Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Sabtu, Februari 26, 2011

ISTERIKU SEORANG PENGETUA: AKU BERUSAHA MENJADI PENDENGAR YANG BAIK

Petang tadi selepas balik dari sekolah, isteriku duduk melepaskan kelelahan di kerusi malas. Namun begitu bukannya dia diam atau pun mengelamun. Bermulalah set induksi sebelum memperkatakan sesuatu yang lebih menjurus kepada isu yang terjadi atau yang berlaku di sekolahnya.

Seperti biasa aku hanya mendengar. Sama ada berpura-pura atau beriya-iya mendengar, aku tak pasti. Yang pasti mata aku tetap memandangnya dan cuping telingaku kembang ke arahnya. Sesekali aku menyampuk  untuk menambah perisa tentang apa yang diperkatakannya.

Kadang-kadang aku kasihan dengannya. Makin tinggi jawatan makin kurang kawannya. Sebelum ini semasa menjadi guru biasa, dia ramai kawan. Bersembang sakan dimana-mana apabila bertemu rakan-rakan. Ada saja perkara yang diperbualkan. Tetapi kini dia rasa sunyi. Guru-guru di bawahnya bercakap seolah-olah hanya menunggu dan menerima arahan kerja. Bersembang lebih memang tak ada walaupun dia cuba untuk memancing ke arah perbualan biasa yang lebih santai. Nasib dia....

Maka apabila di rumah dia akan bercakap dan bersembang sakan denganku. Seolah-olah melepaskan gian bercakap. Kebanyakan yang dibualkan atau yang dicakapkan lebih mengenai hal-hal sekolahnya. Tentang guru-gurunya, tentang pegawai-pegawai PPD, tentang pegawai-pegawai di JPN dan bermacam-macam cerita lagi. Sampai aku tak berpeluang nak bercakap hal sekolahku. Tak apalah.... layan tetap layan.... ambil hati....

Sebagai suami, aku cuba memberi perhatian terhadap apa yang diperbualkannya agar dia seronok bercakap dan terus bermotivasi untuk bercakap lagi dan merasakan dirinya dihargai bukan oleh orang lain tetapi oleg suaminya sendiri.

Pada ketika ini, 'diam tu lebih baik' kadang-kadang tak boleh dipakai. Sesekali respon dari saya akan menambahkan lagi buat isteriku untuk terus bercerita. Sebenarnya sikap mendiamkan diri kena pada masa tertentu namun tidak sesuai pada ketika yang lain. Sebaik-baiknya aku rasa biarlah dia bercerita lebih dan aku menjadi pendengar yang baik. Hanya sesekali mencelah agar suasana menjadi lebih memberangsangkan.

Aku berusaha menjadi pendengar yang baik walaupun kekadang tu... aku juga berasa bosan....hehehehe....

Khamis, Februari 24, 2011

4 NKRA PENDIDIKAN LEPASI SASARAN

Utusan Malaysia 21 Februari 2011

PUTRAJAYA 20 Feb. – Inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) program Transformasi Kerajaan (GTP) berjaya meningkatkan taraf pendidikan dan prestasi pencapaian pelajar-pelajar sekolah kebangsaan tahun lalu dan dijangka bertambah baik tahun ini. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, ia dibuktikan melalui pencapaian cemerlang empat NKRA yang melepasi sasaran asal iaitu prestasi prasekolah, literasi dan numerasi serta Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) termasuk Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP).

Katanya, aspirasi NKRA Pendidikan memberi penekanan kepada meningkatkan pencapaian pelajar secara holistik dari segi intelektual, emosi, rohani dan jasmani.

‘‘Peningkatan pencapaian pelajar pada semua peringkat pendidikan amat penting untuk membangunkan modal insan yang cemerlang bagi menghasilkan tenaga kerja mahir supaya Malaysia menjadi negarar berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020,’’ katanya.

Selain itu, aspirasi NKRA Pendidikan juga adalah untuk memastikan pendidikan berkualiti dan berkemampuan dapat dikecapi oleh semua pihak bagi menambahbaik dan meningkatkan taraf penduduk Malaysia secara menyeluruh.

