Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Selasa, November 23, 2010

PEPERIKSAAN SPM DAH BERMULA - CIKGU DOAKAN ANAK-ANAK DIDIK CIKGU BERJAYA

Hari ini bermulalah peperiksaan SPM bertulis. Calon-calon peperiksaan SPM seluruh Malaysia termasuk anak-anak didik kami di SMK Telok Kerang mulalah mengatur genderang perang bagi menghadapi peperiksaan ini. Segala strategi dah didedahkan... Teknik menjawab soalan dah di terangkan...Program pengukuhan dah dibuat...Jawablah semua soalan dengan penuh yakin wahai anak-anak didikku. 

Kepada anakku yang bongsu iaitu Fakhrul Syahmi Azri 'Adik' salah seorang calon peperiksaan SPM di SMK Telok kerang, jawablah semua soalan dengan penuh yakin. Pindahkan semua yang dipelajari di atas kertas jawapan. Ayah dan emak doakan semoga 'Adik' berjaya dengan cemerlang.

Kepada 21 orang pelajar Sains Pertanian yang telah ku didik selama dua tahun, cubalah sedaya upaya  menjawab semua soalan dengan penuh yakin. Kita dah sama-sama berbincang setiap tajuk pembelajaran. Program-progran kecemerlangan dah kita buat... Cikgu doakan kalian berjaya dengan cemerlang. Ingat janji kita.... 

Isnin, November 22, 2010

DILEMA PENEMPATAN GURU

Utusan Malaysia, 22 November 2010

Masalah penempatan guru memang rumit untuk diselesaikan. Ia menjadi bertambah sulit apabila terdapat segelintir daripada 400,000 guru yang masih dalam perkhidmatan memohon bertukar sekolah dengan alasan yang kurang wajar. Rata-rata mahu mengajar di sekolah yang dekat dengan rumah. Lalu mereka cenderung menjadikan alasan rumah sedia ada atau rumah yang baru dibeli berhampiran sekolah sebagai sebab untuk bertukar tempat mengajar.

Sememangnya semua orang dalam apa jua profesion pun menginginkan jarak tempat tinggal yang berhampiran dengan tempat kerja. Jimat masa dan jimat kos. Namun, kita juga perlu profesional kerana penempatan guru adalah berdasarkan keperluan perkhidmatan. Bukannya mengikut kesesuaian tempat tinggal. Faktor ini penting demi meminimakan masalah kekurangan guru di kawasan luar bandar dan pedalaman tetapi terlebih guru di sekolah tertentu di kawasan bandar.

Misalnya, satu sekolah hanya memerlukan tiga guru Matematik tetapi terdapat lima guru di situ. Jika opsyen kedua semua guru ini berbeza, maka mereka boleh mengajar subjek yang lain. Tiada masalah. Sebaliknya, masalah akan timbul jika ada pertindihan opsyen. Ia membabitkan guru terbabit, pengurusan sekolah dan Kementerian Pelajaran. Akhirnya pelajar menjadi mangsa keadaan, diajar oleh guru yang tidak terlatih dalam subjek berkenaan.

Justeru, bertukarlah dengan alasan yang konkrit seperti disebabkan isu keselamatan atau faktor kesihatan. Contoh isu keselamatan ialah hal yang berbangkit akibat keganasan rumah tangga. Misalnya seorang guru wanita menerima ugutan dan ancaman daripada bekas suami. Bila ini berlaku memang wajar dan ada keperluan untuk beliau berpindah ke sekolah lain. Manakala dalam masalah kesihatan pula mestilah yang melibatkan sakit kronik dan memerlukan rawatan rapi. Kemudahan perubatan mungkin hanya terdapat di hospital di kawasan bandar sahaja. Bagaimanapun, ia terhad kepada guru itu sendiri dan ahli keluarga terdekatnya iaitu anak, suami atau isterinya sahaja.

Ibu bapa tidak termasuk dalam kategori ini. Rasionalnya, tanggungjawab menjaga ibu bapa yang uzur perlu dipikul bersama dan bukannya diletakkan kepada guru berkenaan sahaja. Selain itu, alasan mengikut suami perlu diberi keutamaan agar tumpuan guru terbabit tidak terjejas. Ia juga bagi memastikan guru itu dapat memberikan prestasi yang tinggi dan terbaik untuk para pelajarnya.

