Anjakan 1: Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa
Mengapakah perlu?:
Asas
kejayaan sistem persekolahan bergantung kepada apa yang murid mesti
tahu, faham, dan mampu lakukan. Sejak dahulu lagi, murid Malaysia
berkebolehan mengemukakan semula kandungan mata pelajaran yang diikuti.
Walau bagaimanapun, kemahiran ini kurang penting dalam ekonomi yang
sentiasa berubah pada masa ini. Sebaliknya, murid perlu ada keupayaan
menaakul, membuat unjuran, dan mengaplikasi pengetahuan secara kreatif
dalam suasana baharu yang berlainan. Murid juga memerlukan ciri
kepimpinan untuk bersaing di peringkat global. Pentaksiran antarabangsa
TIMSS dan PISA menunjukkan murid di Malaysia sukar mengaplikasi
kemahiran berfikir aras tinggi. Kaji selidik yang dijalankan ke atas
syarikat Malaysia dan syarikat antarabangsa juga mendapati bahawa murid
Malaysia gagal menguasai kemahiran insaniah yang diperlukan oleh bakal
majikan.
Pada
masa yang sama, pendidikan sering dilihat sebagai pengupaya mobiliti
sosial. Kanak-kanak yang dilahirkan dalam keluarga miskin berpeluang
memperoleh pendapatan yang tinggi apabila dewasa, sekiranya mereka
berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Walau bagaimanapun, selagi status
sosioekonomi kekal sebagai penentu kejayaan akademik dan merupakan
faktor utama yang mewujudkan jurang pencapaian murid, hasrat Kementerian
untuk merealisasikan mobiliti sosial dalam kalangan murid miskin sukar
dicapai.merupakan faktor utama yang mewujudkan jurang pencapaian murid,
hasrat Kementerian untuk merealisasikan mobiliti sosial dalam kalangan
murid miskin sukar dicapai.
Apakah bentuk kejayaan?:
Pertama,
tahap keberhasilan murid dan amalan pembelajaran akan ditanda aras dan
diselaraskan mengikut standard yang diguna pakai oleh sistem pendidikan
berprestasi tinggi, supaya murid Malaysia mampu bersaing di peringkat
global. Kedua, murid yang memerlukan bimbingan tambahan akan mendapat
akses kepada bantuan yang bersesuaian dengan keperluan, bagi menjamin
kejayaan mereka di sekolah.
Anjakan
2: Memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Malaysia
dan bahasa Inggeris dan digalakkan mempelajari bahasa tambahan
Mengapakah perlu?:
Kepelbagaian
budaya masyarakat Malaysia mewujudkan persekitaran semula jadi yang
kondusif untuk melahirkan murid yang menguasai kemahiran dalam lebih
daripada satu bahasa. Sistem pendidikan semasa dapat menyediakan
keberhasilan pembelajaran yang membanggakan bagi bahasa Malaysia.
Penguasaan kemahiran berbahasa Malaysia adalah meluas dalam kalangan
murid, dengan 75% murid mencapai tahap minimum kredit dalam peperiksaan
SPM 2010. Bahasa Malaysia juga secara tekal menunjukkan kadar lulus
paling tinggi daripada mata pelajaran teras dalam UPSR, PMR dan SPM.
Tahap penguasaan kemahiran bahasa Inggeris bagaimanapun adalah jauh
lebih rendah. Hanya 28% murid mendapat minimum kredit dalam kertas
Bahasa Inggeris SPM 2011 yang ditanda berdasarkan standard kertas
Cambridge 1119. Kelemahan penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris dalam
kalangan siswazah baharu merupakan satu daripada lima isu yang sering
dihadapi oleh majikan di Malaysia sejak 2006.
Penyertaan
murid dalam sekolah rendah yang berlainan, mewujudkan perbezaan dalam
keberhasilan murid mengikut etnik. Murid Bumiputera menunjukkan
pencapaian yang baik dalam Bahasa Malaysia, iaitu 84% mendapat minimum
kredit dalam SPM, berbanding 63% murid Cina dan 57% murid India. Bagi
mata pelajaran Bahasa Inggeris, hanya 23% murid Bumiputera, 42% murid
Cina dan 35% murid India memperoleh skor pada tahap yang sama minimum
kredit pada kertas Cambridge 1119 (semua keputusan berdasarkan
peperiksaan SPM 2010).
