Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Selasa, Januari 28, 2014

KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Kaedah pengajaran bermaksud tindakan-tindakan yang dilakukan oleh guru dalam mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini melibatkan tindak balas antara guru dan murid (Rahil Mahyudin et al. 1997) . Di antara kaedah yang bersesuaian untuk mengajar pembelajaran Kemahiran Hidup ialah kaedah memberi arahan, demonstrasi, permainan, penemuan, kaedah pusat pembelajaran dan kaedah projek. Di sini disenaraikan beberapa kaedah yang boleh digunakan oleh guru pendidikan khas yang mengajar Kemahiran Hidup.

Kaedah Tunjuk Cara

Kaedah tunjuk cara adalah kaedah yang telah lama digunakan di sekolah. Kaedah ini dipilih terutamanya sebagai satu cara untuk membiasakan murid dengan prosedur yang perlu diikuti oleh mereka semasa membuat aktiviti seperti berkebun, menggunakan alatan dan sebagainya. Kaedah tunjuk cara yang berjaya mengandungi langkah-langkah yang memberi murid peluang menunjukkan bahawa mereka benar-benar memahami apa yang dipelajari. Sesuatu tunjuk cara tidak akan berjaya dan lengkap jika tidak diberi peluang murid membuat sesuatu yang menunjukkan mereka telah menguasai maklumat, proses atau prinsip tertentu. Langkah-langkah untuk menjayakan kaedah ini adalah seperti berikut:

Langkah 1 

Tunjukkan kepada murid langkah-langkah yang mesti dikuti oleh mereka untuk melakukan tugas yang diberi. Murid juga perlu dimaklumkan tentang sifat tugas itu.

Langkah 2 

Beri tindak balas kepada soalan murid tentang tunjuk cara yang telah dibuat. Guru juga perlu bertanyakan soalan kepada murid untuk memastikan mereka benar-benar faham akan arahan yang diberikan.

Langkah 3 

Tinjau semula langkah-langkah yang perlu diikuti oleh murid. Murid mesti jelas dengan langkah-langkah aktiviti. Adalah baik jika guru menulis setiap arahan untuk memastikan tiada arahan yang tertinggal semasa aktiviti berlangsung.

Langkah 4 

Secara rawak, guru perlu memilih beberapa orang murid untuk membacakan turutan langkah-langkah betul yang telah dilakukan oleh mereka.

Langkah 5 

Beri peluang murid mempraktikkan apa yang telah dipelajari oleh mereka. Kaedah tunjuk cara apabila dirancang dan dilaksanakan boleh memberi kefahaman kepada murid. Pada bahagian awal tunjuk cara, guru boleh mengambil sedikit masa untuk mengingatkan murid tentang objektif yang diberi penekanan. Disebabkan guru menjadi pusat perhatian dalam kaedah tunjuk cara ini, adalah mudah baginya untuk membantu murid mengingat kembali maklumat yang telah dipelajari sebelumnya yang berkaitan dengan tugas pembelajaran baru.

Kaedah Simulasi

Tujuan kaedah simulasi adalah untuk meningkatkan kebolehan murid mengaplikasikan konsep-konsep tertentu dalam penyelesaian masalah. Simulasi adalah suatu situasi yang diwujudkan supaya menyerupai situasi sebenar tetapi dalam bentuk yang dipermudahkan, diringkaskan atau dikecilkan supaya masalah atau isu yang berkaitan lebih mudah diselesaikan. Dalam kaedah ini, guru mempunyai beberapa tanggungjawab, antaranya:
  • memilih satu masalah atau isu yang melibatkan minat atau pandangan yang berlawanan.
  • memastikan unsur-unsur utama masalah atau isu terkandung dalam simulasi.
  • mengenal pasti konsep-konsep yang terlibat dalam masalah atau isu berkenaan.
  • menentukan langkah-langkah yang perlu diambil semasa simulasi. Langkah-langkah ini termasuklah bagaimana tingkah laku murid, peranan yang dimainkan, serta peraturan yang mempengaruhi tindakan murid tersebut.
Murid mengambil bahagian dalam simulasi dengan cara memainkan peranan individu atau pihak yang terlibat mengikut peraturan atau prosedur yang ditentukan oleh guru. Contohnya, dalam satu simulasi berkaitan dengan kerja-kerja petani di kebun, kebun sayur musnah dilanda banjir, bagaimana pekerja-pekerja kebun sayur menggunakan pelbagai peralatan semasa bekerja. Pada amnya, simulasi akan berjaya jika melibatkan situasi kehidupan seharian. Simulasi juga digunakan bersama-sama dengan kaedah buku teks, perbincangan dan penyoalan.