‘‘Dalam NKRA Pendidikan, dua fokus utama telah dijadikan asas kepada transformasi yang dilaksanakan iaitu memastikan semua kanak-kanak mendapat permulaan pendidikan berkualiti serta membangunkan budaya pencapaian untuk memacu transformasi dalam sistem pendidikan. Aspirasi NKRA memberi penekanan kepada pencapaian pelajar secara holistik dari segi intelektual, emosi, rohani dan jasmani sekali gus membangunkan modal insan cemerlang bagi mencapai hasrat menuju negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dapat dicapai,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, di samping empat sub-bidang NKRA (lihat carta), bidang-bidang utama lain juga akan ditambah baik untuk memastikan kelangsungan transformasi serta menghasilkan outcome seperti dihasratkan. Antara perkara yang diberi penekanan dan keutamaan termasuk profesioan keguruan lebih menarik serta membangunkan guru-guru yang cemerlang.

Hasil satu kajian syarikat perunding antararbangsa ke atas sistem pencicikan dinegara-negara maju membuktikan bahawa kualiti guru merupakan pemangkin utama dalam memastikan kecemerlangan sistem pendidikan sesebuah negara. Pada masa yang sama, Kementerian Pelajaran juga sedang melaksanakan transformasi kurikulum bagi memastikan modal insan yang dihasilkan memenuhi permintaan dan keperluan bagi mencapai taraf negara maju. Transformasi kurikulum juga memberi penekanan kepada aspek penguasaaan bahasa khususnya Bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris tanpa meminggirkan bahasa ibunda murid.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr. Zahri Aziz berkata, pencapaian prasekolah telah melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu 72.42 peratus berbanding 72 peratus dengan bilangan prasekolah sebanyak 1,500.

‘‘Sebanyak 315 buah prasekolah di bawah Kementerian Pelajaran telah beroperasi mulai Januari tahun lalu dan tambahan sembilan kelas dibina di Sarawak dan pusat komuniti di Sabah yang mula beroperasi mulai pertengahan Jun 2010. Selain itu, 50 prasekolah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan 500 prasekolah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) telah mula beroperasi. Ini termasuk prasekolah swasta yang telah berjaya dibuka melebihi unjuran daripada 488 kepada 625 sekali gus menyaksikan 701,144 kanak-kanak berusia empat dan lima tahun ke atas di seluruh negara telah menyertai prasekolah,” katanya.

Pada masa sama, Zahri berkata, seramai 24,179 murid prasekolah swasta daripada keluarga berpendapatan RM2,300 ke bawah layak menerima bantuan yuran sebanyak RM150 sebulan membabitkan peruntukan sebanyak RM10.8 juta.

‘‘Pemberian bantuan yuran adalah untuk menggalakkan semua kanak-kanak yang tinggal di kawasan tiada prasekolah awam, mengikuti pendidikan prasekolah swasta. Bantuan makan untuk kanak-kanak prasekolah awam pula telah diselaraskan dan dinaikkan kepada RM1.80 di Semenanjung dan RM2.05 di Sabah dan Sarawak melibatkan peruntukan sebanyak RM4.9 juta,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 3,439 guru prasekolah awam dan swasta telah mendapat latihan daripada 11 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) manakala 3,561 lagi dilatih oleh Institut Pendidikan Guru (IPG).

‘‘Pada tahun ini sebanyak 715 prasekolah kementerian, 1,000 (Kemas), 50 (JPNIN) dan 1,000 (swasta) dijangka beroperasi,’’ katanya.

Bagi pencapaian Literasi dan Numerasi (Linus), Zahri memberitahu, peratus murid yang menguasai literasi meningkat kepada 85 peratus berbanding 64 peratus manakala kadar numerasi meningkat kepada 91 peratus berbanding 73 peratus pada saringan kedua dan ketiga.

‘‘Walaupun tidak mencapai sasaran 90 peratus, pencapaian setakat ini merupakan satu indikator kepada sasaran untuk 2012 nanti,’’ katanya.