Apakah bentuk kejayaan?:
Meningkatkan
kemahiran penguasaan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris semua murid
akan menjadi keutamaan segera. Selepas tiga tahun persekolahan, setiap
murid akan mencapai 100% literasi asas dalam bahasa Malaysia dan bahasa
Inggeris. Pada akhir Tingkatan 5, 90% daripada murid dijangkakan
memperoleh minimum skor kredit dalam kertas Bahasa Malaysia SPM,
manakala 70% memperoleh skor minimum kredit dalam kertas Bahasa Inggeris
SPM (berdasarkan standard Cambridge 1119). Menjelang 2016, Kementerian
akan menjadikan mata pelajaran Bahasa Inggeris wajib lulus peringkat
SPM. Tambahan lagi, penyediaan mata pelajaran bahasa lain di semua
sekolah rendah dan menengah akan diperkukuh supaya setiap murid
berpeluang mempelajari bahasa tambahan menjelang 2025.
Anjakan 3: Melahirkan rakyat yang menghayati nilai
Mengapakah perlu?:
Murid
hari ini akan mewarisi dunia yang penuh dengan cabaran hebat, daripada
kemusnahan alam sekitar hinggalah kepada konflik bersenjata. Untuk
berjaya mengharungi segala cabaran ini murid bukan sahaja perlu memiliki
kemahiran memimpin, tetapi juga nilai murni sejagat seperti integriti,
belas kasihan, adil, dan altruisme yang dapat membimbing mereka dalam
membuat keputusan beretika. Pada masa yang sama, pembangunan warganegara
yang global perlu diimbangi dengan pembangunan identiti nasional yang
kukuh.
Apakah bentuk kejayaan?:
Setiap
murid meninggalkan alam persekolahan sebagai seorang warga global yang
telah dipupuk dengan nilai teras sejagat dan memiliki identiti nasional
yang utuh. Nilai yang telah dipelajari akan diamalkan dalam kehidupan
harian, yang seterusnya menghasilkan tingkah laku sivik, seperti
peningkatan dalam aktiviti sukarela; penerimaan individu berlainan
bangsa, agama dan etnik; menghindari perbuatan rasuah dan jenayah serta
menunjukkan tingkah laku amanah dan berintegriti. Selain itu, setiap
murid yang tamat persekolahan bersedia menjadi pemimpin bagi diri dan
keluarga mereka, atau sebagai sebahagian daripada komuniti yang lebih
besar, serta negara.
Anjakan 4: Mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan
Mengapakah perlu?:
Kajian
antarabangsa menunjukkan bahawa kualiti guru merupakan faktor berasaskan
sekolah yang paling signifikan dalam menentukan keberhasilan murid.
Kualiti sistem tidak boleh melangkaui kualiti guru. Walaupun terdapat
guru yang cemerlang dalam sistem pendidikan Malaysia, kajian AKEPT 2011
mendapati bahawa hanya 50% pengajaran disampaikan dengan berkesan. Hal
ini bermakna penyampaian mata pelajaran tidak melibatkan murid
secukupnya, dan cara mengajarnya lebih pasif serta berbentuk syarahan.
Mata pelajaran yang disampaikan lebih berfokus kepada pemahaman
kandungan yang tidak mendalam dan tidak memberi tumpuan kepada kemahiran
berfikir aras tinggi. Statistik ini juga menunjukkan cabaran besar yang
akan dihadapi kerana lebih kurang 60% guru pada hari ini akan terus
mengajar bagi tempoh 20 tahun lagi.
Apakah bentuk kejayaan?:
Profesion
keguruan akan menjadi lebih berprestij dan elit apabila pengambilan
dibuat hanya dalam kalangan graduan 30% terbaik dalam negara. Guru
pelatih akan menerima latihan yang sebaik mungkin dari mula mereka
mengikuti program latihan hingga mereka bersara. Mereka akan memperoleh
peluang pembangunan kerjaya yang menarik dalam beberapa laluan kerjaya
yang jelas, dengan kemajuan yang berasaskan prestasi dan kompetensi, dan
bukan tempoh perkhidmatan. Sistem pendidikan akan memperkukuhkan budaya
teladan rakan setugas untuk meningkatkan kecemerlangan profesional
menerusi pementoran, pembangunan dan perkongsian amalan terbaik, serta
meningkatkan kebertanggungjawaban rakan setugas dalam memenuhi standard
profesion.
Anjakan 5: Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah
Mengapakah perlu?:
Kualiti
kepimpinan sekolah merupakan faktor berasaskan sekolah yang kedua
terpenting, selepas kualiti guru, dalam menentukan keberhasilan murid.
