Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Isnin, Januari 30, 2012

AWAN NANO MENJUARAI LAGU TERBAIK ANUGERAH JUARA LAGU KE-26

Karya Datuk M Nasir masih berbisa apabila lagu ciptaannya Awan Nano diangkat sebagai Lagu Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam. Lagu itu dinyanyikan oleh penyanyi muda dari Sarawak, Hafiz. Malahan dengan penghayatan yang baik ketika menyampaikan lagu itu, membuatkan Hafiz turut dipilih memenangi hadiah Vokal Terbaik AJL26.
 
Awan Nano yang seni katanya karangan Budi Hekayat dan dinyanyikan Hafiz Suip, akhirnya berjaya dijulang sebagai juara. Dengan kemenangan itu, mereka bertiga berkongsi wang RM35,000.
Dengan hanya pakaian lusuh dan berkaki ayam, Hafiz tetap berjaya mencuri tumpuan juri sehingga meraih trofi Vokal Terbaik. Anak muda berasal dari Sarawak itu turut meraih kejayaan berganda seperti AJL25 bagi kategori itu dengan wang tunai RM10,000.

Ia turut dibantu penyanyi 1980-an, Herman Tino yang berlakon sebagai ayah Hafiz melalui muzik video mereka. Sementara itu, sedutan daripada klip video yang menunjukkan Herman Tino menampar Hafiz menjadi pembuka persembahan kepada anak muda daripada Sarawak itu saat menyampaikan Awan Nano. Ternyata, Hafiz tampil sangat ringkas dan kelihatan cukup yakin dengan melodi, muzik dan seni kata lagu nyanyiannya.

Walaupun ramai yang kata lagu itu sangat ‘berat’ dan susah untuk dinyanyikan, Hafiz tidak pula mengambil pendapat ramai itu sebagai tekanan, sebaliknya dia mengambilnya sebagai cabaran buat dirinya bagi mempersembahkan yang terbaik.

“Baik atau buruknya sesuatu perkara itu, ia adalah cabaran buat saya. Memang benar, sukar untuk menyanyikan lagu ini dan tidak boleh bergantung kepada kehebatan vokal semata-mata kerana Awan Nano padat dengan emosi. Apabila menyanyikan lagu ini ia seperti bercerita kisah hidup kita. Seni katanya menyentuh jiwa dan untuk melahirkan emosi. Saya bayangkan walau apa pun berlaku, kita mesti menyayangi dan menghargai ibu bapa kita,” tegasnya.

Apabila sudah dinobatkan yang terbaik, Hafiz sedar perjuangannya tidak berhenti setakat itu saja, sebaliknya dia menggalas harapan dan amanah yang besar daripada peminat. Dengan segala usaha dan persediaan untuk menghadapi cabaran AJL26, Hafiz puas hati dengan persembahannya dan akan menyimpan wang kemenangannya untuk masa depannya dan keluarga.

M Nasir yang sudah biasa menjulang trofi AJL bagaimanapun hanya mampu mengucapkan itu semua adalah suratan nasib. Nasir bagaikan kehabisan kata-kata dengan kemenangan Awan Nano kerana baginya komposer muda yang bersaing pada malam itu cukup hebat seperti Aizat (Sungai Lui), Yuna (Penakut & Gadis Semasa) dan Najwa Latif (Cinta Muka Buku).

“Apabila bertanding, saya memang mahu menang dan apabila buat lagu, saya mesti buat yang sedap dan melebihi daripada biasa sambil memikirkan mungkin orang boleh suka dengan lagu itu. Walaupun pada masa sama saya sebenarnya tak ada kuasa menentukan apa yang orang suka. Saya tak tahu nasib lagu ini kerana komposer lain pun hebat juga. Dengan kemenangan ini, lagu berentak balada kembali diminati kerana balada hari ini ada aliran tersendiri dan ia semakin berubah kerana banyak dipengaruhi muzik Indonesia,” katanya.

Pertandingan yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil itu disaksikan 15,000 penonton yang dihoskan Faizal Ismail (FBI) dan Cheryl Samad. Hadiah pemenang disampaikan Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Ahmad Izham Omar.

Buat kali pertama juga, acara yang dinantikan setiap tahun itu memperkenalkan Anugerah Juara Mobile yang diadili berdasarkan lagu paling banyak dimuat turun dengan kerjasama Celcom. Ia dimenangi Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim.

AWAN NANO 
 
Lihat ke arah sana
Serakan warna dan berarakan awan
Pabila terik panas
Segera hadirnya memayungi diri

Pabila kau dahaga
Sesegera turun hujan melimpahkan kasihnya
Pabila kau katakan
Akulah awan itu yang kau mahu

Begitulah awan nano setia melindungi diri
Tika panas mencuba menggores pipi dan bibirmu
Begitulah awan nano sering saja tak terduga
Hadir dan tak akan tercapai jejarimu

Kasihnya kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Awan kekasih sebenarmu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu

Lihat diriku ini
Yang sesekali pernah kau bagaikan awan
Sehingga tak mungkin terlupa
Berikan belas sedari dulu

Sehingga tak mungkin termampu
Saksi setitis pun air matamu kasihku
Sehingga kau katakan
Akulah awan itu yang kau rindu

Akulah awanmu yang sedia melindungi dirimu
Tika panas mencuba menggores pipi dan bibirmu
Akulah awanmu yang sering kau rindu
Dan tak terduga hadirmu walau tak tercapai jejarimu