Sementara itu, sejak 20 sekolah SBT dipilih berdasarkan kecemerlangan akademik, kokurikulum dan pembentukan sahsiah pelajar, banyak kejayaan dirangkul sekolah terbabit di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya tiga orang pelajar Kolej Tunku Kurshiah muncul sebagai Naib Johan Intel ISEF dalam kategori Special Award di San Jose, Amerika Syarikat dengan projek bertajuk Natural Oil Boom.

Seorang pelajar SMK Aminuddin Baki pula memenangi pelbagai pertandingan renang peringkat antarabangsa iaitu dua pingat perak dalam 2nd ASEAN School Games, satu emas dan satu perak dalam SEA Age Group , satu emas, dua perak dan satu gangsa dalam Malaysian Open serta mewakili negara dalam 51st Japan Open Swimming Championship, Sukan Komanwel dan Sukan Asia. SK Bandar Baru Uda 2 pula memenangi dua pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa dalam Mathematics Olympiad.

‘‘Pada masa sama, SBT sedia ada akan dipantau bagi memastikan petunjuk prestasi utama (KPI) dan sasaran yang ditetapkan tercapai,’’ katanya.

Sementara itu, katanya, guru besar atau pengetua yang layak menerima ganjaran menerusi tawaran baru berdasarkan Bai‘ah, mereka perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan seperti Laporan Nilaian Prestasi Tahunan yang cemerlang, bebas daripada sebarang tindakan tata tertib serta tiada audit bersyarat.

‘‘Kriteria bagi sekolah rendah pula mempunyai syarat tambahan iaitu mencapai sasaran Linus yang ditetapkan. Menerusi program SIP yang diperkenalkan bagi membantu sekolah-sekolah berprestasi rendah, ia ternyata berkesan apabila dinilai menerusi pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),’’ katanya.

Berdasarkan perbandingan pencapaian UPSR tahun 2009 dan 2010, didapati sekolah-sekolah berprestasi rendah telah berjaya menunjukkan pencapaian yang baik.  Sebanyak 140 daripada 209 sekolah rendah telah menunjukkan penambahbaikkan dalam pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS).

Selasa, Februari 22, 2011

KEMEROSOTAN KEPUTUSAN STPM 2010 AKAN DIKAJI

Utusan Malaysia 23 Februari 2011

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kementerian Pelajaran akan mengkaji punca kemerosotan peratusan lulus penuh Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 di seluruh negara yang diumumkan semalam.  Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kementerian akan menyediakan analisis bagi mengenal pasti punca penurunan peratusan lulus penuh itu sebelum tindakan seterusnya diambil. Selain itu, kata beliau, tindakan menempatkan guru berpengalaman dan berkualiti di luar bandar tidak semestinya langkah tepat untuk merapatkan jurang prestasi antara calon bandar dan luar bandar.

"Kebanyakan sekolah di luar bandar mahupun di kawasan pedalaman mempunyai guru yang berpengalaman mengajar lebih daripada lima tahun dan bukanlah hanya dipenuhi dengan guru baru lepasan maktab sahaja. Masih banyak perkara yang perlu dikaji sebelum mengambil tindakan bagi memastikan ia benar-benar berkesan dan memastikan keputusan lulus penuh dapat ditingkatkan semula," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seramai 50,576 calon menduduki STPM tahun lalu dan hanya 46,780 atau 92.49 peratus calon lulus penuh bagi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran. Peratusan calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran juga menunjukkan penurunan iaitu dari 47.72 peratus atau 25,001 calon yang dicatatkan pada 2009 berbanding 46.41 peratus (23,473 calon) tahun lalu. Selain itu, 11 lagi mata pelajaran turut menunjukkan penurunan prestasi iaitu Bahasa Malaysia, Pengajian Am, Seni Visual, Perakaunan, Kesusasteraan Melayu, Kesusasteraan Inggeris, Geografi, Biologi, Ekonomi, Matematik S dan Bahasa Arab.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, kajian tersebut perlu dilakukan secara menyeluruh meskipun terdapat sesetengah pihak beranggapan ia tidak serius.  Katanya, jika perkara tersebut tidak ditangani segera, dibimbangi pelajar lepasan STPM tidak mampu bersaing dengan penuntut program matrikulasi mahupun diploma. Tegasnya, lebih serius peratus lulus bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia turut menunjukkan penurunan pada tahun lalu.

