Pada cuti sekolah ini, dalam perjalanan balik ke Bagan Serai, kami singgah di Kompleks Sejarah Pasir Salak di Kampung Gajah, Perak. Kami sampai di situ pada pukul 2.00 petang. Tujuannya tak lain tak bukan untuk mengetahui dan menyingkap sejarah pembunuhan JWW Birch oleh Si Putum atas arahan Dato' Maharaja Lela.
Kompleks Sejarah Pasir Salak dibina tahun 1990 dan dirasmikan oleh Raja Nazrin Shah pada 26 Mei 1990. Kompleks ini dibina di Pasir Salak kerana di sinilah mula tumpahnya darah pejuang-pejuang Melayu yang cintakan negara menentang nafsu serakah penjajah British. Perang Perak bermula dan terjadi di sini pada tahun 1875 selepas setahun Sultan Perak setuju menerima nasihat Residen British. Residen British yang pertama ialah JWW Birch yang tidak memahami budaya Melayu.
Jabatan Muzium dan Antikuiti telah membaiki struktur bangunan sedia ada dan menambah
bangunan-bangunan kekal lain. Bangunan sedia yang ada di sana ialah Masjid Pasir Salak, kubu pertahanan, tiga buah rumah kutai dan tebing sungai.
Puaslah jugak kami berjalan dan menatap serta meneliti setiap bahan yang dipamerkan dalam kompleks tersebut. Tanpa disedari kami berada di situ selama 3 jam.
Berikut di antara tempat-tempat yang kami lawati. Masuk ke kompleks adalah percuma.
- Rumah Dato' Maharaja Lela (Di bawah pengawasan Jabatan Muzium Malaysia)
- Tugu Peringatan Pahlawan Perak
- Kubur Si Putum
- Kubu Dato’ Maharaja Lela (Di bawah pengawasan Jabatan Warisan)
- Tugu Lela Rentaka I dan II
- Pentas Belotah
- Tapak Birch Dibunuh
- Sampan Perak
- Rumah Kutai I
- Masjid Pasir Salak (bukan di dalam kawasan/seliaan Kompleks Sejarah Pasir Salak)
- Perahu Naga
- Rumah Kutai II
- Terowong Sejarah (pameran berbentuk diorama bertemakan perjuangan patriotisme dan nasionalisme serta Galeri Keris)
- Tugu Peringatan Birch
- Galeri Sejarah (Galeri Menteri-Menteri Besar Perak)