Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Isnin, Mac 22, 2010

SYARAT KETAT IKUTI KURSUS GURU

Oleh Haika Khazimfaizul
Berita Harian 21 Mac 2010


PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran akan memperketatkan syarat kemasukan bagi lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG) untuk pengambilan Jun 2010.Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata antara syaratnya ialah semua calon wajib memperoleh keputusan cemerlang sekurang-kurangnya dalam tiga mata pelajaran ditetapkan iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan satu mata pelajaran lain serta lulus Bahasa Inggeris.

Beliau berkata, langkah itu perlu kerana secara keseluruhannya kementerian hanya menyediakan kira-kira 2,000 tempat untuk lulusan SPM mengikuti kursus peringkat ijazah sarjana muda di IPG di seluruh negara tahun ini.

"Kita kena faham keperluan guru sentiasa meningkat dan berubah. Saya mengambil contoh baru-baru ini kita menghadapi masalah kekurangan guru Sejarah dan Kemahiran Hidup. Justeru, kita akan mengambil kira keperluan untuk mengisi kekosongan guru mata pelajaran berkenaan. Kita juga sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memastikan bekalan guru sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan di sekolah menengah yang gurunya disediakan institusi pengajian tinggi awam (IPTA)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan bidang Sains, Matematik, Teknologi dan Reka Cipta kepada 499 graduan IPG dari seluruh negara di Dewan Sri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya, di sini semalam.

Kumpulan graduan berkenaan mengikuti kursus berkembar dengan Canterbury Christ Church University dan University of Hertfordshire dari United Kingdom (UK) serta Deaklin University, Australia.

Dalam perkembangan lain, Puad berharap semua guru bersedia ditukar atau ditempatkan di kawasan luar bandar dan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak jika diarah berbuat demikian. Sambil bersyukur kerana kementerian kini tidak lagi menghadapi masalah menempatkan guru baru bertugas di kawasan luar bandar dan pedalaman, beliau berkata, setakat ini tiada aduan diterima mengenai guru baru yang menolak tawaran bertugas di pedalaman.



MASA BELAJAR BM, BI DITAMBAH

Oleh Rohaniza Idrisroha
Berita Harian 21 Mac 2010


KUALA LUMPUR: Kabinet bersetuju masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) ditambah di sekolah rendah dan menengah selaras dasar memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun depan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata waktu bagi Bahasa Melayu ditambah daripada 270 minit kepada 330 minit seminggu bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC/SJKT), manakala untuk Sekolah Kebangsaan (SK) dikekalkan kepada 240 minit seminggu.

Katanya, masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris ditambah daripada 240 minit kepada 330 minit di SK dan Sekolah Menengah manakala di SJKC/SJKT ditambah daripada 60 minit ke 120 minit seminggu.


“Namun waktu persekolahan tidak dipanjangkan, tetapi diolah menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan untuk pelajar. Kita akan buat pengubahsuaian dari segi kokurikulum selaras dengan perubahan berkenaan,” katanya selepas melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Ke-29 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Dasar MBMMBI diperkenalkan kerajaan berikutan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tahun lalu. Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyarankan lebih banyak badan korporat menderma buku kepada perpustakaan sekolah.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menyarankan PBAKL diangkat sebagai pusat perdagangan industri buku, sekurang-kurangnya bagi rantau Asia dalam jangka masa 10 tahun akan datang dengan menjadikan Pesta Buku Frankfurt yang disertai hampir 10,000 penggiat industri buku seluruh dunia sebagai penanda aras.

“Saya yakin ia dapat dicapai kerana nilai dagangan PBAKL 2009 mencecah RM20 juta dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia perlu bersedia menjadi agensi peneraju kepada industri buku bagi mencapai hasrat itu,” katanya

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran yang juga Pengerusi PBAKL, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pesta kali ini disertai 202 syarikat luar dan dalam negara dengan 856 gerai. Muhyiddin turut melancarkan buku Najib: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan tulisan Aizuddin Muhammad Muaz yang memaparkan perjalanan Datuk Seri Najib Razak dalam politik.

