Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Sabtu, Mei 29, 2010

LATIHAN MENEMBAK SENJATA M16

Pada hari Ahad 23 Mei 2010 pada ketika orang lain mungkin enak-enak bercuti, saya bersama guru-guru dan ahli-ahli Kadet Polis pergi menjalani latihan menembak senjata M16. Latihan tersebut dijalankan di Lapang Sasar PDRM IPK Melaka Air Keroh.

Kami bertolak pada pukul 6.30 pagi. Pergi ke sana dengan menaiki bas dan sampai pada pukul 9.30 pagi. Bersama sekolah kami ialah ahli-ahli Kadet Polis SMK Sri Kukup. Keadaan lapang sasar ini selesa dan cantik. Latihan dijalankan sehinggalah pukul 3.30 petang. Berehat, makan tengah hari dan solat Zohor pada pukul 12.30 tgh hingga 2.00 petang.

Latihan menembak ini adalah sebahagian daripada aktiviti Pasukan Kadet Polis. Sebagai Ketua Kor Kadet Polis Daerah Pontian, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mengurus aktiviti dan program ahli-ahli Kadet Polis peringkat daerah. Saya mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada timbalan saya iaitu En. Mohd Nazri B Lajim atas usaha beliau secara langsung mengurus aktiviti latihan menembak senjata M16 ini. Sebanyak 15 sekolah di daerah Pontian telah menyertai latihan ini di mana ahli-ahli Kadet Polis yang mengikuti latihan ini di Melaka seramai 600 orang. Latihan dijalankan pada hari Sabtu dan Ahad agar ianya tidak menganggu persekolahan ahli-ahli Kadet Polis. Setiap sekolah mengikuti jadual latihan yang telah ditetapkan.

Latihan ini adalah dibawah kendalian jurulatih Unit Persenjataan IPD Pontian yang diketuai oleh C/Insp. Johari Bin Abdullah, Pegawai Hal Ehwal Awam IPD Pontian. Sebelum latihan di Melaka, jurulatih-jurulatih ini telah pergi ke sekolah-sekolah untuk memberi latihan musketri senjata M16 kepada ahli-ahli Kadet Polis. Latihan musketri ini dijalankan setiap petang selama tiga hari.

Daripada laporan yang diterima, guru-guru dan ahli-ahli Kadet Polis gembira dengan latihan ini. Itulah sebenarnya harapan kami iaitu ahli-ahli Kadet Polis gembira menjalani kegiatan kokurikulum disamping mendapat sesuatu ilmu dan kemahiran baru yang berkaitan. Semoga semua ahli-ahli Kadet Polis yang menyertai latihan ini selamat sejahtera sehingga tamat latihan. Sentiasalah berhati-hati dan berwaspada semasa menjalani latihan.

Ucapan terima kasih dan penghargaan saya berikan kepada IPK Melaka, IPD Pontian dan PPD Pontian atas kerjasama dan peluang yang diberi kepada kami guru-guru dan ahli-ahli Kadet Polis Pontian dalam menjayakan latihan menembak senjata M16 ini.


Tuan Johari berbincang bersama jurulatih sebelum memberi taklimat perjalanan latihan.

Menenang ke sasaran.


Saya dan guru-guru Kadet Polis turut sama berlatih menembak.


Jurulatih mengajar saya menggunakan pistol.


Cikgu Hamisah dan Cikgu Noraizan menunjukkan lubang tembakan.


GPK1 Pn. Hjh. Arbaenah Bt Masud turut serta dalam latihan menembak.
Panas terik matahari tidak menghalang latihan.


Cikgu Mohd Nazri B Lajim ditunjuk ajar menggunakan pistol.


Anak saya Fakhrul Syahmi Azri yang juga ahli Kadet Polis
beraksi menggunakan senjata M16.

Saya berucap menyampaikan penghargaan kepada IPK Melaka dan IPD Pontian.


Tuan Johari mengumumkan penembak terbaik sesi 4.

Penyampaian cenderahati kepada IPD Pontian
yang diterima oleh Tuan Johari B Abdullah..

Penyampaian cenderahati kepada En. Aman
Pegawai In Charge Lapang Sasar PDRM IPK Melaka.


Bergambar beramai-ramai selepas tamat latihan bersama guru-guru,
jurulatih dan pegawai-pegawai IPD Pontian.

