Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Sabtu, Februari 25, 2012

GEJALA RASUAH BOLA SEPAK DI MALAYSIA

Dah lama aku tak masuk stadium menonton perlawanan bola sepak. Kali terakhir aku masuk stadium pada Julai 2011 menonton perlawanan antara team Kedah menentang team Kuala Lumpur di Stadium Darulaman. Itu pun kerana aku sekeluarga menginap di Hotel Sri Malaysia di sebelah stadium.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim,
Tunku Makhota Johor bersama Persatuan Bolasepak Negeri Johor
(PBNJ) di Majlis Ramah Mesra pada 6 Januari 2012 betempat
di Hotel Thistle, Johor Bahru — with Md Jais Sarday, Aziz Sapian,
Mohamad Syafiq Zakaria and Wan Mustaffa Wan Ismail. 
Baru-baru ini heboh diperkatakan mengenai rasuah bola sepak... rasuah lagi... Lebih-lebih lagi apabila 6 pemain pasukan Piala Presiden Johor FC negeri aku (Johor) terlibat sama. Enam pemain tersebut digantung serta merta selepas kelab itu mendapati terdapat unsur mengatur perlawanan pada pertemuan mereka menentang Perlis di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru Khamis lalu. Perlawanan itu menyaksikan Johor FC menewaskan Perlis 3-0, satu-satunya kemenangan selepas mereka tewas kepada Perak 0-2, Angkatan Tentera Malaysia 0-1 dan Majlis Perbandaran Muar 0-1. Skuad itu tewas sekali lagi ketika menentang Terengganu 1-3 selepas mencatat kemenangan ke atas Perlis.

Apa dah jadi dengan bola sepak di negeriku dan di Malaysia? Tak cukup gaji ke? Itu yang menjadikan aku malas nak masuk stadium. Perlawanan dah diatur.

Aku masih ingat dulu-dulu semasa team Johor kuat yang di antara pemainnya seperti Dolah Salleh bermain, pasti aku bersama rakan sekampung pakat ramai-ramai  nonton di Stadium Larkin. Sudah tentu diorang naik kereta aku. Balik dari stadium, singgah di warung kopi di Pekan Nanas sambung dan ulas cerita mengenai perlawanan yang baru ditonton. Seronok sekali....tapi itu hanya tinggal kenangan... Bilalah team Johor FC nak bangkit.

Mengapa ada rasuah bola sepak?

Rasuah bola sepak ini boleh menghancurkan industri bola sepak itu sendiri. Ia perlu dibenteras agar keyakinan orang ramai dan juga aku terhadap bola sepak negara tidak luntur. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) patut menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menyiasat kes berkenaan selain bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kalau yang mengikuti perkembangan bolasepak tempatan pastinya mengingati kes-kes mengenai penglibatan pemain bolasepak tempatan dalam kancah rasuah ni. Ianya juga telah menenggelamkan beberapa pemain berbakat yang terjerumus dalam gejala rasuah ni. Kes tersebut telah menyebabkan kualiti liga bolasepak tempatan jatuh merudum. Prestasi pasukan kebangsaan juga makin teruk di zaman itu. Agaknya kenapa mereka ni menerima rasuah sedangkan itu adalah periuk nasi mereka.

Berikut di antara beberapa pendapat mengenai sebab-sebab pemain bola sepak menerima suapan rasuah:
  • Tamak dengan ganjaran yang dijanjikan oleh bookie. Tawaran bukan sikit-sikit. Kadang-kadang ribu-ribu malahan ada yang lebih dari itu hanya untuk gagal dalam satu perlawanan. Akibat dari gelap mata untuk menerima duit yang banyak menyebabkan sanggup menjual perlawanan.
  • Kesempitan hidup. Walaupun nampak pemain bolasepak ni macam mewah tapi tak semua yang mendapat manisnya. Ramai juga yang menjadi papa kerana pasukan tidak membayar gaji dan elaun apatah lagi potongan KWSP. Memang mereka tidak mempunyai pilihan terutama yang bergantung sepenuh pendapatan dengan bolasepak. Bila takde duit, nak bayar kereta,sewa rumah tak mampu. Jadi bila ada yang menawarkan duit terpaksa menerimanya.
  • Terikut-ikut dengan kawan. Bila seorang dah terima ada lah pengikutnya tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi.
  • Kurangnya penguatkuasaan dari agensi terlibat. Selepas zaman tersebut jarang tangkapan dilakukan. Malahan, dalam suratkhabar sebelum ini ada dilaporkan oleh bekas pengurus bahawa pasukan hanya mengambil tindakan tidak menyambung kontrak sahaja kepada pemain. Ini hanya memburukkan keadaan sahaja.
  • Gaji bulanan yang rendah tanpa sebarang imbuhan tambahan dipercayai menjadi punca utama pemain-pemain skuad bola sepak menerima suapan untuk menampung kos sara hidup mereka.
  • Ada di kalangan pemain skuad dikatakan hanya memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM1,000, dan dengan jadual latihan yang padat, mereka tidak berpeluang melakukan kerja sampingan. tidak hairanlah, nilai suapan yang ditawarkan sekitar RM200 hingga RM300 bagi setiap perlawanan dianggap cukup lumayan untuk menampung kos sara hidup pemain-pemain.
  • Pemain-pemain rata-ratanya masih muda iaitu berusia lingkungan awal 20-an. Jadi, mereka mudah terpengaruh dengan gaya hidup zaman sekarang.
  • Pemain dikatakan terpaksa menerima imbuhan itu kerana perlu menjaga penampilan mereka selain untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi.


Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad ketika dihubungi hari ini berkata, jumlah gaji dan sebarang pemberian elaun atau imbuhan ditetapkan oleh persatuan bola sepak negeri masing-masing. FAM tidak campur tangan, keputusan jumlah gaji, elaun atau imbuhan ditetapkan sendiri persatuan masing-masing. Tiada sebarang garis panduan ditetapkan untuk persatuan negeri masing-masing bagi menentukan jumlah gaji yang diberi kepada pemain mereka.


Pemberian imbuhan atau elaun kebiasaannya disumbangkan oleh kerajaan negeri dalam bentuk rumah, tanah atau wang tunai untuk skuad bola sepak Liga Super. Bagaimanapun, ia tidak melibatkan skuad bola sepak Piala Presiden. Kelemahan-kelemahan itu pula telah dijadikan satu peluang bagi pihak yang tidak bertanggungjawab untuk ‘membeli’ perlawanan mereka. Sehubungan itu, pihak terbabit dicadangkan untuk mengkaji semula dasar pemberian gaji yang diperuntukkan bagi setiap pemain termasuk skuad pelapis dalam Piala Presiden mereka bagi mengelak kejadian serupa berlaku pada masa akan datang.

Sememangnya rasuah akan merosakkan para pemain. Kualiti permainan tidak akan meningkat dan sudah tentu pasukan kita tidak akan dihormati lagi. Kesemua pihak terutama FAM dan Kementerian Belia Sukan perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan Liga bolasepak tempatan bersih dari gejala rasuah ni.

Bagi menangani rasuah bola sepak di Asia, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bekerjasama dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas.