Kasihku kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu

Begitulah awan nano setia melindungi diri
Tika panas mencuba menggores pipi dan bibirmu
Begitulah awan nano sering saja tak terduga hadir
Dan tak akan tercapai jejarimu

Kasihku kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu

JUMLAH PELAJAR SAINS DI IPT SEMAKIN KURANG

Jumlah pelajar aliran sains di institut pengajian tinggi (IPT) berada pada tahap membimbangkan sekiranya tiada usaha dilakukan bagi menarik minat pelajar menceburi bidang berkenaan, sekali gus menjejaskan usaha kerajaan mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Ahli Majlis Penyelidikan Sains Kebangsaan, Prof Dr Halimaton Hamdan, berkata jumlah pelajaran aliran sains di IPT tempatan kini hanya sekitar 35,000 orang setahun berbanding sasaran 100,000 pelajar setahun. Beliau berkata, lebih membimbangkan lagi jumlah pelajar yang mengikuti aliran sains di sekolah hanya berada pada tahap 29 peratus dan dikhuatiri akan turut menjejaskan 'bekalan' pelajar aliran itu pada peringkat IPT.

"Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 500,000 tenaga kerja daripada aliran sains dan teknologi menjelang 2020 sekiranya status negara maju berpendapatan tinggi ingin direalisasikan," katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Minggu lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyuarakan kebimbangan berhubung peratusan pelajar mengambil jurusan sains yang terus merosot sehingga 29 peratus pada tahun ini dan menyifatkan keadaan itu sebagai amat kritikal.

Aliran penurunan itu bermula sejak 2007, sekali gus memperlahankan sasaran Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi 2020 yang memerlukan 60 peratus pelajar aliran sains dan selebihnya aliran sastera.

Halimaton berkata, kemerosotan itu berterusan hingga ke tahap universiti apabila pelajar yang memasuki IPT melihat pembelajaran dalam bidang sains tidak berbaloi selain mendapatinya sukar lagi membosankan.

Katanya, beberapa faktor seperti kurang minat dan anggapan bahawa bidang sains tidak menjanjikan gaji lumayan dalam kerjaya juga harus diberi perhatian oleh semua pihak berkenaan.

Beliau yang juga Setiausaha Bahagian Direktorat Nanoteknologi Kebangsaan, berkata pihaknya kini sedang menyediakan pelan tindakan bagi memastikan jumlah pelajaran aliran sains di universiti meningkat selari dengan sasaran kerajaan mencapai kuota 60 peratus pelajar aliran sains di IPT.

"Pelan tindakan ini dibuat untuk melihat cara bagaimana boleh kita meningkatkan pelajar dalam bidang sains secara keseluruhan, bukan saja pada peringkat IPT, sebaliknya pada peringkat sekolah lagi," katanya.

Sumber:  Berita Harian

Sabtu, Januari 28, 2012

PEMBAYARAN GAJI SBPA DITANGGUH SEHINGGA SKIM ITU DIMUKTAMADKAN

Kerajaan memutuskan pembayaran gaji di bawah Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) hanya akan dibuat selepas semakan semula terhadap skim itu dimuktamadkan. Kementerian Kewangan dalam kenyataannya, berkata, ia berikutan keputusan jemaah Menteri pada 11 Januari lalu supaya pelaksanaan SBPA disemak semula.

Menurutnya, bagi penjawat awam yang memilih opsyen SBPA, pembayaran baki perbezaan gaji bagi Januari di bawah SBPA tidak dapat dilaksanakan pada 31 Januari seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Pembayaran gaji bulanan di bawah SBPA mulai Februari juga tidak dapat dilaksanakan dan ia akan dibayar mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM). Keputusan itu berdasarkan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs),” katanya.

Menurutnya, pembayaran pelarasan gaji berdasarkan SBPA hanya akan dibuat selepas semakan semula SBPA dimuktamadkan dengan mengambil kira tarikh kuat kuasa SBPA pada 1 Januari.

Sementara itu, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan untuk menangguhkan pembayaran berkenaan kerana ia perlu diselaraskan secara menyeluruh.

“Seperti yang dinyatakan pihak kami sebelum ini, pelaksanaan SBPA tidak boleh dilakukan tanpa mengkaji kesamarataan dari segi bayaran gaji pegawai pelbagai gred. Ini kelak akan menimbulkan isu dan hak yang tidak adil,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, dalam usaha mencapai kata putus yang sepakat, beliau menyarankan supaya lebih ramai pegawai kanan daripada Cuepacs dilantik untuk menganggotai jawatankuasa semakan semula SBPA.

“Dengan adanya penambahan anggota kami, perkara ini mungkin boleh dilihat secara lebih jelas dan pembabitan persatuan sekerja lain boleh dibabitkan sekiranya ada isu berbangkit,” katanya.

Sumber:  Harian Metro

Hasan:  Tak apalah, asalkan semuanya berpuas hati. Sebelum ini yang senior berkerut dahi manakala yang junior senyum meleret...

IBU BALING ANAK KE DINDING HANYA KERANA ANAK MINTA SARAPAN SEBELUM KE SEKOLAH

BATU PAHAT: Hanya kerana merengek meminta disediakan sarapan, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dicampakkan ke dinding oleh ibunya selepas dipukul berkali-kali di rumah mereka di sini, kelmarin.

Kejadian dikatakan berlaku pada jam 7 pagi ketika kanak-kanak berkenaan sudah siap memakai pakaian seragam untuk ke sekolah. Sumber polis berkata, sebelum kejadian ibu mangsa yang berusia 30-an, sedang bersiap hendak menghantar anaknya itu ke sekolah berhampiran, namun mangsa merengek meminta diberikan sarapan terlebih dulu.

