Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Khamis, Mei 30, 2013

UNIKNYA MASJID IHSANIAH ISKANDARIAH

Unik dan ada kelainan seni bina Masjid Ihsaniah Iskandariah ini yang terletak di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Perak ini. Ia berlainan berbanding masjid-masjid lain di negara ini. Keseluruhan dinding Masjid Ihsaniah Iskandariah diperbuat daripada anyaman buluh yang dikenali sebagai 'Kelarai Bunga Potong Belian'. Ia merupakan salah satu seni bina bagi rumah tradisional Melayu Perak.
 
Mengikut sejarahnya, Masjid Ihsaniah Iskandariah telah dibina setelah Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak ke-30 (1918-1938) bernazar untuk membina sebuah masjid jika anakanda baginda sembuh daripada gering.
 
Keunikan seni bina Melayu banyak terdapat di masjid itu. Paling nyata adalah dinding dikenali sebagai tepas yang dibuat daripada anyaman buluh. Bangunan masjid dua tingkat itu berbentuk empat segi dan tidak mempunyai kubah serta berbentuk seperti sangkar burung. Struktur bangunan termasuk anyaman buluh dibina dan diukir oleh tukang kayu tempatan yang terdiri daripada Panjang Noh, Ngah Gadoh, Wan Ibrahim dan Kulup Ngah. Tingkat atas masjid itu menempatkan dewan solat yang boleh memuatkan 200 orang jemaah manakala tingkat bawah dijadikan dewan untuk perjumpaan dan melakukan aktiviti kemasyarakatan.
 
Baginda Sultan telah merasmikan masjid itu pada Jumaat 10 Zulhijjah tahun 1356 Hijrah bersamaan 11 Februari 1938.
 
Bagaimanapun, setelah lebih tiga dekad terbiar, Jabatan Warisan Negara melakukan kerja-kerja pemuliharaan untuk membaiki semula kerosakan struktur bangunan tersebut. Kerja pemuliharaan telah disiapkan pada Julai 2009 dan masjid ini telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan.
 
Di sebelah masjid ini telah dibina masjid baru untuk digunakan oleh masyarakat Kampung Kuala Dal. Sesiapa yang melalui jalan Padang Rengas-Kuala Kangsar, bolehlah singgah di masjid ini.
















Sabtu, Mei 18, 2013

SELAMAT HARI GURU DARIPADA SAYA CIKGU HASAN KASMURI

Hari Khamis 16 Mei 2013 adalah sambutan Hari Guru. Dah lama saya teringin memakai semula uniform sekolah. Kali terakhir saya memakainya pada bulan Disember 1980 ketika menduduki peperiksaan STPM di SM Teknik Johor Bahru. Dah 33 tahun saya tinggalkan alam pelajar sekolah walaupun kini aku sentiasa berada di sekolah. Pada tahun ini sempena sambutan hari guru, saya kembalikan nostalgia sebagai murid sekolah dengan berpakaian sekolah. Sebenarnya SMK Telok Kerang tempat saya bertugas ini adalah bekas sekolahku ketika di Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3. Kemudian saya pindah bersekolah di SMK Dato' Penggawa Barat. Seterusnya bersekolah pula di SM Teknik Johor Bahru di Tingkatan 4 dan 5 kemudian ke Tingkatan 6 Bawah dan Tingkatan 6 Atas langsung ambil peperiksaan STPM di sekolah itu.

Pada Hari Guru tahun ini, saya mengambil kesempatan pakai uniform sekolah. Buat kenangan sementara masih hidup. Barulah ada kelainan dan keunikan yang memberi makna tersendiri dalam diri saya. Rupa budak sekolah yang dah tua...hehehe... 

Dengan bertemakan Guru Malaysia 1 Aspirasi 1 Agenda, sambutan Hari Guru peringkat sekolah saya di SMKTK diadakan pada pagi Khamis 16 Mei 2013. Hujan rahmat yang turun sepanjang malam dan pagi ini betul-betul membawa rahmat apabila semua guru dan semua pelajar berhimpun di Dewan A untuk bersama-sama melaksanakan 1 Aspirasi 1 Agenda menyambut sambutan Hari Guru.