Kaedah Projek

Tujuan kaedah projek adalah untuk melibatkan murid dengan idea-idea konseptual dan memperkembangkan kemahiran-kemahiran yang tidak mungkin dicapai melalui kaedah pengajaran lain. Objektif utama kaedah ini adalah untuk pemerolehan pengetahuan yang baru oleh murid atau penggunaan pengetahuan sedia ada kepada situasi-situasi kehidupan seharian, penyelesaian masalah atau penghasilan produk. Dalam kaedah ini, guru berperanan untuk menentukan tajuk yang sesuai kepada murid. Bagi murid pendidikan khas, guru perlulah membantu sepenuhnya . Guru seharusnya berperanan sebagai rakan pembimbing, memastikan setiap murid mempunyai peranan dan tugasan dalam melaksanakan projek, memberikan kebebasan dan kepercayaan kepada murid untuk melaksanakan sesuatu projek mengikut kemampuan murid dengan pemantauan guru , bertindak sebagai motivator dengan sentiasa memberi dorongan kepada murid untuk mengekalkan minat mereka serta memberi masa yang secukupnya kepada murid untuk melaksanakan sesuatu tugasan yang diberikan.

Untuk melancarkan perjalanan sesuatu projek yang dirancangkan, guru perlulah menyediakan alatan yang mudah dikendalikan, ringan dan tidak terlalu membahayakan murid supaya mudah dan selamat digunakan . Sebelum projek dilaksanakan, guru sepatutnya terlebih dahulu menerangkan setiap tugasan itu, cara penggunaan alatan, tujuan projek dan sebagainya dengan berulang-ulang agar pelajar faham.

Kaedah Memberi Arahan

Tujuan memberi arahan adalah untuk memberi panduan kepada murid sebelum mereka memulakan aktiviti. Guru perlulah mengambil masa yang lama untuk memberi arahan. Perkara penting ialah murid perlu mempelajari bagaimana mematuhi arahan yang agak sukar difahami. Oleh itu, arahan guru haruslah jelas dan tepat serta berulang-ulang sebelum pembelajaran bermula. Berikut adalah panduan untuk menjamin arahan yang jelas dan mudah diikuti pelajar:
  • mula-mula tuliskan arahan di dalam kelas. Ini akan memastikan semua arahan diingati dan akan dipatuhi.
  • kurangkan arahan itu menjadi beberapa langkah sahaja. Jika langkah banyak, maka perlulah guru mendemonstrasikannya semasa memberi arahan, atau semasa membahagikan aktiviti pembelajaran itu kepada beberapa bahagian, dan setiap bahagian itu guru perlu memberikan arahan yang terperinci.
  • pastikan arahan yang diberikan oleh guru jelas, tepat, pendek, ringkas serta menggunakan laras bahasa yang bersesuaian dengan murid berkeperluan khas.
  • pastikan murid memberi tumpuan semasa arah diberi.
  • nilaikan sejauh manakah murid memahami arahan berkenaan dengan cara bertanya kembali sama ada mereka ingat akan arahan guru atau guru bertanyakan apakah arahan pertama, kedua dan seterusnya.

Satu cara memperbaiki kemahiran memberi arahan adalah dengan menganalisis masalah yang dihadapi oleh murid semasa mereka melakukan aktiviti. Arahan tidak tepat, kabur, sukar, singkat serta tidak diulang-ulang akan menyebabkan murid melakukan kesalahan semasa menyelesaikan tugasan.