Kini terdapat 46 buah negara yang bergabung dengan AFC dan semua 46 negara ini akan diberi perhatian dari segi rasuah dan mengatur perlawanan. Jawatankuasa itu dianggotai pelbagai pihak penguat kuasa termasuk dari Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Biro Siasatan Pusat (CBI).

Semua mereka yang terlibat ini akan memantau perlawanan serta aktiviti lain yang dilihat luar biasa. Saya fikir ini satu amaran keras kepada semua negara di Asia supaya jangan terlibat dengan rasuah bola sepak. AFC dan FIFA mengambil perhatian berat mengenai rasuah bola sepak kerana ia adalah satu isu yang dianggap kritikal dan perlu ditangani dengan serius.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Alex Soosay berkata, jawatankuasa yang berpangkalan di Bangkok, Thailand itu ditubuhkan dua bulan lepas dan akan melihat segala isu berkaitan rasuah bola sepak termasuk mengatur perlawanan.

Aku harap landskap bola sepak Malaysia kembali gemilang. Bagilah sedikit keseronokan kepada kami apabila kami datang menonton setiap perlawanan. Aku masih ingat lagi perlawatan antara Harimau Malaya dengan Garuda Indonesia... kan seronok gitu...

Selasa, Februari 21, 2012

TANGGA GAJI SBPA MENGGANTIKAN SSM CADANGAN CUEPACS MAC 2012

Ini ialah gaji cadangan CUEPACS bagi SBPA. Tak tahulah sama ada ia betul atau tak betul. Mungkin ia lebih baik dan lebih adil untuk semua pringkat kakitangan kerajaan.


Khamis, Februari 16, 2012

ROBERT KUOK KEKAL TERKAYA DI MALAYSIA

Robert Kuok mengekalkan kedudukannya sebagai orang Malaysia paling kaya, dengan aset bernilai RM45.7 bilion, walaupun kekayaannya susut 8.0 peratus, diikuti T Ananda Krishnan dan Tan Sri Teh Hong Piow dari Public Bank.

Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Corporation Bhd mengekalkan kedudukan di tempat keempat manakala usahawan bumiputera terkaya di Malaysia ialah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, di tempat kelima, demikian menurut laporan Malaysian Business mengenai 40 rakyat Malaysia paling kaya.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berada pada kedudukan ke-15, dengan aset bernilai RM1.77 bilion. Malaysian Business berkata aset 40 orang paling kaya di Malaysia itu adalah berasaskan nilai pegangan mereka dalam syarikat-syarikat senaraian sehingga 20 Januari 2012

Ahad, Februari 12, 2012

'BUTAKAH CINTA'

Tarikh 14 Februari yang dikenal sebagai Hari Kekasih atau Valentine’s Day bakal hadir dalam beberapa hari saja lagi. Saban tahun, pasangan-pasangan kekasih menganggapnya sebagai tarikh keramat untuk meraikan pasangan masing-masing demi membuktikan cinta mereka. Bahangnya juga kian terasa dengan paparan iklan, promosi dan tawaran hebat di sana sini bagi memeriahkan lagi sambutan ini. Lebih menarik lagi, pelbagai filem berunsur cinta dihidangkan sepanjang bulan kekasih ini buat santapan si pencinta bagi menghangatkan lagi bara cinta terhadap kekasihnya.

Dalam sedar atau tidak, ramai di kalangan Umat Islam turut sama meraikannya. Lebih merisaukan lagi, bilamana sambutan ini semakin mendapat tempat di hati anak-anak remaja. Antara fenomena yang sering kelihatan pada Hari kekasih ini ialah; penampilan pasangan uda dan dara dengan pakaian yang indah, menyusun pertemuan untuk saling memberi dan menerima hadiah, yang sinonimnya dengan pemberian ros berwarna merah, sebagai lambang kasih yang bertaut sudah. Malah ada yang mengakhiri pertemuan ini dengan perlakuan maksiat dan zina. Maka tunggulah 9 bulan lagi akan lahirlah insan-insan yang tidak berdosa akibat perbuatan mereka yang kononnya punyai cinta sejati.

Orang muda yang hangat bercinta, semuanya indah..terasa dunia ini mereka yang punya dan cakap orang lain semuanya salah, malah pandangan ustaz, ustazah, fatwa majlis kebangsaan pun mereka langgar inikan pula khatib di mimbar jumaat ini yang menegurnya. Sudah terang lagi bersuluh namun ianya tetap dipandang enteng dek kerana kasih sayang yang mereka agungkan. Bukan tidak ada hebahan sambutan hari kekasih itu dilarang oleh islam, namun sikap mereka seolah-olah mencurah air ke dalam pasir. Masuk menyerap tetapi kesannya tetap tiada.

Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan dari tahun 200 hingga 2008 terdapat lebih 257 ribu sijil kelahiran tanpa nama bapa. Ini bermakna secara purata, 2500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat! Wal Iyazu Billah..

Persoalannya.. Pernahkah kita bertanya, dari manakah datangnya budaya ini? Wajarkah ianya diterima sebagai suatu sambutan tahunan yang patut dirai? Apakah ada natijah baik untuk kita umat Islam yang boleh dibanggakan dari sambutan ini?

Mungkin ada di kalangan kita yang menyatakan mereka tidak tahu dan tiada maklumat tentang perkara ini. Ingatlah, kita bertanggungjawab untuk meneliti terlebih dahulu apa juga yang ingin kita ikuti. Kita juga dituntut untuk memahami dan menghayati ajaran Islam secara menyeluruh. Tiada alasan untuk terus berdiam diri dibelenggu kejahilan.

Mari kita renungi firman Allah SWT di dalam Surah Al-Israk ayat 36: Bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

Sedarlah, menurut satu kajian, Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian, Saint Valentine yang telah mengisytiharkan bahawa tanggal 14 Februari 1492 Masihi adalah Hari Kasih Sayang, bersempena kejayaan Kerajaan Kristian menumbangkan Kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol. Pada pandangannya Islam adalah agama yang zalim. Semenjak itu, tarikh 14 Februari disambut setiap tahun oleh umat Kristian bagi meraikan kemenangan itu dengan menamakannya Hari Valentine.

Justeru, wajarkah sebagai umat Islam yang yakin bahawa agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam, meraikan hari kejatuhan Umat Islam ditangan Kristian? Patutkah kita memuja dan meraikan pengisytiharan angkuh seorang paderi Kristian? Apakah sudah tiada tokoh lain di dalam Islam yang boleh kita puja dan teladani? Sedarlah wahai kaum muslimin, sesungguhnya agama ini telah dibawakan kepada kita amat sempurna dan cukup indah melalui kekasih Allah, Rasulullah Muhammad SAW.

Bukankah Allah SWT pernah menyebut kenyataan ini di dalam surah alHajj pada ayat ke 67: Bermaksud: "Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus.”

Sebenarnya sudah berulang kali kita jelaskan hukum meraikan sambutan Hari Kekasih ini. Panel Kajian Aqidah dan Panel Kajian Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah memutuskan bahawa amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 pula memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur agama v Kristian, amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Amaran tentang meniru perlakuan orang bukan Islam pernah ditegaskan di dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud daripada Ibnu Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Bermaksud : “Sesiapa yang meniru (perlakuan) suatu kaum maka dia dikira termasuk dari kalangan kaum itu”.