Beberapa kajian antarabangsa tentang kepimpinan sekolah menunjukkan
bahawa pengetua/guru besar yang cemerlang, iaitu yang memberi tumpuan
kepada kepimpinan instruksional dan bukannya kepimpinan pentadbiran,
dapat meningkatkan keberhasilan murid sebanyak 20%. Walau bagaimanapun,
kriteria pemilihan yang diamalkan pada masa ini sebahagian besarnya
ditentukan berdasarkan tempoh perkhidmatan dan bukannya kecekapan
kepimpinan. Tambahan lagi, 55% daripada semua pengetua/guru besar yang
ada pada masa ini tidak pernah mengikuti latihan persediaan atau induksi
sebelum atau semasa mereka berada dalam tempoh tiga tahun pertama
sebagai pengetua/guru besar. Hal ini bermakna mereka mungkin menjalankan
tugas sebagai pengetua/guru besar dalam keadaan kurang bersedia. Dengan
bilangan 40% pengetua/guru besar yang akan bersara dalam tempoh lima
tahun akan datang, maka wujud peluang untuk meningkatkan kualiti kohort
ini.
Apakah bentuk kejayaan?:
Setiap
sekolah akan mempunyai pengetua/guru besar berprestasi tinggi yang
sentiasa gigih dalam matlamatnya untuk meningkatkan keberhasilan murid,
dari segi akademik dan bukan akademik. Pengetua/guru besar cemerlang
akan diberikan insentif untuk berkhidmat di sekolah berprestasi rendah,
dan akan berperanan sebagai mentor dalam komuniti yang lebih luas.
Seterusnya, asas kepimpinan di setiap sekolah akan diperkukuh, iaitu
dengan membangunkan dan menjadikan guru penolong kanan, ketua bidang dan
ketua panitia sebagai pemimpin instruksional.
Anjakan 6: Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan
Mengapakah perlu?:
Data
kebangsaan dan antarabangsa menunjukkan bahawa sekolah di Malaysia
tersebar merentas spektrum prestasi yang luas. Sebagai contoh, dalam
PISA 2009+, 7% daripada sekolah yang terlibat digredkan sebagai “Baik”,
13% “Sederhana” dan 80% “Lemah”. Sejak dahulu lagi, banyak program
dibentuk berdasarkan model “satu untuk semua” (one-size-fits-all). Data
antarabangsa menunjukkan bahawa sekolah memerlukan set intervensi yang
berlainan supaya bersesuaian dengan tahap prestasi sekolah yang
berbeza-beza.
Apakah bentuk kejayaan?:
Setiap
sekolah, tanpa mengira lokasi, saiz atau jenis, akan menyediakan
pendidikan yang baik dan holistik kepada murid. Hal ini bermakna bahawa
menjelang tahun 2020, tidak akan ada lagi sekolah berprestasi rendah
(Band 6 atau 7) di negara ini, malah lebih banyak sekolah akan diiktiraf
sebagai SBT atau Sekolah Kluster Kecemerlangan berdasarkan prestasi
yang ditunjukkan. Jumlah bantuan kewangan dan operasi yang diberikan
kepada setiap sekolah akan bergantung pada keperluan khusus
masing-masing. Pemimpin negeri, daerah dan sekolah akan mempunyai lebih
kuasa untuk membuat keputusan berkenaan operasi harian dan intervensi
khusus mengikut konteks sekolah dan Membolehkan pengurusan berasaskan
sekolah yang lebih luas.
Anjakan 7: Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia
Mengapakah perlu?:
Sepanjang
dekad yang lalu, Kementerian telah membelanjakan lebih RM6 bilion untuk
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam inisiatif pendidikan,
seperti Sekolah Bestari. Jumlah ini merupakan antara pelaburan modal
paling intensif pernah dilakukan dalam sistem pendidikan. Walau
bagaimanapun, penggunaan ICT di sekolah masih tidak mencapai tahap yang
memuaskan, baik dari segi kualiti mahupun kuantiti. Sebagai contoh,
kajian Kementerian pada 2010 mendapati bahawa lebih kurang 80% guru
menggunakan ICT kurang satu jam seminggu. Kajian tersebut turut
mendapati bahawa hanya sepertiga murid menyatakan bahawa guru mereka
menggunakan ICT secara tetap. Kajian UNESCO pada 2012 mendapati bahawa
penggunaan ICT tidak beranjak daripada sekadar penggunaan aplikasi
pemprosesan perkataan sebagai alat pengajaran. ICT mempunyai potensi
yang besar untuk memacu proses pembelajaran ilmu dan kemahiran berfikir
yang luas. Namun demikian, potensi ini belum dizahirkan.
