Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Jumaat, Januari 29, 2010

JOHOR SASAR LEBIH BANYAK SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI

JOHOR BAHRU 27 Jan. - Jabatan Pelajaran Negeri Johor merancang untuk mewujudkan lebih banyak sekolah di negeri ini mendapat status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di masa hadapan. Pengarah JPN Johor, Sufaat Tumin berkata, sasaran itu boleh dicapai melalui Perancangan Strategik Tiga Tahun yang diperkenalkan jabatannya sejak tahun lalu.

"Dalam tempoh tiga tahun kita menyasarkan 20 peratus sekolah yang kita calonkan untuk SBT akan mendapat status tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah kebangsaan Bandar Baru UDA 2 yang tersenarai antara 20 SBT di seluruh negara di sini hari ini. Katanya pelan itu mula membuahkan hasil apabila dua daripada 10 buah sekolah di negeri ini yang dicalonkan sebagai SBT telah menerima status tersebut. Selain SKBU2, sebuah lagi sekolah yang mendapat status SBT dari Johor ialah Sekolah Tun fatimah (STF).

Sufaat berkata, bagi mewujudkan lebih banyak SBT di negeri itu, pihaknya menekankan agar sekolah-sekolah mempunyai visi untuk menjadi sekolah yang unggul melalui pembangunan pendidikan berkualiti. Sehubungan dengan itu, pihaknya akan berusaha meningkatkan kualiti kepimpinan pengetua dan guru besar yang lebih berwibawa disamping menggalakkan budaya innovasi di kalangan guru.

"Turut ditekankan ialah kemudahan sekolah yang berkualiti disamping mempunyai sistem pengurusan yang cekap dan berkesan untuk melahirkan pelajar yang berkualiti," katanya.

TUNKU ISMAIL IDRIS DIMASYHUR SEBAGAI TMJ

Raja Muda Johor, Tunku Ismail Idris (gambar) semalam dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang baru bagi menggantikan ayahandanya Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor. Pemasyhuran berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895 itu diisytiharkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim di Istana Besar di sini pada pukul 3.20 petang.
"Setelah diisytiharkan sebagai Sultan, saya berhak dan bertanggungjawab mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Johor memilih dan melantik seorang waris bergelar Tunku Mahkota Johor. Bahawasanya, bagi menjalankan tugas di bawah perenggan 1, fasal 7, bahagian pertama Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895, saya, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor mengikut nasihat Jumaah Diraja dengan ini memilih dan melantik anakanda Duli Yang Maha Mulia Tunku Ismail menjadi waris takhta kerajaan Johor dan digelar Tunku Mahkota Johor," isytihar baginda.

Sejurus perisytiharan itu, Tunku Ismail menjunjung kasih ke atas ayahanda baginda atas limpah perkenan dilantik sebagai waris takhta Johor.

Khamis, Januari 28, 2010

KEMENTERIAN PELAJARAN TERIMA BANTUAN TAMBAHAN RM700J

CEBU 27 Jan. - Kementerian Pelajaran dijangka menerima bantuan tambahan sebanyak kira-kira RM700 juta bagi membolehkan bantuan untuk pendidikan yang dikurangkan pada Bajet 2010 lalu, diteruskan semula. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah itu adalah perkiraan kasar yang dibuat kementerian beliau selepas Kabinet hari ini bersetuju meluluskan usul menimbangkan semula pemberian bantuan itu. Beliau pada mesyuarat Kabinet itu diwakili oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menjalankan tugas sebagai Menteri Pelajaran.

"Kita akan berunding dengan Kementerian Kewangan berapa bantuan yang disediakan semula itu supaya mana-mana bantuan yang terpaksa kita kurangkan sebelum ini boleh dilaksanakan seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tamat salah satu sesi perbincangan yang dihadiri beliau di sini, sempena Persidangan Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEC) Ke-45.

Pada pembentangan Bajet 2010 lalu, kerajaan terpaksa mengurangkan bantuan tahunan bagi sekolah-sekolah berbanding tahun sebelum ini kerana defisit yang didepani negara. Pengurangan bantuan itu mencakupi enam perkara iaitu skim bantuan tuisyen, bantuan pakaian sekolah beruniform, bantuan makanan asrama dan rancangan makanan tambahan. Turut dikurangkan ialah bantuan elaun murid berkeperluan khas dan sukan serta kokurikulum.

Menurut Muhyiddin, keputusan memberikan semula bantuan bagi pendidikan itu menunjukkan kerajaan sangat prihatin dengan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa dan pelajar.
Dalam masa yang sama, beliau melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan kerana memberi perhatian sewajarnya kepada perkara tersebut.

"Harapan saya isu bantuan kepada pendidikan selepas ini tdak lagi berbangkit di kalangan ibu bapa dan para pelajar pula tidak menjadikannya alasan untuk meneruskan pembelajaran dengan sempurna," katanya.


Isnin, Januari 25, 2010

20 SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI (SBT) ANGKAT KUALITI SEKOLAH TERBAIK KE TARAF DUNIA

PUTRAJAYA 25 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dalam usaha mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik ke taraf dunia. Sekolah tersebut melibatkan 10 buah sekolah berasrama penuh, empat sekolah harian biasa dan enam sekolah kebangsaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sekolah yang memenuhi kriteria SBT diberikan kuasa autonomi tambahan untuk mewujudkan inovasi pentadbiran sekolah dan meningkatkan keberhasilan murid.

“Antara lainnya membenarkan pelajar menamatkan persekolahan setahun lebih awal melalui kaedah lompat kelas,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Berikut senarai 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, dalam usaha mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik ke taraf dunia.

1. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor.
2. Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor.
3. Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan.
4. Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak.
5. Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor.
6. SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.
7. Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah.
8. Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan.
9. Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang.
10. SMK Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah.
11. SMK (P) St. George, Pulau Pinang.
12. Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra, Perlis.
13. Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya.
14. SMS Muzaffar Syah, Melaka.
15. Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur.
16. SK Zainab (2), Kota Bharu, Kelantan.
17. SK Taman Tun Dr. Ismail 1, Kuala Lumpur.
18. SK Convent Kota, Taiping, Perak.
19. SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
20. SK Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru, Johor.


Ahad, Januari 24, 2010

TUNKU IBRAHIM ISMAIL DIMASYHUR SEBAGAI SULTAN JOHOR KE-5

Pemangku Raja Johor, Tunku Ibrahim Ismail, 52, dimashyurkan sebagai Sultan Johor yang kelima hari ini. Istiadat pemashyuran baginda diadakan di tangga Istana Besar, di sini pukul 1.08 petang. Watikah pemasyhuran Sultan Ibrahim Ismail dibacakan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
Menurut Abdul Ghani, Sultan Ibrahim telah menandatangani watikah pemashyuran sebagai Sultan Johor di hadapan Jumaah Majlis Diraja Johor dan kaum kerabat Diraja Johor di Bilik Singahsana, Istana Besar, Johor Bahru.

‘‘Ketahuilah olehmu sekalian rakyat negeri kita daripada bangsa keturunan Melayu dan lain-lain keturunan dan ketahuilah juga olehmu sekalian yang berkenaan dengan negeri dan jajahan tanah air kita bahawa mengikut Fasal 8 Bagi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor tahun 1895 kita. Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj telah menaiki tahta kerajaan. Dan telah mengangkat sumpah di dalam Bilik Singgahsana di Istana Besar Johor Bahru pada pukul 10.15 pagi pada 7 Safar 1431 bersamaan dengan 23 Januari 2010 di hadapan jumaah pangkuan negeri menjadi Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dalam jajahan Johor dan segala daerah takluknya bagi menggantikan Seri Paduka ayahanda kita, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail bertarikh di Istana Besar Johor Bahru pada 23 Januari 2010 dengan titah perintah Datuk Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor,” katanya Abdul Ghani.

Pemashyuran itu dilangsungkan sebelum jenazah ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar dibawa ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini untuk istiadat pemakaman. Sebaik sahaja selesai pembacaan watikah itu, Penasihat Majlis Agama Islam, Datuk Nooh Gadut membacakan doa kira-kira pukul 1.12 petang.Selesai bacaan doa, kedengaran laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali dilafazkan oleh rakyat dan para hadirin.

Ia diikuti dengan Majlis Perangkatan jenazah Almarhum Sultan Ibrahim dari Dewan Istana Besar menggunakan sebuah pedati dengan ditarik oleh Pasukan Istiadat dan Pegawai Badan Istiadat istana menuju ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah yang terletak kira-kira tiga kilometer. Pedati yang membawa jenazah Almarhum itu turut dinaiki oleh Tunku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Idris Sultan Iskandar dan Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

Sultan Ibrahim Ismail bersama kaum kerabat lain berjalan kaki mengiring jenazah ke makam berkenaan sambil diiringi dengan tembakan meriam sebanyak 77 das, bersamaan dengan usia Almarhum. Selain itu, kerabat-kerabat diraja dari negeri lain dan tetamu kehormat turut menuju ke Makam Diraja berkenaan.

Hampir kesemua raja dan sultan di negara ini serta kaum kerabat mereka hadir pada majlis berkenaan yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri masing-masing.