Tentu sekali kita tidak mahu untuk termasuk ke dalam golongan yang disabdakan Rasulullah SAW ini. Meskipun begitu, bukankah masih ramai umat Islam yang meraikan sambutan ini? Lantaran itu kita perlu bertindak membendung amalan yang jelas menjerat umat Islam ke lembah kehinaan ini. Antara langkah yang wajar dilakukan segera ialah:
  1. Penjelasan berkenaan larangan menyambut Hari Kekasih perlulah diwar-warkan kepada seluruh umat Islam khususnya remaja agar mereka faham apa sebenarnya erti disebalik hari kekasih ini. Mereka juga hendaklah didedahkan dengan ajaran-ajaran agama supaya pegangan iman mereka sentiasa teguh dan tidak mudah goyah dan terpengaruh dengan budaya barat dan ajaran selain Islam. Guru di sekolah, pensyarah di pusat pengajian tinggi, ibubapa di rumah malah setiap individu muslim perlu berperanan menyampaikan maklumat dan penjelasan ini.
  2. Ibu bapa perlu memupuk kasih sayang dan pergaulan mesra sesama anak-anak dan ahli keluarga. Inilah faktor yang boleh menyemai kasih dan cinta yang dituntut agama. Jiwa anak-anak yang subur disirami kasih dan sayang keluarga akan kuat dan ampuh untuk menolak segala bentuk kasih dan cinta yang ditegah agama apatah lagi untuk meraikannya.
  3. Pihak media juga hendaklah memainkan peranan dalam memperbetulkan fahaman remaja tentang sambutan Hari Kekasih. Ini kerana, media merupakan satu medium penyebar infomasi yang paling berpengaruh dan lebih luas jangkauannya.

Kembalilah kepada Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Islam memberi garis panduan yang jelas dan membenarkan hubungan kasih sayang sesama manusia dalam batasan dan panduan syariat. Kasih sayang di dalam Islam dituntut sepanjang masa bukan bermusim atau bersempena apa-apa peristiwa. Hubungan kasih sayang kepada ibu bapa, ahli keluarga, rakan, sahabat dan sesama masyarakat boleh dijalinkan di atas tuntutan Ukhuwah Islamiah. Bukankah salah satu dari tujuh golongan manusia yang akan mendapat lindungan `Arasy ialah mereka yang berkasih sayang, bertemu dan berpisah kerana Allah SWT. Sesungguhnya ‘Cinta itu Tidak Buta’ tetapi manusia yang lari dari panduan Allah dan RasulNya pasti ‘Buta dalam Bercinta’.

Antara pengajaran utama yang boleh diambil daripada khutbah hari ini ialah:
  1. Umat Islam diharamkan meyambut Sambutan Hari Kekasih kerana ia adalah amalan Umat Kristian yang merayakan hari Kejatuhan Kerajaan Islam.
  2. Umat Islam dilarang meniru gaya hidup dan amalan orang-orang bukan Islam kerana Islam adalah agama yang unggul, ulung dan sempurna.
  3. Islam memberi panduan lengkap di semua aspek kehidupan termasuk panduan dalam berkasih sayang.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-An’am ayat 116 dan 117: Bermaksud: “Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti prasangka belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah) Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang lebih mengetahui akan sesiapa Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat petunjuk.”

Petikan teks khutbah Jumaat terbitan JAWI bertajuk 'Butakah Cinta'

CARA HAFALAN YANG BETUL

Belajar bukan saja memerlukan tumpuan penuh namun pemahaman mendalam mampu melonjakkan prestasi pencapaian, sekali gus membantu pelajar menjadi lebih cemerlang.  

Satu kaedah digemari untuk mempertajamkan pemahaman ialah melalui hafalan. Namun jika tidak dilakukan dengan cara betul akan menyebabkan pelajar mudah lupa dan bertambah pening. Justeru, cara hafalan yang betul ialah:

  1. Menggunakan gambar sebagai memori - Tukarkan maklumat diperoleh dalam kelas atau kuliah kepada gambar dan membuatkan anda lebih ingat berbanding mendengar saja. Ketika guru sedang mengajar, gunakan minda anda untuk menukarkan apa yang diperkatakan kepada gambar. Ini akan menjadikan anda lebih mudah mengingati.
  2. Berikan tumpuan penuh semasa menghafal - Jangan alihkan tumpuan dengan melakukan perkara sampingan seperti menonton televisyen, mendengar radio, menghantar khidmat pesanan ringkas dan sebagainya ketika menghafal. Anda hanya membazir masa kerana akan hilang fokus.
  3. Buat berulang-kali agar hafalan menjadi menjadi mantap - Anda perlu membuat hafalan berulang kali hingga faham. Jika masih samar, ulang semula hingga benar-benar ingat dan mendapat gambaran jelas. Selepas itu tulis apa yang dihafal itu bagi memastikannya berkekalan di minda.
  4. Mula belajar sejak awal - Belajar pada saat akhir bukan saja akan membebankan otak malah membuatkannya tidak mampu menerima maklumat secara berkekalan. Anda juga akan berasa tertekan menyebabkan hafalan bercelaru.
  5. Mengulang kaji sedikit-sedikit - Hafalan tidak boleh dilakukan dalam kuantiti banyak kerana daya mengingat manusia adalah terhad. Lebih baik fokus pada sesuatu dalam kuantiti kecil selain membuat ulang kaji secara berterusan.
  6. Buat nota ringkas - Sediakan nota ringkas yang menarik serta dihiasi gambar untuk membantu anda ‘gembira’ ketika meng­ulang kaji.

Sabtu, Februari 11, 2012

VALENTINE'S DAY: UMAT ISLAM DIINGATKAN TINGGALKAN BUDAYA KRISTIAN

Umat Islam diingatkan agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang disifatkan bertentangan dengan ajaran Islam. Selain bercanggah dengan akidah umat Islam, ia juga boleh membawa kepada budaya pemujaan berhala melalui istilah-istilah yang digunakan. Sedar atau tidak jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi ‘to be my Valentine?’ maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah melakukan sesuatu perbuatan yang bercanggah dengan akidah umat Islam dan dimurkai Allah. Ini kerana ia telah meminta seseorang menjadi ‘Sang Maha Kuasa’ dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.

Sambutan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam dan amalan meraikannya adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam. Roh perayaan tersebut bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Justeru umat Islam agar tidak merayakan hari tersebut kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar serta boleh merosakkan akidah dan akhlak umat Islam.

Ramai di kalangan umat Islam yang tidak memahami pengertian sambutan Hari Valentine. Persoalannya.. Pernahkah kita bertanya, dari manakah datangnya budaya ini? Wajarkah ianya diterima sebagai suatu sambutan tahunan yang patut dirai? Apakah ada natijah baik untuk kita umat Islam yang boleh dibanggakan dari sambutan ini? Mungkin ada di kalangan kita yang menyatakan mereka tidak tahu dan tiada maklumat tentang perkara ini. 

