Kemerdekaan adalah pembebasan
daripada penjajahan dan ikatan. Sebagai negara yang merdeka, kita bebas
menentukan apa sahaja perancangan, matlamat dan tindakan sama ada dari sudut
ekonomi, sosial mahupun politik tanpa terikat kepada sesiapa. Pada masa sama,
kemerdekaan yang dicapai juga bermaksud bahawa kemerdekaan itu perlu dikekalkan
dan menjadi tanggungjawab kita bersama sebagai pewaris negara merdeka. Hakikatnya, inilah perjuangan yang lebih getir berbanding perjuangan untuk
mencapai kemerdekaan itu sendiri.
Dalam Islam, kemerdekaan itu suci maknanya.
Islam membawa erti kesejahteraan, kedamaian dan keamanan. Hakikatnya, semua
makna itu menjurus kepada maksud kemerdekaan yang kita fahami kini. Bagi
seorang Muslim nikmat kebebasan dalam kemerdekaan seharusnya disyukuri dan
dihayati. Bebas daripada syirik, sifat jahiliah Kemerdekaan bukan sahaja
memberi lesen untuk menentukan corak hidup, lebih penting lagi adalah
membebaskan diri dan pemikiran daripada syirik kepada Allah SWT serta sifat
jahiliah.
Oleh itu, seorang Muslim yang merdeka bebas daripada keruntuhan
akhlak dan kemurkaan Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan
sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam; dan Kami telah beri mereka
menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah
memberikan rezeki kepada mereka dari benda yang baik-baik serta Kami telah
lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang telah Kami
ciptakan." (Surah al-Isra', ayat 70).
Kemerdekaan juga adalah satu bentuk
rezeki kurniaan Allah SWT yang wajib untuk kita syukuri dalam cara bertepatan
iaitu dengan memelihara dan menjaga ia daripada dicemari atau dirosakkan oleh
anasir luar yang sentiasa cuba menggugat kedamaian negara Malaysia yang kita
cintai ini.
Marilah bersama kita pastikan dalam keghairahan meraikan
kemerdekaan yang bakal disambut nanti, segala pengisian sambutan perlulah
dititikberatkan meliputi acara yang memberi kesedaran dan peringatan mengenai
makna kemerdekaan amnya serta makna kemerdekaan seorang Muslim khususnya. Kita
bukan sahaja berhadapan golongan yang lupa makna kemerdekaan, kita juga
berhadapan mereka yang lalai menjadi seorang Muslim sejati. Lupa dan lalai itu
menyebabkan kita mempersia-siakan negara tercinta dan lebih dahsyat lagi hingga
mengabaikan diri serta tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
Oleh itu, sambutan
kemerdekaan seorang Muslim harus diisi dengan lebih banyak acara kesyukuran
atas nikmat kemerdekaan kurniaan Ilahi. Usah lena dibuai mimpi dan hiburan
tiada henti. Turutilah resmi padi, kian tunduk pabila berisi. Imam Ahmad
meriwayatkan daripada An Nu'man bin Basyir, Nabi SAW bersabda: "Barang
siapa yang tidak mensyukuri yang sedikit, maka ia tidak akan mampu mensyukuri
yang banyak."
Justeru, syukurilah nikmat kemerdekaan yang telah kita
kecapi ini kerana tidak sedikit pengorbanan yang dilakukan pemimpin dan pejuang
terdahulu untuk mencapainya. Wadah penjajahan moden bukan lagi datang bersama
angkatan bala tentera, tidak perlu bersemuka mengangkat senjata. Sebaliknya,
penjajahan era baharu datang bersama sesuatu yang menggembirakan atau
melalaikan. Lupa akar budaya, jati diri bangsa Akibatnya kita tidak terasa
dijajah kerana penjajahan menggula-gulakan kita dengan hiburan dan keseronokan
luar biasa hingga terlupa akar budaya serta jati diri bangsa. Inilah penjajahan
budaya yang menjajah akal dan minda kita.
Liberalisasi teknologi komunikasi
terutamanya kelonggaran kawalan isi kandungan dalam media elektronik menyumbang
kepada penjajahan budaya bentuk baharu. Isi kandungan program televisyen seolah-olah
dunia sudah tiada sempadan apabila nilai liberal menjadi kayu ukur yang
menjurus kepada hiburan melampau. Dengan rangkaian internet tanpa batasan, kita
boleh menonton, melihat dan membaca hampir apa sahaja dengan cukup mudah. Laman
sosial telah dibudayakan sedemikian rupa dan penjajahan budaya berjaya apabila
penyebaran maklumat palsu, fitnah, caci maki serta penentangan secara membuta
tuli. Imej ketimuran berubah.
Tanpa disedari, liberalisasi dalam isi kandungan
program televisyen dan filem mengajar remaja Malaysia cara hidup Barat. Kehidupan penuh tatasusila ditukar kepada kebebasan tanpa batasan. Adab dan
kesopanan tidak lagi menjadi pakaian anak muda hari ini. Akhirnya, imej
ketimuran berubah menjadi budaya Barat. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): Turutilah apa yang telah
diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin yang
lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil
peringatan." (Surah al-A'raf ayat 3).
Allah SWT mengingatkan kita supaya
sentiasa taat dan patuh pada perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Jangan sesekali kita menjadikan budaya Barat sebagai ikutan sebaliknya
kembalilah kepada sunah junjungan Rasulullah SAW.
Marilah jadikan sambutan Hari
Kebangsaan tahun ini sebagai satu wadah menzahirkan kemerdekaan hakiki seperti
yang disarankan oleh ajaran agama yang sebenar. Firman Allah SWT yang
bermaksud: "Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa,
tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang
melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan
(Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang
mereka telah usahakan." (Surah al-A'raf, ayat 96).
Penulis Khutbah Jabatan
Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
Sumber: Berita Harian
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/78103