SULTAN JOHOR, SULTAN ISKANDAR IBNI ALMARHUM SULTAN ISMAIL MANGKAT

Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail disahkan mangkat hari ini. Baginda disahkan mangkat pukul 7.15 malam semasa dirawat di Hospital Pakar Puteri. Kemangkatan baginda diumumkan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pukul 11.20 malam ini.
Pemasyhuran Sultan Johor yang baru akan dilaksanakan di Istana Besar Johor sebelum upacara pemakaman jenazah Almarhum Sultan Iskandar Ismail Ibni Sultan Ismail di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah kira-kira pukul 2 petang, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman mengumumkannya.

Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail yang mangkat hari ini pada usia 77 tahun, adalah seorang raja yang tegas tetapi adil dan sentiasa mahukan yang terbaik bagi rakyat, menjadikan negeri Johor sebagai antara negeri termaju di negara ini. Baginda yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981, mangkat pada 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri selepas dimasukkan ke hospital itu hari ini kerana gering.

Baginda meninggalkan Sultanah Johor, Sultanah Zanariah serta dua putera dan lapan puteri iaitu Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail, Tunku Puteri Johor Tunku Hajah Kamariah, Tunku Besar Tunku Zabedah Aminah, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah, Tunku Hajah Mariam Zahrah, Tunku Norani, Tunku Maimunah Ismailiah, Tunku Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Idris Ismail, Paduka Puteri Tunku Muna Najiah dan Tunku Aminah Kalsom Masera Marian Zahirah.

Sabtu, Januari 23, 2010

PASUKAN KADET POLIS MENGENDALIKAN PERHIMPUNAN PAGI ISNIN 18 JANUARI 2010

Pada pagi Isnin 18 Januari 2010 perhimpunan rasmi sekolah dikendalikan oleh Pasukan Kadet Polis SMK Telok Kerang. Seramai 19 ahli Pasukan Kadet Polis bertugas mengendalikan perhimpunan itu yang diketuai oleh Sarjan Norsaufi Bin Khamisan.

Cikgu Hasan Kasmuri dalam ucapannya menegaskan bahawa perhimpunan pagi Isnin adalah perhimpunan rasmi sekolah. Oleh itu pasukan beruniform yang mengendalikan perhimpunan hendaklah berpakaian uniform penuh dan mengikut protokol yang ditetapkan.

Di antara ingatan-ingatan dan amanat Tuan Pengetua dalam ucapannya ialah:

  • Pakai topi keledar jika naik motosikal.
  • Jangan datang lewat ke sekolah.
  • Jangan bawa makanan dan makan waktu belajar dalam kelas.
  • Apabila keluar kelas mesti ada pas keluar kelas.
  • Semasa pergi ke bilik air - pelajar perempuan berdua dan pelajar lelaki seorang.
  • Gerak gempur disiplin.
  • Foto pelajar bermasalah disiplin akan dipamerkan.
  • Merentas desa dan sukantara - akan diambil tindakan kepada pelajar yang tidak hadir.




SEKOLAH PERLU JADI TEMPAT SELAMAT GURU LAKSANA TANGGUNGJAWAB

Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

CUKUP menyedihkan apabila dalam tempoh dua minggu, kita disajikan dua berita memalukan, membabitkan guru ditampar pelajar dan ibu pelajar. Kejadian pertama berlaku di Nibong Tebal apabila seorang pelajar berusia 16 tahun menampar pipi gurunya yang berusia 28 tahun. Insiden dilaporkan berpunca daripada tindakan pelajar terbabit bersama dua rakannya memasuki kelas yang sedang diajar guru berkenaan tanpa menghormati guru berkenaan lantas membuat bising sebelum diarahkan keluar. Guru terbabit menampar seorang daripada mereka yang tidak mengendahkan arahan berkenaan dan akibatnya seorang lagi daripada pelajar terbabit menampar guru itu pula. Lebih menakutkan, seorang daripada pelajar terbabit bertindak ganas membaling kerusi ke arah guru berkenaan.

Terbaru, dilaporkan seorang guru lelaki yang berusia 28 tahun ditampar ibu seorang pelajar yang dikatakan marah dan tidak berpuas hati dengan tindakannya menampar anaknya di sebuah sekolah di Perlis. Kejadian ini juga dilaporkan berpunca daripada masalah disiplin pelajar berkenaan. Walaupun pihak sekolah cuba menjernihkan keadaan dengan mendamaikan kedua-dua pihak, wanita berkenaan yang masih tidak puas hati, menampar guru berkenaan di depan Pengetua dan guru lain. Ini dua kes yang menjadi pembuka bicara isu disiplin pelajar sekolah bagi 2010.

Di kala kita masih sedih dengan nasib malang yang menimpa enam pelajar dalam tragedi perahu naga karam, kita dikejutkan dengan pelbagai lagi masalah pelajar, guru dan sekolah. Masih segar dalam ingatan mengenai nasib malang yang menimpa seorang lagi guru wanita pada Oktober 2008 di sebuah sekolah di Perlis apabila gara-gara tidak berpuas hati dengan tugasan diberikan, dua pelajar perempuan bertindak membelasah seorang guru wanita. Kejadian sebegini menimbulkan beberapa persoalan yang cukup merisaukan. Apakah pelajar begini yang kita harapkan akan menjadi penyambung warisan negara? Kenapa guru dijadikan mangsa keadaan?


Selama ini mungkin kita leka dengan isu kebajikan pelajar dan ibu bapa sehingga sekolah terlepas pandang masalah yang dialami guru dalam mendidik anak bangsa. Tidak dinafikan perubahan dan peredaran zaman membawa kepada perubahan minda dan akhlak anak-anak sekarang. Ternyata pelajar sekarang semakin sukar dilentur dan dibentuk. Mereka lebih tahu serba serbi dan cepat memberontak serta bertindak mengikut emosi. Akibatnya guru terpaksa melalui pelbagai dugaan. Ibu bapa pula nampaknya lebih mempercayai anak mereka berbanding guru. Ini menyebabkan sering mereka hilang pertimbangan apabila anak mereka diambil tindakan disiplin. Inilah antara cabaran dan dugaan yang terpaksa dihadapi guru dalam mendisiplinkan anak didik mereka.

Guru adalah insan yang bertanggungjawab mendidik dan memimpin masyarakat. Guru banyak menyumbangkan khidmat membangunkan bangsa dan negara, lebih-lebih lagi membentuk sahsiah pelajar. Di sekolah, guru adalah pendidik, penjaga dan juga selalunya bertindak sebagai ibu dan bapa kepada pelajar yang dihantar oleh ibu bapa setiap hari. Selama ini guru lebih banyak berdiam diri apabila dikritik ataupun dimarahi ibu bapa dan mungkin sudah tiba masanya mereka bangun mempertahankan hak. Pada masa sama, ibu bapa juga perlu lebih rasional sebelum bertindak. Jika keadaan begini berterusan, ia dikhuatiri menjejaskan semangat dan motivasi guru untuk mendidik.

Sekolah mestilah menjadi tempat selamat bukan saja untuk pelajar tetapi juga guru. Ibu bapa harus membiarkan guru menjalankan tanggungjawab mereka dengan selesa dan selamat tanpa tekanan. Berikanlah kebebasan kepada mereka untuk membimbing, mendidik dan membentuk anak-anak mengikut acuan dan ramuan yang betul. Tidak perlulah mereka terlalu mencampuri urusan guru dan pelajar di sekolah atau lebih malang lagi, terlalu menyebelahi anak masing-masing yang tanpa memastikan kesahihan sesuatu perkara.



Selasa, Januari 19, 2010

GRADUAN GURU TIADA KERJA, IPTA DIPERSALAH

Jan 15, 10 8:39am

Institut pengajian tinggi awam (IPTA) tidak sewajarnya menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah),memandangkan ia telah ditawarkan oleh Institusi Pendidikan Guru (IPG), kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.Beliau berkata, penawaran program berkenaan di IPTA menjadi salah satu punca masih ada guru lepasan ijazah yang menganggur tidak mempunyai tempat di sekolah-sekolah rendah.

"Graduan program berkenaan dari IPTA tak boleh mengajar di sekolah rendah sebab kita sudah ada lulusan dari IPG. Graduan IPTA sepatutnya mengajar di sekolah menengah, tapi bila ambil opsyen ini susah nak dapat tempat di sekolah rendah" katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan warga pendidik daerah Kubang Pasu, di SMK Megat Dewa, dekat Jitra semalam.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, katanya, penyelarasan perlu ada antara kementerian pelajaran Malaysia (KPM) dan IPTA bagi memastikan kursus atau program yang ditawarkan benar-benar mengikut unjuran yang telah ditetapkan. Mohd Puad berkata, lulusan IPG tidak mempunyai masalah penempatan kerana mereka telah dilatih untuk ditempatkan di sekolah-sekolah rendah, sebaliknya masalah hanya timbul apabila membabitkan guru lepasan IPTA.Katanya, sebagai kementerian yang bertanggungjawab, pihaknya akan cuba menyelesaikan masalah penempatan berkenaan demi masa depan graduan terbabit.

"Saya menerima satu senarai yang mengandungi nama 20 graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang memilih program berkenaan, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah]) dan ada di antara mereka masih menganggur walaupun sudah hampir setahun tamat belajar," katanya.