Selasa, Mac 16, 2010

GURINDAM 12

Gurindam pasal yang pertama:

Barang siapa tiada memegang agama,
sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
maka ia itulah orang yang makrifat.
Barang siapa mengenal Allah,
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia,
tahulah ia barang yang terpedaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
tahulah ia dunia mudarat.


Gurindam pasal yang kedua:

Barang siapa mengenal yang tersebut,
tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,
tidaklah mendapat dua termasa.
Barang siapa meninggalkan zakat,
tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,
tiadalah ia menyempurnakan janji.


Gurindam pasal yang ketiga:

Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah,
nescaya dapat daripadanya faedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
keluarlah fi'il yang tiada senonoh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
di situlah banyak orang yang hilang semangat.
Hendaklah peliharakan kaki,
daripada berjalan yang membawa rugi.


Gurindam pasal yang keempat:

Hati kerajaan di dalam tubuh,j
ikalau lalim segala anggota pun roboh.
Apabila dengki sudah bertanah,
datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah fikir,
di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,
nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikitpun berbuat bohong,
boleh diumpamakan mulutnya itu pekong.
Tanda orang yang amat celaka,
aib dirinya tiada ia sangka.
Bakhil jangan diberi singgah,
itupun perampok yang amat gagah.
Barang siapa yang sudah besar,
janganlah kelakuannya membuat kasar.
Barang siapa perkataan kotor,
mulutnya itu umpama ketur.
Di mana tahu salah diri,j
ika tidak orang lain yang berperi.


Gurindam pasal yang kelima:

Jika hendak mengenal orang berbangsa,
lihat kepada budi dan bahasa.
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
sangat memeliharakan yang sia-sia.
Jika hendak mengenal orang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
bertanya dan belajar tiadalah jemu.
Jika hendak mengenal orang yang berakal,
di dalam dunia mengambil bekal.
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.


Gurindam pasal yang keenam:

Cari olehmu akan sahabat,
yang boleh dijadikan ubat.
Cari olehmu akan guru,
yang boleh tahukan tiap seteru.
Cari olehmu akan isteri,
yang boleh dimenyerahkan' diri.
Cari olehmu akan kawan,pilih segala orang yang setiawan.
Cari olehmu akan abdi,
yang ada baik sedikit budi.


Gurindam pasal yang ketujuh:

Apabila banyak berkata-kata,
di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
itulah tanda hampirkan duka.
Apabila kita kurang siasat,
itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih,
jika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,
itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,
sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar,
menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila mendengar akan aduan,
membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut,
lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar,
lekaslah orang sekalian gusar.
Apabila pekerjaan yang amat benar,
tidak boleh orang berbuat onar.


Gurindam pasal yang kedelapan:

Barang siapa khianat akan dirinya,
apalagi kepada lainnya.
Kepada dirinya ia aniaya,
orang itu jangan engkau percaya.
Lidah yang suka membenarkan dirinya,
daripada yang lain dapat kesalahannya.
Daripada memuji diri hendaklah sabar,
biar daripada orang datangnya khabar.
Orang yang suka menampakkan jasa,
setengah daripada syarik mengaku kuasa'.
Kejahatan diri sembunyikan,
kebajikan diri diamkan.
Keaiban orang jangan dibuka,
keaiban diri hendaklah sangka.


Gurindam pasal yang kesembilan:

Tahu pekerjaan tak baik tetapi dikerjakan,
bukannya manusia iaitulah syaitan.
Kejahatan seorang perempuan tua,
itulah iblis punya penggawa.
Kepada segala hamba-hamba raja,
di situlah syaitan tempatnya manja.
Kebanyakan orang yang muda-muda,
di situlah syaitan tempat berkuda.
Perkumpulan laki-laki dengan perempuan,
di situlah syaitan punya jamuan.
Adapun orang tua yang hemat,
syaitan tak suka membuat sahabat.
Jika orang muda kuat berguru,
dengan syaitan jadi berseteru.