“Berikutan itu, suspek dikatakan naik angin lalu memukul mangsa berkali-kali sebelum mencampaknya ke dinding. Wanita itu kemudian menghantar anaknya ke sekolah dan memberi amaran supaya tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa. Bagaimanapun, beberapa ahli keluarga menyedari kesan lebam pada mangsa memujuk kanak-kanak itu menceritakan apa yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan ketakutan, mangsa menceritakan kejadian menimpanya dan ahli keluarga ibunya cuba menghantarnya ke hospital bagi mendapatkan rawatan, namun usaha itu dihalang suspek.

“Suspek turut memberi amaran kepada ahli keluarganya supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa,” katanya.

Keluarga suspek kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada hari yang sama.

Sumber: Harian Metro

Hasan: 
  • Anak-anak tidak selamat walaupun di rumah sendiri.
  • Aku suka sangat jika anak-anak aku minta  pada ibunya buatkan sarapan esok hari sebelum tidur. Rasa air tangan ibu.

Sabtu, Januari 21, 2012

CIRI-CIRI GURU SEBAGAI PENDIDIK

Adakah ciri-ciri berikut ada pada kita jika kita seorang guru?
  1. Beriman
  2. Berakhlak mulia
  3. Berilmu
  4. Bijak
  5. Fizikal cergas
  6. Berdisiplin
  7. Emosi stabil
  8. Futuris
  9. Gigih
  10. Dedikasi
  11. Hijrah
  12. Intelektual
  13. Bersemangat juang
  14. Kreatif
  15. Taat
  16. Bermatlamat
  17. Nekad
  18. Oportunis
  19. Proaktif
  20. Kualiti diri
  21. Rasional
  22. Sabar
  23. Tenang
  24. Kuat berusaha
  25. Tidak mudah putus asa
  26. Versatil
  27. Waspada
  28. X-Factor
  29. Optimis
  30. Zikrullah
.....wow

SBPA: PANEL KHAS DIBERI 3 BULAN UNTUK BUAT SEMAKAN SEMULA

Pasukan petugas khas dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam diberi tempoh tiga bulan untuk menyemak semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sini, pagi ini.

Lebih seminggu lalu, pentadbiran Najib menubuhkan Pasukan Petugas bagi menyemak semula skim SBPA yang pelaksanaannya mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan majoriti kakitangan awam. Ketika itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, pasukan tersebut akan mengadakan konsultasi dan perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan termasuk kesatuan dan persatuan sekerja. Ia ditubuhkan bagi melaksanakan semakan semula SBPA dengan mengambil kira prinsip-prinsip perkhidmatan dan saraan perkhidmatan awam.

Perdana Menteri berkata skim baru berkenaan mestilah mendapat kepuasan semua pihak sebelum dilaksanakan.

"Kerajaan akan pertimbangkan sebaik-baiknya agar ia memberi kepuasan kepada semua."

Najib berkata, kerajaan amat prihatin terhadap sebarang rasa tidak puas hati dan dakwaan kepincangan sistem baru itu dan bersedia menimbang rayuan yang dibuat dalam menambahbaikan sistem berkenaan. kerajaan juga bersedia menimbangkan pemberian gaji yang lebih kepada penjawat awam, bagaimanapun ia perlukan dikaitkan dengan peningkatan produktiviti mereka.

"Kerajaan boleh bagi tambahan gaji dan bonus tetapi ia perlu dikaitkan dengan produktiviti yang tinggi, kalau ekonomi menguncup, mana mana nak bagi kenaikan gaji dan bonus?," katanya.

Beliau berkata penjawat awam dilihat sebagai kumpulan yang amat penting dalam pentadbiran negara kerana apa jua dasar dan agenda besar bergantung kepada peranan serta sumbangan mereka.

"Penjawat awam adalah sekumpulan dalam pentadbiran negara, penting kerana apa agenda besar negara yang hendak dibawa kerajaan pada kesudahannya, kesampaiannya, bergantung kepada peranan dan sumbangan penjawat awam di seluruh negara, sama ada di peringkat pusat atau negeri," kata Najib.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga sedang dan akan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan menggunakan strategi baru yang perlu didukung penjawat awam bagi mencapai impian menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

"Menjelang fajar 2020, kita hendak mencapai sebuah negara maju, saya anggap wawasan yang dibuat (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai satu impak kepada negara, itulah yang kita sambut ketika itu, dan kurang daripada 10 tahun, kita nak capai negara maju, inilah cabaran kepada kita," katanya.

Najib berkata, kerajaan yang ketika ini melaksanakan pelbagai transformasi baru, juga melaksanakan pelbagai strategi baru bagi mencapai hasrat berkenaan.

"Ada kalanya strategi yang digunakan dahulu (pimpinan sebelum ini) baik dan tepat, tapi strategi itu menjadi kekangan (pada masa ini) dalam usaha kita untuk mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi," katanya.

Sumber: Sinar Harian 

Khamis, Januari 12, 2012

KABINET ARAH SKIM SBPA SEKTOR AWAM DITANGGUH


Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam. Difahamkan keputusan mengejutkan ini diputuskan dalam mesyuarat mingguan semalam.

Isnin lalu, kenyataan Kementerian Kewan gan menyebut pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia manakala perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen SBPA akan dibayar pada 31 Januari.

Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari.

Menurut sumber, Kabinet mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia.

Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi. Sebelum ini wujud dakwaan kononnya kakitangan kumpulan pengurusan tinggi dan kanan menerima kenaikan gaji sangat tinggi, sehingga mencecah 50 peratus. Bagaimanapun ia telah dinafikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah bulan lalu.

SBPA memperkenalkan sistem gaji satu lapis berbanding tiga lapis di bawah Sistem Saraan Malaysia.

Menurut sumber itu, kerajaan mahu kajian semula dijalankan ke atas keseluruhan komponen SBPA bagi memastikan tujuan pelaksanaan sistem gaji baru itu mencapai matlamat.

Mengenai tempoh penangguhan, sumber memberitahu, "ia kemungkinan besar akan mengambil masa beberapa bulan, juga kemungkinan hanya akan dilaksanakan selepas pilihan raya berakhir, supaya segala rasa tidak puas hati selesai dan diatasi secara menyeluruh."

Pegawai-pegawai kanan perkhidmatan enggan mengesahkan perkara itu. Bagaimanapun difahamkan Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini.

Pada 18 Disember lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membuat pendirian tegas dengan meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan SBPA dan mengadakan perundingan dengan badan induk kesatuan awam itu. Badan induk itu mendakwa pihaknya “amat kesal” kerana kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam tidak mengadakan langsung perundingan dengan Cuepacs sebelum menggubal dan melaksanakan SBPA. Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kerajaan seharusnya memastikan setiap anggota perkhidmatan awam, yang saiznya 1.4 juta orang, menerima maklumat yang tepat dan mendalam sebelum menerima opsyen pelaksanaan SBPA. Omar berkata, perkara itu akan dibawa ke perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Pertemuan itu telah diadakan akhir bulan lalu. Ketika itu, Cuepacs juga meminta ahli-ahlinya tidak menerima opsyen sehingga perkara ini selesai.

Jabatan itu membuka opsyen menerima SBPA mulai 16 Disember lalu dan ia sepatutnya ditutup pada 30 Disember, tetapi dilanjutkan sehingga 15 Januari selepas pertemuan Cuepacs dengan Najib.

Omar juga mendakwa kakitangan awam dipaksa menerima opsyen tanpa diberikan maklumat mengenai sifir gaji dan tangga gaji. Katanya, ia jauh berbeza berbanding ketika pelaksanaan Sistem Saraan Baru dan Sistem Saraan Malaysia sebelum ini.

Mengenai kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus yang diumumkan oleh Najib ketika pembentangan Bajet 2012 pada Oktober lalu, Omar berkata, perkiraan pihaknya menunjukkan sebaliknya. Ada yang mendakwa menerima kenaikan gaji jauh lebih rendah daripada kadar yang diumumkan Najib.

Beberapa parti politik juga menggesa kerajaan menangguhkan SBPA atas alasan mengabaikan kepentingan kakitangan kumpulan rendah, yang merupakan dua pertiga saiz kakitangan awam.

Sumber: Sinar Harian

Rabu, Januari 11, 2012

MENCARI KEREDHAAN IBU DAN BAPA

Ibu bapa merupakan pemimpin dalam kehidupan sesebuah keluarga. Bapa sebagai ketua keluarga, manakala ibu sebagai pembantunya. Kedua-dua mereka saling bekerjasama demi kebahagiaan dan keharmonian sesebuah keluarga.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a katanya: Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud, “Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka.” (Riwayat Muslim).

Bapa yang berkedudukan sebagai ketua bertungkus-lumus mencari nafkah untuk menyara makan dan minum serta keperluan-keperluan lain isteri dan anak-anaknya. Tidak kira apa jua keadaan sekalipun, selagi hayat di kandung badan, bapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada keluarga yang ditanggungnya.

Bagi ibu pula, peranan mereka juga besar, bermula daripada kesusahan mengandung selama sembilan bulan dan bergadai nyawa melahirkan anak, dia juga menguruskan rutin harian rumah tangga seperti mengasuh, memasak, mengemas, membasuh dan sebagainya.

Malah, dalam situasi kos sara hidup sekarang yang semakin meningkat, ibu juga turut keluar bekerja semata-mata untuk meringankan beban yang ditanggung oleh bapa.

Dimaksudkan dengan berbakti kepada kedua ibu bapa ini ialah berbuat baik kepada mereka, mentaati, melaksanakan hak-hak mereka, menjauhi tingkah laku yang boleh menyakiti hati orang tua dan banyak lagi perkara kebaikan yang boleh dilaksanakan untuk mereka.

ALLAH SWT berfirman bermaksud, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedangkan tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa 30 bulan”. (Surah al-Ahqaf ayat 15).

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah lalu bertanya: Siapakah manusia paling berhak untuk aku layani dengan sebaik mungkin? Rasulullah bersabda yang bermaksud: Ibumu. Beliau bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah bersabda: Kemudian ayahmu”. (Riwayat al-Bukhari).
 
Berbakti kepada ibu bapa itu sama nilainya dengan pahala jihad.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin ‘Asy katanya: “Pada suatu hari seorang lelaki datang menemui Rasulullah memohon izin untuk ikut berjihad bersama Baginda. Lantas Rasulullah bertanya kepada lelaki itu: “Adakah ibu bapa mu masih hidup?” Jawabnya: “Ya, mereka masih hidup.” Rasulullah bersabda: “Dalam diri orang tuamu itulah terdapat nilai jihad.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kewajipan berbakti terhadap kedua ibu bapa ini tidak terhenti walaupun mereka telah meninggal dunia. Bahkan anak-anak dikehendaki berdoa untuk mereka, menunaikan wasiat (jika ada), menunaikan janji mereka (jika ada), melakukan apa yang mereka sukai, berbuat baik dengan saudara mara dan sentiasa memuliakan sahabat-sahabat mereka.