Kaedah Latih Tubi

Kaedah latih tubi bertujuan untuk menyediakan latihan dan peneguhan secukupnya kepada murid tentang sesuatu pembelajaran spesifik supaya mereka secara automatik boleh menyebut atau memperingati semula maklumat apabila disuruh berbuat demikian. Perkara penting dalam latih tubi adalah maklmat khusus yang perlu diketahui (contohnya, kegunaan baja tumbuhan pada pokok, kegunaan alat tertentu dan sebagainya) atau dalam bentuk pengetahuan yang lain (misalnya, mengapakah baja penting kepada tumbuhan, mengapakah tidak boleh bermain dengan alat tajam dan sebagainya). Kaedah latih tubi mungkin akan membosankan jika dilakukan secara berterusan. Kaedah ini boleh menjejaskan tumpuan murid-murid berkeperluan khas, lebih-lebih lagi murid khas bermasalah pembelajaran. Oleh itu , untuk mengelak kebosanan dan kurangnya konsentrasi murid, pelbagai bentuk latih tubi boleh digunakan seperti:
  • mengadakan kaedah latih tubi secara pertandingan dalam kumpulan atau individu, iaitu siapa yang dapat menjawab sesuatu pertanyaan guru tentang sesuatu berkaitan dengan kemahiran, markah akan dikira dan dihimpun dan kemudian dibandingkan dengan kumpulan atau individu yang lain yang terlibat.
  • bagi murid yang kurang daya saing, kaedah latih tubi boleh dijalankan dengan cara memegang peralatan dan menyebutnya, dari aspek nama peralatan tersebut, fungsi, cara penggunaan, cara menyimpan, cara untuk menggelakkan diri dari kecederaan akibat penggunaan peralatan dan sebagainya.
Sebenarnya seseorang murid itu boleh juga membantu rakan mereka dalam kaedah latih tubi ini selain daripada guru dan ibu bapa. Jadi, latih tubi antara satu kaedah yang penting dalam mengajar murid khas bermasalah pembelajaran untuk memahami apa yang diajar.

Kaedah Sumbang Saran 

Tujuan kaedah sumbang saran adalah untuk menggalakkan murid menggunakan imaginasi mereka secara kreatif. Objektif keseluruhannya bertujuan untuk mencari idea -idea baru serta kombinasi idea. Murid digalakkan memberi sumbangan idea terhadap sesuatu kemahiran yang diajar guru dalam bentuk jawapan, kesimpulan, fakta serta penerangan. Pemikiran yang kreatif biasanya diarahkan kepada penyelesaian masalah -masalah tertentu, mencari cara-cara baru untuk bertindak dalam sesuatu situasi atau menghasilkan pelbagai interpretasi bagi sesuatu kejadian. Masalah atau kejadian menjadi fokus sumbang saran. Secara amnya, peraturan sumbang saran meliputi:
  • sebarang idea diterima
  • semua murid mesti aktif memberi pandangan, idea dan maklumat sebanyak mungkin.
  • dilarang mengkritik sebarang idea.
  • idea-idea dinyatakan secara spontan.
  • pelajar boleh menggunakan idea rakan untuk memperkembangkannya.
Keberkesanan sesuatu sesi sumbang saran bergantung kepada keadaan atau situasi berikut:
  • guru menunjukkan sikap positif di samping menggalakan pemikiran positif di kalangan murid.
  • murid mengambil bahagian secara aktif.
  • guru sebagai pengadil, tidak menyebelahi mana-mana individu atau kumpulan.
  • idea yang dipilih haruslah diperkemaskan untuk dijadikan maklumat serta digunakan sebaiknya.
Oleh itu, murid berkeperluan khas bermasalah pembelajaran amat digalakkan supaya memberi idea terhadap sesuatu permasalahan atau penyoalan soalan oleh guru untuk melatih mereka supaya memahami soalan dan permasalahan dan dapat berkomunikasi serta melatih mereka berfikir.

Kaedah Eksplorasi - Penemuan

Kaedah eksplorasi–penemuan bertujuan untuk meningkatkan pembelajaran murid melalui penemuan kendiri. Peranan guru adalah menyediakan peralatan tertentu. Murid dibenarkan menggunakan alatan mengikut kesukaan masing-masing dengan pemantauan rapi daripada guru terutamanya apabila menggunakan peralatan berbahaya seperti parang, cangkul dan sebagainya semasa aktiviti di kebun.