Sementara itu, mengenai isu pendaftaran sekolah bagi anak-anak warganegara asing, Mohd Puad berkata masih ramai ibu bapa tidak memahami serta keliru dengan peraturan yang telah ditetapkan KPM.Beliau menjelaskan, bagi warganegara Myanmar atau Rohingya yang mempunyai permit pekerjaan di negara ini, mereka boleh mendaftarkan anak mereka di sekolah kerajaan, tetapi mesti berpendapatan melebihi RM3,500 serta mempunyai dokumen yang sah dan dikenakan yuran sebanyak RM120 bagi sekolah rendah, manakala RM240 untuk sekolah menengah. Katanya, bagi pelarian atau pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNCHR) pula, mereka tidak boleh mendaftarkan anak mereka di sekolah kerajaan, manakala bagi rakyat asing yang berkahwin dengan warganegara ini, dokumen pengesahan daripada ketua kampung atau penghulu sudah mencukupi, tetapi masih perlu membayar jumlah yuran yang sama.- Bernama


Ahad, Januari 17, 2010

PEMBANGUNAN SEKOLAH WAJAR IKUT KEADAAN SEKITAR


Minda Pengarang: Pembangunan Skolah Wajar Ikut Keadaan Sekitar

IKRAR kerajaan untuk memberi kemudahan dan prasarana pendidikan setara kepada semua sekolah di negara ini diharap dapat melenyapkan sebarang keraguan yang mungkin timbul berhubung perkara itu. Jika sebelum ini ada pihak yang gusar beberapa inisiatif kerajaan dilihat seolah-olah menjurus ke arah diskriminasi, kini rasional di sebaliknya sudah diperjelaskan. Sebenarnya, hakikat bahawa semua sekolah diberikan layanan sama sudah lama terbukti. Inisiatif memberi status khusus seperti sekolah premier, sekolah bestari, sekolah berprestasi tinggi, sekolah terbaik atau sekolah kluster umpamanya bukan bermakna mereka mendapat layanan berbeza. Sebaliknya ia dibuat untuk memupuk budaya kecemerlangan dan prestasi tinggi supaya boleh dicontohi. Sekolah di negara ini mempunyai tahap pencapaian berbeza dan antara faktor utama mempengaruhinya ialah latar belakang sosioekonomi murid di sesuatu kawasan. Prestasi sekolah di bandar umumnya lebih baik berbanding pedalaman dan begitu juga kemudahan yang disediakan. Oleh itu, kerajaan perlu memberi piawaian berbeza bagi memastikan pihak yang terbabit dalam pengurusannya lebih kreatif untuk mencapai tahap diharapkan. Dalam pada itu, tiada siapa boleh menyangkal fakta bahawa tahap kemudahan yang disediakan juga tidak sama di semua sekolah dan itulah sebabnya usaha gigih sedang dilaksanakan untuk memperkasakan aspek prasarana sistem pendidikan, khususnya di luar bandar.

Satu lagi faktor yang dilihat seolah-olah menjurus kepada perbezaan tahap mutu pendidikan sekolah ialah mutu tenaga pengajarnya. Pelbagai langkah sudah diambil, tetapi sehingga ini kita masih terpaksa berdepan realiti bahawa tidak ramai daripada kelompok guru terbaik sanggup berkhidmat di pedalaman. Begitupun, kerajaan tidak bersikap apologetik terhadap perkara itu, malah sentiasa menyusun langkah memperbaikinya demi memastikan tidak berlaku diskriminasi. Ringkasnya, pelbagai usaha yang diambil untuk memperkasa agenda pendidikan negara, khususnya di luar bandar adalah bukti yang jelas terhadap komitmen ke arah itu. Saban tahun, peruntukan bagi pendidikan sentiasa mendahului sektor lain dalam bajet negara dan dari segi pecahan, sekolah luar bandar adalah penerima utamanya. Begitupun, ia harus dibuat secara seimbang, iaitu ketika sekolah pedalaman dilengkapkan, yang di bandar juga harus terus dipermodenkan. Adalah tidak adil untuk kerajaan hanya memberi kepada sekolah pedalaman dan mengabaikan terus sekolah di bandar kerana ia akan menjurus kepada diskriminasi. Apa yang penting ialah untuk semua pihak menghayati bahawa langkah meningkatkan mutu sistem pendidikan ialah proses yang dinamik dan berterusan. Ia tidak harus terhenti selepas sampai ke sesuatu tahap saja. Dalam konteks ini, pembangunan atau pemodenan sekolah perlu dilihat dari perspektif yang betul, iaitu berdasarkan kepada persekitarannya. Penambahbaikan yang dinikmati semua sekolah dari semasa ke semasa adalah bukti kerajaan tidak pernah mengamalkan diskriminasi.

Sabtu, Januari 16, 2010

PELAJAR RINDU PUJIAN GURU


Oleh ANUAR AHMAD

Penulis pernah ditanya oleh pelajar di dalam dewan kuliah, apakah asas penting di dalam membina hubungan guru dan pelajar di dalam sekolah atau bilik darjah dan bagaimanakah bentuk hubungan guru-pelajar yang seharusnya wujud di persekitaran sekolah dan bilik darjah. Jawapan penulis ialah tahap hubungan kasih sayang. Elemen ini adalah asas dan nyawa kepada hubungan guru-murid terutama di dalam pendidikan sekolah rendah. Di peringkat sekolah menengah dan pendidikan tinggi, selain kasih sayang antara guru dan pelajar, tumpuan adalah pembinaan tanggungjawab merupakan elemen penting sebagai asas hubungan antara guru dan pelajar.
Jadi bagaimana kasih sayang ini dilaksanakan? Jawapannya dengan sentiasa memberikan pujian-pujian yang ikhlas dan tepat kepada para pelajar. Tentu sahaja guru juga boleh menerima pujian daripada pelajarnya.

Maka ucapan 'terima kasih', 'tahniah', 'bagus', 'saya bangga' dan pujian seumpamanya patut diamalkan secara ikhlas dan berterusan di sekolah. Kajian pendidikan membuktikan bahawa pujian merupakan kaedah utama dan berkesan untuk membina hubungan kasih sayang di sekolah.
Bagaimana jika pelajar melakukan kesalahan atau kesilapan. Maka mereka seharusnya diberikan nasihat yang tepat dan jelas oleh para guru. Apa yang pasti, memukul sesuka hati bukanlah amalan pendidikan yang sesuai untuk pendidikan di peringkat sekolah rendah. Sedih rasanya melihat bagaimana ada guru yang sanggup menyakiti tubuh anak-anak kecil yang kononnya dikatakan nakal, tidak mematuhi arahan atau membuat bising di dalam bilik darjah.

Sebenarnya, atas apa jua alasan guru tersebut, hukuman tidak sekali-kali boleh dilaksanakan sehingga membawa kesakitan kepada pelajar. Amalan 'memukul' dengan tujuan menyakiti tubuh anak-anak kecil terutama di bahagian badan yang sensitif dan lemah tidak pernah dianjurkan oleh mana-mana agama dan kepercayaan.

Menyakiti pelajar seperti deraan adalah sesuatu yang keji dan tidak berperi-kemanusiaan. Biarlah apa pun kesalahan anak-anak di peringkat sekolah rendah, hukumannya sama sekali tidaklah boleh sampai kepada memukul, menumbuk atau menampar muka dan badan pelajar. Saintis terkenal, Albert Einstein pernah berkata bahawa makna kepada pendidikan ialah sesuatu yang masih diingati oleh seseorang apabila beliau sudah terlupa tentang semuanya tentang zaman persekolahannya dahulu.

Maka apa yang masih terus diamalkan atau digunakan sebagai panduan hidup itulah ilmu hasil didikan daripada bekas guru-gurunya. Selama belasan tahun di sekolah, biasanya lebih banyak yang dilupakan oleh seseorang dan sangat sedikit sahaja yang diingati. Penulis sendiri sudah tidak dapat mengingati banyak peristiwa semasa bersekolah dahulu secara jelas, tetapi masih dapat mengingati beberapa perkara baik semasa di sekolah dahulu.

Antara perkara yang tidak pernah dilupakan ialah pujian yang diberikan oleh beberapa orang guru kepada penulis. Pujian mereka bukan sahaja menyebabkan jasa dan nama mereka terus menjadi kenangan abadi penulis tetapi juga pujian ini banyak membina semangat dan keinginan penulis untuk cemerlang dalam pelajaran. Sebab itu penulis sangat tidak percaya bahawa pujian boleh merosakkan pelajar. Mitos ini masih wujud di kalangan ramai guru-guru yang mengajar. Pada mereka, pujian akan menyebabkan seseorang atau sekumpulan pelajar menjadi bongkak, lupa diri dan akhirnya akan merosakkan pembelajaran mereka.

Maka tindakan seperti ugutan, memarahi serta memberikan amaran dikatakan lebih berkesan untuk memastikan pelajar belajar serta berjaya di dalam pelajaran mereka. Mereka mungkin lupa bahawa pujian secara psikologinya jika dilakukan dengan cara dan gaya yang betul akan menjadi kaedah yang paling berkesan untuk mempengaruhi tindakan, pemikiran serta sikap pelajar.

Ramuan yang betul dalam memberikan pujian seperti pemilihan bahasa yang tepat, kesesuaian masanya dan dizahirkan dengan ikhlas dari hati guru akan membuatkan tingkah laku seseorang pelajar dapat ditingkatkan atau diperbaiki ke arah yang lebih positif.Kadang kala pujian juga boleh menjadi tidak berkesan walaupun dilakukan berulang kali oleh guru. Sebagai contoh, memuji pelajar selepas beberapa lama perbuatan positif dilakukan tidak akan mengembangkan tingkah laku positif pelajar.

Misalnya adalah sangat berkesan jika guru memberikan pujian selepas seseorang pelajar berjaya menjawab dengan betul berbanding memberikan pujian beberapa lama selepas pelajar memberikan jawapannya.