Gurindam pasal yang kesepuluh:

Dengan bapa jangan durhaka,
supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat,
supaya badan dapat selamat.
Dengan anak janganlah lalai,
Supaya boleh naik ke tengah balai.
Dengan isteri dan gundik janganlah alpa,
supaya kemaluan jangan menerpa.
Dengan kawan hendaklah adil
supaya tangannya jadi kafill.


Gurindam pasal yang kesebelas:

Hendaklah berjasa,
kepada yang sebangsa.
Hendaklah jadi kepala,
buang perangai yang cela.
Hendaklah memegang amanat,
buanglah khianat.
Hendak marah,
dahulukan hajat.
Hendak dimulai,
jangan melalui.
Hendak ramai,
murahkan perangai.


Gurindam pasal yang kedua belas:

Raja muafakat dengan menteri,
seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja,
tanda jadi sebarang kerja.
Hukumnya adil atas rakyat,
tanda raja beroleh anayat'.
Kasihan orang yang berilmu,
tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai,
tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati,
itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata,
kepada hati yang tidak buta.

Raja Haji Ali

Isnin, Mac 15, 2010

SEJARAH TERCIPTA, MENJUAL BUAH DI TEPI JALAN

Sebelum ini saya tak pernah berniaga atau berjualan di tepi jalan! Singgah dan membeli apa-apa juga yang dijual oleh pegerai di tepi jalan memanglah ada.



Saya sekeluarga ada mengusahakan projek tanaman buah rockmelon. Projek ini kami jalankan sebagai hobi dan aktiviti kami sekeluarga. Projek dibuat di kawasan rumah di kampung. Selain untuk makan sendiri, yang banyak berlebihan itu kami jual. Jual kepada kawan-kawan, jual kepada rakan-rakan guru-guru, jual kepada orang sekampung, dan jual kepada sesiapa yang berminat. Apabila musim menuai tiba, FAMA akan datang memborong kesemua buah-buah tersebut. Lepas tu tunggu ambil cek.


Secara kebetulan, musim menuai kali ini jatuh pada musim cuti sekolah. Atas cadangan anak saya yang ingin menjual sendiri buah rockmelon itu di tepi jalan, saya belikan sekaki payung besar dan sebuah meja plastik. Alasannya, dia ingin mencari pengalaman susah senang berjualan, berniaga dan mempromosi selain daripada berkomunikasi dengan pelanggan dan pembeli.



Sebagai seorang guru yang mengajar subjek Sains Pertanian, Landskap & Nurseri dan Kemahiran Hidup Bersepadu Pertanian, saya mengajar teori-teori mengenai perdagangan dan keusahawanan, pertanian adalah perniagaan, mempromosi produk, pemasaran produk, mencari bidang usaha yang menjadi pilihan dan menguntungkan, dan lain-lain ilmu perniagaan yang disampaikan kepada pelajar-pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran. Seronok mengajar tajuk-tajuk berkaitan perniagaan tersebut. Usahawan adalah seorang yang berfikiran positif, kreatif, berinovasi, selalu bersedia meningkatkan produk, selain daripada mencari keuntungan dan tak takut menanggung kerugian. Ewahhh.....


Mula-mula kami cari tempat strategik di tepi jalan tetapi bukan di Pontian. Lepas tu dirikan payung dan buka meja. Macam senang aje.... Buah-buah itu kami letakkan di atas meja. Yang selebihnya kami simpan dalam bakul. Pada pendapat kami, elakkan melambakkan buah di atas meja nanti pembeli sangka kami buat jualan lelong atau jualan borong. Sebenarnya masih ramai orang yang belum mengenali buah rockmelon ni. Harga yang kami tetapkan amat berpatutan. Nak bagi orang Johor menikmati buah rockmelon.