Melalui kaedah ini, murid akan lebih mengetahui apakah kegunaan sesuatu alatan dengan membuat aktiviti menggunakan alatan itu. Kaedah ini juga bertujuan untuk meningkatkan rasa ingin tahu murid, keinginan untuk mencuba dan kebebasan melakukan aksplorasi. Jika sebelum ini mereka (murid) tidak berpeluang untuk cuba menggunakan peralatan ini atau menggunakannya secara nyata atas alasan dibimbangi akan memudaratkan mereka sendiri, namun dengan kebebasan diberi oleh guru serta dengan pemantauan rapi oleh guru, maka mereka akan merasakan berkeinginan untuk mencuba menggunakan peralatan tersebut dengan cara yang betul.

Bagi pelajar khas, sebelum penggunaan alatan itu dibenarkan untuk digunakan semasa aktiviti, guru haruslah menerangkan cara penggunaannya yang betul dan menjaganya agar tidak mendatangkan bahaya kepada diri dan rakan sekelas. Melalui kaedah ini, pembelajaran berlaku secara spontan dan dapat mengukuhkan pengetahuan mereka daripada pengajaran guru. Supaya pembelajaran lebih berkesan, guru perlulah:
  • menyediakan alatan.
  • memberi masa yang cukup untuk murid melakukan aktiviti.
  • bertanya kembali tentang kegunaan alat itu selepas aktiviti selesai.
  • menggalakkan mereka melakukan sendiri menggunakan alatan supaya mereka lebih faham akan kegunaannya. 
Sumber dan penghargaan buat Pomizi Resources.Com      

Selasa, Januari 14, 2014

SEWAJARNYA KITA IKUTI KEPERIBADIAN NABI MUHAMMAD SAW

Hari ini adalah hari keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Kita sayang baginda. Kita nak jadi pengikut baginda yang patuh dengan ajaran yang disampaikan. Sewajarnya kita mencontohi keperibadian Nabi Muhammad SAW. Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah adalah contoh ikutan yang terbaik". (surah al-Ahzab, ayat 21).

Peribadi Rasulullah SAW adalah model yang sangat agung untuk kita contohi. Di antara keperibadian dan akhlak mulia Nabi Muhammad ialah:
  • Baginda berdoa dengan penuh khusuk sambil air matanya sentiasa berlinangan.
  • Wajah baginda sentiasa ceria, elok dan sempurna sehingga sejuk mata yang memandang baginda.
  •  Baginda memiliki perasaan halus (mudah menangis).
  • Baginda mengambil wuduk sebelum tidur dan berzikir hingga lena.
  • Baginda gemar makan beramai-ramai daripada berseorangan.
  • Baginda benci kemegahan dan perhiasan yang cantik kerana ia melambangkan kesombongan dan keangkuhan.
  • Baginda makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang.
  • Baginda tidak pernah mengumpat atau mencerca apa lagi menghina orang lain.
  • Baginda memelihara rambutnya dengan kemas.
  • Baginda suka membalas hadiah.
  • Baginda mengucap salam kepada ahli rumah ketika hendak keluar daripada rumah atau semasa masuk ke rumah.
  • Baginda sangat berlemah-lembut dengan isteri-isterinya dan ahli keluarganya.
  • Baginda sentiasa memulakan salam kepada sesiapa yang ditemui.
  • Baginda bersalaman dengan sahabatnya dan memeluk mereka ketika berjumpa.
  • Baginda tidak melepaskan tangannya sehingga orang yang dijabatnya itu melepaskan tangannya.
  • Baginda tidak menatap atau merenung wajah orang lain lama-lama.
  • Baginda sangat menghormati orang tua dan mengasihani orang muda dan kanak-kanak.
  • Baginda tidak pernah bangun dari sesuatu majlis makan sehingga tetamu lain bangun.
  • Baginda tidak pernah menjulurkan kakinya di hadapan sahabat.
  • Baginda suka bercakap lambat-lambat dan menyebut perkataan dengan jelas.
  • Baginda sentiasa menumpukan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya.
  • Baginda tidak pernah ketawa terbahak-bahak, cuma tersenyum sedikit.
  • Baginda sangat fasih dan manis dalam tutur bicara.
  • Baginda sangat sabar dan tabah apabila menghadapi setiap cabaran dan kesusahan.
  • Baginda sangat kasih terhadap umatnya.
  • Baginda tidak pernah mengambil rezeki Allah melebihi keperluan asas makan minum baginda. Rezeki yang melebihi keperluan akan ditabur untuk tujuan fisabilillah.
  • Baginda sentiasa membantu orang lain walaupun baginda sendiri dalam kesusahan.
  • Baginda tidak menghina orang miskin dan tidak rasa terhina bergaul dengan mereka.

