Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Isnin, Mei 14, 2012

SELAMAT HARI GURU - GURU JANGAN HILANG FOKUS

 SELAMAT HARI GURU

Sambutan Hari Guru 16 Mei setiap tahun menjadi simbolik pengiktirafan istimewa kepada warga pendidik yang tidak jemu melahirkan insan berjaya dan terbilang. Sama ada pengetua, pensyarah atau guru semuanya berjasa biarpun zaman sudah menjengah alaf baru dengan pelbagai tanggung jawab yang kian sukar serta mencabar.

Malangnya, di tengah kelelahan golongan terbabit mendidik anak bangsa, masih ramai yang mempertikaikan kredibiliti dan integriti guru hingga mencemarkan imej mereka. Pelbagai permintaan dan desakan diutarakan dengan alasan, guru perlu bersedia dan mengubah anjakan paradigma sejajar perubahan dunia pendidikan global zaman millennium.

Justeru, persediaan apakah yang perlu ada bagi golongan terbabit mengharungi dunia pendidikan era baru?

Pensyarah Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohmad Noor Mohmad Taib, berkata, guru zaman millennium perlu mempersiapkan diri dengan kekuatan mental serta fizikal bagi mengemudi masa depan dunia pendidikan.

Beliau berkata, itulah cabaran utama yang perlu diperkukuhkan terlebih dulu sebagai persediaan berdepan pelbagai kerenah tidak terjangka dunia pendidikan global.

“Sebagai guru alaf baru, kerenah bukan saja merangkumi aspek pematuhan tugas dan dasar malah mengawal selia pelajar selain memastikan standard ditetapkan tercapai. Aspek itu bukan mudah kerana penanda arasnya sentiasa berubah selain menguji sejauh mana ketahanan guru. Ia bukan saja memerlukan ketahanan fizikal, lebih penting kekuatan emosi bagi mengelak tekanan. Guru zaman ini harus menyediakan perisai untuk menghadapi segala kemungkinan itu lebih awal,” katanya.

Tahun ini, tema ‘Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara’ menggambarkan betapa besarnya tanggungjawab dan peranan guru menjana transformasi pendidikan selari tuntutan semasa. Bagaimanapun, imej guru yang tinggi di mata masyarakat kini juga terpalit dengan isu luar jangkaan. Apatah lagi dengan kuasa kian terbatas menyebabkan ada menganggap guru hari ini sekadar menjalankan tugasan semata-mata tanpa sokongan komitmen tinggi.

Beliau berkata, biar apapun tohmahan dilemparkan, guru perlu meletakkan rasa tanggungjawab di tangga tertinggi selain memperlengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran.

“Ini membolehkan mereka berfungsi sebagai pencetus, pembentuk, pengajar dan pendidik kepada anak bangsa. Bukankah mereka antara idola yang baik dan sering menjadi rujukan? Guru perlu sentiasa bersikap profesional, berusaha dan sabar menangani keadaan.  Kebijaksanaan dalam berfikir dan menentukan tindakan perlu kerana masyarakat masa kini sangat peka,” katanya.

Guru, katanya ada pelbagai kategori. Pertama, memang mahu menjadi guru dan mampu memberikan komitmen diri yang baik terhadap tugasan. Mereka puas jika melihat pelajar berjaya dan tidak mengharapkan balasan.

“Kedua, bercita-cita menjadi guru pada peringkat awal namun tidak bertahan kerana gagal mengikut rentak dan ketiga menjadikan profesion ini sebagai pilihan terakhir,” katanya.

Pendapatan guru di negara ini juga, akuinya, tidak setimpal dan kurang mendapat pengiktirafan seperti kerjaya lain berbanding guru di negara maju.

“Ini juga salah satu sebab mengapa ada kurang bermotivasi menjadi guru dan melaksanakannya kerana terpaksa. Berbeza di luar negara, mereka bertindak profesional kerana kerjaya itu memang profesional. Bagaimanapun jangan jadikan ia alasan bertugas sambil lewa. Guru pemegang amanah, justeru laksanakan dengan jujur dan ikhlas,” katanya.

Guru juga, akuinya, tidak boleh membandingkan kegemilangan zaman pendidikan dulu dan masa kini. Menurutnya, setiap ruang masa mempunyai ciri latar dan pengisian peristiwa serta cabaran berbeza.