Tanggal 14 Februari dinamakan Hari Valentine bersempena kejayaan kerajaan Kristian menumbangkan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol. Pada pandangannya Islam adalah agama yang zalim. Semenjak itu, tarikh 14 Februari disambut setiap tahun oleh umat Kristian bagi meraikan kemenangan itu dengan menamakannya Hari Valentine.

Justeru, wajarkah sebagai umat Islam yang yakin bahawa agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam, meraikan hari kejatuhan Umat Islam ditangan Kristian? Patutkah kita memuja dan meraikan pengisytiharan angkuh seorang paderi Kristian? Apakah sudah tiada tokoh lain di dalam Islam yang boleh kita puja dan teladani?. 

Awas! Jerat Valentine's Day
 
Fenomena sebahagian remaja menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan paling diminati dan sangat-sangat ditunggu untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan. Ia sebenarnya merupakan satu fenomena ajaib dan aneh kerana perayaan ini tidak pernah disisipkan secara rasmi di mana-mana kalender. Akan tetapi ia terus diingati dan diraikan saban tahun.
 
To be my Valentine?
 
Bagi mereka yang meraikan sambutan Valentine’s Day ungkapan ‘To be my Valentine’ sering bermain di bibir. Kebiasaannya ia diungkapkan oleh teruna kepada si dara dalam menzahirkan kecintaannya.
 
Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”. Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar atau tidak, menurut Sweiger, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”, maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan aqidah dan dimurkai Allah. Ini karena ia telah meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.

Mengapa Mawar Merah?
 
Selain ucapan ‘To be my Valentine’ pemberian jambangan mawar merah oleh si teruna kepada si dara juga sering menjadi amalan pada Valentine’s Day. Ia dianggap satu simbol dalam menzahirkan kasih sayang ‘hakiki’. Sebenarnya perbuatan ini merupakan amalan kebudayaan Eropah dengan diselitkan kepercayaan aneh dan karut. Menurut satu mitos Rom kuno, mawar merah merupakan bunga kegemaran Venus, si dewi cinta. Dewi itu amat sinonim dengan memperingati kekasih. Ia tidak ada kaitan dengan Islam dan hanya mengikut ‘teladan’ mitos karut.
 
Amalan memberi bunga mawar merah ini sebenarnya mula dipopularkan pada tahun 1970an. Ia berlaku selepas Raja Charles II mengarang buku yang bertajuk The Languange of Flowers, yang menguraikan tentang amalan kebiasaan bangsa Persia yang mengungkapkan perasaan melalui bunga. Sejak itu pemberian mawar merah terutama pada saat Valentine’s Day amat popular. Tanpa mengetahui sebabnya ia terus menjadi amalan.
 
Hukum Menyambut Valentine’s Day
 
Sebenarnya, majoriti tokoh agama telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.”
 
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Valentine tidak digalakkan oleh agama Islam.
 
Pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan atau dengki di atas aktiviti trend baru zaman moden ini. Tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi panduan seantero umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan diakhirat.
 
Sejarah Valentine’s Day
 
Menurut Rizki Ridyasmara di dalam bukunya, Valentine Day, Natal, Happy New Year, April Mop, Hallowen: So What?, para sejarawan masih tidak mempunyai kata sepakat berkenaan peristiwa apa sebenarnya menjadikan Hari Valentine terus diperingat. Tetapi daripada beberapa sumber sejarah terdapat empat (4) versi pendapat yang amat popular berkaitan dengannya.
 
Pendapat Pertama
 
Pendapat pertama mengaitkan Sambutan Hari Valentine dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta (Queen of Feverish Love) bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari itu mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan diadakan perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka. Semasa agama Kristian menguasai Rom, mereka mengadaptasikan upacara paganism ini dan mewarnainya dengan nuansa Kristian. Mereka menggantikan nama-nama gadis dengan nama-nama Paus atau Pastor. Antara pendukungnya adalah Raja Konstantine dan Paus Gregory I.
 
Pendapat Kedua
 
Pendapat kedua pula mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat dua (2) kisah berkaitan dengan St. Valentine ini.
 
Versi pertama menyatakan bahawa pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi, hidup dengan penuh mitos dan lagenda amat memusuhi penganut agama Kristian. Para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap tegar mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorban yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu). Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.
 
Versi kedua pula menyatakan bahawa Claudius II, yang berhadapan dengan peperangan beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu, Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian, St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda Rom secara rahsia. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.
 
Pendapat Ketiga
 
Ia dirayakan bersempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol dimana St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam itu. Disebabkan sumbangan itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.
 
Pendapat Keempat
 
Berdasarkan apa yang dinukilkan oleh Geoffrey Chaucer, seorang penyair Inggris di dalam puisinya. Sambutan Hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawannya pada 14 Februari.
 
Berdasarkan kepada versi-versi tersebut, ianya amat jelas tiada hubungan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan budaya kita mahupun agama bagi umat Islam. Malahan ianya amat terang lagi tersuluh mempunyai kaitan dalam memperlekehkan aqidah Islam dan orang Islam sendiri.
 
Kebejatan Acara Valentine’s Day
 
Sebenarnya bukan sekadar apa yang tersirat di sebalik amalan dan kepercayaan berkenaan Sambutan Hari Valentine ini sahaja amat keji dan perlu dihindari. Tetapi acara-acara jelek dan tidak boleh diterima oleh budaya manusia bertamadun, menjadikan ianya perlu ditolak dan dipadamkan dari takwim perayaan manusia madani dan memiliki pegangan aqidah yang suci.
 
Lihatlah bagaimana saban tahun kebelakangan ini, media-media mendedahkan pelbagai acara dianjurkan bagi mengamatkan Sambutan Hari Valentine, khususnya kepada kalangan muda mudi. Ianya dicatur berpaksikan kepada menzahirkan perasaan kasih dan sayang kepada pasangan masing-masing. Amat jijik dan jelek sekiranya difikirkan dengan akal pemikiran yang waras. Bagaimanakah seorang kekasih boleh menyerahkan dan melakukan apa sahaja untuk kekasihnya tanpa ada sebarang ikatan demi membuktikan perjanjian cinta?
 
Akan tetapi, apa yang amat mendukacitakan, acara tidak bertamadun dan tidak bermata dalam menilai kehormatan sesama insan itu tetap mendapat sambutan. Ia sukar dibendung. Jauh sekali untuk dibersihkan sepenuhnya. Kesedaran pemikiran yang waras tercabut dengan hayalan dan dongengan dek janji indahnya kasih sayang tanpa ada suluhan kebenaran yang hak.
 
Berdasarkan kepada apa yang telah terjadi, sebenarnya Hari yang bertemakan kepada menyanjungi dan mengagungi kasih sayang di kalangan para kekasih menjadi hari permulaan bermulanya bencana dan kehancuran. Sememangnya pada Valentine's Day akan muncul si Romeo dan si Juliet yang mampu mengungkapkan bait-bait puisi seindah puisi William Shakespeare. Tidak kurang pula juga mereka yang sehebat si Laila dan si Majnun dalam bergelumang memperjuangkan kesetiaan cinta dengan bibir mengalunkan kata-kata puitis seindah puisi Jamaludin Rumi. Itu semua hanya seketika dek karamnya mereka di dalam bahtera gelojak nafsu tanpa nakhoda keimanan. Keindahan detik ‘syurga’ ciptaan penuh tipu daya hanya wujud pada hari itu sahaja. Ia akan ghaib entah ke mana setelah berakhirnya Valentine’s Day.
 