Jelas di sini, Kementerian Pelajaran menitikberatkan tahap kemanusiaan yang tinggi dalam penempatan para guru supaya kebajikan mereka terbela. Hal ini secara tidak langsung akan memotivasikan guru untuk komited dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing.

Dalam pada itu, pertukaran guru juga dilakukan secara pentadbiran. Sebagai contoh, jika Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mendapati ada lebihan seorang guru Bahasa Inggeris di sekolah A dan sekolah B memerlukannya. Maka guru tersebut akan dipindahkan ke sekolah B walaupun beliau tidak membuat sebarang permohonan pertukaran tempat mengajar. Bagi guru yang memohon pertukaran secara atas talian, keputusan telah pun diumumkan. Kepada yang berjaya, selamat mencurah bakti di sekolah yang baru. Kepada yang kurang bernasib baik, bersabar dan jika perlu, buatlah rayuan.

Bila membuat rayuan pastikan mengikut etika dan tatacara urusan rasmi. Jangan dibawa bayi atau anak kecil ke pejabat. Apatah lagi ibu atau bapa yang uzur. Ia boleh mengganggu ketenteraman dan menjejaskan urusan pihak lain. Malah ia mungkin menjejaskan tugasan lain pegawai terbabit. Memadai dengan menyediakan dokumen sokongan untuk rujukan pihak yang berkenaan. Bukti itu sudah mencukupi tanpa perlu ditambah dengan elemen emosi dan simpati.

Rabu, November 17, 2010

TERIMA KASIH TV3 KERANA SIARAN MENGENAI SAMBUTAN AIDILADHA OLEH MELAYU CAM DI KEMBOJA YANG SUNGGUH MENGINSAFKAN

Artikel ini saya sedut daripada Berita Harian yang bertajuk 'Melayu Cam Masih Beri Belanja Anak 3 Sen, Makan Bubur Nasi'.

'Etnik Islam di Kemboja rata-ratanya pesawah hidup daif sejak sekian lama tanpa sebarang bantuan kerajaan. Yusof Mosa, 44, nampak polos dan ceria tetapi dalam dirinya tersimpan penderitaan selama hidupnya setakat ini. Dia tinggal dalam rumah yang cuma berbumbung daun tha (sejenis pokok palma). Beliau mengusahakan sawah padi seperti 85 peratus penduduk etnik Melayu Cam lain di Kemboja. Jika hasil padi sedikit kerana kemarau atau dilanda banjir, dia sekeluarga seperti rata-rata etnik Melayu Cam lain hanya makan nasi air (bubur) sekali sehari dengan lauk ikan sungai dengan sayur timun, labu, terung atau kangkung'.

'Tinjauan Berita Harian di Swai Pekau turut bertemu pasangan Isa dan Maisom Hassan, 29, bersama bayinya, Fari, 2 bulan dan kakaknya, Fitra, 10. Tubuh Fitra mungkin tidak sampai 20 kilogram dan cuma sebesar budak berusia enam tahun di Malaysia. Dia memakai baju seragam sekolah yang juga baju basahan sehariannya. Warna putih bajunya lebih buruk daripada kain buruk orang kita. Tetapi Fitra sudah tegar hidup begitu, termasuk tanpa kasut atau selipar dan makan nasi bubur dengan rasa garam. Dia sentiasa senyum walaupun tidak pernah menonton TV, mendengar radio dan jauh daripada kenal komputer serta menikmati makanan segera seperti kanak-kakak sebayanya di Malaysia'.

'Jurugambar Berita Harian turut merakamkan seorang wanita memanggang ikan jelawat sebesar empat jari dengan bara ranting kayu dengan tungku batu di halaman rumahnya. Mereka tidak mampu membeli minyak masak dan tiada deretan botol perisa seperti pemandangan lumrah dapur rakyat Malaysia'.