Sambutan yang bermula pada pukul 7.30 pagi dibahagikan kepada tiga segmen. Segmen pertama yang bertempat di Dewan A khusus bagi acara Ikrar Hari Guru, bacaan perutusan, nyanyian lagu Guru Malaysia dan lagu-lagu bertemakan Hari Guru, serta penyampaian cenderahati kepada guru-guru. Segmen kedua menyusul dengan acara perlawanan bolasepak 7 sebelah antara guru-guru iaitu pasukan guru JDT melawan pasukan guru Johor Lama di padang. Saya beraksi sebagai penjaga gol pasukan Johor Lama. Manakala guru-guru perempuan pula menyertai pertandingan 'explore race' dan pertandingan 'kerusi berirama'. Segmen ketiga pula adalah pertandingan persembahan pelajar-pelajar dan guru-guru di pentas Dewan A. Acara ini diselang-selikan dengan cabutan bertuah. 

Saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada bekas guru-guru saya, rakan-rakan guru saya di SMK Telok Kerang dan kepada semua rakan-rakan guru di Malaysia. SELAMAT HARI GURU. GURU MALAYSIA 1 ASPIRASI 1 AGENDA.











 






















Jumaat, Mei 17, 2013

MENGAPA PELAJAR-PELAJAR PERLU MENGHADAPI PEPERIKSAAN DAN UJIAN?.

Peperiksaan atau ujian adalah “kayu ukur” bagi menyukat sejauh manakah keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Ia adalah satu proses untuk memperolehi maklumat kuantitatif. Ia merupakan proses bagi guru untuk menentukan perubahan tingkah laku dan membuat pertimbangan menilai. Proses menilai dapat memberi maklumat tentang pencapaian objektif pelajaran, kaedah mengajar seorang guru dan keberkesanan sesebuah kurikulum.

Kepentingan peperiksaan dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah ketara dan sangat penting. Tinggi peratus yang lulus bermakna berjayalah seseorang guru itu mengajar pelajarnya. Berjayalah pelajar-pelajar memahami dan menguasai kemahiran yang diajar kepada mereka. Sebaliknya, rendah peratus lulus, seseorang guru itu perlu bertindak membaiki cara pengajarannya. Pelajar-pelajar pula perlu meningkatkan keupayaan diri.

Kepentingan peperiksaan atau ujian adalah seperti berikut:
  1. Untuk mengetahui keupayaan, kemahiran atau pengetahuan asas yang sedia ada pada pelajar-pelajar dalam perkara-perkara yang hendak diajar. Ujian seperti ini biasanya disebut sebagai praujian atau ‘pretest’. Daripada ujian inilah guru-guru biasanya dapat merancang dan merencanakan pengajaran yang seterusnya. Hasil ujian tersebut dapat memberikan gambaran kepada guru-guru tentang keupayaan pelajar mereka yang sebenar sebelum mereka memulakan pengajaran. 
  2. Untuk menolong guru-guru mengetahui sejauh manakah pelajar-pelajar mereka telah dapat menguasai atau mempelajari perkara yang telah disampaikan. Dengan lain perkataan guru-guru itu dapat melihat sejauh manakah pengajarannya itu berhasil. Biasanya, ujian-ujian seperti ini disediakan oleh guru sendiri untuk menguji aspek-aspek pengetahuan dan kemahiran tertentu. 
  3. Untuk membandingkan pencapaian seseorang pelajar dengan teman-teman sekelasnya atau dengan peringkat kelas yang sama di sekolah. Perbandingan seperti ini penting untuk menilai pencapaian atau prestasi seseorang individu. 
  4. Untuk membandingkan tingkat pencapaian pelajar dalam sesuatu bidang subjek dengan bidang yang lain. Tujuannya ialah untuk melihat kelemahan atau kelebihan pelajar dalam sesuatu bidang dan digunakan maklumat ini untuk kerja-kerja pemulihan dan sebagainya. 
  5. Untuk menentukan pelajar yang tinggi keupayaan dan juga yang amat lemah dalam pencapaian mereka. Tujuannya ialah untuk kerja-kerja pemulihan dan pengayaan. 
  6. Untuk membuat jangkaan terhadap potensi atau bakat pelajar terhadap pembelajaran. Ini penting untuk menyelaras dan menentukan arah jenis pendidikan pelajar. Guru-guru dengan mudah dapat menyalurkan pelajar-pelajar mereka ke jurusan-jurusan tertentu mengikut kebolehan mereka sepeti jurusan sains, sasteradan teknikal. 
  7. Untuk membolehkan guru-guru menilai bahan-bahan dan teknik serta kaedah pengajaran mereka. Melalui ujian dan penilaian mereka sentiasa dapatmempertingkatkan pengajaran mereka. 
  8. Peperiksaan dan ujian juga berguna kepada pelajar-pelajar. Melaluinya mereka berpeluang untuk mengetahui kelemahan-kelemahan mereka dalam sesuatu kemahiran atau bidang itu dan segera pula memperbaikinya.