Hal ini berdasarkan hadis-hadis Rasulullah yang bermaksud:

Diriwayatkan daripada Abi Usaid Malik bin Rabi’ah bahawa ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah, tiba-tiba datanglah seorang lelaki dari kabilah Bani Salamah berkata: “Ya Rasulullah, adakah terdapat kebaikan yang dapat saya lakukan kepada kedua ibu bapa yang telah meninggal dunia? Rasulullah menjawab: Ya, ada. Engkau berdoalah untuk keduanya, meminta diampunkan dosa-dosanya, tunaikan wasiat dan janji-janjinya, hubungkan silaturahim dengan saudara dan keluarganya dan hormati serta muliakan kawan-kawannya," (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, dan Ibn Hibban)

Sebenarnya, perintah Islam supaya menghormati ibu bapa ini berbentuk umum, sama ada mereka beragama Islam atau tidak. Cuma bagi ibu bapa yang bukan beragama Islam, perintah menghormati itu dengan bersyarat iaitu selagi mana ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara-perkara mensyirikkan ALLAH.

Diriwayatkan daripada Sa’id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa’ad adalah seorang kafir. Kerana terlalu benci kepada Rasulullah, suatu hari Ummu Sa’ad berkata kepada anaknya “Bukankah ALLAH menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi ALLAH, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad).” (Riwayat Muslim).

Berikutan peristiwa ini, ALLAH telah menurunkan ayat 8 daripada surah al-‘Ankabut yang bermaksud, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Aku (dalam Ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang telah kamu kerjakan”

Inilah cara-cara pergaulan dengan ibu bapa yang dianjurkan oleh Islam. Hormat dan taatlah kepada ibu bapa selagi mana suruhan mereka itu tidak melanggar atau bertentangan dengan syariat Islam.  
 
Fenomena anak-anak menghantar ibu bapa ke pusat jagaan orang tua, perkara itu tidak wajar dilakukan oleh seorang yang bergelar anak. Alasan menyusahkan, membebankan dan tidak ada masa tidak harus dikeluarkan daripada mulut seorang anak. Sepatutnya, ketika usia semakin lanjut sebeginilah mereka amat memerlukan layanan, perhatian, belaian dan kasih sayang anak-anak sebagaimana kita memerlukan kasih sayang dan perhatian mereka semasa kecil. Menjaga ibu bapa sakit merupakan khidmat bakti kepada ibu bapa yang tertinggi dan ia merupakan satu jihad.

Dalam pada itu, berbuat baik kepada ibu bapa banyak kelebihannya. Salah satu daripadanya ialah kelebihan yang pernah diterima oleh Uwais al-Qarni, pemuda miskin yang tinggal bersama ibunya yang sangat uzur di Yaman. Beliau amat mentaati ibunya dan segala urusan ibunya diuruskan oleh Uwais tanpa sedikit pun mengeluh dan merasa kepayahan. Ekoran ketaatannya itu, Rasulullah menjelaskan Uwais al-Qarni seorang yang terkenal di langit dan tidak terkenal di bumi.
 
Bagi mereka yang bergelar anak, segeralah berubah jika merasakan diri sentiasa menggores perasaan mereka. Jangan lagi mengecewakan insan-insan yang telah membesarkan kita dengan sikap tidak elok kerana hidup ini silih berganti dan umur pula semakin meningkat. Masih belum terlambat untuk berubah.
 
Sumber: Sinar Harian

MESSI PEMAIN BOLASEPAK TERBAIK DUNIA 2011

Lionel Messi menerima Anugerah FIFA Ballon d’Or 2011 buat kali ketiga sebagai Pemain Terbaik Dunia di sini, kelmarin. Pemain berusia 24 tahun yang juga penyerang Barcelona dan Argentina itu mengetepikan pesaing terdekat antaranya pemain Real Madrid, Cristiano Ronaldo serta rakan sepasukan, Xavi.

“Ini adalah sesuatu yang cukup membanggakan buat diri saya. Ini adalah kali ketiga saya memenanginya. Ini sesuatu penghormatan yang cukup mengagumkan. Saya mahu ucapkan terima kasih kepada semua yang telah bersama dengan saya, rakan-rakan, jurulatih Pep Guardiola dan semua di Barcelona. Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan kebangsaan saya iaitu Argentina,” kata Messi.

Messi juga menjadi individu kedua menerima anugerah tiga kali berturut-turut selepas Presiden UEFA Michel Platini.

“Saya mahu kongsi penghargaan ini dengan kawan sepasukan saya Xavi. Dia juga wajar menerima anugerah ini. Saya mahu kongsinya bersama anda kerana anda lebih berhak mendapatnya daripada saya. Saya juga amat bangga kerana dapat beraksi bersamanya,” kata Messi.

Pemilihan anugerah Ballon d’Or adalah berdasarkan pencapaian sebagai Pemain Terbaik Dunia FIFA 2010 dan diundi oleh jurulatih pasukan kebangsaan serta kapten selain mendapat penilaian panel wartawan bola sepak yang dipilih oleh majalah Bola Sepak Perancis.

Messi menjadi pilihan untuk anugerah tersebut selepas membantu kelabnya memperoleh lima trofi termasuk Liga Juara-Juara, Kelab Piala Dunia FIFA serta mempertahankan gelaran La Liga tiga kali berturut-turut.