'HADIAH HARI GURU' - KAJIAN SEMULA PERLU

Oleh Gaddafi Musli
Harian Metro 29 Mei 2010

KUALA LUMPUR: Majlis Pemuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia (MPKGM) mendesak kerajaan mengkaji semula ‘Hadiah Hari Guru’ yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Kuantan, Pahang, 16 Mei lalu. Pengerusinya, Jemale Paiman berkata, ini kerana pengumuman Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran tidak mengambil kira 11 penetapan insentif Kongres Guru Dalam Perkhidmatan Kementerian Pelajaran (Kongres) yang disenaraikan pada Mesyuarat Khas Memartabatkan Profesion Perguruan, awal bulan ini.

“Insentif yang kita mohon ialah kaedah terbaik dalam membentuk laluan kerjaya di sektor pendidikan di samping mengurangkan beban tugas guru,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Isu Semasa Perkhidmatan Dan Kebajikan Guru, semalam.


Menurutnya, hadiah Hari Guru yang diumumkan Muhyiddin dua minggu lalu boleh mengundang rasa tidak puas hati di kalangan guru sehingga boleh mengakibatkan prestasi terjejas.


“Contohnya, pemberian wang ganjaran RM7,500 kepada guru yang melonjakkan prestasi sekolah dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan guru lain dalam sebuah institusi pendidikan dan boleh menimbulkan sentimen negatif apabila cuma sesetengah pihak saja yang mendapat ganjaran” katanya.


Antara tuntutan yang dibuat Kongres 1 Mei lalu ialah mewujudkan kaedah perkhidmatan bersepadu guru lulusan diploma dan ijazah, menaikkan taraf struktur Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), kenaikan pangkat pegawai pendidikan lepasan diploma (PPLD), mewujudkan gred tambahan DGA40 untuk pengelola kanan dan guru besar serta penambahan staf sokongan.


Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd Sabri Arshad berkata, sudah tiba masanya profesion guru diberi pengiktirafan sewajarnya melalui syarat ini untuk memulihara kredibiliti perguruan.


Jumaat, Mei 28, 2010

KURANGNYA BUKU RUJUKAN KHB PERTANIAN DI PASARAN

Petang tadi selepas solat Jumaat kami tiga beranak pergi ke Johor Bahru atau lebih tepatnya ke Kompleks Membeli-belah Angsana. Tujuan utama kami ialah pergi ke kedai buku Badan Cemerlang dalam kompleks itu. Orang yang ramai pada masa itu membuatkan kami rasa hairan. Kami terlupa bahawa hari ini adalah cuti umum Hari Wesak.

Dalam kedai buku itu kami berpecah mengikut pencarian buku-buku kegemaran kitorang. Tercari-carilah saya buku-buku rujukan atau buku-buku soalan Kemahiran Hidup Bersepadu Pertanian. Saya ni kan guru KHB Pertanian. Dah puas saya tercari-cari tapi tak juga berjumpa buku itu. Akhirnya saya bertanya kepada pembantu kedai buku tersebut. Pembantu itu menyatakan yang buku KHB Pertanian tak berapa banyak diterbitkan. Banyak penerbit buku tak terbitkan buku rujukan KHB Pertanian. Kalau buku KHB yang lain (KHBKT, KHBERT dan KHBPK) memang banyak. Tambah pembantu itu, boleh dikatakan semua penerbit akan menerbitkan tiga buku itu kecuali buku KHB Pertanian. Buku rujukan KHB Pertanian tak berapa laku. Tak banyak sekolah menawarkan KHB Pertanian. Itu katanya.... dan itulah alasan konkrit penerbit. Keuntungan adalah matlamat utama peniaga.

Ohhh begitu....

Sebenarnya dah lama saya mendengar keluhan guru-guru KHB Pertanian dan guru-guru Sains Pertanian. Apabila berjumpa sesama sendiri sama ada semasa bermesyuarat atau berkursus, itulah keluhan yang didengar. Pelajar-pelajar KHB Pertanian dan Sains Pertanian adalah pelajar-pelajar di kelas hujung-hujung atau pun pelajar-pelajar All England dan All Denmark. Betul ke?

