Sudah tiga minggu kita berpuasa. Bermakna seminggu lagi Ramadan akan
berlalu pergi. Jika dihitung sudah masuk 22 hari, namun ada yang
berasakannya sekejap, malah tidak sempat pun untuk mengkhatamkan
al-Quran. Jangan dikatakan nak baca al-Quran setiap malam, solat Tarawih pun
jarang dilakukan kerana berat hati ke masjid. Ada yang tak buat solat
Tarawih, malah tidak ambil kisah langsung.
Bagi yang tidak
mengerjakannya, pelbagai alasan diberi; tak sempatlah, sibuklah, letih
dan macam-macam lagi. Selepas berkali-kali tak pergi masjid, akhir
sekali terucaplah sebab yang sebenar iaitu malas. Tapi, anehnya ke
tempat lain boleh pula pergi, bahkan cukup bersemangat, misalnya ke
pusat beli-belah, meronda-ronda sambil membeli berpasang-pasang baju
raya, bukan main rajin dan seronok. Maklumlah dah nak habis puasa,
rayalah pula. Bukan sehelai dua dibelinya, tapi selagi hati belum puas dan tangan
masih boleh membimbit bungkusannya. Semua yang dipandang cantik belaka
dan berasa rugi sekiranya tidak dibeli.
Itulah nafsu, cukup
licik memperdayakan empunya diri. Jahatnya tidak peduli kemuliaan
Ramadan. Ke masjid tidak disukai, malah dirasakan cukup memaksa diri.
Namun, ke pusat beli-belah bukan main gembira. Apabila membeli-belah,
bukan keperluan menjadi keutamaan, tapi kehendak yang didahului. Sebab
itu nafsu berbisik, sepasang tak cukup, hendak dua, tiga atau lebih.
Malah, jika mampu semua yang cantik mahu dibelinya.
Tanpa dikawal
nafsu makin menjadi-jadi, memuja keseronokan, kerehatan dan kesenangan
saja. Sampai satu tahap, hanya keinginan nafsu dipenuhi manakala
perintah Tuhan dilupakan dan akhirnya jadilah diri hamba kepada nafsu.
Firman-Nya dalam surah al-Qasas, ayat 50 bermaksud: “...sesungguhnya
mereka hanyalah menurut hawa nafsu dan siapakah yang lebih sesat
daripada orang yang menurut hawa nafsu dengan tidak mendapat petunjuk
Allah? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang
zalim.”
Saidina Umar al-Khattab berkata: “Lautan itu ada empat,
iaitu hawa (nafsu) adalah lautan dosa, nafsu lautan syahwat (keinginan),
maut lautan umur dan kubur lautan penyesalan.” Benar, hawa nafsu
adalah kecenderungan untuk memenuhi keinginannya tanpa mempedulikan
batas syarak, malah kerap kali terlanjur kepada perlakuan maksiat.
Namun, jarang pula yang berasa kesal dan insaf. Saidina Ali
karramallahuwajhah pernah berkata: “Aku berasa khuatir terhadap kamu
dengan dua perkara iaitu mengikuti keinginan nafsu dan panjang
angan-angan.”
Tipu daya nafsu tidak boleh dipandang ringan. Awasilah
ia kerana setiap kejahatan dipandangnya sebagai mulia, yang haram
dirasakan halal lagi mulia manakala kelalaian dipuja cukup gembira.
Kita lihat kepada kata-kata Imam Ghazali dalam Minhaj al-Abidin yang
menjadikan nafsu sebagai penghalang terakhir bagi seseorang ahli ibadat
untuk menuju kepada hadrat Tuhannya.
Oleh itu, itu katanya, adalah wajib ke atas orang hendak beribadat
berhati-hati terhadap nafsu yang selalu mengajak ke jalan kejahatan,
sebab nafsu itu musuh yang sangat menyesatkan dan membinasakan.
Menurutnya, bahaya nafsu sangat besar, ubatnya sangat sukar, malah
penyakitnya sangat berat. Sesetengah ahli ibadat memanjatkan
munajat: “Oh Tuhanku, angan-angan yang mengarut sudah menipuku,
kecintaan terhadap duniawi sudah merosak diriku, syaitan juga
menyesatkan jalanku, hawa nafsu pendorong kejahatan itu menghalang aku
daripada kebenaran.
“Teman yang jahat membantu aku dalam melakukan maksiat. Maka
tolonglah aku wahai Tuhan, penolong terhadap mereka yang mohon
pertolongan dan jika Engkau tidak memberiku rahmat, siapa lagi selain
Engkau yang dapat merahmatiku.”
Disebabkan nafsu sangat berbahaya, ada
orang berpendapat, sekiranya di dunia ini tidak ada nafsu, tentu semua
sentiasa dalam keadaan selamat dan baik sahaja. Tapi dia terlupa,
jika tiada nafsu bagaimana pula dia boleh tertarik kepada kenikmatan dan
keindahan? Bukankah hidup akan menjadi hambar jika unsur seperti itu
tiada? Sungguh, ciptaan Allah sudah sempurna. Yang penting bagi kita
mendidik nafsu dan menguasainya, malah sentiasa mengawasi diri daripada
terikut-ikut dengannya. Jangan biarkan nafsu menguasai diri kerana
sekali dikuasainya sukar untuk kita melepaskan diri daripadanya.
Justeru, dalam kesempatan yang masih ada di penghujung Ramadan ini
marilah kita terus melawan hawa nafsu dan mengekangnya daripada
mengganggu tumpuan untuk mengerjakan amalan ketaatan kepada Allah.
Kita manfaatkan hari-hari terakhir bulan mulia ini dengan solat
berjemaah di masjid, berzikir tak kira waktu, bersedekah dan membantu
orang lain. Usah berangan-angan menanti Ramadan berikutnya untuk
beramal, jika Ramadan kali ini dibiarkan berlalu sahaja.