Rabu, Mei 15, 2013

BARISAN MENTERI KABINET KERAJAAN MALAYSIA 2013

 

Berikut ialah senarai barisan menteri kabinet 2013 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak: 

Perdana Menteri: Datuk Seri Najib Tun Razak 

Timbalan Perdana Menteri: Tan Sri Muhyiddin Yassin 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri:
Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Datuk Seri Abdul Wahid Omar (akan dilantik sebagai senator)
Datuk Seri Idris Jala (Senator)
Tan Sri Joseph Kurup
Datuk Seri Shahidan Kassim
Nancy Shukry
Datuk Joseph Entulu Belaun
Datuk Paul Low Seng Kuan (Senator)

Timbalan Menteri: Datuk Razali Ibrahim 
Timbalan Menteri: P. Waythamoorthy (akan dilantik sebagai senator) 

Kementerian Kewangan
Menteri I : Datuk Seri Najib Tun Razak
Menteri II: Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah
Timbalan Menteri: Datuk Ahmad Maslan 


Kementerian Pelajaran
Menteri I: Tan Sri Muhyiddin Yassin
Menteri II Datuk Seri Idris Jusoh
Timbalan Menteri I: Datuk Mary Yap
Timbalan Menteri II: P.Kamalanathan 


Kementerian Dalam Negeri
Menteri: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Menteri: Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar 


Kementerian Komunikasi dan Multimedia
Menteri: Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
Timbalan Menteri: Datuk Jailani Johari 


Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Menteri: Datuk Seri Mustapa Mohamed
Timbalan Menteri: Hamim Samuri 


Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
Menteri: Datuk Seri G. Palanivel
Timbalan Menteri: Datuk James Dawos Mamit 


Kementerian Pengangkutan
Menteri: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (pangku)
Timbalan Menteri: Datuk Aziz Kaprawi 


Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan
Menteri: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Timbalan Menteri: Datuk Joseph Salang 


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
Menteri: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Timbalan Menteri: Datuk Tajuddin Abdul Rahman 


Kementerian Pertahanan
Menteri: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Timbalan Menteri: Datuk Abdul Rahim Bakri 


Kementerian Kerja Raya
Menteri: Datuk Fadillah Yusof
Timbalan Menteri: Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin 


Kementerian Kesihatan
Menteri: Datuk Seri Dr S.Subramaniam
Timbalan Menteri:Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya 


Kementerian Belia dan Sukan
Menteri: Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Timbalan Menteri: Datuk M Saravanan 


Kementerian Sumber Manusia
Menteri: Datuk Richard Riot
Timbalan Menteri: Datuk Ismail Abdul Muttalib 


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Menteri:  Datuk Hasan Malek
Timbalan Menteri: Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (akan dilantik senator) 


Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Menteri: Datuk Rohani Abdul Karim
Timbalan Menteri: Datuk Azizah Mohd Dun 


Kementerian Luar Negeri
Menteri: Datuk Seri Anifah Aman
Timbalan Menteri: Datuk Hamzah Zainuddin 


Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Menteri: Datuk Abdul Rahman Dahalan
Timbalan Menteri: Datuk Halimah Sadique 


Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Menteri: Datuk Seri Douglas Uggah Embas
Timbalan Menteri: Datuk Noriah Kasnon 


Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
Menteri: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
Timbalan Menteri: Datuk Alexander Nanta Linggi 


Kementerian Wilayah Persekutuan
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
Timbalan Menteri: Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan 


Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
Menteri: Datuk Seri Maximus Ongkili
Timbalan Menteri: Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah 


Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
Menteri: Datuk Dr Ewon Ebin
Timbalan Menteri Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah

Selasa, Mei 14, 2013

DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN MENTERI BESAR JOHOR YANG BARU

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Permas, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor yang baru hari ini.  