Penderitaan, kekecewaan dan penyesalan akan menyelusuri. Ia akan menggantikan nikmat yang tidak seberapa. Si Romeo yang menjanjikan seribu kesetiaan menjadi halimunan bersama janjinya. Si Majnun yang menaburkan selangit pengorbanan demi kasih, cinta dan setia bisu dan ghaib entah kemana. Ia sudah terlambat untuk diatasi. Nasi sudah menjadi bubur. Cempedak sudah menjadi nangka. Kekesalan sudah tiada gunanya.

Islam Ada Cara
 
Islam sebagai agama fitrah dan sempurna, sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama kekasih. Ini dapat dilihat melalui apa yang diungkapkan di dalam Kitab Al-Quran dan dijelmakan oleh Rasulullah s.a.w. bongkarlah khazanah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w itu bagi mencarinya.
 
Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu diikat dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi. Ikatan itu dinamakan sebagai perkahwinan.
 
Ia bukan bertujuan menyusahkan hubungan sesama manusia. Akan tetapi, ia hanya bermatlamatkan menjadikan masyarakat yang stabil, aman dan harmoni. Keindahan dalam menzahirkan kasih sayang itulah yang dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai dan dibajai setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun.
 
Penutup
 
Bagi menyelamatkan agamadan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan dengan aqidah dan syariah sempena Valentine’s Day ini perlulah disemaikan dalam setiap minda kita mewar-warkan larangan Sambutan Valentine’s Day dari terus diraikan oleh umat Islam khususnya di Negara kita. Wujudkanlah perasaan anti Valentine’s Day di dada dan minda, hadirkanlah rasa benci dan tidak akan meraikannya melalui penyertaan aktiviti-aktiviti yang menyalahi aqidah, syarak dan tamadun manusia.

Sedutan daripada JAKIM

Khamis, Februari 09, 2012

'HAJI EKSPRESS': JURUANALISA DAN KERANI TABUNG HAJI DIDAKWA TERIMA RASUAH

Juruanalisa dan kerani Tabung Haji dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan membabitkan kesalahan membuat pengubahsuaian kandungan pangkalan data Sistem Haji dan menerima rasuah bagi membolehkan 27 jemaah yang tidak layak menunaikan haji pada 2010 dapat pergi pada tahun berkenaan.

Juruanalisa sistem, Afizul Md Yasin, 34, dituduh atas tiga tuduhan berasingan membuat pengubahsuaian itu di jabatan teknologi maklumat bangunan ibu pejabat tabung haji, antara Jun dan Julai 2010.

Bagi setiap tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) yang membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan dan dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Ahad, Februari 05, 2012

'HAJI EKSPRESS' HARAM - REAKSI MAJLIS FATWA KEBANGSAAN

Isunya ialah mengenai 'haji ekspress'. 
 
Sehubungan dengan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengesahkan beberapa pegawai dan kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) yang disyaki terlibat dalam sindiket 'haji ekspres' sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.Menurutnya, siasatan dijalankan hasil susulan laporan yang diterima pihak berkuasa tentang tuduhan meminta suapan bagi membolehkan jemaah haji menunaikan ibadat itu lebih awal daripada dijadualkan.
 
"Bagaimanapun, saya meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung pendedahan kegiatan sindiket berkenaan kerana kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan. Kita perlu beri peluang kepada semua individu terbabit untuk pertahankan diri daripada tuduhan ke atas mereka," katanya.
 
Beliau mengulas laporan eksklusif Utusan Malaysia berhubung sindiket melibatkan beberapa pegawai dan kakitangan TH yang dipercayai beroperasi sejak 2009 dengan menawarkan orang ramai melangkau giliran untuk menunaikan ibadat haji
 
Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat TH, Anis Zuhani Ahmad berkata, agensinya mengambil tindakan dalaman terhadap pegawai yang disyaki terlibat dalam sindiket 'haji ekspres'.
 
Berikut adalah reaksi Majlis Fatwa Kebangsaan: 'Haji Ekspress' Haram:

Hukum mendapatkan perkhidmatan sindiket 'haji ekspres' adalah haram di sisi agama kerana melibatkan pemberian rasuah serta merampas hak orang lain yang menunggu giliran untuk menunaikan ibadat tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, peserta haji dan mereka yang bersubahat dalam perbuatan itu menanggung dosa kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

"Perbuatan ini haram kerana ada pihak memberi dan menerima secara rasuah. Ia juga merampas hak dan peluang orang lain. Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana sistem haji di negara ini mengikut giliran siapa dulu mendaftar dan memohon," katanya.

Seperti dilaporkan akhbar ini, sindiket 'haji ekspres' menawarkan orang ramai peluang menunaikan rukun Islam yang kelima tersebut lebih awal daripada jadual dengan membayar 'suapan'. Sindiket dikesan beroperasi sejak beberapa tahun lalu itu juga dilapor melibatkan beberapa pegawai Lembaga Tabung Haji (TH) dan beberapa bekas kakitangannya. Abdul Shukor yang kesal dengan kewujudan sindiket itu menggesa TH supaya bertindak segera bagi memastikan perkara seperti itu tidak berulang.

"Bilangan peserta haji di negara kita bergantung kepada kuota yang ditentukan Arab Saudi, jadi kita perlu adil dalam soal ini. Jangan kerana seseorang itu mempunyai 'kelebihan' wang ringgit, dia dapat tunaikan haji tanpa perlu menunggu seperti orang lain,'' katanya. 

Bagaimanapun, katanya, pertimbangan untuk mengubah tarikh mengerjakan haji harus dibenar dalam keadaan tertentu seperti bagi mereka sudah lanjut usia dan pasangan haji tidak mendapat giliran serentak.

"Misalnya, kita boleh pertimbangkan pasangan berusia lebih 70 tahun untuk pergi dahulu atau kepada suami isteri yang tidak dapat giliran pergi bersama,'' katanya.

Sumber: Mingguan Malaysia

TINGKATKAN KASIH SAYANG KITA KEPADA RASULULLAH SEMPENA SAMBUTAN HARI KEPUTERAAN BAGINDA PADA HARI INI

Hari ini 12 Rabiul Awal 1433 bersamaan 5 Februari 2012, seluruh umat Islam meraikan salah satu hari penting dalam kalendar Islam iaitu sambutan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Mengangkat tema Persefahaman Asas Perpaduan Ummah, sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan juga dipenuhi dengan pelbagai acara perarakan, ceramah dan sebagai­nya.
 
Seperti yang diketahui, sesiapa yang mengadakan atau menghadiri majlis memperingati keputeraan baginda atau Maulidur Rasul, pasti akan dikurniakan banyak kelebihan dan keistimewaan daripada ALLAH SWT. Jika disoroti kembali sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan kebenaran agama Islam, Baginda terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan liku. Namun, ia sedikit pun tidak menjadi halangan buat kekasih ALLAH SWT itu, sebaliknya Baginda terus menyebarkan syiar Islam.
 
