Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Ahad, Jun 27, 2010

KEMBARA MAHKOTA 2010





Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010 yang berlangsung tiga hari bermula hari ini, bakal menyaksikan Sultan Ibrahim memandu sendiri lokomotif jenis kelas 26 The Blue Tiger merentasi 391.3 kilometer membabitkan empat daerah Johor Bahru, Kulaijaya, Kluang dan Segamat.

Acara pelepasan itu bakal disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Stesen Johor Bahru Sentral, di sini, pada jam 10 pagi sekali gus merasmikan stesen berkenaan.
Pengurus Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) Wilayah Selatan, Tariq Omar Mohamed berkata, pihaknya berbesar hati dan tidak sabar menantikan detik bersejarah bermula pengembaraan itu.

“Semua persiapan termasuk kerja pembaikan dan penyelenggaraan termasuk aspek keselamatan sudah dijalankan sejak sebulan yang lalu di semua stesen terbabit. Seramai 70 orang daripada pihak kami akan terbabit dalam siri jelajah tiga hari dua malam itu dan apa yang pasti kami sudah bersedia untuk memulakan pengembaraan ini,” katanya pada taklimat bersama media sempena KMJ 2010 di sini, semalam.

Hadir sama Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Johor, A Jabar Md Tahir dan Setiausaha KMJ, Kamal Hisham Jaafar. Kamal Hisham berkata, usaha Sultan memandu sendiri kereta api berkenaan bakal mendapat pengiktirafan Buku Rekod Malaysia sebagai Sultan pertama memandu kereta api secara rasmi.

“Majlis pengiktirafan itu akan diadakan di Stesen Gemas sebaik baginda berjaya memusingkan lokomotif kereta api berkenaan secara manual dengan menggunakan ‘turn table’ sebagai satu syarat memiliki Lesen Kelas 26 iaitu lesen memandu kereta api yang sah,” katanya.

Menurut Kamal Hisham, baginda dalam titahnya akan meneruskan tradisi program berorientasikan mesra rakyat dan mengeratkan hubungan antara kerabat diraja dan rakyat.

“Baginda akan terus menerajui Kembara Mahkota Johor selepas ini meskipun dimasyurkan sebagai Sultan. Nama KMJ juga dikekalkan dan bukan ditukar menjadi Kembara Diraja Johor walaupun baginda dimasyurkan menjadi Sultan bagi mengelakkan kekeliruan rakyat mengenali jenama KMJ sejak 2001,” katanya.

Jumaat, Jun 25, 2010

PENGAJIAN DIPLOMA LEBIH JAMIN TEMPAT PELAJAR MELAYU DI IPTA

Berita Harian 26 Jun 2010

AYAH mahu kamu belajar sampai masuk universiti. Keluar nanti jadi doktor. Belajar rajin-rajin supaya boleh masuk universiti. Keluarga kita bukannya ada duit nak hantar kamu ke kolej swasta. Tekanan sebegini selalu sangat diberikan ibu bapa kepada anak mereka terutama bagi yang mahu menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini kerana bagi ibu bapa, tiada jalan terbaik bagi merencanakan masa depan anak mereka kecuali mengejar ijazah di universiti terkemuka.

Jika ditanya pada pelajar, ramai yang menyatakan keinginan untuk mengikuti pengajian ijazah berbanding diploma, sedangkan sudah ramai pelajar berjaya mencapai kedudukan tinggi dalam kerjaya hanya bermula dengan diploma.

Mungkin atas sebab itulah, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar membuat kenyataan seolah-olah mempertikaikan keberkesanan sistem matrikulasi dalam menjanjikan peluang kemasukan ke jurusan ijazah, selain sijil matrikulasi sendiri tidak layak dijadikan dokumen rasmi menyertai pasaran pekerjaan.

