Macam-macam reaksi daripada pelbagai pihak apabila Kementerian
Pelajaran mengambil langkah merangka Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin
Murid) 2012 yang membolehkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke
sekolah mulai tahun depan.
Bagi pelajar-pelajar, tentunya menganggap langkah ini sebagai suatu
kemudahan yang ‘menyeronokkan’ dan ditunggu-tunggu manakala golongan
ibu bapa ada yang merasa lega kerana boleh mengikuti perkembangan anak
mereka di sekolah dan pada masa sama tidak kurang ramai juga bimbang
dengan kesannya kepada anak-anak apabila membawa alat komunikasi itu ke
sekolah.
Pertama, bimbang disalah guna kemudahan tersebut. Yang keduanya,
apabila berlakunya kecurian atau kehilangan gajet berharga itu.
Draf peraturan membenarkan penggunaan telefon bimbit ini dirangka
selari dengan perkembangan semasa serta mengambil kira faktor
keselamatan pelajar, tambahan sebelum ini, pihak ibu bapa sudah beberapa
kali meminta kementerian agar membenarkan telefon bimbit dibawa ke
sekolah bagi membolehkan mereka mengawasi pergerakan anak mereka.
Sememangnya ada baik dan tidak baiknya membawa telefon bimbit ke
sekolah. Dari segi baiknya, tentu ia memudahkan ibu bapa untuk mengesan
anak mereka terutamanya selepas waktu sekolah. Ada ketikanya anak-anak
terlepas bas sekolah mungkin kerana lambat keluar kelas dan tidak
memaklumkan kepada pemandu bas terlebih dahulu. Tidak kurang juga yang
nakal dan suka berpeleseran selepas waktu sekolah.
Saya pernah diminta oleh anak saya yang bersekolah rendah menghantar
kawannya pulang ke rumah kerana kawannya itu terlepas bas. Ini
disebabkan semua murid di dalam kelasnya dihukum balik lewat sedikit
setelah gagal menyiapkan kerja rumah yang diberi. Mujur saya tidak
bekerja ketika itu.
Kediaman saya yang amat dekat dengan sekolah tidak memerlukan anak
saya untuk menaiki bas. Sampai di rumah saya, kawannya itu yang
menangis kerana panik meminjam telefon bimbit saya memberitahu ibunya
di tempat kerja yang dia terlepas bas dan saya akan menghantarnya.
Saya merasa gusar, rasa marah pun ada. Kenapalah cikgu boleh membuat
hukuman sebegitu tanpa memikirkan pelajar-pelajar yang menaiki bas
sekolah. Siapa yang akan menghantar mereka sekiranya terlepas bas? Jika
dibiar pelajar ini ‘bersidai’ menunggu penjaganya mengambilnya pulang di
depan sekolah dalam suasana yang agak sunyi, semua pelajar telah
pulang, kita bimbang ada pihak lain yang tidak bertanggungjawab pula
menawarkan khidmat untuk menghantar pelajar ini pulang ke rumah.
Dalam situasi seperti ini telefon bimbit amat diperlukan. Memang ada
telefon awam disediakan di sekolah tetapi tidak semua diselenggara
dengan baik, lama dibiarkan rosak dan tidak banyak pula kemudahan itu.
Dalam pada itu, jangan terkejut ramai juga pelajar sekolah terutamanya
di peringkat rendah yang tidak tahu menggunakan telefon awam.
Tetapi dari sudut tidak baiknya, kita juga bimbang telefon tersebut
akan disalahguna pelajar. Kemudahan ini digunakan untuk menghantar
khidmat pesanan ringkas (SMS) sesama kawan di dalam kelas atau luar
kelas, melayari Internet pada waktu sekolah, mengemas kini status di
Facebook, twitter, merakamkan perbuatan kawan-kawan dan guru-guru dan
sebagainya.
Pada masa sama, para guru bukan sahaja berhadapan dengan cabaran
mengawal pelajar sekolah ini daripada menyalahguna telefon bimbit di
sekolah tetapi terpaksa melayani masalah kehilangan telefon bimbit itu.
Kehilangan gajet ini juga mungkin membuatkan pelajar-pelajar terbabit
menuduh antara satu dengan lain sehingga berlakunya pergaduhan dan
bermacam-macam lagi kesan daripada kehilangannya.
Pada masa sama, pelajar-pelajar yang tidak ada telefon bimbit dan
iPad, mula merengek meminta ibu bapa membelikan telefon bimbit kerana
melihat kawan-kawan memilikinya dan membawa ke sekolah. Yang lagi haru,
mereka mahu yang lebih canggih daripada kawan-kawan dengan niat
berlawan-lawan, telefon siapa yang lebih up to date.
Saya tidak pasti apakah peraturan-peraturan ketat yang akan digunakan
kementerian dalam mengawal penggunaan telefon bimbit ini. Tetapi sudah
pastinya draf yang sedang dirangka itu perlu mengambil kira kesan-kesan
yang tidak baik ini.
