipancarkan terus dari Kaabah. Sebab itu lah selepas melakukan haji kita seperti dilahirkan semula sebagai manusia baru kerana segala yang buruk telah ditarik keluar dan digantikan dengan nur atau cahaya yang baru.
  15. Selepas selesai semua itu baru lah bercukur atau tahalul. Tujuannya untuk melepaskan diri daripada pantang larang dalam ihram. Namun rahsia di sebaliknya adalah untuk membersihkan antena atau reseptor kita dari segala kekotoran supaya hanya gelombang yang baik saja akan diterima oleh tubuh.

Sesungguhnya hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Jumaat, November 11, 2011

BANGGA AKU APABILA MURID-MURIDKU MEMAKAI JUBAH GRADUAN

Pagi tadi murid-murid Tingkatan 5 sekolah aku begitu bergaya apabila mereka memakai jubah graduan.  Sejak pagi-pagi lagi diaorang bersama ibubapa masing-masing telah bersiap sedia dengan jubah masing-masing menanti ketibaan Pegawai Pelajaran Daerah Pontian. Sebenarnya diaorang menghadiri Majlis Graduasi Tingkatan 5 2011 bertempat di Dewan A, SMK Telok Kerang. Majlis ini khusus diadakan untuk pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang akan menamatkan alam persekolahan setelah menimba ilmu selama 5 tahun belajar di sekolah ini.

Majlis yang dirasmikan oleh En. Abdul Rahim Bin Lamin, Pegawai Pelajaran Daerah Pontian, nampak meriah apabila pelajar-pelajar yang memakai pakaian graduan serba biru itu sentiasa tenang dan tersenyum riang. Namun ada di antara diaorang yang kelihatan sebak menahan sedih nak berpisah dengan guru-guru dan seterusnya akan meninggalkan sekolah ini selepas tamat peperiksaan SPM nanti.

Selepas menyampaikan ucap utama, En. Abdul Rahim Bin Lamin menyampaikan sijil-sijil kepada semua pelajar. Diantara sijil-sijil tersebut ialah sijil pelajar terbaik dalam peperiksaan percubaan SPM, sijil pencapaian terbaik setiap subjek, sijil penghargaan dalam kegiatan kokurikulum, sijil sahsiah terbaik, dan lain-lain. Irama daripada muzik tradisional gamelan yang dimainkan oleh pelajar-pelajar Tingkatan 2 mengiringi sepanjang upacara penyampaian sijil-sijil tersebut berjalan.

Selaian daripada guru-guru, ibu dan bapa pelajar-pelajar turut hadir untuk meraikan anak-anak mereka buat kali terakhir di SMKTK sebelum menghadapi peperiksaan SPM pada minggu hadapan. Zaman di alam persekolahan menengah bagi anak-anak ini akan berakhir tak lama lagi. Selepas tamat menghadapi peperiksaan SPM nanti, tentunya pelajar-pelajar tersebut bertaburan mengikut haluan masing-masing. Mereka akan datang lagi ke sekolah apabila nak ambil slip keputusan SPM pada Mac 2012 dan juga membereskan urusan kemasukan ke pusat-pusat pengajian lanjutan. Aku harap diaorang semua berjaya dengan cemerlang.

Semoga dengan pakaian jubah graduan yang melekat di tubuh diaorang itu, akan menjadikan pelajar-pelajar ini bersemangat untuk menghadapi peperiksaan SPM dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading atau ke institusi pengajian yang lain. Itulah harapan aku kepada diaorang. Bukan aku sahaja, aku rasa ibubapa diaorang dan semua warga SMKTK juga mempunyai harapan yang sama terhadap diaorang.

Aku bangga dengan diaorang lebih-lebih lagi apabila diaorang disarungkan dengan jubah graduan. Semoga kalian berjaya anak-anak muridku.