'Di penempatan komuniti Melayu Cam di kanan kiri Kilometer 7 hingga 10, Jalan Kebangsaan 5, kehidupan majoriti mereka di situ juga daif. Berikutan taraf sosioekonomi yang rendah, ramai kanak-kanak tidak ke sekolah, kekurangan zat makanan, mengalami masalah cacing serta terbiar, sekali gus masa depan mereka sangat gelap'.

Mengapa saya teruja untuk memperkatakan mengenai orang Melayu Cam di Kemboja?

Ia bertitik-tolak setelah saya menonton siaran TV3 pada petang tadi yang menggambarkan kehidupan etnik Melayu Cam di Kemboja menyambut Hari Raya Aidiladha. Siaran sempena Aidiladha itu ditayangkan pada pukul 6 petang

Dalam siaran itu saya dapat lihat beberapa perkara yang menyentuh hati nurani saya. Di antaranya ialah

  1. Rumah dia orang amat daif. Ada di antaranya berdindingkan seperti daun palma yang berlubang-lubang.
  2. Rumah dibina tinggi mungkin untuk mengelakkan banjir.
  3. Kawasan kampung mereka kelihatan begitu daif, kotor dan tidak terurus.
  4. Raut wajah mereka tidak ada yang berseri. Wajah orang susah dan miskin.
  5. Tidak kelihatan wajah tampan dan manis berseri pemuda dan pemudinya.
  6. Kelihatannya tidak ada orang gemuk.
  7. Ada di antara mereka yang berpendapatan hanya RM4 sehari.  Ada yang berpendapatan hanya RM50 sebulan.
  8. Oleh kerana miskin, ada yang makan nasi putih berkuahkan air berlaukkan garam.
  9. Dapat makan daging setahun sekali. Itupun jika ada ibadah korban di Aidiladha.
  10. Harga daging RM20 sekilo.
  11. Narator menyatakan bahawa jika ada yang mampu membeli daging, itupun oleh kerana ada keluarga atau sanak saudara yang bekerja di luar negara yang mengirim duit ke kampung.
  12. Biaya permit untuk kerja di luar negeri begitu tinggi iaitu antara RM4000 hingga RM5000. Mereka tidak mampu.
  13. Daging korban dimasak dan dimakan beramai-ramai.
  14. Digambarkan juga anak-anak gembira membakar baki-baki hirisan daging korban yang dicucuk ke lidi lalu dibakar dan berkongsi memakannya.
  15. Walaupun miskin, mereka terus berusaha mencari nafkah walaupun pendapatannya tetap jauh di bawah garis kemiskinan.
Saya ucapkan terima kasih kepada TV3 atas siaran tersebut. Saya tak pernah pergi ke Kemboja. Saya tahu mengenai kemiskinan etnik Melayu Cam melalui pembacaan buku-buku dan artikel-artikel. Tetapi setelah menonton siaran itu, jelaslah sememangnya kemiskinan membelenggu mereka.

Saya amat bersyukur hidup di bumi Malaysia. Susah dan miskin rasanya tidak boleh dibasmi. Ia hanya boleh dikurangkan. Jadi selepas ini kita rakyat Melayu Malaysia yang seagama sepatutnya membantu mereka untuk mencari sinar kehidupan yang lebih baik. Insya Allah....

IBADAH KORBAN DI AIDILADHA


Hari ini umat Islam di seluruh dunia merayakan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban. Hari kebesaran Islam ini diraikan pada setiap 10 Zulhijah mengikut takwim Hijrah.

Pada Hari Raya Aidiladha tahun ini lebih kurang 2.5 juta umat Islam datang dari seluruh pelusuk dunia dan berkumpul di Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan ibadah haji bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima dan sebagai menyahut seruan Allah Subhanahu Wataala.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud: "Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah .....'

Pada hari raya ini juga, umat Islam disunatkan melakukan ibadah korban sebagai tanda ingatan terhadap peristiwa Nabi Ibrahim Alaihissalam telah mengorbankan anak baginda, Ismail Alaihissalam. Betapa setiap yang hendak dikorbankan itu mestilah sesuatu yang bersifat paling disayangi dan berharga. Selain daripada itu Ibadah ini juga boleh melatih perasaan individu Muslim agar jangan bersikap bakhil dan kedekut di dalam mengeluarkan harta demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti orang-orang fakir dan miskin.