Di sekolah saya - SMK Telok Kerang, hanya menawarkan dua pilihan KHB iaitu ERT dan Pertanian. Sekolah kami ini kecil, pelajarnya hanya 700 orang. Pelajar Tingkatan 3 berjumlah lebihkurang 140 orang sahaja. Dalam PMR biasanya jumlah pelajar yang mendapat A KHB Pertanian mengatasi pelajar yang mendapat A ERT. Gabungan yang mendapat A dalam KHBERT dan KHBP biasanya berjumlah 50 orang (36%). Ini bermakna KHB Pertanian dapat memberi harapan kepada pelajar-pelajar untuk mendapat A. Ini bermakna juga pelajar-pelajar yang mengambil KHB Pertanian berkehendakkan kejayaan untuk mendapat A. Ini bermakna juga diorang akan berusaha mencari buku-buku rujukan yang berkaitan dengan KHB Pertanian.

Sebenarnya mata pelajaran KHB tak perlukan sangat akan buku-buku rujukan. Berkitabkan buku teks yang dibekalkan dah cukup untuk pelajar-pelajar dapat A. Dengan syarat mereka belajar....belajar....belajar.....dan buat kerja kursus dengan baik.

Apa yang saya perkatakan di sini hanyalah ketiadaan/kekurangan buku-buku rujukan KHB Pertanian di pasaran jika dibandingkan dengan tiga lagi pilihan KHB. Itu pun kerana saya tercari-cari buku tersebut. Sebenarnya dah lama saya tak pergi ke kedai buku. Jadi saya kurang tahu perkembangan penerbitan buku-buku dewasa ini... hehehehe.....

Sabtu, Mei 22, 2010

LESEN PERGURUAN UNTUK GURU

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
Utusan Malaysia 22 Mei 2010

KOTA BHARU 21 Mei - Kementerian Pelajaran akan mengkaji cadangan supaya setiap guru di negara ini perlu memiliki lesen perguruan yang dikeluarkan oleh sebuah badan profesional seperti yang perlu dimiliki oleh doktor atau peguam. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia merupakan salah satu kaedah bagi mengekalkan integriti guru di negara ini dalam memastikan orang ramai tidak hilang kepercayaan kepada golongan tersebut. Beliau bagaimanapun berkata, buat masa ini, jawatankuasa disiplin di kementerian sudah mencukupi untuk menjaga integriti tetapi pada masa sama cadangan itu masih perlu diberi perhatian serius.


"Isu integriti guru menjadi perhatian kementerian bagi memastikan profesion perguruan terpelihara
imej dan martabatnya, kalau integriti tercemar, akhirnya orang hilang kepercayaan kepada guru," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Ke-18 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Negeri Kelantan, Dali Hussin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa; Yang Dipertua PIBG SMK Kemumin, Mohd. Noor Abdullah dan Pengetua sekolah tersebut, Fauziah Mohamed.

Mohd. Puad mengulas laporan akhbar mengenai seorang guru lelaki yang didakwa mencabul lima murid perempuan berusia antara 11 hingga 12 tahun di sebuah sekolah rendah di Sibu, Sarawak ketika isterinya sedang menunggu waktu melahirkan anak sulung mereka. Difahamkan, kegiatan guru berusia 32 tahun itu bermula Mac lalu sebelum kejadian terbaru dilaporkan berlaku di kediamannya pada minggu lalu membabitkan seorang murid tahun enam yang juga adik iparnya.

Mohd. Puad berkata, langkah untuk mengeluarkan lesen perguruan itu telah diamalkan di beberapa buah negara seperti di Kanada dan Australia.

"Cadangan ini perlu dilihat dengan teliti kerana kita mempunyai guru yang ramai kira-kira 390,000 orang. Saya secara peribadi bersetuju dengan cadangan ini dan merasakan sudah sampai masanya kita melihat lesen perguruan secara serius seperti mana yang diamalkan oleh beberapa buah negara," katanya.

Sementara itu, beliau merasa amat dukacita dengan kejadian yang berlaku di Sarawak itu dan pihaknya sedang menunggu laporan siasatan polis sebelum tindakan lanjut diambil. Katanya, ia merupakan kes terpencil dan tidak mencerminkan keseluruhan sikap guru yang ada di negara ini.



Selasa, Mei 18, 2010

TAPAK BARU PROJEK FERTIGASI SMK TELOK KERANG

Pada pagi Jumaat 14 Mei 2010 pelajar-pelajar Tingkatan 5 Teknologi (Sains Pertanian) bersama Cikgu Hasan Kasmuri bergotong-royong membersihkan tapak baru projek fertigasi dan membuat baja kompos. Gotong-royong itu dilakukan semasa mata pelajaran Sains Pertanian.