Apakah bentuk kejayaan?:
ICT akan
membantu memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran di semua 10,000
sekolah. Murid akan memperoleh akses kandungan yang lebih luas,
menarik, dan interaktif. Mereka akan dapat belajar mengikut kadar
kendiri dan mempunyai pilihan pengajian yang lebih luas melalui program
jarak jauh. Pengetua/Guru Besar dan guru juga akan mempunyai akses
kepada sumber pembelajaran dan komuniti di dalam dan di luar negara bagi
membantu meningkatkan kualiti amalan mereka. Kemudahan ICT akan menjadi
sebahagian daripada kehidupan murid di sekolah, tanpa jurang pemisah
antara bandar dengan luar bandar. Semua guru dan murid akan dilengkapi
kemahiran yang perlu bagi menggunakan teknologi ini secara berkesan dan
bermakna.
Anjakan 8: Mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian
Mengapakah perlu?:
Sistem
penyampaian pendidikan Malaysia mempunyai jaringan yang sangat luas.
Sistem ini dikendalikan oleh hampir 6,800 pegawai dan kakitangan
sokongan di peringkat Kementerian, 6,400 di JPN dan lebih 6,000 di PPD.
Jumlah ini adalah tambahan kepada kirakira 420,000 pengetua/guru besar
dan guru di sekolah, dan lebih 13,100 pegawai dan kakitangan sokongan di
IPG, IAB dan kolej matrikulasi. Usaha melaksanakan dasar yang
merangkumi seluruh rangkaian sebesar ini adalah kompleks. Isu yang
dikenal pasti termasuklah pertindihan tanggungjawab di peringkat
Kementerian, JPN dan PPD; kekurangan penyelarasan di peringkat bahagian
dan pentadbiran; dasar yang kadangkala dilaksanakan berasaskan maklumat
yang tidak tekal atau kurang sokongan; serta pemantauan dan tindakan
susulan berasaskan keberhasilan yang lemah. Pihak PPD terutamanya, telah
dikenal pasti oleh Kementerian sebagai agensi utama dalam rantaian
penyampaian pendidikan.
Sejak
sekian lama, PPD dianggap sebagai cabang pentadbiran peringkat
Kementerian dan JPN. Disebabkan keperluan sekolah semakin meningkat,
maka skop aktiviti yang dilaksanakan oleh PPD juga semakin meningkat.
Sebagai entiti Kementerian yang paling hampir dengan sekolah, PPD
diharapkan dapat melaksanakan peranan dengan lebih praktikal. Pihak PPD
seharusnya menyediakan sokongan secara terus kepada pemimpin sekolah dan
bertindak secara proaktif dalam mengurus prestasi sekolah bagi
memastikan keberhasilan murid dapat ditingkatkan. Walau bagaimanapun,
penstrukturan sumber Kementerian masih belum diubah bagi memenuhi
tuntutan ini, dan akibatnya, sekolah mendapat tahap sokongan yang
berbeza-beza daripada PPD.
Apakah bentuk kejayaan?:
Kementerian
yang telah mengalami transformasi akan mempunyai pemimpin yang
berwibawa di setiap peringkat, proses dan struktur baharu, serta budaya
berprestasi tinggi. Peranan Kementerian, JPN dan PPD diperkemas, dengan
Kementerian memberikan tumpuan kepada pembangunan dasar dan perancangan
makro. Pihak JPN dan PPD akan diperkukuh untuk memacu pelaksanaan
harian. Struktur organisasi disusun semula dengan lebih ramai tenaga
kerja ditempatkan di barisan hadapan. Semua langkah ini seharusnya
menghasilkan pelaksanaan dasar yang lebih tekal dan berkesan di semua
negeri dan daerah.
Anjakan 9: Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta secara meluas
Mengapakah perlu?:
Kajian
antarabangsa menunjukkan dengan jelas bahawa proses pembelajaran turut
berlaku di luar sekolah, termasuk di rumah dan dalam komuniti. Di
Malaysia, kira-kira satu perempat daripada masa murid yang berumur
antara tujuh hingga 17 tahun dihabiskan di sekolah. Oleh itu, keutamaan
kini adalah melakukan anjakan daripada “pembelajaran berasaskan sekolah”
kepada “pembelajaran berasaskan sistem” dengan melibatkan ibu bapa,
komuniti, sektor swasta, dan masyarakat sebagai rakan dalam membantu
pembelajaran murid.