Firman Allah Subhanahu Wataala di dalam Surah Al-Hajj ayat 37 yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu...."

Kelebihan ataupun fadilat yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala di dalam melakukan ibadah ini di antaranya ialah:

  1. Mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wataala.
  2. Dapat menebus dosa iaitu melalui setiap titisan darah binatang yang dikorbankan dan binatang-binatang ini juga bakal menjadi tunggangan di atas titian sirat.
  3. Bulu-bulu binatanga yang dikorbankan itu juga adalah satu kebajikan.
  4. Mewujudkan suasana harmoni, kerjasama dan kasih sayang sesama Muslim.
  5. Melahirkan sikap penyayang.
  6. Memupuk sifat suka berkorban dan bersedekah.

SEAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Selamat Hari Raya Aidiladha

Ahad, November 14, 2010

TUKAR GURU BESAR CEMERLANG UPSR

Mingguan Malaysia 14 November 2010


APABILA keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 diumumkan Khamis lalu, ia memberikan berita gembira kepada banyak pihak. Sebanyak 48,327 daripada 482,334 calon memperoleh kelulusan semua A dalam mata pelajaran yang mereka ambil. Ia disifatkan sebagai pencapaian yang paling tinggi dalam sejarah peperiksaan UPSR.

Apakah yang dapat difahami daripada keputusan tersebut?

Pada tahun 1998, kira-kira 12 tahun lalu, terdapat 466,353 pelajar menduduki UPSR. Bilangan yang memperoleh semua subjek A hanya 21,009 orang. Pada 2010, bilangan yang meraih semua A telah meningkat kepada 48,327. Berbanding angka tahun 1998, pada tahun ini ada pertambahan 27,318 orang pelajar memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

Statistik itu memperlihatkan para pelajar semakin cerdik dan kompetitif. Ia juga membawa makna bahawa sekolah-sekolah berasrama penuh sudah tidak mencukupi untuk menampung para pelajar yang bertambah cemerlang. Siapakah yang berada di belakang kejayaan ini? Ada banyak. Antaranya calon peperiksaan sendiri, ibu bapa, guru-guru dan para pegawai pelajaran.

Bagaimanapun, salah satu faktor lain ialah bagaimana sekolah-sekolah ditadbir. Kita dapati sekolah-sekolah yang diurus dengan baik oleh guru-guru besar cemerlang menghasilkan keputusan UPSR yang hebat untuk sekolah masing-masing. Guru besar menjadi individu yang memotivasikan guru-guru, ibu bapa dan pelajar untuk mengejar kejayaan dalam pelajaran.

Pada 1998, sebuah sekolah kebangsaan di Damansara, di bawah pentadbiran seorang guru besar yang komited, telah berjaya melahirkan 102 orang pelajar yang memperoleh 5A dalam UPSR tahun tersebut. Malangnya, guru besar itu kemudian bersara kerana faktor umur dan digantikan dengan guru besar lain. Dari setahun ke setahun, di bawah guru besar baru, sekolah tersebut semakin merosot dari segi keputusan peperiksaan UPSR. Pada 2010 hanya terdapat 30 orang pelajar sekolah itu yang memperoleh 5A dalam UPSR berbanding 102 orang pada tahun 1998. Ia merupakan satu kejatuhan yang memalukan. Persekitaran sekolah masih sama. Taraf kehidupan ibu bapa dan pelajar tetap serupa. Sebahagian daripada guru masih orang yang dulu. Yang berbeza hanyalah guru besar.

Keputusan peperiksaan yang berbeza dalam kes sekolah di Damansara itu seharusnya mencetuskan minat untuk Kementerian Pelajaran mengkaji punca kegagalan dan kecemerlangan sesebuah sekolah. Awang percaya guru besar merupakan pemimpin yang mencorakkan arah tuju sekolah dan masa depan para pelajarnya. Begitu juga dengan kejayaan banyak sekolah lain di bandar, luar bandar dan pedalaman. Guru besar yang berwawasan menjadikan sesetengah sekolah lebih kehadapan daripada sekolah yang lain.