Kata Dr Sahol Hamid, jika dibuat perbandingan, pelajar yang memasuki jurusan matrikulasi terpaksa bersaing dengan pelajar bukan Bumiputera yang mengambil peperiksaan STPM dan kebiasaannya, mereka akan mengisi tempat dalam jurusan perdana, misalnya perubatan dan perakaunan. Keadaan ini menyebabkan ramai pelajar Melayu yang juga lulus cemerlang tetapi gagal dalam kiraan merit akan diserapkan ke jurusan bukan pilihan mereka, sekali gus bakal melahirkan bakal pekerja kurang berkualiti disebabkan ia bukan pilihan mereka. Ia sekali gus merugikan industri, malah dikatakan antara penyebab ramai pelajar lepasan ijazah memilih menjadi guru dengan menyertai Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI).

“Jumlah pelajar matrikulasi gagal mendapat tempat dalam jurusan yang mereka minat semakin ramai. Boleh dikatakan membimbangkan dan perlu tindakan segera. Realitinya, ramai yang tak sedar bahawa ada jalan lain untuk menyertai kursus yang mereka lebih berminat. Pengambilan pelajar matrikulasi perlu dikurangkan supaya lebih fokus dapat diberikan. Ia penting bagi memastikan mereka yang memasuki matrikulasi mendapat tempat dalam jurusan yang mereka minat. Tempat ke universiti untuk pelajar matrikulasi memang cukup tetapi masalahnya ialah jurusan. Bukan semua 30,000 pelajar matrikulasi berjaya, ada yang gagal,” katanya.

Beliau berkata, tempoh pengajian dalam bidang matrikulasi selama setahun pendek berbanding dua tahun bagi pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan tiga tahun bagi diploma, sekali gus mewujudkan tekanan tinggi terhadap pelajar matrikulasi untuk menghabiskan pelajaran dalam masa singkat.

“Budaya pelajar Melayu belajar sangat berbeza. Orang kita tak tahan tekanan. Mereka sebenarnya hebat tetapi ada budaya belajar tersendiri. Mereka bukan manja tetapi memerlukan tempoh agak panjang untuk membiasakan diri. Sebenarnya, jika diberi ruang dan masa secukupnya, orang kita (Melayu) mampu tampil hebat,” katanya.

Beliau berkata, persoalan lain ialah adakah pelajar matrikulasi sekadar menghafal untuk lulus cemerlang atau benar-benar menguasai ilmu yang diajar. Dr Sahol berpendapat lebih menguntungkan jika pelajar memasuki jurusan peringkat diploma terlebih dulu kerana ia akan membolehkan mereka memasuki kursus diminati dan pasti ada tempat di universiti yang mempunyai pelbagai cabang kursus.

Selain itu, katanya, pembelajaran pada peringkat diploma lebih sesuai untuk membina daya pemikiran mengikut umur dan memberi peluang pelajar menyerap tekanan dengan lebih baik kerana tempoh pengajian lebih selesa selama tiga tahun.

“Peluang untuk lulus dalam jurusan peringkat diploma pula tinggi. Ketika ini mereka mempunyai dua peluang saluran iaitu ke peringkat ijazah atau memasuki industri. Berbanding ketika di matrikulasi, ramai yang gagal mendapat tempat sesuai. Sekurang-kurangnya, jika memasuki kursus diploma dan gagal mendapat kelulusan cemerlang, mereka masih boleh bekerja. Peratusan gagal dalam diploma pula tidak lebih lima peratus,” katanya.

Katanya, meskipun banyak manfaat jika memasuki kursus diploma, tidak ramai sedar kerana berasakan ia adalah peringkat rendah berbanding matrikulasi. Selain itu, pihak sekolah atau kaunselor sendiri kurang faham mengenai faedah dan keburukan sesuatu kursus.

Merujuk kepada peluang kerjaya, Dr Sahol berkata kebanyakan syarikat atau industri lebih berminat dengan pelajar berkemahiran dan yang memiliki diploma.

“Saya kerap dikunjungi wakil industri yang lebih berminat dengan pelajar diploma kerana mereka berkemahiran,” katanya.

Justeru, beliau berpendapat Kementerian Pelajaran tidak perlu membuat pengambilan terlalu ramai untuk peringkat matrikulasi bagi mengelakkan pelajar Melayu tidak rugi dan gagal memperoleh kursus yang dikehendaki. Ini kerana, katanya, pengamatannya ke atas kualiti pelajar di universiti dan lepasan diploma yang menyambung pengajian ke peringkat ijazah lebih berkualiti berbanding mereka yang menyertai matrikulasi terlebih dulu.