Pelajar-pelajar dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama membantu Cikgu Hasan Kasmuri membersihkan kawasan tapak fertigasi, manakala satu kumpulan lagi mengumpulkan rumput di padang untuk dijadikan baja kompos.


Kerja-kerja menebang pokok kelapa dan membersihkan kawasan dilakukan selama 40 minit. Selepas selesai gotong-royong pelajar-pelajar menjamu selera dengan mi kari. Saya ucapkan terima kasih kepada pelajar-pelajar itu dan juga kepada orang rumah saya yang menyediakan mi kari.


Tapak baru projek fertigasi.

Pelajar-pelajar membersihkan kawasan.

Membuang batang kelapa ke tempat buangan sampah.

Selesai gotong-royong di tapak projek, bergotong-royong makan mi kari pula.

25 MURID SETIAP KELAS

Oleh Syuhada Choo Abdullah
Berita harian 18 Mei 2010

KUALA LUMPUR: Mengehadkan murid kepada hanya 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah adalah antara 40 cadangan mengatasi beban tugas guru yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran bagi mengkaji masalah berkenaan. Ia berdasarkan kajian ilmiah yang pernah dilaksanakan dengan mengambil kira model sekolah di negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia yang menunjukkan 25 pelajar bagi setiap kelas adalah jumlah yang ideal untuk membolehkan guru memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.

Menurut sumber, ia adalah antara 40 cadangan yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. Ketika ini, kebanyakan sekolah, terutama sekolah di bandar, mengalami masalah kepadatan kelas sehingga ada yang melebihi 40 murid, menyebabkan guru menanggung beban seperti kesukaran mengajar kerana tahap penguasaan belajar murid yang berbeza,

“Berdasarkan cadangan itu, kerajaan perlu memikirkan langkah mengatasi masalah kepadatan bilik darjah supaya mencapai jumlah ideal 25 pelajar, termasuk menambah bilangan kelas di sekolah. Jika dilaksanakan, kementerian juga perlu menambah guru. Bagaimanapun secara prinsip, persetujuan sudah dicapai dalam jawatankuasa itu supaya setiap cadangan disokong dengan fakta saintifik yang bernas bersama anggaran kos supaya dapat diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan,” katanya semalam.

Pada majlis pelancaran Sambutan Hari Guru 2010 Peringkat Kebangsaan Ke-39, kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat syor jawatankuasa khas itu yang boleh dilaksanakan segera untuk meringankan beban tugas guru. Beliau berkata, syor itu ialah mengurangkan bilangan jawatankuasa pada peringkat sekolah kepada jumlah lebih wajar, mengkaji semula bilangan peperiksaan dan ujian yang menjadi antara punca pertambahan beban tugas guru, menyusun semula tugas perkeranian di sekolah dan kursus yang perlu dihadiri oleh guru diselaraskan pada peringkat kementerian supaya tidak berlaku pertindihan.

Sumber itu berkata, 40 cadangan yang disenaraikan selepas beberapa siri mesyuarat adalah hasil penelitian mendalam dan semakan semula terhadap beberapa kajian utama yang pernah dijalankan mengenai beban tugas guru sebelum ini, termasuk Laporan Tan Sri Abdul Rahman Arshad pada 1997.

Selain itu, beliau berkata, sebahagian daripada saranan dicadangkan oleh pertubuhan perguruan yang turut menganggotai jawatankuasa berkenaan, di samping pemantauan dan hasil soal selidik dengan guru peringkat akar umbi. Katanya, satu lagi cadangan ialah kementerian mematuhi pekelilingnya dengan memastikan ada guru ganti bagi mengisi kekosongan untuk guru cuti bersalin atau berkursus bagi tempoh lama dan bukan dibebankan kepada guru lain. Cadangan lain ialah pengagihan tugas yang sama rata kepada semua guru di sekolah dan bukan hanya kepada kumpulan tertentu semata-mata berdasarkan ‘siapa boleh buat kerja.’

Jawatankuasa berkenaan juga mencadangkan supaya kementerian menambah dua lagi kerani di sekolah yang murid melebihi 500 orang dan pentadbiran sekolah diberi kebebasan menentukan pembabitan dalam program anjuran pihak luar tanpa dikenakan sebarang tindakan.