Jika guru besar sekolah hebat seperti Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara dan Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 1 di Kuala Lumpur ditukarkan ke Kerling di Hulu Selangor atau Cherok Paloh dekat Pekan, Pahang, sekolah-sekolah di luar bandar itu akan memperoleh keputusan UPSR yang lebih baik.

Kalau itulah yang akan berlaku dan sekiranya kepimpinan guru besar menjadi katalis yang melahirkan sekolah cemerlang, Kementerian Pelajaran harus segera merangka perancangan untuk 7,685 guru besar yang sedang mentadbir 7,685 buah sekolah rendah di seluruh negara.

Ada tiga opsyen boleh dipertimbangkan:

  1. Melatih lebih ramai guru besar menjadi seperti guru besar sekolah-sekolah cemerlang.
  2. Mencontohi model pendidikan sekolah-sekolah tersebut, membuat penambahbaikan dan memperluaskannya ke seluruh negara.
  3. Memindahkan guru-guru besar cemerlang itu ke sekolah-sekolah yang kurang berjaya di luar bandar bagi melahirkan para pelajar berkualiti yang berani menghadapi cabaran meritokrasi.
Dalam keterujaan kita untuk menghalusi idea ini, ada soalan lain yang wajar dipertanyakan iaitu adakah menghasilkan lebih ramai pelajar yang memperoleh 5A dalam UPSR akan menjadikan negara kita lebih baik pada masa depan dan melahirkan generasi yang lebih berbakat?

Soalan ini sahaja akan mencetuskan perdebatan yang tidak sudah-sudah.

Sabtu, November 13, 2010

LEBIH SEJUTA UMAT ISLAM SOLAT JUMAAT DI MASJIDIL HARAM

Berita Harian 12 November 2010


MAKKAH: Lebih sejuta umat Islam membanjiri Msjidil Haram untuk menunaikan solat Jumaat hari ini, menjelang hari wukuf pada Isnin ini.

Seawal 10 pagi waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia) semua ruang dalam masjid suci itu dipenuhi jemaah pelbagai kaum dan bangsa dari seluruh pelusuk dunia. Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais, mengimamkan solat Jumaat hari ini. Cuaca panas mencecah 38 darjah Celsius tidak menghalang umat Islam mengisi semua ruang di dalam dan di luar Masjidil Haram sehingga hampir ke jalan raya.

Dalam khutbahnya antara lain, Sheikh Dr Abdul Rahman mengingatkan umat Islam yang hadir menunaikan haji atas niat yang satu iaitu mencari keredhaan Ilahi.

Menurut seorang rakan yang fasih berbahasa Arab yang bertugas dengan TV Al-Hijrah, Nabil Ahmad, Sheikh Dr Abdul Rahman mengingatkan jemaah haji bahawa Islam adalah agama penyatuan dan wajib bagi mereka saling tolong menolong.

Beliau juga mengingatkan jemaah haji supaya tidak melakukan perkara yang ditegah dan mengumpat sertakan mendoakan mereka mendapat haji mabrur.

Dianggarkan lebih 1.5 juta umat Islam tidak termasuk warga Arab Saudi yang menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini, akan berangkat ke Arafah untuk wukuf Isnin ini.

Semua 26,000 jemaah haji Malaysia telah tiba di tanah suci Makkah untuk menunaikan haji. - BERNAMA

Selasa, November 09, 2010

DATUK ABD. GHAFAR MAHMUD KETUA PENGARAH PELAJARAN BAHARU

Utusan Malaysia 8 November 2010




KUALA LUMPUR 7 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Pengarah Institut Aminuddin Baki, Datuk Abd. Ghafar Mahmud (gambar), 54, dilantik menjadi Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu berkuat kuasa esok. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, Abd. Ghafar akan menggantikan Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang bersara wajib hari ini.

''Selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Perkara 144(3), Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri telah memperkenankan pelantikan Abd. Ghafar sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu,'' katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pelantikan Abd. Ghafar dibuat berasaskan pengalaman luas dalam bidang pendidikan, pengetahuan serta kompetensi yang dimilikinya.

''Kerajaan percaya, pengalaman, pengetahuan serta komitmen Abd. Ghafar akan membolehkan beliau melaksanakan tugas seperti mana diperuntukan oleh Akta Pendidikan 1996,'' kata beliau.