Di luar kelas, adalah sangat berkesan guru memberikan pujian sebaik sahaja pelajar melakukan perkara yang baik misalnya membuang sampah ke dalam tong sampah atau pelajar berbaris semasa membeli makanan di kantin sekolah berbanding memberikan pujian secara umum semasa perhimpunan lama selepas tingkah lalu tersebut di lakukan.

Pujian yang tidak berkesan juga boleh berlaku apabila guru memberikan pujian yang berbentuk umum atau generalisasi sahaja kepada pelajar. Pujian seperti 'awak baik', 'awak pandai' atau 'awak bersih', sebenarnya kurang memberikan kesan kepada pelajar. Pujian seharusnya berbentuk khusus atau spesifik. Misalnya "Cikgu bangga dengan pencapaian markah kamu dalam ujian kali ini".

Ada juga pujian yang boleh dilakukan dengan menulis sesuatu di dalam buku atau kertas jawapan pelajar yang dapat dibaca atau difahami oleh pelajar tersebut sebagai satu pujian yang khususnya ditujukan kepada kebolehan atau pencapaiannya sama ada yang bersifat akademik, atau kerana tingkah laku atau sikap yang baik. Malah lebih buruk lagi jika ramuannya tidak betul, pujian bukan sahaja boleh menjadi tidak berkesan tetapi boleh menyebabkan tingkah laku seseorang pelajar menjadi lebih buruk dari sebelumnya.

Misalnya apabila seseorang pelajar melakukan perkara yang baik dan diberikan pujian oleh guru tetapi dalam bentuk sindiran maka pujian seperti ini akan menyedihkan pelajar. Sebagai contoh apabila seorang guru berkata kepada pelajarnya "awak ini bukanlah pandai sangat tetapi mungkin nasib anda baik mendapat markah yang tinggi dalam ujian ini kali ini, tahniahlah untuk awak".

Pujian seperti sindiran juga boleh berlaku dalam bentuk perbandingan, Misalnya, "tahniah kerana awak berjaya mendapat markah yang baik tetapi nampaknya markah awak masih rendah berbanding kawan awak si X". Usaha lagi nanti". Atau ada juga pujian seperti," Markah anda dalam ujian kali ini baik. Jadi jangan lagi seperti ujian-ujian yang lalu. Saya mahu setiap kali ujian markah anda akan baik daripada hari ini".

Perkara ketiga ialah pujian yang melibatkan soal kuantiti dan juga kualiti. Pujian merupakan kuasa positif yang jika selalu digunakan secara berkesan akan meningkatkan pembangunan positif pelajar.

Oleh itu lebih banyak pujian sebenarnya adalah lebih baik. Bagaimanapun kuantiti pujian seharusnya dilengkapi dengan pujian yang berkualiti. Jadi di sekolah rendah kualiti pujian yang baik seharusnya di ikuti dengan pelukan guru kepada pelajar (tentunya guru perempuan sahaja yang sesuai melakukannya, pada guru lelaki bolehlah melakukan dengan memberikan senyuman menunjukkan rasa bangga).

Pujian yang baik ialah yang dilengkapi dengan sentuhan atau tingkah laku senyuman yang menunjukkan rasa kasih dan sayang seorang guru pada pelajarnya. Sebenarnya ada kajian yang menunjukkan kebanyakan guru kurang atau tidak suka memberikan pujian kepada para pelajar. Malah di kalangan guru yang mengakui mereka telah memberikan banyak pujian kepada pelajar, sebenarnya pujian yang mereka berikan masih kurang daripada apa yang diharapkan atau di rindu oleh pelajar.

Percayalah, pujian boleh mengubah pelajar. Jika guru dapat melakukan secara berterusan dengan penuh hikmah dan sabar maka akan lebih ramai pelajar yang akan mengubah sikap dan tingkah laku menjadi lebih positif.

Amalan pujian bukan sahaja paling berkesan mengubah tingkah laku pelajar tetapi sebenarnya berkeupayaan untuk membina persekitaran bilik darjah yang penuh motivasi, kasih sayang dan harmoni.

Disebabkan oleh persekitaran, minda pelajar sebenarnya lebih cenderung untuk memberikan super-respons kepada perkara negatif yang diasak keadaan mereka berbanding perkara positif. Misalnya pelajar akan lebih cepat sedih bila dimarahi oleh berbanding gembira bila mereka dipuji.
Mereka juga biasanya akan lebih cepat merasa malu apabila disindir berbanding merasa bangga apabila berjaya mencapai sesuatu.

Oleh itu untuk membolehkan tingkah laku positif berkekalan dicapai, maka pujian secara berterusan, berkualiti serta ikhlas perlulah dilakukan oleh para guru. Malah secara tidak sedar juga, kebanyakan guru juga lebih cenderung untuk cepat memberikan respons kepada tingkah laku negatif pelajar berbanding tingkah laku perbuatan positif pelajar lebih lagi bila guru berada di dalam tekanan kerja atau keadaan fizikal yang lemah atau letih.

Oleh itu jika para guru dapat memulakan pujian kepada pelajar secara berterusan maka satu hari nanti pelajarnya pula akan menjadi seorang dewasa yang akan pula sentiasa memberikan pujian kepada para rakan sekerja di tempat kerajaan atau anak-anak mereka di rumah. Semoga pelajar tidak akan lagi merindui pujian daripada guru-guru mereka.

Penulis ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia


Selasa, Januari 12, 2010

BUKU TEKS BARU

JAWATANKUASA Inovasi Buku Teks akan membuat pembaharuan bagi memperkemaskan bentuk fizikal buku teks, termasuk mengurangkan saiz hingga 20 peratus berbanding sekarang. Pengarah Bahagian Buku Teks (BBT), Mohd Adenan Deraman, berkata pembaharuan itu membabitkan buku teks cetakan baru berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah bermula sesi persekolahan 2011.

Katanya, proses inovasi merangkumi usaha mengecilkan saiz buku teks itu diharap dapat mengurangkan masalah buku berat hingga menyukarkan pelajar membawanya. Beliau berkata, proses inovasi itu antara lain bertujuan memastikan bentuk fizikal buku teks lebih mesra pelajar dan mudah dibawa ke mana-mana, selain mengurangkan kos cetakan. “Pengstrukturan semula itu juga penting dalam usaha menghasilkan buku teks yang memenuhi aliran bahan bacaan semasa dengan memiliki ciri rekaan kreatif dan inovatif.


“Perkembangan positif ini perlu dijadikan contoh supaya buku teks tidak bersifat tradisi hingga mengurangkan minat pelajar membacanya. Perubahan ini diharap menjadikan buku teks bukan saja bahan rujukan pelajar, malah bacaan umum,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

ohd Adenan berkata, perubahan itu turut mengambil kira penggunaan ilustrasi dan grafik bagi memastikan persembahannya menarik dan menjadi sumber rujukan utama, selain buku tambahan. Perubahan fizikal buku teks ini, katanya, tidak menjejaskan kandungan berdasarkan silibus yang sudah ditetapkan mengikut tahap pelajar.

“Kami akan memanggil ahli jawatankuasa pengstrukturan buku teks, antaranya wakil sektor teknikal BBT, Dewan Bahasa dan Pustaka serta penerbit terpilih. Perbincangan diadakan dalam tempoh terdekat bertujuan mengumpul idea sebagai panduan dalam menghasilkan buku teks bersifat kreatif dan inovatif,” katanya.

Dalam perbincangan itu, Mohd Adenan menjelaskan pihaknya akan mengemukakan konsep diperlukan, antaranya kandungan, persembahan dalaman, kulit dan susun atur serta saiz yang lebih bersifat mesra pengguna. Katanya, berdasarkan konsep asas itu, penerbit diminta mengemukakan contoh terbaik bagi memastikan cadangan serta persembahan mereka dipersetujui. Beliau berkata, pengstrukturan itu sejajar dengan penetapan 2010 sebagai "Tahun Kreativiti dan Inovasi" bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan persembahan dalam memperkemas pengurusan sesebuah organisasi.

“Kami mengharapkan proses ini membawa perubahan dalam sistem pendidikan negara dengan menyediakan bahan bacaan berkualiti memenuhi keperluan pelajar dan membantu proses pengajaran dan pembelajaran berkesan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa), Zainora Mohamad, berkata pihaknya yakin usaha kementerian itu menjadikan buku teks sebagai bahan rujukan utama di sekolah. Beliau berkata, rekaan inovasi perlu mengambil kira pelbagai faktor, antaranya penambahan kos, konsep dan pendekatan yang lebih bersifat mesra pelajar. Selain itu, bagi mata pelajaran tertentu contohnya Geografi atau Sains, katanya, ia turut mengambil kira faktor nilai ditambah. “Penyediaan sisipan atau lipatan antara muka surat juga perlu disediakan sesuai dengan topik dalam bab berkenaan, termasuk penggunaan gambar eksklusif,” katanya.

Khamis, Januari 07, 2010

SARAWAK KEKURANGAN 1565 GURU


SAMARAHAN 5 Jan. - Perpindahan guru dari Semenanjung ke negeri asal masing-masing merupakan antara punca Sarawak mengalami masalah kekurangan 1,565 guru sekolah menengah bagi sesi persekolahan 2010.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kekosongan itu melibatkan guru-guru bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Menurutnya, keadaan itu tidak membabitkan sekolah rendah yang menerima kehadiran kira-kira 1,000 guru baru semalam.