“Ketika ini, sekolah terpaksa akur jika ada arahan menyertai program anjuran pihak luar, walaupun kadang kala ia diadakan secara mengejut. Ini membebankan guru kerana pada masa sama mereka terpaksa menjalankan program lain yang sudah diatur terlebih dulu dalam takwim sekolah,” katanya.

Jumaat, Mei 14, 2010

TERIMA KASIH CIKGU

Oleh ROHANI IBRAHIM
Utusan Malaysia 14 Mei 2010




Guru-guru yang mengajar di pedalaman menaiki bot penambang ketika berbelanja di bandar dan pulang dari bercuti ke sekolah masing-masing di pedalaman Hulu Tembeling, Jerantut baru-baru ini.


GURU merupakan golongan yang memainkan peranan penting dalam masyarakat sejak zaman memperjuangkan kemerdekaan. Selepas negara mencapai kemerdekaan, peranan guru kekal penting seiring dengan pembangunan negara sehinggalah ke hari ini. Pengiktirafan kepada golongan pendidik, dapat dilihat menerusi peruntukan besar untuk sektor pelajaran negara dalam bajet yang diumumkan pada setiap tahun.

Kerajaan sentiasa memberikan perhatian kepada kebajikan golongan guru seperti kenaikan gaji serta pangkat, isu mengajar di pedalaman dan yang terbaru penubuhan jawatankuasa untuk mengkaji beban tugas guru yang kini di peringkat akhir. Namun, suara warga pendidik yang tidak berpuas hati masih tetap kedengaran. Rasa tidak puas hati golongan ini dapat diketahui melalui surat yang dihantar kepada ruangan Forum Utusan Malaysia atau kenyataan yang dikeluarkan kesatuan guru. Rungutan yang sering dibangkitkan oleh golongan guru ini pernah juga ditegur oleh pihak lain supaya bersyukur dengan jawatan dan faedah yang diberikan.

Itu antara senario profesion perguruan negara, warga pendidik sering membangkitkan masalah sementara golongan ibu bapa mahukan anak-anak mereka menerima pendidikan berkualiti di sekolah.

Pada 16 Mei ini, negara menyambut Hari Guru bagi menghargai peranan golongan ini dalam pembangunan negara. Tema bagi sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah 'Guru Pembina Negara Bangsa. Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada 16 Mei 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran negara. Dokumen yang dikenali sebagai Laporan Razak itu kemudiannya menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan.

Sejak 16 Mei 1972, Hari Guru disambut di seluruh negara sebagai penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion perguruan. Sambutan berkenaan juga bertujuan mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berjasa kepada bangsa dan negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tugas dan tanggungjawab sebagai seorang guru merupakan satu tugas yang mulia.

''Saya mengucapkan 'Terima Kasih Cikgu' di atas segala usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab dan memikul amanah rakyat. Saya amat memahami bahawa tugas mendidik merupakan satu tugas yang berat dan mencabar. Jasa dan pengorbanan para guru akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat," katanya dalam perutusan Hari Guru 2010 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran baru-baru ini.

Jelas Muhyiddin, warga pendidik tidak harus berpuas hati dengan apa yang telah dicapai tetapi perlu meningkatkan usaha untuk melonjakkan sistem pendidikan negara supaya setanding dengan negara maju dan bertaraf dunia.

''Guru-guru perlu memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan kejayaan murid. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membentuk akhlak dan jatidiri murid," katanya.

Tambah beliau, guru-guru perlu berupaya mewujudkan ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan inovatif supaya budaya inovasi dan kreativiti dapat dipupuk dalam diri murid-murid.

''Guru-guru perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan sebagai seorang guru untuk membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang bermutu setiap masa. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh masyarakat. Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya terus dihormati dan menjadi model kepada masyarakat. Kerajaan akan terus memartabatkan profesion keguruan melalui Pelan Penambahbaikan Sekolah dan insentif di bawah Sistem Tawaran Baru kepada kepimpinan sekolah dan guru-guru," jelas Muhyiddin.

Sementara Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom pula menyarankan supaya, golongan pendidik melakukan muhasabah diri sempena sambutan Hari Guru yang ke-39 pada tahun ini.