Khamis, Januari 02, 2014

STRATEGI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, tiada satu kaedah dan strategi yang khusus dan terbaik boleh diaplikasikan di dalam kelas yang mempunyai kepelbagaian murid terutamanya murid berkeperluan khas. Ia terpulang kepada daya kreativiti guru dan kesesuaian kehendak murid untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran pada ketika itu. Ini kerana tahap penerimaan murid terhadap bahan yang diberikan ada berbagai-bagai iaitu ada yang cepat, sederhana dan ada yang lambat.

Faktor kecerdasan mempengaruhi daya serap murid terhadap bahan pelajaran yang diberikan oleh guru. Oleh yang demikian, dalam sesi pembelajaran, guru seharusnya memiliki strategi dan kaedah yang khusus agar murid dapat belajar secara lebih efektif dan efisien. Justeru itu, strategi pengajaran dan pembelajaran yang digunakan di dalam kelas pendidikan khas boleh diklasifikasikan mengikut tumpuan kepada tiga unsur utama iaitu:
  • Strategi pemusatan guru
  • Strategi pemusatan murid, dan 
  • Strategi pemusatan bahan pelajaran

Strategi Pemusatan Guru 

Strategi pemusatan guru merupakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang telah lama diamalkan dalam bilik darjah. Di bawah strategi pengajaran dan pembelajaran ini, guru memainkan peranan yang utama. Di dalam kelas, gurulah yang menguasai dan mengawal segala aktiviti pelajaran iaitu guru banyak memberi penerangan dan pelajar hanya duduk mendengar. Brophy (1978) , menyatakan bahawa pengajaran pemusatan guru merupakan pendekatan yang mudah dirancang dan diurus, membekalkan model untuk pemikiran yang betul dan mengelakkan suasana elitis yang sering dikaitkan dengan kaedah kumpulan. Kaedah pengajaran secara kelas, demontrasi atau tunjuk cara, bercerita, kaedah penyoalan dan pengajaran berpasukan adalah kaedah yang menjadi pertimbangan semasa menggunakan strategi pemusatan guru. 
  • Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru memainkan peranan yang penting sedangkan murid berperanan sebagai penonton sahaja.
  • Komunikasi dan interaksi di antara guru dan murid adalah sehala. Guru banyak bercakap dan murid banyak mendengar.
  • Ciri kepimpinan guru bersifat autokratik. Murid tidak berpeluang menyumbangkan pendapat mereka. Guru banyak bertindak mengawal dan memberi arahan.
  • Strategi pengajaran dan pembelajaran lebih mengutamakan pencapaian objektif pengajaran guru.
  • Penyebaran ilmu pengetahuan lebih diutamakan daripada penyuburan nilai murni atau perkembangan emosi.
  • Strategi ini mementingkan pencapaian murid berdasarkan keputusan ujian dan peperiksaan.
  • Teknik mengajar guru ditumpukan kepada penyampaian fakta-fakta secara menghafal. Pembelajaran murid banyak berbentuk mengingat dan menghafal dan kurang berupaya membuat interpretasi.
  • Interaksi di antara murid adalah pasif dan sifat-sifat sosial yang positif kurang dapat dipupuk.
  • Mementingkan pengelolaan kaedah keseluruhan kelas. Perbezaan murid dari segi kebolehan dan minat tidak diberikan perhatian.
  • Di bawah strategi ini, murid menjadi kurang kreatif dan berinisiatif.