Ahad, Jun 20, 2010

AFRIKA SELATAN SAMBUT PEMAIN DAN TETAMU PERTANDINGAN BOLA SEPAK PIALA DUNIA 2010

Petikan daripada Harian Metro
11 Jun 2010



Tarikh 11 Jun 2010 adalah tarikh yang dinantikan oleh Afrika Selatan dan peminat bola sepak seluruh dunia apabila sepak mula perlawanan antara Afrika Selatan dengan Mexico sebagai permulaan pemburuan Piala Dunia. Negara itu akan mula membentangkan permaidani merah untuk menyambut 32 pasukan terbaik dunia serta penyokong masing-masing apabila Piala Dunia akan membuat sepak mula di stadium baru di Johannesburg, Soccer City.

Ketika ini, demam Piala Dunia sudah melanda sembilan wilayah Afrika Selatan yang akan menjadi tuan rumah kepada puluhan perlawanan yang dianggap sebagai sukan paling utama di dunia. Tahap keceriaan yang dapat dilihat di setiap pelosok Afrika Selatan juga meningkat 10 kali ganda ketika rakyat mereka menyifatkan apa yang bakal berlaku dalam beberapa hari ini sebagai keajaiban kedua - yang pertama ialah ketika Afrika Selatan berjaya bergelar negara demokrasi.

Pergilah ke mana saja di sekitar Afrika Selatan dan apa yang anda bakal saksikan ialah bendera kebangsaan mereka digantung tinggi dan setiap satu daripada tiga kereta rakyat mereka, pasti dilekatkan dengan bendera.

Bagi pasukan tuan rumah, keghairahan penyokong mereka terbukti apabila beribu-ribu membanjiri jalanan di Johannesburg kelmarin sambil menari dan berteriak memanggil nama-nama pemain pujaan mereka ketika demam Piala Dunia semakin memuncak.

Menyarung jersi berwarna kuning, skaf dan topi serta meniup vuzuzela, penyokong pelbagai kalangan usia menyertai perarakan di jalanan untuk menyokong pasukan mereka yang dikatakan membantu menyatukan negara itu yang masih terpisah 16 tahun selepas berakhirnya dasar aparteid.

Malah Presiden Jacob Zuma berkata acara bola sepak terulung itu, yang pertama diadakan di benua itu, menyatukan Afrika Selatan seperti kejayaan Piala Dunia Ragbi 1995 yang membantu memecah sempadan perkauman dan akan meninggalkan kesan mendalam buat beberapa dekad akan datang.

Kelmarin juga menyaksikan pasukan juara dunia, Itali tampil sebagai pasukan paling akhir tiba bagi menyertai temasya bola sepak selama sebulan itu. Kapal terbang yang disewa khas dinaiki pemain dan pegawai pasukan Itali itu mendarat di lapangan terbang Johannesburg kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan selepas penerbangan selama sembilan setengah jam dari Milan.

Sementara itu, 97 peratus daripada tiket Piala Dunia sudah dijual dan penganjur menjangkakan akan menjual lebih 98 peratus daripada lebih 3 juta tiket ditawarkan. Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengeluarkan angka dua hari sebelum perlawanan pembukaan menunjukkan 135,000 daripada 3.01 juta tiket masih belum dijual.

Bintang pop Colombia, Shakira pula menghabiskan masa mengajar kanak-kanak menari mengikut rentak lagu rasmi Piala Dunia "Waka Waka" di Soweto, bandar yang paling ramai dihuni kaum kulit hitam di Afrika Selatan. Penyanyi-penulis lirik yang memenangi anugerah Grammy itu, menyertai bintang muzik lain termasuk Black Eyes Peas dan Alicia Keys menyertai satu konsert semalam, sehari sebelum bermulanya Piala Dunia pertama di bumi Afrika. Shakira, duta muhibah Tabung Kanak-kanak Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef), melawat Sekolah Rendah Isu'lihle di Soweto sebagai sebahagian daripada kerja amalnya yang menonjolkan pentingnya pelajaran buat kanak-kanak.