InsyaAllah selama dua hari kami berjualan tu, target yang kami harapkan, Allah SWT berikan. Orang ramai berkenderaan yang lalu lalang berhenti di gerai kami, bertanya mengenai buah itu, merasa sedikit potongan buah yang kami hulurkan, dan seterusnya membeli. Tak sangka berjualan di tepi jalan mendatangkan hasil yang memberangsangkan. Lepaslah kos pengeluaran seperti kos baja fertigasi, kos air, dan kos upah kerja kami.Seronoknyaaa.....


Kami berjualan selama dua hari sahaja. Selain jualan mencapai target, Adik ada kelas tuisyen di sepanjang cuti ini. Saya juga ada beberapa kerja yang perlu dibereskan di sekolah dan pengurusan hari Kor Kadet Polis Daerah Pontian Tahun 2010 di IPD Pontian. Cukuplah untuk dua hari itu. Rezeki tambahan Allah SWT dah berikan. InsyaAllah kami akan travel ke Lembah Kelang menjenguk dua orang anak yang belajar di sana.


Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para pembeli yang singgah membeli produk kami. Sokongan tuan-tuan menambah semangat kami untuk meneruskan usaha kami yang tak seberapa ini.



Sejarah untuk diri saya dan keluarga saya dah tercipta. Syukur.

DATUK LEE CHONG WEI JUARA 100 TAHUN ALL ENGLAND




Sebentar tadi pada pukul 1.00 pagi waktu Malaysia, Datuk Lee Chong Wei menjuarai edisi ke 100 tahun All England. Chong Wei menewaskan Kenichi Tago dari Jepun 21-19, 21-19. Saya sebagai rakyat Malaysia amat berbangga dengan pencapaian Chong Wei. Saya berjaga malam menonton aksi Chong Wei menentang Tago di Stadium Astro di depan TV. Syabas dan tahniah!

Ahad, Mac 07, 2010

PRESTASI SEKOLAH MENINGKAT, GURU TURUT DAPAT IMBUHAN

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Shamsul Kamal Amarudin
Berita Minggu 7 Mac 2010

SLIM RIVER: Jika selama ini hanya pentadbir sekolah, iaitu pengetua dan guru besar diberi insentif, termasuk kenaikan pangkat kerana meningkatkan prestasi sekolah, mulai tahun depan guru turut diberi penghargaan sama. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pemberian insentif yang dilaksanakan melalui Pelan Menambahbaik Sekolah-Sekolah itu terangkum dalam baiah baru akan turut meliputi guru kerana mereka turut menyumbang kepada prestasi dan pencapaian sekolah masing-masing, sama ada di bandar atau luar bandar. Katanya, beliau akan mengumumkan secara terperinci bentuk insentif berkenaan pada sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini yang disifatkannya imbuhan yang 'amat baik'.

"Dalam satu sekolah, pemimpin itu adalah pengetua atau guru besar, tetapi bila sekolah itu meningkat, kita bukan saja beri (insentif) kepada pengetua saja, tetapi kepada semua. Guru pun dapat kerana kita mengiktiraf peranan itu bukan dimainkan seorang pemimpin dalam sekolah (saja), tetapi semua guru bekerjasama dan jika mereka (pengetua dan guru besar) dapat kredit, mereka (guru) juga dapat insentif dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan, termasuk kenaikan pangkat," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, kementerian akan mula menilai prestasi 10,000 sekolah tahun ini bagi tujuan itu.

"Prestasi yang mereka tunjukkan tahun ini akan kita ukur dan jika kedudukan mereka (sekolah) meningkat berbanding tahun sebelumnya, peningkatan itu kita ambil kira dalam memberi imbuhan," katanya pada sidang media selepas melancarkan program Juara Rakyat peringkat Negeri Perak dan kempen Jom Sokong BN (Barisan Nasional) di Tasek YDP Slim River, dekat sini, semalam.

Hadir sama isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta barisan pemimpin BN pusat dan negeri.