Musim ini pemain tersebut telah menjaringkan 200 gol untuk Barcelona dan semakin menghampiri rekod Cesar Rodriguez yang telah menjaringkan 235 gol. Lebih manis buat Barcelona apabila jurulatih Guardiola dinamakan sebagai Jurulatih Terbaik FIFA. Bekas pemain Barcelona berusia 40 tahun itu dicalonkan bersama jurulatih Madrid Jose Mourinho dan pengurus Manchester United, Alex Ferguson.

“Saya mahu tujukan anugerah ini kepada mereka yang telah bekerja keras untuk Barcelona FC serta membantu membangunkan pasukan ini menjadi kelab terbaik dunia,” kata Guardiola.

Hasan: Semoga ada pemain Malaysia yang seiring dengan Messi. Tahniah Messi!

Selasa, Januari 10, 2012

MURID/PELAJAR CEMERLANG BERMULA AWAL

Sesi persekolahan 2012 sudah bermula. Pastinya pelajar sibuk menyesuaikan diri dengan pelajaran dan sekolah masing-masing. Pelajar cemerlang ialah mereka yang cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan rakan baru. Ada pelajar yang baru masuk sekolah iaitu mereka di tahun satu.

Apa sekalipun suasana dan keadaannya, pelajar mestilah berusaha memulakan langkah menuju kecemerlangan pada hari pertama.

Minggu pertama adalah penting kerana masa ini guru sibuk menyusun banyak perkara seperti jadual sekolah, melantik ketua kelas dan penolong, melantik ahli jawatankuasa kelas dan memaklumkan buku tambahan yang perlu dibeli. 
 
Jika pelajar tidak hadir ke kelas, banyak maklumat yang tidak diperoleh dan mereka lambat menyesuaikan diri.

Berikut adalah beberapa langkah yang perlu diambil oleh para pelajar bagi memastikan mereka boleh mencapai kecemerlangan pada tahun 2012 ini:
  1. Tidur awal dan bangun awal. Pelajar perlu cukup segar dan bertenaga apabila berada dalam kelas dan di sekolah. Pelajar yang aktif akan mendapat banyak ilmu dan peluang untuk maju. Ramai pelajar terutamanya pelajar yang tinggal di asrama mengantuk dalam kelas kesan dari kekurangan tidur. Jika tidur awal, pelajar boleh bangun lebih awal, bersiap-siap awal dan ketika menunggu masuknya waktu Subuh sempat membuat sedikit ulangkaji tentang apa yang akan dipelajari pada hari tersebut. 
  2. Mulakan dengan niat dan ‘mindset’ seorang juara. Usaha dan tindakan kita bergantung kepada cara fikir kita. Kalau kita rasakan yang kita boleh maka kita pasti melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. 
  3. Sebaliknya jika kita rasakan kita gagal, apa yang dilakukan hanya separuh hati. Ikhlaskan hati belajar kerana mencari ilmu dan kerana Allah. Soal berjaya atau tidak itu bukan urusan kita sebab hak manusia adalah berusaha dan hak Allah adalah menentukannya. Tetapi Allah itu adil. Jika kita berusaha bersungguh-sungguh dan dengan cara yang betul maka hasilnya pastilah cemerlang.  
  4. Pastikan bersarapan pagi. Ramai pelajar ke sekolah tanpa bersarapan. Sarapan bagi seperti mengalas perut dengan sekeping roti dan minum segelas susu sudah mencukupi. Sarapan pagi penting kerana ia mampu mencergaskan minda dan memberikan tenaga. Mereka yang bersarapan secara tetap menikmati kehidupan berkualiti, tersusun, bersikap positif, lebih langsing dan memiliki daya tumpuan yang lebih baik. 
  5. Tumpuan sepenuhnya dalam kelas. Kejayaan dalam peperiksaan bermula dari dalam kelas. Ramai pelajar yang tidak memberikan tumpuan di awal sesi persekolahan kerana mereka berfikir apa yang diajarkan itu mudah dan tiada masalah untuk melakukan ulangkaji. Tetapi, jika pelajar tidak memberikan tumpuan maka mereka tidak faham apa yang diajarkan. Jika apa yang dipelajari hari ini tidak difahami maka sukarlah untuk memahami apa yang diajarkan esok hari kerana memahmi prinsip asas, istilah, teori dan sebagainya itu penting. Dengan memberikan tumpuan dari awal pelajar boleh mengenalpasti kelemahan dan masalahnya dalam matapelajaran sebelum ia menjadi serius.  
  6. Banyak bertanya dan selesaikan segala masalah dan perkara yang tidak faham segera. Satu tabiat pelajar kita ialah malu atau takut untuk bertanya. Sangka mereka apabila bertanya nanti dilabel sebagai bodoh, cuba mencari perhatian, gila glamer dan sebagainya. Akhirnya, mereka lebih selesa mendiamkan sahaja dan merelakan dirinya tidak tahu. Pelajar sebenarnya punya beberapa pilihan untuk bertanya. Satu atau dua soalan mungkin boleh terus ditanya dalam kelas agar pelajar lain juga mendapat manfaat daripada apa yang disampaikan guru nanti. Bagaimanapun, kalau soalan itu banyak, eloklah dibuat temu janji dengan guru dan berbincang dengannya di luar waktu kelas.  
  7. Sampai saja di rumah, siapkan dahulu kerja sekolah. Jadikan ini sebagai satu tabiat. Ramai pelajar tidak menyiapkan kerja sekolah kerana mereka tidak meletakkannya sebagai keutamaan. Malah, mereka tidak fikir kerja sekolah itu penting. Tujuan guru memberikan kerja sekolah bukanlah bagi menyusahkan, tetapi sebaliknya bagi memastikan pelajar membuat ulang kaji dan melakukan latihan bagi memperkukuhkan lagi kefahamam mereka apa yang diajarkan.  
  8. Rancang masa dan jadual belajar. Tanpa pengurusan masa yang betul pelajar sukar untuk cemerlang. Sebagai seorang pelajar banyak perkara dan aktiviti yang mesti dilakukan disamping masa untuk diri sendiri.  
  9. Aktiviti seperi menyiapkan kerja sekolah, kelas tuisyen, kelas agama, ulang kaji, kokurikulum, beriadah, keluarga dan sebagainya perlu diatur dengan baik agar tidak menjejaskan prestasi akademik.  
  10. Di samping itu jadual belajar juga perlu diatur bagi memastikan semua subjek selesai diulangkaji sebelum waktu peperiksaan nanti. Dengan merancang awal, pelajar dapat lihat pergerakannya sepanjang tahun dan ke mana hala tujunya tahun ini.  
  11. Ulangkaji awal. Cuba untuk lakukan ulang kaji seawal mungkin. Usah tunggu sehingga apa yang dipelajari sudah terlalu banyak baru mahu memulakan proses ulangkaji itu.  Belajar awal adalah bagi memahami, menguasai dan menyediakan nota peperiksaan. Apa yang dibaca hari ini mungkin lupa esoknya. Itu perkara biasa. Tetapi dengan sering mengulang kaji pelajar akan mudah mengingatinya dan tersimpan dalam memori jangka panjang. Pelajar yang melakukan ulang kaji awal akan lebih tenang, ceria dan teratur hidupnya.  
  12. Bagi memulakan langkah menjadi pelajar cemerlang pelajar, seseorang itu memerlukan satu dorongan agar tercetusnya momentum untuk bertindak ke arah kecemerlangan itu.  
  13. Seorang pelajar yang cemerlang juga perlu seimbang daripada segi pembangunan minda, jiwa dan rohani. Justeru, ibu bapa perlu berkorban sedikit bagi memastikan anaknya bersedia menghadapi 2012 ini seawal mungkin. 