''Kebanyakan guru yang lebih lima tahun berkhidmat di Sarawak memohon untuk kembali ke negeri asal mereka dan ini merupakan antara punca berlaku kekurangan guru di Sarawak. Kita akan mengambil Guru Sandaran Tidak Terlatih bagi mengatasi masalah tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke lapan buah sekolah di dalam kawasan Parlimen Batang Sadong di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Pelajaran negeri, Julaihi Bujang dan Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri.

Dalam perkembangan berlainan Puad memberitahu, kementerian akan memberikan perhatian segera bagi menyelesaikan masalah 130 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Metah dekat Batang Rajang yang sekolah mereka musnah terbakar dalam kejadian pada 26 Disember lalu.
Beliau menjelaskan, pembinaan kabin untuk dijadikan kelas merupakan alternatif terbaik kerana ia bukan sahaja mudah dan cepat dipasang, malah tahan lama.

"Kita berharap penduduk kampung dapat membantu pembinaan kabin ini bagi menempatkan murid-murid kerana sesi persekolahan perlu diteruskan seperti biasa," katanya.

Dalam kejadian 26 Disember lalu, blok yang menempatkan bangunan pentadbiran, asrama dan kelas di SK Nanga Metah musnah dalam kebakaran selepas sambutan Hari Krismas.



Rabu, Januari 06, 2010

MINGGU ORIENTASI MURID TINGKATAN 1 DAN TINGKATAN 4

Minggu Orientasi Tingkatan 1

Murid Tingkatan 1 yang telah mendaftar pada 1 Januari 2010 mula masuk ke alam sekolah menengah di SMK Telok Kerang. Pada minggu ini dari 4 Januari hingga 8 Januari 2010 murid-murid baru ini akan menjalani program Minggu Orientasi. Program-program yang telah disusun untuk mereka ialah:
  • Pengenalan mesra budaya dan fizikal SMK Telok Kerang.
  • Taklimat Pusat Sumber dan Program Nilam.
  • Taklimat disiplin dan berbudi bahasa.
  • Keselamatan sekolah.
  • Persediaan menghadapi suasana baru.
  • Suai mesra nama guru dan kakitangan sekolah.
  • Taklimat koperasi sekolah.
  • Taklimat SPBT.
  • Taklimat Ketua-ketua Bidang.
  • Pengenalan Unit Bimbingan dan Kaunseling.
  • Sahsiah Cemerlang Pelajar Gemilang
  • Taklimat persatuan dan badan beruniform.
  • Taklimat sukan dan pembahagian rumah sukan.
  • Pembahagian kelas.
  • Pembahagian buku teks.


Minggu Orientasi Tingkatan 4

  • Taklimat tentang Sijil SPM.
  • Taklimat penetapan 10 mata pelajaran dan pakej mata pelajaran yang ditawarkan SMKTK.
  • Taklimat Mata Pelajaran Vokasional.
  • Taklimat disiplin.
  • Perjumpaan dengan Tuan Pengetua.
  • Taklimat Ketua-ketua Bidang.
  • Kepentingan penglibatan dalam kegiatan kokurikulum.
  • Sahsiah Cemerlang Pelajar Gemilang.
  • Teknik belajar berkesan.
  • Pengagihan kelas.Pembahagian buku teks.

PENINGKATAN KUALITI GURU KEPERLUAN MENDESAK


Peningkatan Kualiti Guru Keperluan Mendesak

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Peningkatan kualiti warga perguruan melalui program pembangunan profesionalisme berterusan kini merupakan keperluan mendesak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, ia penting bagi memperbaiki kompetensi, pengetahuan dan keupayaan warga guru agar menjadi lebih dinamik.


Beliau berkata, usaha juga perlu dilakukan bagi menarik penyertaan lebih ramai individu yang berkebolehan menyertai profesion perguruan yang semakin mencabar.

"Apa yang lebih penting pada laluan untuk menuju ke arah kecemerlangan pendidikan ialah kualiti para guru. Semua pihak tahu bahawa kualiti sistem pendidikan yang kita ada tidak boleh mengatasi kualiti yang dimiliki para guru kerana merekalah yang akan menentukan prestasi sesebuah sekolah dan pencapaian pelajarnya," katanya.

Beliau berucap demikian sewaktu merasmikan Seminar Kongres Antarabangsa Bagi Keberkesanan dan Penambahbaikan Sekolah 2010 (ICSEI 2010) Kali Ke-23, di sini hari ini.
ICSEI 2010 yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia (UM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran itu berlangsung sehingga Jumaat ini dan disertai kira-kira 600 peserta tempatan dan antarabangsa.

Hadir sama pada majlis perasmian itu ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang; Pro-Canselor UM, Toh Puan Dr. Aishah Ong; Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub dan Timbalan Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Jamil Maah.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, sebagai sebahagian usaha meningkatkan kualiti guru, kerajaan telah menaik taraf semua maktab perguruan menjadi institut perguruan dan memperkenalkan program ijazah khas untuk para guru yang tidak mempunyai ijazah. Katanya, Kementerian Pelajaran juga menggariskan beberapa strategi untuk meningkatkan tahap profesion perguruan antaranya mengetatkan proses pemilihan bakal guru, memperbaiki suasana pengajaran, mengukuhkan keyakinan diri guru dan memberikan khidmat sokongan yang berterusan.

"Dalam hal ini, kita menyediakan yang terbaik kepada para guru dengan peluang saksama untuk meningkatkan kerjaya mereka. "Pengetua dan guru cemerlang pula diberikan peluang naik pangkat sebagai galakan kepada mereka meningkatkan prestasi dan seterusnya menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, pihaknya turut melakukan kajian semula kurikulum kebangsaan bagi memastikan ia memenuhi harapan dan tuntutan pendidikan berkualiti.



Selasa, Januari 05, 2010

3 POLITEKNIK DINAIK TARAF JADI UNIVERSITI


3 Politeknik Dinaik Taraf Jadi Universiti

TEMERLOH 4 Jan. - Tiga buah politeknik dinaik taraf menjadi universiti pada tahun ini bagi membolehkan lebih ramai pelajar aliran teknik dan vokasional melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, universiti itu akan mengendalikan bidang kemahiran dan latihan pada peringkat diploma lanjutan dan ijazah. Jelasnya, kerajaan berusaha meluaskan peluang pembelajaran kepada pelajar kedua-dua aliran itu supaya mereka dapat memiliki diploma dan ijazah.

''Para pelajar aliran teknik dan vokasional mempunyai masa depan yang cerah dan mereka boleh bersaing dengan graduan universiti lain bagi memenuhi pasaran pekerjaan negara pada masa akan datang. Kenaikan taraf tiga politeknik itu yang akan diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi tidak lama lagi adalah antara 32 buah politeknik yang ditubuhkan di negara ini setakat ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Simpang Sanggang di sini, hari ini. Menurut Saifuddin, pelajar daripada kedua-dua aliran itu mempunyai kelebihan dari segi kemahiran dan mudah mendapat pekerjaan terutama dalam sektor swasta selepas menamatkan pengajian di peringkat tinggi.
Jelasnya, kerajaan menyediakan prasarana pembelajaran yang bertaraf dunia di negara ini sedangkan kemudahan yang sama jarang terdapat di negara-negara membangun yang lain.

"Peluang tersebut hendaklah direbut supaya matlamat kerajaan untuk melahirkan siswazah dan pelajar berkualiti dapat direalisasikan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin memberitahu, enam universiti telah dinaikkan taraf untuk mengendalikan kursus berasaskan teknikal. Universiti tersebut ialah Universiti Tun Hussien Onn (UTHO), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMap), Universiti Teknikal Melaka (Utem), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).




200 PELAJAR SELESA DI KABIN

200 Pelajar Selesa Di kabin
MELAKA 4 Jan. - Hari pertama persekolahan bagi 200 pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai dekat sini menggembirakan walaupun kelas mereka hangus terbakar awal bulan lalu.

Namun apabila Kementerian Pelajaran membuat keputusan membina kelas baru berkonsepkan kabin sebagai kelas sementara, bayangan awal pelajar adalah kabin yang akan digunakan itu sempit, tidak selesa dan panas.

Sebaik menjejakkan kaki di sekolah tersebut kira-kira pukul 7.45 pagi ini, pelajar dan ibu bapa terkejut melihat empat buah kabin itu yang menempatkan enam kelas menyediakan persekitaran cukup selesa untuk belajar.

Menurut pelajar, kabin itu jauh lebih baik daripada kelas yang mereka duduki sebelum ini.
Salah seorang pelajar, Mazlinda Mohd. Tin, 15, berkata, pada mulanya dia menggambarkan kelas sementara itu seperti kontena yang panas dan berlantaikan tikar getah.

Bagaimanapun, sangkaannya itu meleset setelah melihat kabin itu yang lapang, bersih dan ceria dilengkapi kipas, kerusi dan meja baru.

"Mula-mula tengok kelas rasa tidak sabar hendak masuk dan saya rasa ia amat sesuai dijadikan kelas tambahan kerana persekitarannya yang nyaman. Bukan sahaja selesa, malah lebih baik daripada kelas kami sebelum ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian 10 Disember lalu, seramai 115 pelajar tingkatan lima sekolah tersebut terpaksa menangguhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila tingkat tiga blok A yang menempatkan enam buah kelas musnah dalam kebakaran itu.