Timbalan Perdana Menteri diminta mengulas mengenai pemberian insentif itu yang disebut dalam ucapan pada majlis pertemuannya dengan warga pendidik Daerah Batang Padang di Politeknik Sultan Azlan Shah (Polisas) di Behrang, sebelum itu, iaitu majlis pertama dihadirinya sempena lawatan sehari ke Perak.

Mengulas lanjut baiah baru dan insentif itu, Muhyiddin berkata, ia bertujuan memberi pengiktirafan kepada pengetua dan guru besar yang menunjukkan kepemimpinan cemerlang seperti mampu meningkatkan prestasi, walaupun dengan peruntukan kecil diperoleh.

Mengenai insentif kepada pihak swasta yang membuka kelas prasekolah, beliau berkata, beliau akan mengumumkan butiran pemberian imbuhan itu minggu depan.

"Kita akan beri imbuhan dalam bentuk geran pelancaran, tetapi ini bukan bagi membayar kos untuk bina sekolah prasekolah, tetapi token yang bukan kecil bagi mereka (pihak swasta) memulakan kelas prasekolah," katanya.

Muhyiddin berkata, usaha itu bagi membantu mencapai sasaran 87 peratus kanak-kanak yang memasuki alam persekolahan formal sudah mengikuti proses pendidikan prasekolah dalam tempoh tiga tahun akan datang, berbanding tahap 67 peratus ketika ini, yang disifatkannya satu cabaran besar bagi kementerian untuk dicapai.

Dalam ucapannya sebelum itu, Muhyiddin berkata, kementerian berharap semua guru gigih bagi mencemerlangkan pendidikan negara ke tahap global dan bukan sekadar 'jaguh kampung'. Beliau berkata, guru perlu memberi kerjasama membantu kementerian mencapai matlamat holistik digariskan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam bidang pendidikan serta melahirkan insan kamil dan modal insan berkualiti.

Khamis, Mac 04, 2010

GURU WAJIB BERTUGAS DI PEDALAMAN?

KUALA LUMPUR 2 Mac – Kerajaan akan menimbangkan untuk mewajibkan semua guru bertugas di kawasan pedalaman antara tiga dengan lima tahun daripada tempoh perkhidmatan mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kumpulan sasaran untuk menyahut cabaran itu ialah guru-guru yang masih belum berkeluarga.

Katanya, langkah itu akan menjadi satu bentuk dorongan dan cabaran baru kepada warga pendidik untuk bertugas di kawasan pedalaman di atas dasar khidmat sosial kepada negara.
Beliau berkata, cadangan itu bertujuan mengatasi masalah penempatan guru di kawasan pedalaman yang menjadi salah satu cabaran besar yang dihadapi Kementerian Pelajaran pada masa ini.

“Dalam tempoh 30 tahun guru berkhidmat, mungkin boleh antara tiga ke lima tahun dari tempoh itu mereka memberi perkhidmatan di kawasan pedalaman. (Ini) sebagai satu kewajipan, bukan sebagai satu pilihan dan ini memang perlu kita lihat,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian sewaktu ditemu bual dalam rancangan Agenda Awani yang disiarkan oleh stesen televisyen Astro, di sini malam ini. Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan sebenarnya telah menyediakan beberapa bentuk galakan untuk guru bertugas di kawasan pedalaman seperti elaun sara hidup maksimum RM1,500 sebulan.
Bagaimanapun, katanya, yang lebih penting ialah kesungguhan dan kesediaan warga perguruan untuk berkorban demi anak bangsa.

“Kalau semua nak pergi ke kawasan bandar, tidak ada pihak yang bersedia untuk berkorban mendidik anak- anak di pedalaman. Ini adalah satu kepincangan dalam sistem (pendidikan) kita,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai arahan mewajibkan setiap pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil satu jenis sukan bermula tahun depan, Muhyiddin berkata, pihak sekolah tidak wajar memberikan pelbagai alasan untuk tidak mematuhinya. Muhyiddin mengakui antara masalah yang ditimbulkan ialah sesetengah sekolah terutama yang tidak mempunyai prasarana sukan mencukupi seperti kemudahan padang dan kelengkapan. Beliau berkata, mereka masih mempunyai alternatif lain seperti menjalinkan kerjasama menang-menang dengan persatuan sukan, badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menggunakan kemudahan yang dimiliki oleh pihak berkenaan.