Mohamed Khaled yang juga bekas menteri pengajian tinggi, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Dewan Undangan Negeri, Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di Johor Baharu kira-kira 10.40 pagi ini.
 
Beliau mengambil alih jawatan menteri besar Johor daripada Datuk Abdul Ghani Othman yang memegang jawatan itu selama 18 tahun bermula daripada 1995.


Turut mengangkat sumpah hari ini ialah sembilan Adun daripada Barisan Nasional (BN) bagi mengisi sembilan jawatan sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

 

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini, BN Johor berjaya memenangi 38 kerusi DUN daripada 56 yang dipertandingkan dan 21 daripada 26 kerusi parlimen.

Pada PRU-13 lepas, Mohamed Khaled memenangi kerusi DUN Permas selepas menewaskan calon PAS, Syed Othman Abdullah dengan majoriti undi sebanyak 5,752, manakala Abdul Ghani pula tewas bertanding di kerusi parlimen Gelang Patah menentang Penasihat DAP Lim Kit Siang.

 

Mohamed Khaled ketika berucap pada majlis angkat sumpah itu berkata beliau bersyukur atas kepercayaan yang diberikan Sultan Johor untuk memegang jawatan Menteri Besar Johor.
 

"Patik bersyukur dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan dan kepercayaan Tuanku kerana melantik patik sebagai menteri besar. Sesungguhnya segala amanah dan tanggungjawab akan dilaksanakan dan dipelihara sebaiknya dalam melaksanakan tugas sebagai menteri besar," katanya.
 

Pada majlis yang turut dihadiri Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, anggota Majlis Jumaah Diraja dan Adun lain yang termasuk daripada pembangkang, beliau berjanji akan menjalankan tugas dengan jujur demi rakyat.
 

Mohamed Khaled turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Johor kerana memberikan mandat baru kepada BN untuk terus memimpin dan mentadbir negeri di selatan tanah air ini dengan adil.

"Kerajaan negeri akan terus membela kepentingan dan penuhi harapan segenap lapisan masyarakat," katanya.

 

Sementara itu sembilan Adun yang dilantik sebagai anggota Exco termasuk dua yang dilantik semula serta seorang wakil rakyat daripada MCA yang dilantik sendiri oleh Sultan Johor bagi mewakili masyarakat Cina di Johor.
 

Sultan Johor mempunyai hak melantik sendiri anggota exco kerajaan negeri di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895.
 

MCA sebelum ini memutuskan untuk menolak sebarang jawatan di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri berikutan kekalahan teruk parti itu pada PRU13.
 

Mereka yang dilantik semula sebagai anggota Exco ialah Md Jais Sarday (DUN Mahkota) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Asiah Ariff (DUN Johor Lama) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Wakil masyarakat Cina yang dilantik sebagai anggota Exco ialah Datuk Tee Siew Kiong (DUN) Pulai Sebatang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan. Tee juga merupakan Setiausaha Publisiti Kebangsaan MCA.

Lain-lain anggota exco termasuk Hasni Mohamad (Benut) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan R.Vidyanathan (DUN Kahang) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia.


Selain itu, Abdul Mutalib Abdul Rahim (DUN Layang-Layang) pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama, Latif Bandi (DUN Endau) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Ismail Mohamad (DUN Bukit Serampang) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani.


Ketua Pemuda Umno Johor Datuk Zulkurnain Kamisan yang juga anggota DUN Sri Medan pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan.

Ahad, Mei 12, 2013

KENANGAN LAWAN POSTER DAN BENDERA PRU13 DI KAWASAN KAMPUNGKU, DUN KUKUP DAN PARLIMEN TANJONG PIAI

Suasana perang poster dan bendera semasa PRU13 di kampungku, DUN Kukup dan Parlimen Tanjong Piai. Rasanya belum cukup meriah...