“Justeru tidak adil mengatakan zaman pendidikan dulu lebih baik berbanding sekarang. Setiap tempoh ada perbezaannya dan ia dilaksanakan mengikut kesesuaian. Cabaran dunia pendidikan sentiasa wujud. Yang berbeza ialah bentuk cabaran perlu dihadapi. Setiap cabaran itu pula memerlukan formula dan pendekatan berbeza. Di sinilah guru memerlukan paradigma pemikiran yang sentiasa berkembang sekali gus membantu pelajar berjaya,” katanya.

Mantan pengetua SMK Alor Janggus (SMKAJ), Kedah, Datuk Harun Mohd Hashim, bersetuju peranan guru hari ini semakin mencabar dan memerlukan kudrat tinggi untuk melaksanakan setiap tugas. Menurutnya, guru pada zaman ini terlalu terikat dengan peraturan sebaliknya dulu diberi kuasa penuh melaksanakan peranan tanpa campur tangan masyarakat juga ibu bapa.

“Masyarakat dan ibu bapa dulu sangat padu membantu guru melaksanakan tanggungjawab. Mereka prihatin sekali gus memudahkan proses pendidikan dijalankan. Kekurangan kemudahan bukan alasan guru mendidik pelajar menjadi insan baik dan berdisiplin. Mereka berjaya hasil didikan guru manakala hubungan juga mesra. Kini sudah berbeza dan menyedihkan. Guru, pelajar dan masyarakat saling bercakaran hingga menyukarkan usaha melahirkan produk cemerlang, produktif kemahiran serta jadi diri,” katanya.

Manakala mantan pengetua SK Datuk Wan Muhammad Saman (SKDWMS) Alor Star, Kedah, Abdul Aziz Zainol, berkata tanggungjawab guru zaman millennium sangat mencabar kerana turut terpaksa memikul beban sampingan.

“Dulu guru hanya mengajar dan memantau masalah pelajar, tapi hari ini terpaksa berdepan ‘permintaan lain seperti kerja perkeranian, kursus dan sebagainya. Justeru tumpuan terhadap tanggungjawab hakiki akan terjejas sekali gus memberi ruang pelajar bertindak sesuka hati. Ini lari dari konsep pendidikan dan tanggungjawab guru. Sekali gus semakin menyukarkan usaha menjadi guru yang baik dan berkaliber,” katanya.

SELAMAT HARI GURU

Sumber:  Harian Metro

Ahad, Mei 13, 2012

TAHNIAH ANAKKU, FAKHRUL RAZIN BIN HASAN

Tahniah anakku, Fakhrul Razin Bin Hasan. Tentunya hari ini, Ahad 13 Mei 2012 adalah hari yang menggembirakanmu dengan penerimaan ijazah dari Pro-Cannselor YBhg. Tan Sri Dato' Seri Arshad Ayub. Marilah kita bersama-sama mengucapkan syukur ke hadrat Illahi atas kurniaanNya ini. Seterusnya, usahalah dengan lebih gigih untuk meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana yang sedang 'abang' lalui sekarang. Ayah harap pada tahun hadapan ayah, emak dan adik-adik sekali lagi dapat masuk ke Dewan Agong Tuanku Canselor.

Anakku Fakhrul Razin,


Agama kita, Islam ialah suatu agama yang mementingkan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan merupakan kunci kejayaan seseorang di dunia dan di akhirat. Islam juga menekankan tentang pentingnya konsep menuntut ilmu dan perlaksanaannya dalam masyarakat Islam.

Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al-Baqarah: 269
“Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang diberikan Hikmat itu maka sungguh ia telah berikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya.”

Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud:
“Dan orang yang diberi ilmu pengetahuan, yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; itulah yang benar serta yang memimpin ke jalan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji.” (Surah Saba’: 6)

Seterusnya Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Apakah orang yang taat beribadat diwaktu malam dengan sujud dan berdiri, ia takutkan azab hari ahirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya, sama dengan orang musyrik? Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (Surah Az-Zumar: 9)

Dari Ibnu Mas'ud, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya:
"Jangan ada perasaan iri hati melainkan kepada dua keadaan: (Pertama) keadaan orang yang dikurniakan Allah harta benda, serta menjadikannya menguasai dirinya menghabiskan hartanya itu pada perkara kebajikan yang sebenar-benarnya; dan (kedua) keadaan orang yang dikurniakan Allah ilmu pengetahuan agama, lalu ia beramal dengannya dan mengajarkannya." (Bukhari, Muslim dan Tirmizi)

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
"Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Salah satu teras yang amat berkait dengan pembangunan manusia adalah dengan meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi serta memupuk ‘minda kelas pertama’. Kejayaan masa hadapan bergantung kepada mutu induvidu insan yang dimiliki, bukan sahaja dari segi intelek tetapi juga keperibadian. Pada masa yang sama penekanan akan diberi kepada usaha memupuk individu berbudaya dan memiliki kekuatan ilmu pengetahuan dan moral yang tinggi.

Islam tidak menghalang umatnya untuk bergerak maju mengikut arus permodenan semasa. Namun, dalam kita menghadapi arus permodenan ini, kita perlu mempunyai ilmu serta jati diri yang kukuh agar kita tidak mudah terikut-ikut dengan kemodenan yang terpesong dari nilai agama Islam.

Islam sebenarnya telah menggariskan beberapa sifat dan ciri pemuda seperti 'abang' yang menjadi aset dan mampu menjana kekuatan, kemajuan serta tamadun bangsa. 

Antara ciri tersebut adalah:
  1. Berilmu dan beriman. Pemuda seperti 'abang' yang berilmu merujuk kepada penguasaan pelbagai cabang dan bidang ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Firman Allah S.W.T. Maksudnya: ... Allah akan meninggikan (darjat) orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang berilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (al-Mujadalah: 11). 
  2. Berakhlak mulia. Akhlak yang mulia adalah ibarat teras yang menjadi kekuatan syakhsiah dan peribadi seseorang individu. Tanpa dihiasi dengan akhlak akan rosaklah generasi dan bangsa. Sesebuah kemajuan yang dicapai tidak akan bererti lagi apabila generasi sudah kehilangan akhlak, nilai diri dan kemanusiaan. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud: ‘Bahawasanya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia’. (Riwayat Ahmad, Hakim dan al-Baihaqi). 
  3. Beramanah dan adil. Sifat amanah dan adil merupakan dua sifat kembar yang sangat penting dan perlu dihiasi dalam peribadi golongan belia terutamanya, dalam usaha untuk membina kemajuan ummah. Firman Allah S.W.T. dalam surah an-Nisaa’ ayat 58: Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat.

Inilah antara ciri-ciri dan sifat yang perlu dipasakkan dalam peribadi golongan pemuda seperti 'abang' pada hari ini demi untuk membangun dan memajukan ummah, bangsa dan negara dalam lingkungan rahmat dan barakah. Negara kita Malaysia memerlukan golongan pemuda yang benar-benar berwibawa, berperibadi dan bersyakhsiah Islam, bersesuaian dengan sanjungan yang diberikan kepada mereka sebagai pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Sahutlah titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Canselor UiTM, universiti pilihan 'abang' dalam Istiadat Konvokesyen itu, iaitu:
  • Setiap warga Universiti Teknologi Mara (UiTM)memanfaatkan sumber, kepakaran dan pengalaman dalam pelbagai bidang supaya dapat mengoptimumkan keupayaan masing-masing. Melalui cara itu, ia dapat membantu universiti mempercepatkan proses transformasi negara ke arah menjadikan masyarakatnya maju dari segi pemikiran, tindakan, pencapaian dan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni. 
  • Justeru, Baginda berharap para graduan sebagai golongan intelek dapat memainkan peranan secara positif agar negara Malaysia kekal berdaulat di bawah pemerintahan kita sendiri.
  • Para graduan adalah pemimpin masa depan yang diharap untuk memastikan negara terus aman. Pertahankanlah negara, universiti ini agar sentiasa meneruskan kehebatan untuk mencipta peradaban lebih gemilang.
  •  Graduan sentiasa mengenang jasa ibu bapa, jasa universiti dan jasa pemimpin-pemimpin negara, sifat mengenang jasa itu adalah sifat yang mulia disisi Allah. Baginda amat bersukacita dengan UiTM yang sentiasa mengenang jasa insan-insan serta pemimpin-peminpin negara di pelbagai peringkat.