Ahad, Januari 08, 2012

BAYARAN GAJI PENJAWAT AWAM JANUARI 2012 BERDASARKAN SSM

KUALA LUMPUR – Pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Jan ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Menurut satu kenyataan Kementerian Kewangan pada  Isnin, perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan dibayar pada 31 Jan ini.

“Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Jan 2012 berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Dis 2011 kepada 15 Jan 2012,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pembayaran gaji bulanan di bawah SBPA akan dibuat seperti biasa mengikut jadual mulai Februari. – BERNAMA

Hasan: Gaji bulan Januari yang dibayar pada 16 Januari 2012 masih dibayar gaji lama (SSM) dan tunggakan dia (kenaikan mengikut gaji SBPA) akan dibayar pada 31 Januari 2012 pulak. Bersabarlah...

Sabtu, Januari 07, 2012

PERMOHONAN BIASISWA MyBrainSc 2012 DIBUKA SEKARANG

Hari ini Sabtu 7 Januari 2012, akhbar Utusan Malaysia telah menyiarkan iklan permohonan Biasiswa MyBrainSc 2012. Biasiswa ini terbuka kepada seluruh warga negara Malaysia yang sedang atau yang akan mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Ijazah secara sepenuh masa dalam bidang sains tulen iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik di Institusi Pengajian Tinggi Tempatan (IPTA) dan universiti terkemuka di dunia  atau bertaraf Ivy League. 

Permohonan adalah berdasarkan 3 kategori iaitu Phd, Sarjana dan Peringkat Ijazah Pertama.

Tarikh mula memohon mulai 7 Januari 2012 dan tarikh tutup permohonan pada 15 Februari 2012. Permohonan boleh dibuat melalui laman web https://payloan.mohe.gov.my/MyBrainSc

Sebarang pertanyaan sila hubungi Bahagian Biasiswa, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Aras 2, No 2, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5, 62200 WP Putrajaya. MyBrainSc Hotline: 03-88706363/03-88706450. Email: hussin@mohe.gov.my / ahafiz@mohe.gov.my / yusnita@mohe.gov.my

Isnin, Januari 02, 2012

PROGRAM BIASISWA MyBrainSc KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA

Biasiswa MyBrainSc ini terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia yang sedang atau akan mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Ijazah Khas secara sepenuh masa dalam bidang sains tulen iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik di Institusi Pengajian Tinggi Tempatan (IPTA) dan universiti terkemuka dunia atau bertaraf Ivy League

Program ini merupakan salah satu agenda Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk mencapai matlamat Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dan menghasilkan saintis-saintis muda yang berjiwa besar dan berani menyahut cabaran menghasilkan cendekiawan yang bertaraf dunia dan akhirnya diiktiraf sebagai Nobel Laureate.