“Sukan mempunyai prospek yang amat besar dan saya yakin ia mampu dilaksanakan serta pada masa yang sama, kerajaan sedia memberikan kerjasama sewajarnya. Selain itu, kerajaan juga mempunyai tujuan bersifat serampang dua mata dalam melaksanakan dasar ini iaitu bagi menangani masalah terlalu ramai kanak-kanak yang mengalami masalah obesiti,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 3 Mac 2010

KURANG CEMERLANG TIDAK DINAFI HAK DI SBT

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat pembaca, Mohamad Asri Shafii, Exco GPMS Perak, dalam ruangan Forum Utusan Malaysia bertarikh 22 Februari 2010 bertajuk Pantau autonomi Sekolah Berprestasi Tinggi.

Kuasa autonomi yang diberi kepada Pengetua atau Guru Besar secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan sekolah. Mereka akan dipantau, dibimbing dan dinilai dari semasa ke semasa dengan fokus kepada peningkatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) ke arah trend menaik, oleh pihak BPSBPSK, JPN dan PPD. Jabatan Pelajaran Negeri adalah kuasa pendaftar yang bertanggungjawab atas sekolah-sekolah di negeri masing-masing. Pengetua atau Guru Besar khasnya Pengetua/Guru Besar Besar di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) ini, tahu bidang kuasa masing-masing dan akur akan punca kuasa yang ada. Kelonggaran diberi dalam hal pelaksanaan asalkan tidak berlaku violation, incompetence dan negligence dalam pelaksanaan dasar tersebut. Pihak BPSBPSK, JPN dan PPD bertanggungjawab memberikan bimbingan yang diperlukan oleh pihak sekolah.

Pelajar yang lemah atau kurang cemerlang tidak dinafikan hak mereka untuk bersekolah di SBT. Pengambilan murid ke SBT mengikut dasar yang sedia ada. Antara sekolah harian yang terpilih sebagai SBT ini adalah sekolah kluster yang muridnya mempunyai tahap pencapaian normal (biasa), tetapi pencapaian mereka dapat ditingkatkan melalui tunjuk ajar guru yang rajin, bersikap profesional, positif dan bantuan daripada ibu bapa yang mempercepat murid menguasai 3M. Dasar pendidikan negara akan terus disuburkan. Dalam pelaksanaan sekolah kluster perkara ini sudah terbukti. Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tetap dipatuhi oleh sekolah. Tidak mematuhi FPK dianggap sebagai violation yang serius. Pengetua atau Guru Besar mesti berupaya menterjemahkan FPK dalam proses pendidikan di sekolah masing-masing.

SBT akan menjadi sekolah anak- anak kapitalis kerana pembiayaan yang tinggi dan tidak dapat dipenuhi oleh keluarga berpendapatan rendah mungkin tinggal sebagai satu andaian, kerana bayaran yang akan dikenakan atas murid perlu mendapat persetujuan dalam mesyuarat PIBG terlebih dahulu. Manakala yuran sekolah pula perlu mendapat kelulusan daripada pihak JPN sebelum dikutip.

Kuasa autonomi yang diberi kepada Pengetua atau Guru Besar SBT tidak akan menjejaskan kewibawaan JPN dan PPD. Dasar KPM yang sedia ada akan terus dipatuhi. Pemantauan, bimbingan dan penilaian akan dilaksanakan dari semasa ke semasa oleh pihak BPSBPSK, JPN dan PPD ke atas SBT, dengan fokus utama ke arah peningkatan prestasi pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Insya-Allah, atas keprihatinan dan kerjasama semua pihak SBT tidak akan menjadi sekolah anak-anak kapitalis.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Pelajaran Malaysia