Info Bola Sepak Piala Dunia
Dari segi sejarah, bola sepak Piala dunia pertama kali dicetuskan pada 26 Mei 1928 di Amsterdam. Sebelumnya bola sepak hanya dipertandingkan di sukan olimpik.


Piala Dunia pertama berlangsung di Uruguay pada 13-30 Julai 1930. Presiden FIFA pada waktu itu, Jules Rimet, berharap pertandingan antara negara ini dapat mencipta perdamaian dunia. Kejohanan pertama itu disertai oleh 13 buah negara yakni Amerika Syarikat, Perancis, Romania, Belgium, Yugoslavia, Argentina, Chile, Mexico, Brazil, Bolivia, Uruguay, Peru dan Paraguay. Tuan rumah Uruguay keluar sebagai juara setelah mengalahkan Argentina dengan 4-2 di perlawanan akhir yang melayakkan negara tersebut memperolehi trofi Jules Rimet Cup yang bertatahkan emas. Semasa Perang Dunia II, kejuaraan ini terhenti selama 12 tahun. Ia dimulai kembali pada tahun 1950 di Brazil.

Pada tahun 1970 di Mexico, FIFA telah memutuskan untuk Brazil menyimpan piala Jules Rimet kerana berjaya menjadi negara pertama yang menjuarai kejohanan itu sebanyak 3 kali iaitu pada 1958, 1962 dan 1970.

FIFA kemudian membuat trofi dunia yang baru. Trofi Piala Dunia itu berukuran 36.8 sentimeter dan seberat 6.175 kilogram diperbuat daripada emas padu 18 karat, yang menjadi rebutan hingga sekarang. Piala ini tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun kecuali oleh negara pemenang. Piala ini menggantikan Jules Rimet Trophy yang telah digunakan dari 1930 hingga 1970. Jules Rimet Trophy ini telah diserahkan kpd pasukan Brazil sebagai penghormatan memenangi World Cup pada tahun 1970 di Mexico dan juga telah memenangi kejuaraan sebanyak tiga kali.


Harapan/impian (?)
Harapan/impian kami iaitu pada suatu hari nanti ada di kalangan pelajar-pelajar SMK Telok Kerang yang beraksi di Pertandingan Bola Sepak Piala Dunia.

Selasa, Jun 15, 2010

GURU DAN CUTI SEKOLAH

Cuti sekolah datang lagi.

Belum lagi bercuti Ustaz Sukri Osman dah beri sehelai kertas yang di permukaan kertas itu tertulis jadual kelas tambahan masa cuti. Kena buat kelas tambahan dua kelas iaitu Tingkatan 3P (hari Rabu 9 Jun 2010) dan Tingkatan 5T (hari Khamis 10 Jun 2010). Kedua-duanya kelas peperiksaan.
Hari Khamis pula kena duduk di bangku yang disediakan dan tak perlu bayar di dewan peperiksaan ambil PTK. Pada 6 hingga 8 Jun 2010 pula aku kena uruskan program perkhemahan peringkat daerah iaitu Perkhemahan Pentaulihan Pangkat Sarjan dan Koperal Kor Kadet Polis Daerah Pontian, di Sungai Bantang, Segamat, Johor. Di kampung pulak ada dua sahabat yang nak buat kerja kenduri kahwin. Adat orang berkampung, kenduri-kendara patut ditolong. Bila nak balik kampung?

Awal cuti iaitu pada hari Ahad, pagi-pagi lagi pukul 6.30 pagi dah terpacak di sekolah. Pagi ini kena uruskan budak-budak Kadet Polis sekolah dan daerah Pontian untuk menjalankan aktiviti perkhemahan selama tiga hari. Nak uruskan 300 ahli kadet bukan mudah. Nak juga fikirkan dan uruskan tentang kenderaan, tapak perkhemahan, sijil-sijil, t-shirt perkhemahan , elektrik dan macam-macam lagi....