Sebagai umat nabi terakhir, kitalah yang perlu meneruskan perjuangan Rasulullah dengan menjadikan keperibadian Baginda sebagai ikutan. 
 
Nabi Muhammad saw mempunyai akhlak terpuji yang tidak ada tolok bandingnya. Malah musuh baginda daripada kalangan orang Arab Quraisy juga tidak pernah mempertikaikan budi pekertinya yang mulia itu. Ketika hayatnya, Nabi Muhammad sentiasa membimbing sahabat dengan penuh kasih sayang dan bijaksana. Dalam pergaulannya seharian, kepemimpinan baginda membawa kesan yang amat mendalam terutama kepada empat sahabat utama iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abu Talib.
 
Anak keluarga miskin daripada keturunan bani Mutalib, Rasulullah s.a.w kehilangan ayah sebelum dilahirkan dan ibu ketika zaman kanak-kanak. Kanak-kanak yang membesar dalam dunia yang serba kekurangan, dipilih Allah untuk memimpin ummah bagi membawa kebenaran dan membuang segala bentuk maksiat dan penipuan.
 
Baginda adalah rasul akhir zaman yang diutus bagi melengkapkan semua ajaran rasul terdahulu. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Perumpamaanku dengan rasul-rasul yang lain ibarat sebuah istana yang elok pembinaannya kecuali pada satu sudut yang masih kekurangan seketul bata…Akulah seketul bata itu dan akulah penutup segala nabi-nabi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Detik pagi Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masihi menjadi saksi apabila lahir seorang bayi yang membawa rahmat ke seluruh alam. Ibunya, Siti Aminah tidak pernah berasa penat atau sakit ketika mengandungkannya. Walaupun kita tidak pernah menatap wajah Nabi Muhammad, tarikh ulang tahun kelahirannya itu perlu menjadi tarikh penting bagi umat Islam mengingati sejarah perjuangan baginda.
 
Nabi Muhammad seorang yang sentiasa mengosongkan hatinya daripada segala sesuatu selain Allah di dunia ini. Sifat zuhudnya itu dapat dilihat daripada sikapnya yang tidak terpesona dengan limpahan harta dunia, kemasyhuran serta darjat.
 
Sentiasa banyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad kerana ia adalah tuntutan yang perlu kita laksanakan pada setiap masa. Sebelum berdoa, bacalah selawat kerana ia adalah kunci yang membuka kemurahan Allah kepada kita. Maksud berselawat di sini ialah Allah akan memberi rahmat, hidayah dan keredaan-Nya kepada baginda. Bagi yang sentiasa mengucapkan selawat ke atas nabi, kehidupan seseorang itu pasti dipermudahkan, hatinya berasa tenteram, lapang rezekinya serta Allah akan memudahkan jalan ke syurga melalui syafaatnya.
 
Nasai Ibnu Hibban meriwayatkan, Nabi Muhammad s.a.w berpesan: “Sesungguhnya orang paling dekat denganku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.”
 
Sambutan yang diraikan perlu dijadikan iktibar terhadap kesusahan baginda berjuang menegakkan kalimah Allah. Islam memandang cara terbaik menyambut Maulidur Rasul dengan menjadikan kisah sejarah baginda sebagai iktibar untuk diterjemahkan dalam kehidupan.
 
Mentaati sunnah baginda menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi s.a.w. Ini termasuk menjaga perkataan dan perbuatan kita. Allah s.w.t memberi jaminan bahawa baginda adalah insan terbaik untuk dijadikan ikutan dan teladan bagi seluruh manusia.
 
Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu…” (Surah al-Ahzab ayat 21).
 
Mencintai dan menyayangi junjungan besar Rasulullah adalah satu hal yang amat dituntut dalam Islam. Mafhum sabda Rasulullah yang bermaksud: “Belum sempurna iman seseorang daripada kamu, kecuali aku lebih dikasihinya berbanding dengan keluarganya, dan hartanya dan manusia keseluruhannya.” (Hadis riwayat Muslim)
 
Menyayangi Rasulullah bukan perkara remeh kerana ia membabitkan iman. Cara menyayangi dan mengasihi Rasulullah bukan dengan hanya mengungkap kata-kata indah tetapi perlu dibuktikan dengan perbuatan. Wajar kita mengambil peluang sempena hari Maulid al-Rasul nanti untuk bermuhasabah diri. Adakah perlakuan kita selama ini sejajar dengan tindakan Rasulullah? Ini antara persoalan yang perlu sama-sama kita jawab.
 
Umat Islam perlu didedahkan dengan sirah Rasulullah yang meliputi segenap aspek kehidupan untuk dicontohi. Seperti yang diketahui umum, Rasulullah menjadi contoh ikutan terbaik bagi umat Islam. Untuk memiliki akhlak terpuji, Rasulullah adalah contoh yang perlu dijadikan ikutan. Segala-galanya ditunjukkan dalam perilaku serta tutur kata baginda. Baginda mempamerkan contoh terbaik sebagai seorang anak, suami, peniaga, pemimpin masyarakat, perancang ekonomi, panglima angkatan perang dan ahli politik,” katanya.
 
Baginda mampu menjadi pendorong kepada umat Islam untuk terus bangkit memperjuangkan kesucian agama Allah terutama mempergiatkan usaha dakwah serta memperbanyakkan majlis ilmu. Hanya dengan ilmu, masyarakat akan faham betapa perlunya mencontohi keperibadian Rasulullah.
 
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 21).  
 
Sayangi dan cintailah Rasulullah sebagaimana Rasulullah menyanyangi dan mencintai umatnya.  
 
Berikut adalah petikan khutbah haji wida' yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dengan penuh syahdu di Padang Arafah ketika Baginda mengerjakan Haji Wida’ bersama dengan lebih kurang 124,000 para sahabat sebelum kewafatan Baginda. Jadikanlah isi kandungan khutbah ini sebagai pedoman hidup seluruh umat Islam akhir zaman. 
 
Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
 
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang. 
 
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil. 
 
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak diatas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah lemah dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
 
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah `ibadah Haji’ sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal solah.
 
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
 
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku. 
 
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.

Jumaat, Februari 03, 2012

SAFEE SALI JUTAWAN BOLASEPAK

Kontrak baru bernilai lebih RM2 juta yang ditandatangani Safee Sali dengan kelab Pelita Jaya FC untuk tempoh dua tahun akan datang menyenaraikan pemain itu sebagai pemain bola sepak Malaysia bertaraf jutawan. Tawaran kontrak bernilai RM2 juta itu juga sekali gus menyaksikan kenaikan sekali ganda nilai tahunan kontrak Safee bagi tempoh dua musim akan datang itu.

Sebelum ini, kontrak sulung pemain itu dengan Pelita Jaya FC yang ditandatangani Januari tahun lalu bernilai AS$150,000 (RM456,000) untuk tempoh setahun.

Pakej lumayan yang ditawarkan oleh Pelita Jaya FC kepada pemain kebangsaan Malaysia itu merangkumi gaji, bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi serta faedah-faedah lain. Sebagai pemain import bagi kelab yang berasal dari Jakarta ini juga, Safee diberi penghormatan untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Pasukan Pelita Jaya FC.