Sehari selepas itu, Kementerian Pelajaran menjanjikan pembinaan empat kabin sebagai kelas sementara yang dijangka siap sebelum sesi persekolahan bermula hari ini.

Seorang lagi pelajar, Aisar Ahmad, 14, berharap kabin itu akan dijadikan sebagai kelas tambahan untuk pelajar mengulang kaji pelajaran setelah kerja-kerja memperbaiki semula kelas yang terbakar siap kelak.

"Saya percaya ramai pelajar akan lebih selesa belajar di sini kerana walaupun cuma menggunakan kipas siling, suasananya lebih nyaman berbanding kelas dalam bangunan," katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Bukti Rambai, Zainal Aman mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran kerana berjaya menyiapkan kabin baru itu dalam tempoh sembilan hari sahaja. Tambahnya, sebelum ini beliau berasa bimbang jika kabin tersebut tidak sempat siap sebelum sesi persekolahan baru dibuka.

"Pada mulanya kita merancang untuk menggunakan ruang bilik bacaan asrama sekolah sebagai kelas sementara jika kabin tersebut lewat disiapkan. Bagaimanapun, saya lega kerana semuanya berjalan lancar dan keempat-empat kabin yang menempatkan enam kelas dengan bilangan 35 pelajar setiap kelas dapat digunakan hari ini," katanya.

Isnin, Januari 04, 2010

GURU ABAI TANGGUNGJAWAB CALAR IMEJ PROFESION PERGURUAN


Guru Abai Tanggungjawab Calar Imej Profesion Perguruan

BEBERAPA persatuan guru mengakui wujud kes terpencil guru lebih mengutamakan 'kerja luar' berbanding tugas hakiki mereka di sekolah kerana mengejar pendapatan lumayan. Pada masa sama mereka mencadangkan guru terbabit sedar tanggungjawab dan amanah diberikan, jika tidak pun terus melepaskan jawatan bagi menjaga nama baik profesion keguruan dan masa depan anak didik. Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Loke Yim Pheng, berkata tindakan segelintir guru yang lebih rajin mencari pendapatan tambahan itu umpama ‘nila setitik rosak susu sebelanga‘.

Ia boleh mencalarkan imej golongan pendidik kerana kebanyakan guru komited menjalankan tanggungjawab masing-masing. “Tidak dinafikan, di kalangan lebih 300,000 guru seluruh negara ada kes terpencil guru menjalankan kerja luar hingga hilang tumpuan terhadap tugas mengajar dan mereka ini perlu ada kesedaran untuk keluar daripada profesion perguruan.

“Hak guru mencari pendapatan tambahan tidak boleh disekat, malah ada membuktikan mereka mampu mengimbangi tuntutan kedua-dua tanggungjawab dengan baik,” katanya kepada Berita Harian.

Buat masa ini, Loke berkata, memadai jika pentadbir sekolah diberi kuasa memantau dan mengambil tindakan terhadap guru yang lebih mengutamakan kerja luar. Mengenai cadangan pelaksanaan semula sijil kelayakan mengajar, katanya, ia memerlukan kajian jangka panjang terutama dari aspek pelaksanaan dan perundangan. bagaimanapun, Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia menyokong penuh cadangan pewujudan semula pensijilan itu sebagai mekanisme mengembalikan guru kepada tugas hakiki mereka iaitu mengajar. Yang Dipertuanya, Ruslan Madon, berkata langkah itu membantu usaha pentadbir sekolah memantau guru yang sibuk dengan kerja luar hingga mengganggu tugas mengajar.

“Walaupun tiada halangan guru menjana pendapatan tambahan termasuk menerusi perniagaan jualan langsung dan MLM, kita tidak menggalakkan mereka berbuat demikian jika gagal memanfaatkan masa antara pengajaran dan kerja luar. Jika ingin dilaksanakan, kami cadang ia diperbaharui tiga tahun sekali supaya tidak memberi tekanan kepada pendidik dan membolehkan penilaian lebih adil serta menyeluruh dilaksanakan,” katanya.

ANGKARA KERJA LUAR


Angkara Kerja Luar
Oleh Rosniza Mohd Taha

WALAUPUN cuti sekolah akhir tahun masih berbaki tiga atau dua minggu, lazimnya kebanyakan guru sudah pun kembali bertugas bagi menguruskan pelbagai persiapan menghadapi sesi persekolahan baru. Apabila persekolahan bermula, pelbagai tugas tambahan pula perlu dilakukan golongan itu, selain tanggungjawab hakiki mereka iaitu mengajar.

Antaranya terpaksa melaksanakan pelbagai kerja pekeranian seperti merekod maklumat murid, menerima yuran, pinjaman buku teks dan tidak kurang pula menguruskan perkara berkaitan hingga peringkat pejabat pelajaran daerah serta negeri. Lambakan tugas tambahan itu antara faktor menjadikan profesion itu kini kian mencabar dan tidak kurang pula menyifatkannya membebankan hingga kesatuan menerima pelbagai aduan guru mengalami tekanan kerja. Di sebalik pelbagai keluhan akibat kekangan tugas dan waktu itu, segelintir guru pula dikatakan masih mempunyai masa untuk membuat ‘kerja luar’ bagi menambah pendapatan hingga ada antaranya melebihi gaji bulanan. 

Pelbagai kerja luar dilakukan, antaranya membuka kelas tuisyen, menjalankan jualan langsung, sistem perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (MLM), mencetak buku dan menceburi pelbagai peluang perniagaan lain. Senario itu membimbangkan kerana dikhuatiri bukan saja mengganggu tumpuan guru terhadap tugas hakiki, malah menjejaskan usaha kerajaan yang mahu golongan pendidik mempunyai tahap pendidikan tertinggi. Dengan minat berganda terhadap kerja luar berbanding berusaha melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau meningkatkan profesionalisme, mampukah Kementerian Pelajaran mencapai sasaran 50 peratus guru sekolah rendah dan 100 peratus di sekolah menengah memiliki ijazah? Sikap sesetengah guru yang lebih mementingkan kerja luar itu juga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pendidik lain yang bersungguh-sungguh dan melakukan pelbagai pengorbanan bagi meningkatkan kelayakan profesionalisme hingga peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

Seorang guru sekolah rendah berkelulusan sarjana dari Rawang, Selangor, yang hanya mahu dikenali sebagai Cikgu Ju, berkata beliau kecewa kerana tidak mendapat insentif sewajarnya berbanding guru terbabit perniagaan jualan langsung. 

“Banyak pengorbanan dilakukan guru yang melanjutkan pengajian pasca siswazah termasuk bertungkus-lumus belajar dengan separuh gaji, meninggalkan keluarga yang disayangi, malah ada yang membuat pinjaman bank. Segelintir guru “malas” menyambung pengajian bagi meningkatkan tahap akademik mereka, sebaliknya lebih rajin menjalankan perniagaan jualan langsung atau MLM yang turut menjejaskan tumpuan terhadap tugas. Dengan pendapatan tambahan diperoleh, ada antara mereka yang hanya berjawatan gred DGA29 tetapi mampu memiliki kereta mewah, sedangkan kami lulusan sarjana dan PhD hanya terdaya memandu kereta buatan tempatan. Malah gaji bersih selepas melunaskan pinjaman sekadar cukup menampung perbelanjaan harian,” katanya menerusi e-mel kepada Berita Harian. 

Pada dasarnya, kementerian tidak menghalang guru menambah pendapatan menerusi perniagaan atau sumber lain selagi ia tidak menjejas mutu dan kelancaran tugas hakiki mereka iaitu mengajar. Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Datuk Zulkifly Mohd Wazir, bagaimanapun berkata kelonggaran itu diberikan tertakluk kepada syarat tertentu termasuk mendapat kebenaran ketua jabatan dan dalam tempoh tertentu. Sebagai contoh, katanya, guru mengajar di kelas tuisyen diberi tempoh empat jam seminggu bagi memastikan mereka memberi tumpuan utama terhadap proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) di sekolah. 

Beliau berkata, guru yang gagal mematuhi ketetapan itu boleh dikenakan tindakan berdasarkan Pekeliling Am Jabatan Perkhidmatan Awam, bermula dengan amaran hingga langkah terakhir dilucutkan jawatan jika berterusan gagal memberi komitmen terhadap tugas hakiki. 

“Kementerian maklum sesetengah guru terbabit dalam perniagaan terutama jualan langsung bertujuan menambah pendapatan, namun kebanyakannya tetap komited dan mengutamakan tugas hakiki. Dalam hal ini, pentadbir sekolah perlu memastikan guru terbabit mematuhi syarat dan tidak teragak-agak mengambil tindakan jika mereka gagal mengikutinya atau mutu perkhidmatan terjejas kerana sibuk menguruskan kerja luar,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, Bahagian Pendidikan Guru (BPG) pula kini meneliti pelaksanaan semula sijil layak mengajar sebagai instrumen bagi memastikan hanya pendidik benar-benar komited kekal dalam profesion keguruan. Pengarahnya, Dr Khair Mohamad Yusof, ketika ditemui berkata pensijilan itu sebahagian cadangan dalam rangka hala tuju baru BPG yang dibentangkan pada Seminar Pendidikan Guru di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. 

Katanya, menerusi pensijilan itu, keupayaan guru dinilai dalam empat aspek, iaitu p&p, pengurusan kelas, hubungan dengan masyarakat serta profesionalisme. Sambil menjelaskan cadangan itu masih di peringkat kajian awal dan akan mengambil kira pandangan umum, beliau berkata, guru yang memenuhi keperluan pensijilan itu akan dianugerahkan sijil layak mengajar untuk tempoh tertentu dan perlu diperbaharui secara berterusan. 