  • Fizik
  • Biologi
  • Kimia
  • Matematik
Syarat-syarat permohonan adalah berdasarkan 3 kategori berikut:

  • Calon adalah warganegara Malaysia;
  • Berumur tidak melebihi 35 tahun pada tarikh memohon;
  • Calon telah mendapat keputusan cemerlang di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sains tulen iaitu mendapat sekurang-kurangnya PNGK 3.65 ke atas atau Kelas Pertama;
  • Calon tidak mempunyai sebarang ikatan kontrak dari mana-mana penaja semasa di peringkat pengajian terdahulu atau pihak penaja bersedia melepaskan ikatan kontrak jika ditawarkan biasiswa ini;
  • Calon yang sedang berkhidmat di mana-mana sektor awam atau swasta dan bersedia untuk melepaskan jawatan sekiranya di tawarkan biasiswa ini;
  • Calon yang sedang mengikuti pengajian di peringkat sarjana secara penyelidikan penuh akan diberi keutamaan; dan
  • Calon sedang mengikuti pengajian Ph.D atau telah mendapat tempat mengikuti pengajian dalam bidang sains tulen sama ada di dalam negara atau di universiti-universiti melalui portal permohonan.
  • Calon adalah warganegara Malaysia;
  • Berumur tidak melebihi 28 tahun pada tarikh memohon;
  • Calon telah mendapat keputusan cemerlang di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sains tulen iaitu mendapat sekurang-kurangnya PNGK 3.65 ke atas atau Kelas Pertama;
  • Calon tidak mempunyai sebarang ikatan kontrak dari mana-mana penaja semasa di peringkat pengajian terdahulu atau pihak penaja bersedia melepaskan ikatan kontrak jika ditawarkan biasiswa ini;
  • Calon yang sedang berkhidmat di mana-mana sektor awam atau swasta dan bersedia untuk melepaskan jawatan sekiranya di tawarkan biasiswa ini;
  • Mod pengajian mestilah dalam mod penyelidikan dan sepenuh masa; dan
  • Calon sedang mengikuti pengajian di peringkat Sarjana atau telah mendapat tempat mengikuti pengajian dalam bidang sains tulen sama ada di dalam negara atau di universiti-universiti yang disenaraikan melalui portal permohonan.
  • Calon adalah warganegara Malaysia;
  • Umur tidak melebihi 21 tahun pada tarikh memohon;
  • Calon memperolehi sekurang-kurangnya PNGK 3.6 dan ke atas di peringkat Asasi Sains/Matrikulasi/STPM/Diploma, Skala 1800/2400 untuk semua ujian dalam SAT, 30/45 dalam IB dan 4A dalam A Level;
  • Pelajar-pelajar yang berada di semester akhir di semua IPT; dan
  • Pelajar belum lagi menerima menerima sebarang biasiswa / tajaan / ikatan perjanjian dari mana-mana penaja.
Calon yang layak akan dikenakan ikatan perjanjian dan tempoh kontrak berkuatkuasa adalah bergantung kepada tempoh pengajian yang dibiayai oleh Kementerian. Kementerian berhak menarik balik penajaan serta mengenakan tuntutan gantirugi ke atas calon sekiranya;
  • Calon diberhentikan oleh pihak IPT kerana masalah disiplin, kelemahan akademik atau sebab-sebab lain yang digariskan oleh syarat program dan perjanjian ini; dan
  • Calon menarik diri dalam tempoh tajaan tanpa kebenaran.
  1. Permohonan dibuka setahun sekali untuk tempoh sebulan
  2. Permohonan perlu dibuat secara atas talian (online) melalui Portal KPT
  3. Permohonan perlu dibuat secara atas talian sepenuhnya dengan klik menu LOG MASUK di atas, dan mendaftar sebagai pengguna sistem. Permohonan secara manual tidak akan diproses
  4. Pemohon hendaklah memastikan rancangan penyelidikan (proposal) telah dipersetujui dan disahkan oleh penyelia bagi peringkat pengajian Sarjana dan PhD
  5. Semua dokumen sokongan yang disertakan perlu diimbas (scan) dari dokumen asal dan disimpan dalam format imej (JPEG) atau PDF dan perlu dimuatnaik (upload) dalam sistem permohonan atas talian ini. Dokumen yang diambil (capture) menggunakan kamera tidak akan diterima
  6. Jika tiada dokumen asal, pelajar boleh mengimbas dari dokumen salinan photostat tetapi dokumen tersebut perlu diakui sah oleh pegawai Kerajaan / badan berkanun dari Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Gred 41 dan ke atas) / Penggawal / Ketua Kampung / Ketua Masyarakat.
  7. Dokumen sokongan yang perlu dimuatnaik adalah seperti berikut:
    • Kad Pengenalan Pemohon (depan dan belakang)
    • Gambar berukuran passport
    • Slip Keputusan SPM
    • Transkrip penuh Asasi/Matrikulasi/STPM/IB/A-level/Diploma/SAT
    • Surat Tawaran Universiti (jika ada)
    • Kad Pengenalan Pemohon (depan dan belakang)
    • Gambar berukuran passport
    • Slip Keputusan SPM
    • Transkrip penuh Ijazah Sarjana Muda
    • Rancangan penyelidikan
    • Surat Tawaran Universiti (jika ada)
    • Kad Pengenalan Pemohon (depan dan belakang)
    • Gambar berukuran passport
    • Slip Keputusan SPM
    • Transkrip penuh Ijazah Sarjana Muda
    • Transkrip penuh Master
    • Rancangan penyelidikan
    • Surat Tawaran Universiti (jika ada)
  1. Ujian saringan bagi mengenalpasti kecenderungan dalam bidang sains tulen; dan
  2. Penilaian oleh panel penilai penemuduga yang dilantik; dan
  3. Pemilihan bersama dengan agensi penaja lain seperti JPA, MARA dan lain-lain.