Pengurusan Pelita Jaya FC juga menjanjikan pakej tambahan iaitu mengukuhkan imej pemain tersebut menerusi peluang muncul sebagai jurucakap produk-produk iklan di seluruh Indonesia. Pelita Jaya FC akan mendapatkan kontrak iklan daripada syarikat-syarikat yang memerlukan imej Safee bagi tujuan pengiklanan dan pemasaran.

Pelita Jaya FC juga komited untuk mencari ruang dan peluang kepada Safee serta rakan sepasukannya untuk bermain dengan mana-mana kelab milik penuh Pelita Jaya Cronus. Antara kelab-kelab yang dimiliki penuh oleh Pelita Jaya Cronus selain Pelita Jaya di Indonesia ialah Brisbane Roar FC di Australia yang akan bermain di AFC Champions League 2012. Tidak ketinggalan CS Vise di Belgium, kelab Divisyen 2 Liga Belgium dan SAD Uruguay - sebuah kelab pembangunan pemain remaja di Uruguay.Pelita Jaya FC juga mempunyai hubungan yang amat akrab dengan beberapa kelab lain di dunia seperti lima buah kelab di Liga Brazil yang antaranya Flamengo FC. Sementara di Eropah pula, antara kelab yang mempunyai hubungan baik dengan Pelita Jaya FC ialah Ajax Amsterdam FC di Belanda.

Selain Pelita Jaya, Safee juga ada mendapat beberapa tawaran lain antaranya Muangthong FC dan Buriram FC di Thailand. Khidmat Safee juga diperlukan oleh empat pasukan bola sepak dari Malaysia termasuk Kelantan FA, Negeri Sembilan FA, Johor FC dan Johor FA selain pasukan Selangor FA yang sentiasa bersedia bila-bila masa sahaja untuk Safee kembali kepangkuan mereka.

Rabu, Februari 01, 2012

10 ADAB DALAM MENUNTUT ILMU

Dalam kitab “Ihya’ Ulum al-Din” karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali, telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu. Dalam penulisannya, Imam al-Ghazali telah mengenalpasti 10 panduan yang boleh dijadikan asas pedoman kepada para pelajar. Asas-asas ini perlu dihayati dan dicernakan dalam diri para pelajar dalam usaha mereka menuntut ilmu sama ada di peringkat rendah atau di peringkat pengajian tinggi.

  • Pertama, menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni, kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan jiwa yang sentiasa bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang itu dicemari dengan elemen-elemen yang negatif yang boleh merosakkan kemurnian hati dan jiwa menyebabkan pelajar tersebut sukar untuk menguasai ilmu. Ini kerana secara prinsipnya, ilmu itu bersifat suci. Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang musyriq itu najis” (at-Taubah:28). Istilah najis yang dijelaskan oleh al-Quran merupakan simbolik yang mengertikan sifat kotor tersebut mesti dijauhi dan dihindari disebabkan sifat tersebut boleh merosakkan manusia.

  • Kedua, para pelajar disarankan tidak terlalu terikat dengan hal-hal keduniaan yang berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Unsur-unsur ini boleh menyebabkan pelajar tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar yang hakiki dan memalingkan fikirannya dalam usaha menuntut ilmu. Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud “Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua organ hati dalam rongganya” (al-Ahzab:4). Oleh yang demikian, sekiranya fikiran para pelajar dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh mencemari mentalitinya menyukarkan untuk mengetahui hakikat ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, “Seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu secara sebahagian, melainkan ia memberi perhatian dan tumpuan yang sepenuhnya”. Beliau memberi perumpamaan terhadap pemikiran yang dipengaruhi oleh hal-hal yang tidak berkait dengan ilmu seperti air yang mengalir dari sungai kecil, sebahagiannya diserap oleh tanah dan sebahagian lagi diserap oleh udara sehingga tidak ada lagi yang sampai ke ladang.

  • Ketiga, para pelajar tidak boleh bersikap angkuh dan bongkak terhadap golongan intelektual dan guru. Adalah menjadi kewajipan pelajar untuk menyerahkan segala urusan berkaitan ilmu dan mematuhi serta menghormati guru seperti orang sakit yang mematuhi arahan dan nasihat doktor. Para pelajar dituntut bersifat rendah diri, baik sangka dan setia kepada guru serta sedia menawarkan perkhidmatan kepadanya. Oleh yang demikian, pelajar tidak boleh bersikap sombong dengan guru seperti tidak mengambil manfaat ilmu yang disampaikannya dengan alasan antaranya, beranggapan guru tersebut tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Sikap seperti ini menunjukkan kebodohan dan kedangkalan pemikiran yang ada dalam diri seseorang pelajar. Sebaliknya, para pelajar seharusnya merasa terhutang budi terhadap guru yang mencurahkan ilmu yang memandunya ke arah kebenaran.

  •  Keempat, orang yang bersifat tekun dalam menuntut ilmu pada tahap awalnya perlu mengelakkan diri mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat di kalangan manusia sama ada yang melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Secara rasionalnya, ia boleh mengelirukan pemikirannya terhadap disiplin ilmu yang baru dipelajarinya dan membantutkan usahanya untuk membuat penyelidikan yang mendalam. Namun begitu, bagi seseorang yang telah menguasai sesuatu bidang disiplin ilmu secara mahir dan mendalam tidak menjadi halangan untuk mengkaji perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara. Ini kerana, perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara merupakan salah satu daripada metodologi medan penyelidikan ilmu.

  •  Kelima, seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin ilmu yang terpuji melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin. Sekiranya faktor usia mengizinkan untuk menuntut ilmu, ia harus mengambil peluang untuk meningkatkan kepakarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaliknya jika faktor usia menjadi kekangan terhadap usaha menimba ilmu pengetahuan maka seseorang itu perlu mengetahui perkara asas dan penting dalam ilmu yang dikuasainya berdasarkan kemampuannya.

  •  Keenam, tidak memaksa untuk menguasai semua disiplin ilmu secara sekaligus. Tindakan yang bijak ialah dengan menguasai sesuatu bidang ilmu itu mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang ada pada diri seseorang. Kompetensi yang ada pada manusia adalah terbatas oleh pelbagai faktor dari aspek pengalaman, realiti semasa, kepakaran dan keupayaan mentaliti seseorang.

  •  Ketujuh, seseorang tidak boleh mencampur-adukkan sesuatu cabang ilmu sebelum menguasai dan memahami dengan mahir cabang ilmu yang sebelumnya. Ini kerana tertib dalam ilmu adalah tersusun dan berkait rapat antara satu sama lain. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pelajar memahami sesuatu ilmu dengan tertib dan tersusun maka ia dapat menguasai sesuatu konsep ilmu dengan baik. Pemahaman manusia tentang konsep ilmu akan lebih sempurna dan konsisten jika setiap cabang ilmu dihadam dan dicernakan mengikut tahap-tahap dan fasa yang tersusun dan terancang.

  •  Kelapan, seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai sesuatu kepentingan ilmu dan faedahnya kepada para pelajar supaya ilmu tersebut dapat diaplikasi dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada masyarakat. Matlamat utama ilmu yang dipelajari itu tidak bertentangan dengan syariat dan membawa kemudharatan kepada umat manusia.

