Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Ahad, November 29, 2009

SUSUN ATUR TUMBUHAN HIASAN DI NURSERI


Pelajar-pelajar Tingkatan 4 Landskap dan Nurseri tentunya ada membuat aktiviti pembiakan tumbuh-tumbuhan hiasan. Terdapat berbagai cara atau kaedah untuk membiakkan tumbuhan tersebut. Setelah proses pembiakan dilakukan, biasanya saya meminta mereka menyusun polibeg atau pasu-pasu di nurseri di bawah jaring plastik 50 peratus naungan. Mereka menyusun dengan kemas dan teratur. Apabila nurseri tersusun kemas kerja-kerja yang berkaitan dengan pengurusan nurseri mudah dilakukan. 

Di antara ciri-ciri nurseri yang baik ialah:

1. Ada ruang laluan yang selesa untuk bergerak.
  • Memudahkan kerja-kerja menyiram.
  • Memudahkan kerja-kerja membaja.
  • Memudahkan kerja-kerja merumput.
  • Memudahkan kerja-kerja memangkas.
  • Memudahkan pengunjung bergerak untuk melihat-lihat dan memilih pokok hiasan.
2. Tumbuhan hiasan disusun kemas.
  • Boleh disusun di lantai, rak, para atau digantung.
  • Menarik perhatian pengunjung.
  • Memudahkan mengenal pasti kedudukan tumbuhan hiasan.
3. Tumbuhan hiasan disusun mengikut:
  • Jenis tumbuhan.
  • Saiz tumbuhan.
  • Kematangan tumbuhan.
4. Ada tanda nama tumbuhan hiasan.
5. Ada senarai harga tumbuhan hiasan.
6. Ada penerangan berkaitan dengan jenis tumbuhan hiasan.
7. Ada tempat berehat bagi pengunjung.
8. Ada tandas.

Diharapkan dengan melihat foto-foto di bawah ini, pelajar-pelajar saya akan lebih memahami bentuk nurseri yang baik.

























LANDSKAP TASIK PUTERI


Tasik Puteri. Ia merupakan taman tasik yang cantik berlatar belakangkan bukit bukau membiru. Tasik ini terletak di Bukit Besi, Terengganu. Ia adalah tasik bekas lombong bijih besi dan dalam. Daripada cerita orang mengatakan dalam tasik ini ada naga. Itu hanya cerita sahaja.... Air tasik berwarna hijau. Memang menggerunkan. Itu menunjukkan tasik ini memang dalam. Sekarang di sekeliling tasik ini dijadikan taman rekreasi. Di hujung sana terdapat padang golf. Sesekali datang ke tasik ini dapat melapangkan fikiran dengan pemandangan yang memukau. Landskapnya memang cantik....airnya menghijau, dikelilingi tumbuhan juga menghijau, dan nun di kejauhan sana bukit-bukau di kaki langit nan membiru.














KEINDAHAN ORKID (ANGGERIK)


Ramai orang yang suka dan menggemari bunga orkid (anggerik). Bunganya berwarna-warni dan berbagai bentuk. Sungguh cantik, menarik dan indah. Namun ramai juga yang mengatakan tanam orkid susah. Orkid banyak karenah. Saya juga suka orkid sebab bunganya yang cantik tetapi saya belum berminat untuk menanamnya. Buat masa ini saya hanya suka melihat dan menghayatinya.

Sebenarnya orkid tergolong dalam keluarga Orchidaceae iaitu famili yang mempunyai banyak perbezaan dari segi bentuk bunga dan pokok bagi menentukan genus dan spesies. Terdapat lebih daripada 111 genus dan 880 spesies orkid di Malaysia. Pokok orkid boleh dikenali melalui bentuk bunga, akar, daun dan batangnya. Bunga adalah bahagian pokok yang paling sesuai digunakan untuk mengenalpasti genus tanaman orkid. 

Jangkamasa berbunga atau matang bagi setiap orkid berbeza-beza antara genus, spesis, hibrid dan jenis bahan tanaman yang digunakan. Ia bergantung kepada sifat-sifat semulajadi bahan genetik yang terdapat dalam setiap jenis dan varieti. Pada kebiasaanya pokok-pokok yang dihasilkan dari biji benih mengambil masa 1-3 tahun untuk matang, manakala pokok-pokok yang dihasilkan dari bahan keratan tampang mengambil masa antara 4-12 bulan bergantung kepada saiz dan pokok induk dari mana keratan tersebut di ambil.

Orkid dikelaskan kepada dua jenis kumpulan yang besar:

  • Kumpulan orkid simpodium. Orkid simpodium boleh tumbuh sama ada di atas pokok (epifit) atau di atas tanah (terestrial) dan ia mengeluarkan bunga. Genus-genus orkid jenis simpodium ialah Oncidium, Cattleya dan Dendrobium.
  • Kumpulan orkid monopodium. Orkid monopodium tidak berakhir dengan pengeluaran bunga. Genus-genus orkid kumpulan monopodium ialah Venda, Arachnis, Renanthera, Aranda dan Mokara.
Info Orkid
  • Ada 880 jenis dengan 22,000 spesies.
  • Pokok orkid atau orchidaceae ialah keluarga bunga yang memiliki banyak perbezaan pada bentuk serta rupa pokok.
  • Antara paling popular ialah Dendrobium, Onci­dium, Cattleya, Arachnis, Vanda, Renanthera dan Phalaenopis manakala gen kacukan yang dihasilkan menerusi kaedah teknologi botani ialah Aeridovanda, Aeridanchis, Aranda, Arachnopsis, Burkillara, Christieara dan Doritaenopsis.
  • Baka lain hasil kacukan ialah Doritaenopsis, Holtumara, Kagawa, Laycockara, Limara, Mokara, Renantanda, Renanstylis, Renanthopsis,Rhyncovanda, Teohara, Vandaenopis, Vandachnis dan Vascostylis.
  • Antara jenis gen hibrid yang popular ialah Aranda Chark Kuan dengan bunganya berwarna magenta, Aranda Chritie (bintik merah jambu), Aranda Iskandar (ku­ning), Aranda Kooi Choo (biru) dan Aranda Lum Chin (kuning).
  • Bunga orkid berasal daripada sepal, petal (kelopak), stamen dan pistil yang mempunyai daun urat selari. Gabungan stamen dan pistil dinamakan kolum. Di bahagian luar sepusar bunga ada tiga kelopak sepal manakala di sebelah dalamnya pula ada kelopak.
  • Petal ketiga berubah bentuk menjadi labelum atau bibir. Kolum mengandungi cepu debunga pada bahagian atas, stigma (tengah) dan benang sari (bawah).
  • Debunga terletak dalam pundi yang dipanggil polinia yang dalam bilangan genap, iaitu dua hingga 12, Ovari terletak di bawah sepal dan berfungsi sebagai tangkai bunga atau pedisel. Selepas persenyawaan, ovari akan membesar menjadi buah orkid yang mengandungi biji benih.
  • Umumnya, orkid boleh dibahagikan mengikut ciri pertumbuhannya iaitu simpodium dan monopodium. Orkid simpodium boleh tumbuh di atas pokok secara epifit atau atas tanah yang dipanggil terrestrial.
  • Orkid jenis ini mempu­­nyai rizom atau batang yang tumbuh rapat di permukaan pasu dan beberapa pucuk baru akan tumbuh dari bahagian ini, selain tangkai bunga akan keluar di hujung pucuknya. Contoh orkid Simpodium ialah Oncidium, Dendrobium dan Catteleya.
Sumber: Berita Minggu