Tambah Muhyiddin, kerajaan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Alimuddin atas sumbangan kepada perkhidmatan awam serta negara selama 34 tahun.

Alimuddin memegang jawatan Ketua Pengarah Pelajaran sejak 16 Julai 2007.

Abd. Ghafar berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang pendidikan dari Universiti of East Aglia, Norwich, United Kingdom serta pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya. Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai pegawai perkhidmatan pelajaran pada 1 Mei 1977.

Sepanjang perkhidmatannya di Kementerian Pelajaran, Abd. Ghafar memegang pelbagai jawatan antaranya sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki sejak tahun lepas, Ketua Nazir, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti pada 2008 dan Pengarah Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum pada 2007. Di samping itu, beliau juga pernah menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah, Unit Berasrama Penuh serta Ketua Penolong Pengarah, Unit Perancang dan Pembangunan, Bahagian Sekolah pada 2001.

GUNUNG MERAPI MASIH BERBAHAYA

Utusan Malaysia, 9 November 2010



ANGGOTA pasukan pencari dan penyelamat mencari
 mangsa-mangsa di sebuah kampung dekat Ngancar
di Sleman, semalam. Gunung Merapi yang  masih
memuntahkan  abu dan gas panas jelas kelihatan
dalam gambar ini. – AFP


YOGYAKARTA 8 Nov. – Walaupun Gunung Merapi telah meletus dengan dahsyat pada 5 November lalu lalu dan merupakan letusan terbesar dalam abad ini, gunung berapi itu diramalkan masih menyimpan tenaga yang besar.

Pengarah Jabatan Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, R Sukhyar berkata, andaian itu dibuat berdasarkan letusan gunung berkenaan berlaku tanpa henti sejak 3 November lalu.

“Sejak 3 November lalu sampai sekarang Merapi telah meletus tanpa henti, itu bererti tenaga yang tersimpan masih besar,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, tenaga yang dilepaskan oleh Gunung Merapi sejak letusan dari 3 hingga 7 November lalu masih berterusan hingga sekarang bahkan lebih besar berbanding letusan pertama pada 26 Oktober.

“Kami tidak dapat menjangka bila tenaga itu akan habis, sehinggalah Gunung Merapi tidak lagi meletus,” katanya.

Namun, kata Sukhyar, zon keselamatan di lingkungan Gunung Merapi masih ditetapkan sekitar 20 kilometer dari puncak gunung. Penetapan radius keselamatan itu, kata beliau, dibuat berdasarkan data-data sejarah letusan Gunung Merapi, khususnya jarak luncur awan panas.

“Berdasarkan fakta sejarah, jarak luncur awan panas Merapi tidak pernah lebih daripada 15 kilometer, iaitu hanya sekitar antara 12 hingga 13 kilometer, " katanya.

Kawah berdiameter 400 meter yang telah terbentuk di puncak gunung ini lebih terbuka ke selatan atau mengarah ke hulu Kali Gendol, sehingga awan panas yang diluncur Merapi akan mengarah ke sungai tersebut.

Sementara itu, awal pagi ini dilaporkan Merapi terus meletus dan membentuk awan panas setinggi kira-kira 5,000 meter. Petugas pemantau gunung berkenaan melaporkan bunyi menggelegak dari perut Merapi masih kedengaran.

Setakat ini 135 orang telah terkorban sejak Merapi meletus pada 26 Oktober lalu dan jumlah itu akan terus meningkat kerana masih banyak mayat yang tidak dapat dibawa keluar kerana letusan berterusan. Dilaporkan dua anggota sukarelawan masih hilang dalam letusan Jumaat lalu. Jumlah penduduk yang dipindah ke pusat-pusat pemindahan kini mencecah hampir 300,000 orang.

Selepas letusan kuat Jumaat lalu ramai penduduk mulai meninggalkan kediaman mereka di sekitar Gunung Merapi dan televisyen tempatan turut menayangkan anggota komando dikerah ke kampung-kampung terbabit bagi memaksa penduduk yang masih berdegil supaya berpindah.

Merapi telah memuntahkan kira-kira 100 juta meter padu material.