  • Kesembilan, para pelajar perlu bersikap ikhlas dalam menuntut ilmu. Kepentingan nilai ikhlas bertujuan untuk membersihkan jiwa seseorang yang bersifat riak dan takabur sesama manusia. Hakikatnya, manusia yang berilmu memiliki jiwa yang bersih dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Meskipun manusia dituntut menguasai ilmu-ilmu agama, namun ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keduniaan tidak boleh diabaikan, kerana ia sebahagian daripada fardhu kifayah. Dalam era globalisasi ini, ilmu yang dikategorikan sebagai fardhu kifayah sangat penting bagi masyarakat Islam kerana ia dianggap sebagai satu kemaslahatan ( keperluan ) yang perlu dikuasai oleh umat Islam. Sekiranya manusia mengabaikan bidang disiplin ilmu ini menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam zaman yang serba canggih. Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud: “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (al-Mujadalah:11)

  •  Kesepuluh, setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari bertujuan supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan daripada ilmu yang berbentuk sampingan. Keutamaan ilmu ini penting kerana ia dapat mengukuhkan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara. Di samping itu, ia menjadi asas utama untuk mempelajari disiplin ilmu yang lain disebabkan ia mempunyai kesinambungan di antara satu cabang ilmu dengan disiplin ilmu yang lain.Berdasarkan garis panduan yang telah diberikan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya “Ihya’ Ulum al-Din” diharapkan dapat memberi pedoman yang berfaedah kepada mereka yang bergelar pelajar. Mutiara kata-kata yang dicurahkan oleh ulama’ silam perlu diambil perhatian dan diamalkan oleh individu yang bergelar pelajar, agar ilmu yang dipelajari diberkati oleh Allah dan dapat memberi faedah besar kepada umat sejagat.

Sumber: albakriah.wordpress.com

HARUMAN PENGARUHI HUBUNGAN ROMANTIS

Pada zaman dulu, minyak wangi antara perhiasan diri yang wajib ada sebagai tanda status dalam masyarakat. Pada mulanya, ia digunakan golongan kelas atasan seperti barang kemas tetapi kemudian, ia menjadi keperluan bagi orang kebanyakan. Kini penggunaan minyak wangi tidak boleh diketepikan kerana ia berpotensi menambah keperibadian dan keyakinan seseorang. Sebaiknya minyak wangi dikenakan pada nadi untuk kekalkan aroma wangiannya.

Haruman daripada bunga-bungaan...

Mengikut kajian yang dijalankan Pengarang Scent of Desire, Dr Rachel Herz, wangian boleh mempengaruhi daya tarikan terhadap pasangan. Ini ditentukan sistem imunisasi yang membezakan bau badan seseorang.

“Setiap individu mempunyai kompleks histocompatibility mejar (MHC) berbeza iaitu satu turutan gen yang membantu sistem imunisasi mengenali patogen yang akan membenarkan bakteria untuk terus hidup di atas kulit, seterusnya menghasilkan bau badan berbeza. Selain biologi, bau badan seseorang juga dipengaruhi perasaan dan persekitaran. Buktinya, tanya mana-mana wanita mengapa mereka tertarik pada lelaki. Pasti jawapannya disebabkan haruman pada tubuh si jejaka,” jelasnya.

Namun menariknya, Dr Rachel menyatakan dalam satu tinjauan yang dijalankan ke atas wanita yang sudah berpisah, mereka mengakui kebanyakan perceraian juga berpunca daripada tidak tahan dengan bau pasangan. Ini menunjukkan bau dan aroma mempunyai kesan positif dan negatif terhadap perhubungan. Sedar atau tidak, haruman mempengaruhi hubungan romantis seseorang dan apabila mereka jatuh cinta, sebahagian besar akan menerima wangian yang dipakai pasangan. Ini dibuktikan menerusi kajian yang menunjukkan lelaki dan wanita yang memiliki aroma menarik biasanya menilai sesuatu perkara dari sudut positif. Ini kerana mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan mempunyai pandangan berbeza dalam setiap perkara.

Ini ditambah teori daripada Ketua Saintis Pasukan Rekaan Haruman P&G, Will Andrews, yang mengatakan cara wanita bertindak balas dengan lelaki dan lelaki bertindak balas dengan wanita datangnya menerusi naluri.

“Justeru, dalam penghasilan minyak wangi terdapat perbezaan antara lelaki dan wanita. Apabila kami menghasilkan aroma, perkara pertama yang diambil kira adalah pengalaman romantik yang tercetus dari dalam diri si pemakai. Secara tidak langsung ini akan menjadi daya penarik bagi pasangan berlainan jantina, sekali gus menikmati aroma yang berbeza daripada pasangan mereka,” katanya.

Selain itu, wangian boleh membangkitkan ingatan serta memori silam seseorang. Ia hadir pada masa tertentu, seterusnya mengembalikan sejarah lama yang disimpan dalam minda separa sedar seseorang. Misalnya, haruman pada minyak wangi yang dipakai ibu tentunya akan mengembalikan saat bahagia bersama ibu tercinta. Begitu juga bau bedak bayi yang membangkitkan nostalgia pada zaman kanak-kanak.

Bagaimana menentukan minyak wangi sesuai?

Berdasarkan teori sains, aroma yang sesuai akan saling melengkapi dengan bau badan kita. Ini kerana wangian yang diletakkan pada kulit akan memberi rangsangan pada bau badan, seterusnya mengeluarkan bauan tersendiri. Secara tidak langsung, ini membuatkan pasangan akan lebih mengenali kita.

Terdapat pelbagai jenis wangian berbeza bergantung ciri-ciri bauan itu sendiri. Antaranya aroma sitrus, lautan, bunga-bungaan, kayu dan Oriental. Pengelasan ini dapat membantu seseorang untuk lebih mengenali ciri-ciri bauan yang sesuai dipakai.

“P&G menghasil kan wangian berbeza untuk lelaki dan wanita bergantung kepada sosiobudaya yang mentakrifkan keluarga wangian bunga-bungaan biasanya disukai wanita manakala lelaki lebih menggemari aroma kayu yang agak keras,” kata Andrews.

Jika biasa memberikan mawar, coklat, pakaian atau gajet terbaru sebagai hadiah kepada pasangan, lupakan buat sementara waktu. Ini kerana berdasarkan kajian P&G Prestige pada 2008, hampir dua pertiga responden iaitu 64 peratus mengakui mereka sukar memilih wangian sesuai sebagai hadiah manakala 60 peratus berkata, mereka berasa kagum dan dihargai sekiranya pasangan memilih haruman sesuai untuk mereka.

Menurut Andrews, apabila seseorang memilih wangian untuk pasangan sebagai hadiah, sebenarnya ia adalah pelengkap kepada sebuah perhubungan.

“Ini sangat romantik kerana menunjukkan seseorang itu mengetahui dan mengenali diri pasangan dan benar-benar memahami apa yang dikehendakinya. Dalam erti kata lain, kita adalah pasangan serasi dan boleh menjalinkan hubungan yang lebih serius selepas ini,” katanya.

Sumber: Harian Metro