“Pensijilan guru pernah dilaksana sebelum ini, dikenali sebagai lesen mengajar dan BPG bercadang mewujudkannya semula bagi memastikan guru benar-benar menumpukan kepada p&p serta pembangunan profesionalisme secara berterusan. Menjadi kebimbangan apabila wujud kecenderungan sesetengah guru melakukan kerja yang terkeluar dari tugas utama p&p terutama jualan langsung dan MLM hingga menjadi budaya di sesetengah sekolah dan boleh menyebabkan perkhidmatan mereka terjejas. Jika pelaksanaan semula pensijilan ini diluluskan, ia membolehkan kita secara perlahan-lahan meminggirkan golongan yang tidak mempunyai jiwa pendidik daripada sistem pendidikan negara,” katanya.

MURID MELAYU MAJORITI DI SJKC KOU HUA


Murid Melayu majoriti di SJK Cina

KUALA NERANG: Hari pertama persekolahan semalam, mencuri tumpuan apabila lebih 70 peratus murid tahun satu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kou Hua, di sini, adalah murid Melayu. Seramai 19 murid memasuki Tahun Satu sekolah itu dengan 14 daripadanya adalah Melayu, Cina (3) dan dua murid Siam. 

Guru Besar SJKC, Kook Hooi Chin, berkata kemasukan murid Melayu melebihi murid Cina adalah senario biasa setiap tahun di sekolah itu.

Beliau berkata, SJKC Kou Hua yang tergolong dalam kelompok Sekolah Kurang Murid (SKM) mempunyai 12 guru yang mana dua daripadanya adalah guru Melayu yang mengajar Agama Islam dan Bahasa Melayu, manakala bakinya guru Cina. Katanya, hampir 50 peratus daripada 96 jumlah keseluruhan murid di sekolah ini adalah murid Melayu. “Murid Melayu yang mendaftar tahun ini meningkat dan ia mungkin disebabkan penerimaan ibu bapa semakin baik terhadap SJKC selain majoriti penduduk kawasan ini Melayu.

“Tambahan pula hanya satu SJKC di daerah ini, mungkin sebab itulah ibu bapa memilih untuk menghantar anak di sini,” katanya. 

Beliau berkata, kebanyakan murid Melayu di sekolah itu mampu menguasai asas Bahasa Mandarin sejurus tamat Tahun Enam selain mampu menjadikan Mandarin sebagai bahasa ketiga. “Mereka nampak bersemangat untuk belajar Bahasa Mandarin selain cepat menyesuaikan diri dalam masa yang singkat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ahad, Januari 03, 2010

KEMENTERIAN PELAJARAN JAMIN PERSEKOLAHAN LANCAR - KEPERLUAN PEMBELAJARAN DIPASTIKAN CUKUP



KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memberi jaminan persediaan pembukaan sesi persekolahan 2010 bermula hari ini dan esok berjalan lancar dengan setiap pelajar akan dipastikan mendapat kerusi, meja serta buku teks untuk memulakan proses pembelajaran. Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata persiapan rapi sudah dibuat sejak sebulan lalu menerusi mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2010 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Mesyuarat bertujuan meneliti secara dekat persiapan untuk menghadapi sesi baru persekolahan 2010 dan memastikan semua isu berkaitan penggal persekolahan ditangani sebelum sesi bermula. Antara aspek utama persediaan ialah memastikan bekalan buku teks, perabot dan tenaga pengajar di 10,000 sekolah seluruh negara mencukupi, selain infrastruktur di sekolah mesti bersih, kemas serta teratur. Ini termasuk penggantian perabot rosak di beberapa sekolah sekitar Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah akibat banjir. Daripada perkembangan dan laporan yang diterima, semua persiapan berjalan lancar dan berharap proses pengajaran dan pembelajaran dapat dimulakan serta berjalan seperti biasa pada hari pertama persekolahan esok (hari ini) dan lusa (esok)," katanya ketika dihubungi, semalam.

Alimuddin turut menegaskan penyeragaman bayaran tambahan untuk sesi persekolahan baru yang ditetapkan RM24.50 bagi setiap murid sekolah rendah dan RM33.50 pelajar sekolah menengah berbanding pakej pembayaran A, B dan C berdasarkan pekerjaan ibu bapa sebelum ini, sebagai tidak membebankan mereka.

"Daripada maklum balas sekolah yang menjalankan minggu orientasi untuk murid Tahun Satu, hampir 80 hingga 90 peratus ibu bapa yang menghantar anak masing-masing sudah membayar bayaran yang ditetapkan. "Sebarang bayaran tambahan lain bergantung kepada persetujuan pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berdasarkan keperluan aktiviti murid di sekolah masing-masing dengan mengambil kira latar belakang ekonomi ibu bapa mereka. Jadi, tidak timbul isu berhubung bayaran yang ditetapkan itu kerana kadarnya lebih rendah berbanding tahun lalu," katanya.

Sementara itu di KUCHING, seramai 45,256 murid Tahun Satu dan 35,818 pelajar Tingkatan Satu mendaftar di seluruh negeri ini untuk memulakan sesi persekolahan baru, esok. Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sarawak, Datuk Dr Julaihi Bujang, berkata sepatutnya empat sekolah menengah baru dibuka mulai semalam, tetapi berikutan masalah kegagalan kontraktor menyiapkan pembinaan sekolah, ia gagal menampung pelajar baru.
"Bagi mengatasi masalah itu, semua pelajar akan ditumpangkan di sekolah berdekatan dengan kita menjangka empat sekolah baru berkenaan akan dapat beroperasi sepenuhnya dan menerima pelajar antara Mac hingga Jun depan," katanya.

Empat sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asajaya 2, Samarahan; SMK Kemena, Bintulu; SMK Nanga Dap, Sibu dan SMK Beladin, Betong. Menurutnya, seramai 1,000 guru terlatih sekolah rendah turut dijangka memulakan tugas mereka esok di seluruh Sarawak, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Sabtu, Januari 02, 2010

LDP - KURSUS STANDARD MINIMUM TUGAS AKADEMIK GURU (SMTAG)


Hari ini guru-guru SMK Telok Kerang berkursus SMTAG di Kamar Kencana. Cikgu Nordin Ehsan diberi tugas memberi pendedahan SMTAG kepada guru-guru. SMTAG akan dilaksanakan bermula pada 4 Januari 2010.

Antara objektif kursus ini ialah:
  • Menghasilkan satu standard minimum tugas akademik guru (KPI-SMTAG).
  • Menghasilkan satu panduan standard minimum latihan akademik murid (SMLM).
  • Menghasilkan satu panduan prestasi keseluruhan warga sekolah yang setara tentang penilaian kendiri SKPM.






KEMENTERIAN PELAJARAN SUDAH BERSEDIA


Kementerian Pelajaran Sudah Sedia

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Kementerian Pelajaran sudah bersedia menghadapi sesi baru persekolahan yang bermula 3 Januari ini termasuk kemungkinan ancaman gelombang kedua wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, segala pengalaman menghadapi wabak itu pada 2009 akan dijadikan panduan oleh kementerian untuk mengambil langkah pencegahan yang lebih baik.

Jelasnya, Jawatankuasa Persediaan Persekolahan 2010 yang dipengerusikan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bermesyuarat awal Disember lalu bagi memastikan segala persiapan berjalan mengikut perancangan.

"Kementerian membekalkan cecair nyah kuman (hand sanitizer) dan termometer ke sekolah-sekolah bagi membolehkan mereka mengambil tindakan sendiri membasmi wabak itu. Pada hari pertama dan kedua persekolahan pula, pegawai kementerian diketuai jemaah nazir atau pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah akan melawat sekolah-sekolah dan membuat laporan jika ada apa-apa yang tidak kena. Dari situ, kita akan tengok apa lagi yang perlu dibuat," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Manifestasi Perdana Seni Khat 2009 di Muzium Kesenian Islam di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Yayasan Albukhary, Mohammad Nasir Daud dan Yang Dipertua, Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK), Mohammed Yusof Abu Bakar.

Alimuddin menambah, perkara yang paling diberi perhatian jawatankuasa adalah dari aspek agihan guru yang mencukupi.

"Guru adalah perkara nombor satu. Kita akan pastikan cukup dan jika ada yang kurang, kementerian akan bersandarkan kepada guru sandaran tidak terlatih (GSTT). Selain itu, guru-guru yang telah bersara juga akan dipanggil bagi menampung kekurangan yang ada. Semua itu ada dalam perancangan dan ia bukanlah satu isu," katanya.

Jumaat, Januari 01, 2010

PENDAFTARAN MURID TINGKATAN 1 SESI 2010 SMK TELOK KERANG


Hari ini Jumaat 1 Januari 2010 adalah hari pendaftaran murid-murid Tingkatan 1, 2, 3 dan Tingkatan 5. Ramai ibu dan bapa murid Tingkatan 1 hadir bersama anak mereka untuk membuat pendaftaran. Beberapa perkara perlu diselesaikan dalam proses pendaftaran tersebut. Proses pendaftraran bermula pada pukul 8.00 pagi dengan ucapan dan taklimat oleh Tuan Pengetua di Dewan A. Kemudian ibu dan bapa serta murid-murid baru Tingkatan 1 di bawa ke Dewan B untuk proses pendaftaran selanjutnya. Proses pendaftaran selesai pada pukul 12.00 tengahari.