''Saya berharap warga pendidik dapat melihat kembali sumbangan yang diberikan kepada negara dan mengukuhkan azam untuk meningkatkan prestasi. Semangat ini perlu dimiliki oleh para guru supaya pendidikan negara mampu menjadi lebih cemerlang dalam memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju," katanya.

Alimuddin berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010 di Kementerian Pelajaran, Putrajaya baru-baru ini. Jelas beliau, sumbangan para guru pada hari ini adalah sangat bermakna kepada pembangunan negara tidak kiralah di mana seseorang guru itu bertugas sama ada di sekolah-sekolah bandar mahupun di kawasan pedalaman.

''Guru diperlukan di mana-mana tidak kira di pedalaman atau luar bandar. Ini kerana pendidikan adalah untuk semua pelajar di seluruh negara. Walau di mana pun seorang guru itu bertugas mereka perlu memberikan khidmat pendidikan yang berkualiti dan yang terbaik kepada pelajarnya," katanya.

Semoga sambutan Hari Guru pada tahun ini mampu menyuntik semangat kepada warga pendidik untuk lebih komited dalam melahirkan modal insan cemerlang dan menyemai sifat positif kepada bakal pemimpin negara tanpa mengira tempat dan cabaran yang perlu diharungi.

Rabu, Mei 12, 2010

BIARLAH KEHADIRAN ANDA DIRASAI!

Oleh WAHID HASHIM
Utusan Malaysia 10 Mei 2010

HARI guru pada tahun ini disambut dalam suasana yang cukup berhemah. Sambutan besar-besaran di peringkat sekolah mungkin tidak perlu - tetapi ia tetap perlu diadakan juga. Masih ada murid yang mahu meraikan dan menghargai jasa anda. Sekurang-kurangnya anda perlu membuat sesuatu supaya kewujudan dan kerja anda dirasai.

Al-Mukadimah, banyak cabaran yang menanti guru bagi yang mengikuti perkembangan pendidikan semasa. Harapan yang diletakkan di bahu guru bukan sahaja daripada kelompok pelanggan iaitu ibu bapa, tetapi juga pembuat dasar, iaitu kerajaan. Bagi yang telah memenuhi tuntutan Bai'ah, anda bolehlah tersenyum pada Hari Guru ini.

Maka, pada Hari Guru tahun ini, apa sahaja pengumuman - sama ada ia tokok tambah kepada gaji atau imbuhan lain - maka ia perlu disusuli dengan rasa insaf bahawa tanggungjawab mendatang bukan kepalang beratnya. Guru di bandar, pedalaman, di kampung atau di sektor-sektor khas lain perlulah dapat merasai bahawa Hari Guru 2010 ialah titik tolak kepada perubahan yang bakal mereka galas.

Perlu juga dibangkitkan di sini, kepada lebih 100 guru pedalaman yang telah diberi tunjuk sebab kerana ponteng dan pelbagai masalah lain, anda fikirlah sendiri. Jawablah surat tersebut kalau masih berstamina menjadi guru. Yang mereka perlu sedar juga ialah tindak tanduk dan output kerja mereka kini diperhatikan secara kuantitatif dan kualitatif. Hal ini senang sahaja dilaksanakan kerana di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) pendidikan yang menjadi dasar Program Transformasi Kerajaan (GTP), maka KPI keberhasilan dan KPI tindakan akan menjadi petunjuk kepada pencapaian kuantitatif dan kualitatif masing-masing. Rakyatlah yang memerhatikan KPI kita kelak. Sedarlah wahai guru, bahawa ibu bapa pada hari ini sudah pintar dan malah ada yang cukup arif tentang makna dan rubrik penilaian KPI. Mungkin selepas ini laporan kertas kerja berkajang-kajang kepada ketua jabatan terhadap apa yang kita buat tidak penting lagi, tetapi produk yang akan menentukan cara dan hala tuju kita.

Jadi, berhenti daripada terus cuba bermain dengan sentimen simpati terhadap diri sendiri, sebaliknya bekerja keraslah di bawah bidang tugasan di mana kita diletakkan. Kalau kita benar-benar mengakui apa yang kita lakukan demi the national duty, maka nawaitu kita selepas ini akan dipamerkan melalui keputusan atau output kerja masing-masing.