Kita mahu tahu hadnya, bila waktu telefon bimbit ini boleh digunakan
dan bagaimana pihak sekolah dapat mengawal penggunaannya. Pelaksanaan
peraturan-peraturan berkaitannya pun perlu tegas dan perlu dipatuhi.
Sedangkan peraturan sedia ada yang melarang pelajar sekolah membawa
telefon bimbit, ramai juga yang melanggarnya dengan membawanya secara
sorok-sorok.
Kita bimbang peraturan yang ada jika tidak dilaksanakan secara tegas,
tidak memberi apa-apa makna, sedangkan orang dewasa pun sukar untuk
mematuhi peraturan.
Tetapi sudahkah perkiraan dan kajian baik
buruknya diambil kira? Hanya pihak berwajib mampu menjawab persoalan
ini. Sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai statistik baik buruknya
membenarkan pelajar membawa telefon ke sekolah mungkin boleh untuk saya
kongsikan bersama isu yang pada hemat saya mungkin timbul apabila
pelajar bersama telefon di sekolah:
Tumpuan pelajar terganggu
Bolehkah seorang guru mengawal pelajarnya agar tidak melayan SMS yang
masuk keluar pada setiap detik dan ketika? Mungkin juga pelajar sibuk
melihat kecanggihan gajet yang dimiliki oleh rakan dan membandingkan
dengan gajet miliknya. Bukankah ini semua akan mengganggu pengajaran dan
pembelajaran dalam kelas.
Jurang stratifikasi sosial di sekolah
Sekolah diprogramkan dengan keseragaman dan kesamarataan. Baju tidak
berbeza pada warna mahupun gayanya. Tetapi jika gajet yang dibawa
iPhone, Samsung, BlackBerry sudah tentu tidak sama dengan gajet tidak
berjenama. Apakah kita inginkan jurang stratifikasi sosial berlaku di
dalam persekitaran sekolah. Sombong, memperlekehkan yang lain mungkin
akan menjadi budaya sekolah. Adakah matlamat ke sekolah akan tercapai
kiranya begini keadaan persekitarannya?
Jenayah kecil-kecilan
Gajet yang dibawa ke sekolah seperti telefon bimbit mungkin terdedah
kepada kecurian. Disebabkan godaan yang tinggi gajet yang dicuri boleh
membawa kepada masalah lain seperti bergaduh sesama pelajar dan tidak
kurang menyusahkan para guru yang terpaksa membuat siasatan bagi
kecurian tersebut.
Isu sosial
Anak remaja sedang dalam proses mengenali diri dan membentuk
peribadi. Banyak kes pada hari ini telefon bimbit berkamera digunakan
sebagai bahan untuk bereksperimen dalam melihat tubuh badan sendiri,
mengendap, merekodkan aksi buli dan aksi terlarang lain atas dasar ingin
tahu yang kuat dalam diri remaja. Bukan itu sahaja, gajet canggih yang
dilengkapi akses kepada internet juga memungkinkan pelajar leka bermain
permainan dalam talian dan lain-lain lagi. Sanggupkah para guru warga
pendidik dan ibu bapa melayani serta berhadapan dengan semua isu ini
yang mana kadar penyalahgunaannya begitu tinggi?
Akademik tidak bebas lagi
Guru-guru mungkin mengalami kesukaran untuk berkongsi contoh dan
bercakap mengenai perkara yang sensitif kerana khuatir gajet canggih
yang dimiliki pelajar merekodkan perkara itu serta mentafsirnya secara
salah. Guru juga mungkin tidak akan menggayakan atau berdemonstrasi
dalam membentuk kefahaman pelajar bagi mengelakkan ia direkodkan,
disunting dan dimuatkan di internet yang akan menjadikan guru terbabit
bahan lawak jenaka. Lebih malang ia mungkin jatuh ke tangan pihak tidak
bertanggungjawab dan secara tidak langsung mengekang kebebasan akademik
di sekolah.
Mungkin bagi membendung kebimbangan ibu bapa akan ancaman bahaya yang
ada pada hari ini, pihak berwajib perlu memperkenalkan Prosedur Operasi
Standard (SOP) yang membolehkan pihak sekolah dan ibu bapa mengambil
tindakan perlu apabila berlaku kecemasan. Butiran untuk dihubungi ketika
kecemasan sama ada oleh pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah perlulah
jelas.
Pemantauan dari semua pihak memungkinkan persekitaran yang lebih baik kepada semua.
Pelajar perlu dididik agar lebih bertanggungjawab dengan tidak
melencong ke tempat lain selepas meninggalkan sekolah. Sentiasa
memaklumkan ibu bapa dan guru kiranya mempunyai aktiviti.
Tetapi keadaan dan suasana semasa mungkin mendesak agar pelajar
dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah. Biarlah keputusan yang
dibuat kelak merupakan risiko yang paling minimum untuk ditanggung oleh
ibu bapa, pelajar, sekolah dan juga masyarakat.
Sumber: Utusan Malaysia