Kajian
antarabangsa menunjukkan bahawa sesetengah pelibatan yang demikian
meninggalkan kesan yang signifikan. Sebagai contoh, dapatan kajian OECD
tentang PISA menunjukkan bahawa sesetengah aktiviti antara ibu bapa
dengan anak, seperti membaca pada setiap hari atau membincangkan
kegiatan harian, dapat meningkatkan keberhasilan murid secara signifikan
tanpa mengambil kira latar belakang sosioekonomi. Kajian antarabangsa
juga membuktikan bahawa sekolah yang melibatkan sektor perniagaan,
organisasi awam dan institusi pengajian tinggi mendapat manfaat
termasuklah gred yang lebih tinggi dan ketakhadiran murid yang rendah.
Apakah bentuk kejayaan?:
Setiap
ibu bapa akan menjadi rakan yang aktif dalam proses pembelajaran anak
mereka, bukan sahaja melalui aktiviti yang lazim, seperti hari sukan dan
hari penyerahan kad laporan, tetapi juga menerusi Persatuan Ibu Bapa
dan Guru (PIBG) yang diperkukuhkan bagi menyediakan maklum balas tentang
hal ehwal pengurusan berasaskan sekolah. Di samping itu, penggunaan
sarana ibu bapa juga menyokong pembelajaran murid. Sekolah juga akan
mempunyai rangkaian komuniti dan sektor swasta sebagai rakan yang mampu
memberi sumbangan kepakaran untuk kemajuan sekolah. Pelibatan semua
pihak berkepentingan ini akan mewujudkan ekosistem pembelajaran yang
memperkukuhkan pengajaran ilmu, kemahiran, dan nilai yang diajar kepada
murid di sekolah.
Anjakan 10: Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit
Mengapakah perlu?:
Pada
2011, sebanyak 16% daripada bajet tahunan Persekutuan dibelanjakan untuk
pendidikan, dan jumlah ini merupakan bahagian yang paling besar antara
semua Kementerian. Bajet pendidikan Malaysia, sebagai sebahagian
daripada KDNK juga merupakan satu daripada bajet tertinggi di dunia.
Pelaburan yang signifikan ini menunjukkan komitmen Kerajaan terhadap
pendidikan. Namun, perpindahan sejumlah besar dana daripada bahagian
keutamaan lain kepada sistem pendidikan tidak mungkin akan berlaku.
Sebaliknya, Kementerian adalah kritikal bagi meningkatkan kecekapan dan
keberkesanan dalam perbelanjaan dan peruntukan dananya.
Apakah bentuk kejayaan?:
Kerajaan
akan terus melakukan pelaburan yang bersesuaian, iaitu anggaran 16%
daripada bajet persekutuan, bagi melaksanakan transformasi hebat dalam
sistem pendidikan. Kementerian akan memperuntukkan dana ini bagi
keutamaan yang direncanakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia,
dan tidak melibatkan program dan inisiatif lain yang berimpak rendah.
Kerajaan juga akan memantau dan melaporkan pulangan atas pelaburan
daripada setiap inisiatif, dengan pelaburan seterusnya bergantung pada
hasil yang ditunjukkan.
Anjakan 11: Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung
Mengapakah perlu?:
Program
Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi menunjukkan
perubahan asas kebertanggungjawaban Kerajaan terhadap rakyat. Tahap
kebertanggungjawaban yang lebih rendah daripada standard yang ditetapkan
itu, kini tidak boleh diterima lagi. Perkara ini diperkukuhkan semasa
berlangsungnya Dialog Nasional. Dalam Dialog ini, pihak berkepentingan
kerapkali menekankan bahawa Kementerian perlu tingkatkan pelibatan
dengan orang awam dan menjelaskan kepada mereka tentang jenis dan
kemajuan inisiatif yang dilaksanakan serta hasil yang akan
diperoleh.
Apakah bentuk kejayaan?:
Semua
pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan
kemajuan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Maklumat ini akan
membolehkan mereka terlibat dalam dialog positif bersama Kerajaan bagi
membincangkan inisiatif sedia ada dan akan datang. Mereka juga boleh
menggunakan maklumat ini untuk melibatkan diri dengan komuniti sekolah
setempat atau sistem pendidikan yang lebih luas seperti yang dinyatakan
dalam Anjakan 9. Cara ini bukan sahaja akan membentuk masyarakat yang
bermaklumat dan berupaya, tetapi juga menjurus kepada cara penggubalan
dasar yang lebih bertanggungjawab dan lebih responsif dalam Kementerian.