Kami warga SMK Telok Kerang mengucapkan selamat datang kepada warga baru iaitu murid-murid tingkatan 1. Selamat datang.









IPT SEMAKIN GALAK MERIT KOKURIKULUM BANTU NEGARA MAJU


IPT Semakin Galak Merit Kokurikulum Bantu Negara Maju
Minda Pengarang

DALAM usaha mengejar status negara maju, pembangunan modal insan menjadi antara aspek utama yang perlu diberi keutamaan. Satu-satunya cara terbaik melahirkan modal insan cemerlang ialah menerusi pengukuhan sistem pendidikan. Dasar dan sistem pendidikan negara sudah melalui pelbagai fasa penambahbaikan dan faedahnya jelas apabila Malaysia muncul sebagai antara negara yang mempunyai guna tenaga yang tinggi kemahirannya. Begitupun tiada siapa boleh menyangkal hakikat bahawa banyak inisiatif sebelum ini lebih menjurus kepada usaha meraih kecemerlangan akademik. Dalam usaha melonjakkan negara mencapai status negara maju, langkah terancang perlu diambil demi memastikan modal insan kita mempunyai kebolehan menyeluruh dengan menguasai pelbagai nilai positif, termasuk kemahiran insaniah. Usaha itu menuntut semua pihak menggembleng tenaga menyediakan persekitaran sesuai bagi mencapai matlamat berkenaan sama ada secara formal, mahupun tidak. Ia sebenarnya bukan sesuatu yang asing kerana pelbagai dasar sedia ada, termasuk Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara sudah mempunyai garis panduan ke arah berkenaan. 

Sehubungan itu, cadangan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memperkenalkan sistem pengiraan merit 30 peratus kokurikulum dan 70 peratus akademik adalah langkah yang menepati agenda berkenaan. Menerusinya, pendidikan tinggi negara dapat diperkasakan ke arah memastikan institusi pengajian tinggi (IPT) dapat melahirkan graduan berkualiti. Walaupun kementerian masih mengumpul maklumat ke arah melaksanakan inisiatif itu, projek perintis yang dibuat secara sukarela beberapa IPT seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan hasil cukup membanggakan. Kita berpendapat sudah sampai masanya perkara itu diperluaskan bagi memastikan sasaran yang diharapkan dapat dicapai secepat mungkin. Bagi kita, jika sesuatu pembaharuan itu sudah terbukti kebaikannya, ia harus segera diguna pakai secara meluas bagi mengelak sistem itu yang kini digunakan tetapi hanya pada kadar 10 peratus kokurikulum dan 90 peratus akademik menjadi seperti 'sekadar melepaskan batok di tangga'. 

Mengambil kira sasaran Malaysia mencapai tahap negara maju menjelang 2020 sudah semakin suntuk, kita tidak boleh terus terbelenggu dengan kaedah lama yang terlalu bergantung kepada suara ramai sebelum membuat sesuatu keputusan. Jika sesuatu dasar baru itu sudah jelas manfaatnya, kita harus berani untuk membuat keputusan dan menguatkuasakan peruntukannya supaya semua pihak akur serta melaksanakannya. Penambahbaikan, khususnya dalam sistem pendidikan, bukan bersifat eksklusif, sebaliknya perlu dilakukan demi manfaat semua. Memang setiap pembaharuan mengundang risiko, tetapi jika ia sudah jelas membawa lebih banyak yang positif berbanding negatif, tiada sebab untuk kita bertangguh menjayakannya.


SISTEM PELANTIKAN GURU BESAR PERLU PERUBAHAN


Sistem Pelantikan Guru Besar Perlu Perubahan
Penghuluwati NPQH IAB


PROGRAM Kelayakan Profesional Kepengetuaan Kebangsaan (NPQH) yang diperkenalkan semenjak 1998 merupakan satu dimensi dalam profesion pendidikan apabila bakal-bakal pengurus pendidikan dalam bidang Pengurusan dan Kepemimpinan Pendidikan dilatih bagi meningkatkan martabat profesion ke tahap global.

Kesinambungan kepada program ini, peserta yang layak ditemu duga untuk mengikuti Program Persiswazahan Guru Besar (PPGB) selama dua tahun dengan separuh gaji. Apabila tamat dengan jayanya peserta dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Segala halangan bukanlah alasan untuk seseorang guru tidak melanjutkan pelajaran. Ramai juga di kalangan kami merupakan ibu tunggal dan bapa tunggal, ramai juga yang menjadi ‘ibu tinggal’ dan ‘bapa tinggal.’ Namun, oleh kerana kami mempunyai kecekalan hati yang tinggi, akhirnya kami berjaya juga menamatkan pengajian di UPSI.

Pemilihan calon-calon NPQH yang layak adalah minimum 10 tahun pengalaman mengajar, merupakan guru-guru yang telah menamatkan pengajian 2½ tahun di maktab perguruan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, akan melalui Pentaksiran Tahap I, II dan III di Institut Aminuddin Baki. Hanya calon-calon yang layak mengikuti latihan Program Kelayakan Profesionalisme Kepengetuaan Kebangsaan (KPKK) di IAB.

Berdasarkan kenyataan di atas, tidak dinafikan kami sememangnya berpengalaman serta telah lama berkhidmat. Minimum di kalangan kami telah berkhidmat selama 21 tahun. Kami juga bukanlah guru-guru muda yang baru berumur setahun jagung. Kebanyakan dalam kalangan kami telah berumur 45 tahun ke atas dan kebanyakannya sekitar 49 dan 50 tahun. Adakah umur 56 tahun atau menunggu dua tahun lagi pencen baru dikira layak untuk dilantik sebagai guru besar? Tidakkah 21 tahun ini satu jangka masa yang cukup lama? Tidakkah 21 tahun ini telah cukup pengalaman untuk dilantik menjawat jawatan guru besar?

Kami bukan baru semalam diberikan ijazah. Kami telah memperolehinya sejak 2000/2001, diikuti dengan Ijazah Sarjana dan seterusnya Ph.D. Tapi apa yang kami perolehi?Terpulanglah apa juga pandangan daripada guru-guru muda.

Semua warga pendidikan harus berasa bangga dan menaruh keyakinan terhadap kursus NPQH dan Ijazah Sarjana Pengurusan Pendidikan yang dianjurkan. Ia adalah agenda Kebangsaan bagi Kementerian Pelajaran. Negara-negara yang maju sentiasa meletakkan darjah kebolehan dan kelayakan sebagai syarat utama kepada sesuatu pemilihan. Kewujudan kursus ini adalah antara usaha penting ke arah memartabatkan profesion keguruan selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Semua pihak dari peringkat pengurusan atasan hinggalah peringkat bawahan harus bersikap terbuka sekiranya negara mengharapkan peningkatan kualiti pelajar, kualiti pengurusan sekolah dan kualiti pendidikan negara hingga ke taraf dunia.

Sekolah harus dikendalikan oleh individu yang berilmu pengetahuan. Bukan individu yang menunggu jawatan berdasarkan kekananan tetapi tidak berupaya melaksanakan peranan. Perjawatan harus dilihat sebagai tanggungjawab dan bukannya keistimewaan. Perjawatan harus disertakan dengan pelaksanaan tanggungjawab yang didokongi oleh sesuatu jawatan tersebut.
Banyak wang dibelanjakan dan tenaga dicurahkan bagi menjayakan program ini. Adalah amat malang kepada dunia pendidikan negara seandainya pemindahan latihan oleh lepasan NPQH (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan) ini terhalang semata-mata kerana halangan-halangan yang tidak jelas.

Peluang dan ruang perlulah diberikan kepada peserta. Dorongan, sokongan dan galakan perlu dihulurkan. Adalah menjadi usaha Malaysia menjadikan pendidikan bertaraf dunia dilaksanakan di negara ini, tetapi apa yang berlaku pada hari ini merupakan kenyataan yang harus dilihat secara serius agar pendidikan tidak diperkotak-katikkan.

Di Malaysia program latihan telah menjadi agenda nasional terutamanya dalam proses pembentukan budaya kerja cemerlang dalam sesebuah organisasi. Oleh itu adalah satu perkara yang menarik untuk mengetahui tahap pemindahan latihan bagi program latihan yang dijalankan di negara kita.

Pelantikan jawatan Penolong Kanan Sekolah Rendah baru-baru ini telah membuktikan bahawa NPQH diabaikan. Kami yang dahulunya memegang jawatan Guru Penolong Kanan Sekolah Rendah, ada juga di kalangan kami yang telah memangku jawatan Guru Besar, terpaksa meletakkan jawatan kerana tidak boleh dilantik ke jawatan hakiki Penolong Kanan kerana telah dilantik sebagai guru DG41 dan dianggap tidak memenuhi syarat-syarat kenaikan pangkat yang ditetapkan. Sedangkan, kami mempunyai pengalaman mengajar yang cukup lama.

Kami dikatakan akan mengisi jawatan-jawatan utama. Namun setelah 11 tahun masa berlalu dan tiada apa-apa perubahan kepada kedudukan peserta NPQH, ia dilihat sebagai satu kemenangan yang amat besar kepada golongan yang menentang perubahan berlaku dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Oleh itu, Kementerian Pelajaran perlu melihat semula dasar yang mengetepikan peluang pendidik untuk mencurahkan khidmat terbaik kepada sekolah. Kaji semula sistem pelantikan guru besar, jika perlu diubah maka lakukan segera.