Sebagai Timbalan Komandan Perkhemahan kena pastikan semua ahli kadet sampai dengan selamat. Kena juga pastikan ahli kadet makan dengan sempurna. Kena juga pastikan keselamatan semasa berkhemah. Maklumlahlah kawasan perkhemahan tu adalah kawasan lata dimana air jernih mengalir dengan laju. Bebudak bukan fikir sangat, nampak aje air terus terjun...pantang beri sedikit peluang terus berkubang....
Selama tiga hari berkhemah nampaknya soal keselamatan dapat dikawal. Soal sakit pening dan terseliuh memang ada. Cikgu-cikgu hantar yang berkenaan ke klinik berhampiran. Dresser pulak bagus....pukul 11 malam masih bersedia merawat pesakit. Syukur alhamdulillah...

Terima kasih aku ucapkan kepada Komandan Perkhemahan iaitu C/Insp. Johari Bin Abdullah dan pegawai-pegawai IPD Pontian yang bersungguh-sungguh memberi kerjasama, kepada rakanku Cikgu Mohd Nazri B Lajim, En. Hamid B Selamat, PPPD Pontian dan Tuan Pengetua sekolahku yang turut sama hadir, rakan-rakan guru sekolahku, rakan-rakan guru Kadet Polis yang mengiringi ahli-ahli kadet, isteriku yang sama-sama ikut, kepada Syarikat Beras Faiza dan Syarikat Lee Biscuits. Juga kepada Pn Habibah Abd Rahim yang menyumbang 20 ekor ayam siap potong dan cuci kepada ahli-ahli kadet sekolahku, dan kepada semua penyumbang-penyumbang yang tak tertulis di sini.

Setelah selesai perkhemahan, bergeraklah lori-lori PDRM membawa ahli-ahli Kadet Polis yang seramai 300 orang itu balik ke sekolah masing-masing. Aku masih lagi berada di tapak perkhemahan. Aku nak pastikan tidak ada sehelai tali yang bersepah di kawasan tapak perkhemahan. Lebih kurang 20 minit mundar-mandir di kawasan itu dan aku pasti kawasan betul-betul bersih, barulah aku serahkan tapak tersebut kepada Pegawai Renjer Jabatan Perhutanan iaitu En. Hussien Bin Abd Latiff.

Kerja belum habis lagi....

Kami sampai di sekolah pada pukul 8.00 malam. Aku juga kena pastikan barang-barang, peralatan dan khemah disimpan di dalam stor. Tak boleh letak bersepah-sepah. Kemudian duduklah aku di pintu gate depan pondok jaga memastikan pula bebudak kadet itu balik bersama ibu bapa diorang. Sekali lagi akulah orang terakhir meninggalkan sekolah...Pukul 10 malam barulah sampai di rumah.
Hari Rabu buat kelas tambahan bebudak Tingkatan 5T. Tak ramai yang hadir.

Hari Khamis duduk periksa PTK di SMK Dato' Penggawa Barat. Macam mana nak dapat 4/4, studi pun tak pernah. Macam mana nak studi kalau pada waktu yang sama ada program yang terpaksa kita buat bersama anak didik kita? Haaaa tu nak menyalahkan orang lain la...tu....
Habis periksa PTK balik ke rumah. Orang rumah dan anak dah siap-siap beg nak balik kampung. Selepas solat zohor lebih kurang 2 petang bertolak balik kampung. Singgah ambil anak, Nur Izyani Nadhirah yang sedang belajar kursus persediaan di Kolej Teknologi Timur, Sepang. Lepas tu bertolak pulak ke Shah Alam ambil seorang lagi anak, Fakhrul Razin yang belajar inter-sessi di UITM Shah Alam. Bertolak dari Shah Alam menuju ke utara pada pukul 8 malam. Sampai di Rawang, berhenti rehat, makan malam, solat dan isi minyak. Sampai di Ipoh pukul 11.30 malam. Mata dah mengantuk. Asyik menguap. Tahankan juga sehingga sampai RR Sungai Perak. Ambil kesempatan tidur dalam MPV. Apabila terjaga, jam menunjukkan pukul 1 malam. Orang rumah dan anak-anak silih berganti tunggu akau tidur. Dah jaga dan dah cuci muka, aku minum kopi-o panas. Dah segar semula, aku pecut MPV menuju Bagan Serai dengan membelah kegelapan malam.
Sampai di rumah mertua di Bagan Serai pukul 2.30 pagi.
Ya Allah aku bersyukur kepadaMu kerana kami sekeluarga selamat sampai ke destinasi...