Kita bukanlah hebat sangat sehingga boleh diletakkan sebagai yang terbaik di dunia. Malah di peringkat Asia pun bukan. Indeks pencapaian pendidikan kita secara umumnya pun makin merosot (lihat laporan TIMMS dua tiga tahun kebelakangan ini) berbanding negara kecil Singapura dan Hong Kong. Nampaknya, semakin banyak dasar baru yang diperkenalkan, kesannya ialah antagonis. Apa sudah berlaku dan di mana ketirisan berlaku? Tepuk dada, tanyalah selera.

Dunia mungkin telah berubah, dan kita juga sebenarnya mesti berubah. Pelbagai mekanisme dan enjin diperkenalkan dalam sistem kita. Kita ialah pengamal carrot and stick yang handal. Terlalu banyak carrot menyebabkan kita karat. Pelbagai usaha dilakukan. Paling terbaru, Kementerian Pelajaran Malaysia mahu membantu sekolah dengan memperkenalkan apa yang disifatkan sebagai Program Peningkatan Prestasi Sekolah (PPPS). Program ini begitu cantik tetapi sejauh mana ia akan tercapai terletak di tangan guru. Satu hal lagi ialah sejauh mana guru mahu membuka pintu dan pemikirannya terhadap perubahan yang hendak dibawa oleh PPPS.

Sekolah akan menerima lagi pelbagai bentuk sokongan dan bantuan di bawah PPPS. Program berbentuk bottom-up ini akan berfokus terus ke sekolah, dengan menolak terus konsep one size fits all. Begitu juga terdapat cadangan supaya guru diberikan sijil profesional. Lesen ini perlu diperbaharui melalui pemantauan dan program tertentu yang mereka perlu ikuti dari semasa ke semasa.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 usaha besar-besaran akan dilakukan untuk mensiswazahkan hampir 100,000 guru yang masih belum memegang ijazah. Jumlah itu besar berbanding jumlah guru pada hari ini yang berjumlah 4000,000 orang.

Bagi pihak Utusan Malaysia, kami mengucapkan selamat Hari Guru 2010, semoga kita semua berada dalam sihat sejahtera dan mendapat keberkatan Allah dalam setiap tindak tanduk kita. Sebagai penganjur bersama festival Hari Guru, Utusan Malaysia menjemput semua guru dari seluruh negara ke Festival Hari Guru di East Coast Mall Kuantan bermula 13 hingga 16 Mei. Banyak ilmu menanti anda.

Kira raikan Hari Guru 2010.

Ahad, Mei 09, 2010

SELAMAT MENYAMBUT HARI IBU - SYURGA DI BAWAH TELAPAK KAKI IBU

MOHD SHAUKI ABD MAJID
Pengurus Penyelidikan Yadim
Utusan Malaysia 7 April 2010

SELAMAT MENYAMBUT HARI IBU


MASYARAKAT dunia menyambut Hari Ibu pada setiap Ahad kedua dalam bulan Mei, setiap tahun. Tahun ini, sambutan Hari Ibu jatuh pada 9 Mei. Ibu adalah wanita yang dimuliakan oleh Allah SWT sebagaimana yang tercatat dalam kitab suci al-Quran.

Berdasarkan sebuah hadis, umat manusia percaya, syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. Amat besar dosa derhaka terhadap ibu. Bahkan dikatakan darjat ibu tiga kali ganda dibandingkan ayah dalam hal penghormatan anak kepada kedua orang tuanya.

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah: "Saya ingin berjihad (berjuang) menegakkan agama Allah." Rasulullah bertanya: "Apakah ibumu masih hidup?" Orang itu menjawab, ya. Rasulullah SAW bersabda. "Tetaplah engkau berada dekat di kaki ibumu itu, di sanalah syurga berada." (Riwayat At-Thabrani)

Apa yang sangat membanggakan manusia bahawa Allah SWT telah menceritakan kisah ibu dalam kitab suci al-Quran, dengan cara yang amat menyenangkan sekali. Allah SWT berfirman:Maksudnya: "Maka Kami kembalikannya (Musa) ke pangkuan ibunya supaya menyenangkan hatinya dan tidak berduka." (Surah al-Qasasb : 13)

Alangkah besarnya rahmat Allah SWT terhadap ibu. Dengan menjadi pengasuh dan menyusukan anak raja (Musa) itu, ibu Musa sekeluarga telah dihormati oleh seluruh penduduk Mesir. Pengorbanan ibu tidak dapat diukur dan dibandingkan dengan apa jua pun. Ia melebihi daripada segala pengorbanan.