Strategi Pemusatan Murid 


Di bawah strategi berpusatkan murid ini, murid memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran. Mengikut strategi ini, murid digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran mereka. Di dalam bilik darjah, guru merupakan seorang pemimpin yang memandu murid menjalankan aktiviti pembelajaran, sama ada secara kumpulan ataupun individu. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, lebih banyak masa akan diperuntukkan kepada aktiviti pembelajaran murid. Kaedah kumpulan, lawatan, bermain, simulasi atau main peranan dan pengajaran individu adalah kaedah yang menjadi pertimbangan semasa menggunakan strategi pemusatan murid terutamanya murid di dalam kelas.
  • Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, murid memainkan peranan yang penting sedangkan peranan guru merupakan pemimpin yang membimbing murid menjalankan aktiviti pembelajaran.
  • Komunikasi dan interaksi di antara guru dan murid adalah secara dua hala.
  • Ciri kepimpinan guru bersifat demokratik. Murid digalakkan memberi pendapat mereka.
  • Strategi pengajaran dan pembelajaran lebih mengutamakan pencapaian objektif pembelajaran murid.
  • Peluang interaksi di antara murid adalah banyak dan sifat-sifat sosial yang positif seperti tolong-menolong, berkerjasama dan bertolak ansur jelas dapat dipupuk.
  • Strategi ini mementingkan pengelolaan kaedah kumpulan. Perbezaan murid dari segi kebolehan dan minat diberikan perhatian.
  • Di bawah strategi pemusatan murid, lazimnya murid menunjukkan sifat kreatif dan berinisiatif.

Strategi Pemusatan Bahan 

Bahan pelajaran memainkan peranan yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan menggunakan strategi ini, guru boleh menyampaikan pelajarannya dengan lebih mudah, menarik serta berkesan manakala murid pula boleh memahami pelajaran dengan lebih bermakna serta boleh menjalankan aktiviti pembelajaran dengan secara sendiri atau secara kumpulan tanpa kehadiran guru. Bahan pelajaran yang digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran biasanya boleh dikategorikan kepada dua iaitu: 
  • Bahan pengajaran - Bahan yang digunakan oleh guru seperti carta, model, graf, peta, gambar, slaid, radio, perakam pita, video, televisyen dan projektor.
  • Bahan pembelajaran - Bahan yang digunakan oleh murid dalam aktiviti pembelajaran seperti kad aktiviti, kad cantuman, lembaran kerja, pembilang, bahan bercetak dan komputer.

Penggunaan komputer sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran juga telah semakin berkembang dalam program pendidikan khas. Gearheart dan Gearheart (1989), Hawkridge dan Vincent (1992) serta Mather dan Bos (1994), sependapat menyatakan bahawa murid bermasalah pembelajaran dan tingkah laku memperolehi pengetahuan dan kemahiran baru melalui kaedah literasi komputer. Ia mungkin disebabkan oleh kaedah ini memaparkan sesuatu yang baru dan menarik perhatian. 
  • Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, bahan pengajaran memainkan peranan yang penting. Guru atau murid perlu bergantung sepenuhnya kepada penggunaan bahan pelajaran untuk mencapai objektif pengajaran.
  • Lebih mengutamakan kecekapan dan kemahiran menggunakan bahan pelajaran untuk mencapai objektif pengajaran.
  • Dapat membantu murid memahami konsep yang abstrak dengan lebih jelas di samping memupuk semangat berdikari dengan menjalankan aktiviti pembelajaran tanpa kehadiran atau pertolongan guru.
  • Sifat-sifat sosial yang positif dapat dipupuk melalui kaedah kumpulan yang melibatkan penggunaan bahan pembelajaran.
  • Mementingkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang bermakna melalui pengalaman yang sebenar. Dengan adanya ilmu pengetahuan yang abstrak dapat dikaitkan dengan situasi yang konkrit

Ketiga-tiga strategi ini saling berkaitan di antara satu sama lain di samping perlunya kemahiran dan kreativiti seseorang guru itu untuk memilih, merancang, menyusun dan menguruskan kaedah serta teknik mengajar dalam objektif pelajaran pada peringkat optimum. Ketiga-tiga strategi yang dinyatakan sememangnya mempunyai kelebihannya sendiri. Namun begitu, strategi pemusatan murid adalah yang paling ideal dalam melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Sumber dan penghargaan buat Pomizi Resources.Com