Sabtu, Jun 12, 2010

THE TREE TOP WALK SUNGAI SEDIM - PENDIDIKAN MENYANYANGI ALAM SEMULA JADI

Pada cuti sekolah ini, apabila kami balik kampung di Bagan Serai, kitorang mengambil kesempatan pergi TTTWSS. Apa benda tu? The Tree Top Walk Sungai Sedim. Kawasan ini terletak di Sungai Sedim, Kulim, Kedah. Kalau nak pergi ke sana ikut sahaja penunjuk arah yang disediakan di sepanjang jalan, insyaallah sampai.

Tree Top Walk ini merupakan projek pertama yang seumpamanya oleh kerajaan Malaysia dalam usaha untuk membangunkan eko-pelancongan. Projek ini dibina di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas. Pembinaannya bermula pada 15 Januari 2004 dan siap sepenuhnya pada 7 Mac 2005. Ia adalah pejalan kanopi di atas silara pokok yang terpanjang di dunia. Panjang 'canopy walk' ini ialah 925 metar. Ia dilancarkan secara rasminya pada 5 Mac 2009 oleh DYMM Tuanku Sultan Kedah.

Waktu operasi 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Dibuka setiap hari sepanjang tahun kecuali ketika cuaca terlampau (hujan lebat, kilat, angin kencang). Bayaran yang dikenakan untuk menaiki Tree Top Walk ialah RM10 untuk orang dewasa dan RM6 untuk kanak-kanak bawah 7 tahun.

Aktiviti:
  1. Canopy walk
  2. Jungle trekking
  3. Educational jungle walk
  4. Night walk
  5. Flying fox
  6. Abseiling
  7. Obstacle course - nature
  8. Jungle survival
  9. Nature hunt
  10. Nature camp
  11. Family day
  12. Tubing
  13. White water rafting
  14. Orienteering
  15. River crossing

Kawasan TTTWSS ini memang cantik dan bersih. Arus air sungainya mengalir deras melanggar dan melepasi batu-batu yang meninggalkan kesan bunyi yang kuat. Kawasan ini memang sesuai dijadikan kawasan pendidikan khususnya pendidikan mencintai alam semula jadi. Pakej pendidikan yang disediakan memang kena pada tempatnya iaitu: hutan hujan khatulistiwa yang menghijau, kebersihan aliran air sungai yang bersih dan jernih, memerhati kanopi pokok-pokok dari atas, menghayati kehidupan alam semula jadi yang terbentang, dan yang tak kurang hebatnya ialah pendidikan menguatkan semangat dan fizikal untuk meniti jambatan TTW.

Terus terang saya katakan bahawa rasa gayat menyelubungi fizikal kita semasa meniti TTW ini. Saya tak sanggup untuk menghabiskan titian sejauh 925 meter yang disediakan. Bayangkanlah diri kita berada di awang-awangan dimana di atas kita ialah awan yang membiru dan di bawah kita adalah rimbunan daun-daun pokok.

Hanya orang yang berani dipersilakan meniti TTW ini.


Sungai yang airnya mengalir deras.

Air sungai bersih dan jernih.

Aliran air deras pada batu meninggalkan kesan bunyi yang kuat.

Jambatan yang cantik merentangi Sungai Sedim.

Redup dan menyejukkan.

Lubuk yang menyegarkan.

Aliran air yang sejuk dan menyegarkan.

Papan tanda TTW berlatar belakangkan titian TTW.

Titian Tree Top Walk di atas kanopi pokok-pokok.

Titian Tree Top Walk.

Penunjuk arah di Tree Top Walk.

Pakailah kasut jika hendak berjalan di Tree Top Walk ini.

Perjalanan sejauh 925 TTW bermula di sini.

Tree Top Walk ilihat dari bawah.