"Penurunan tersebut perlu dikaji dengan teliti bagi mengenal pasti sama ada pendekatan memartabatkan bahasa kebangsaan itu masih rendah dan tidak menonjol. Kesan pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik juga perlu dikaji sama ada turut menjadi punca penurunan bagi mata pelajaran tersebut," katanya.

Jelas Mohamad Ali, kementerian perlu mengesan penurunan keputusan STPM 2010 dan mencari langkah terbaik mengatasinya yang juga merangkumi langkah jangka pendek, pertengahan dan panjang.

Sabtu, Februari 19, 2011

INDIVIDU TERKAYA DI MALAYSIA

Robert Kuok kekal sebagai individu terkaya di Malaysia dengan memiliki kekayaan sebanyak RM50.04 bilion, demikian menurut tinjauan terbaharu majalah Malaysian Business di sini.

Taikun telekomunikasi, T. Ananda Krishnan pula berada dalam kedudukan semakin selesa apabila berjaya merapatkan jurang kekayaan yang dimiliki bernilai RM45.78 bilion. Nilai kekayaan Ananda meningkat hampir 70 peratus berikutan pertambahan nilai Maxis dan tindakannya menjadi tiga syarikatnya sebagai syarikat milik persendirian.

Pengerusi Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow pula berada pada kedudukan ketiga sebagai individu terkaya negara dengan kekayaan RM12.77 bilion diikuti Tan Sri Lee Shin Chen, Pengerusi Eksekutif IOI Corporation Bhd. dengan mengumpul kekayaan sebanyak RM12.74 bilion.

Pengerusi Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay kekal ditempat kelima dengan nilai harta RM10.89 bilion dan tempat keenam, Pengerusi Kumpulan Hong Leong, Tan Sri Quek Leng Chan, meningkat daripada kedudukan ketujuh dengan kekayaan RM7.09 bilion.

Satu-satunya individu Bumiputera, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary pula berada kedudukan ketujuh dengan nilai kekayaan RM8.84 bilion, peningkatan hampir 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Balu Tan Sri Lim Goh Tong, Puan Sri Lee Kim Hua pula berada di kedudukan kelapan dengan anggaran kekayaannya RM7.43 bilion.

Tan Sri Tiong Hiew King, Pengerusi Rimbunan Hijau pula ditempat kesembilan dengan memiliki kekayaan sebanyak RM4.77 bilion dan hartawan Singapura, Ong Beng Seng didakwa berada pada kedudukan ke-10 dengan nilai aset RM3.98 bilion. Beng Seng merampas kedudukan Pengerusi Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent apabila kekayaannya menyusut menyebabkan ia hanya sekadar berada di tempat ke-12.

Sementara itu, senarai individu-individu terkaya menerima tiga nama baru dengan kemasukan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum dan Pengerusi Eksekutif Supermax Corporation Bhd. , Datuk Seri Stanley Thai serta Naib Pengerusi Eksekutif Tan Chong Holdings Bhd., Datuk Tan Heng Chew.

Menurut Malaysian Business, jumlah kekayaan 40 individu terkaya di Malaysia meningkat lebih daripada 30 peratus didorong oleh peningkatan pasaran saham dan peluasan ekonomi.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, kekayaan 40 individu itu berdasarkan nilai pegangan saham dalam syarikat-syarikat tersenarai sehingga 21 Januari lalu. Jumlah kekayaan kesemua individu itu sekarang bernilai RM206.27 bilion sehingga 21 Januari 2011 berbanding RM156.7 bilion tempoh yang sama tahun lalu. Keseluruhan pertambahan itu adalah seiring dengan kenaikan 20 peratus FBM KLCI sejak tinjauan terakhir. Tambahnya, tahun ini menyaksikan bilangan individu terkaya lebih banyak iaitu sebanyak 27 orang, bertambah lima daripada 2010.