Ada satu kisah dan iktibar yang dipetik dari sebuah hadis Riwayat al-Bukhari iaitu kisah Juraij bersama ibunya yang menunjukkan betapa ampuhnya doa seorang ibu yang dekat dengan Allah SWT, doanya dikabulkan segera.

Atas dasar hadis-hadis itulah, umat Islam menyedari bahawa darjat ibu lebih tinggi daripada ayah dalam memperoleh pengabdian anak kepada diri masing-masing. Tidak diragukan bahawa ibu secara alamiah memiliki peranan yang cukup strategik dalam mendidik anak sejak kecil sehinggalah dewasa.

Syariat Sa'i di antara bukit Safa dan Marwah dalam ibadat haji dan umrah adalah memperingati peristiwa yang berlaku kepada Siti Hajar (bonda Nabi Ismail) yang mana Siti Hajar penuh sabar dan tabah mencari air untuk menghilangkan dahaga anaknya. Pengorbanan itu adalah bukti yang nyata bahawa Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang telah memberi penghargaan yang abadi kepada golongan ibu dengan disyariatkan peristiwa itu dalam salah satu Rukun Islam yang kelima.

Justeru itu, kita diperintahkan untuk memohon rahmat Ilahi yang tidak bertepi itu kepada kedua ibu bapa kita. Adalah wajar, kita memohon untuk kedua-duanya agar memperoleh lebih banyak daripada apa yang kita peroleh, membalas budi mereka melebihi budi mereka kepada kita. Bukankah kita diperintahkan untuk melakukan ihsan terhadap mereka berdua.

Nyata dan jelas sebabnya mengapa Islam memberi penghormatan itu kepada wanita yang dipanggil ibu. Ia tidak lain kerana kedudukannya yang penting dan peranannya dalam setiap kehidupan manusia adalah amat besar. Wanita itulah yang menjadi sumber alam yang pertama bagi permulaan sesuatu kehidupan manusia setelah mereka keluar dari alam zuriat.

Ibnu Batutta menyatakan seseorang ibu berhak menerima kebaikan daripada anaknya kerana susah payah yang dialaminya sendirian ketika hamil, bersalin dan ketika menyusukannya. Manakala bapa berhak menerima kebaikan daripada anaknya kerana kerjasamanya dengan ibu dalam memberi nafkah dan mendidik anak-anak.

Al-Qurtubi, seorang pakar tafsir menunjukkan bahawa ibu adalah orang yang paling berhak menerima kebaikan yang berupa kasih sayang dan penghormatan daripada anak-anaknya iaitu sebanyak tiga kali ganda jika dibandingkan dengan kebaikan yang berupa kasih sayang dan penghargaan yang berhak diterima oleh seorang bapa daripada anak-anaknya. Al-Qurtubi juga menyatakan, jika berlaku pertembungan keperluan antara bapa dan ibu dalam mendapat khidmat anak-anaknya, maka ibulah yang lebih berhak diutamakan.

Namun begitu, ibu tidak akan dapat menikmati kebaikan, kasih sayang dan penghargaan daripada anaknya, sekiranya dia gagal mendidik dan membimbing anak-anak dengan sempurna mengikut lunas-lunas yang dikehendaki oleh syarak. Menghormati ibu, mentaati, sedia berkhidmat kepadanya, tidak mengingkari perintahnya kecuali pada perkara yang bertentangan dengan syarak, adalah menjadi sebab seseorang itu dapat masuk ke syurga.



Selasa, Mei 04, 2010

TEORI MAKHLUK ASING

Hazirah Che Sabzeehan
Berita Minggu 2 Mei 2010



Saintis kemuka alasan dakwa makhluk asing wujud, ganasPERBAHASAN benar atau tidak kewujudan Objek Terbang Tidak Dikenali (UFO), makhluk asing dan segala misteri berkaitan kejadian itu yang sebelum ini di tahap suam-suam kuku kembali panas dengan pengakuan pakar fizik terkemuka dunia, Stephen Hawking, bahawa makhluk asing itu berkemungkinan wujud.

Mengiringi pengakuan yang mengejutkan itu ialah amaran Hawking supaya manusia seharusnya mengelak daripada kemungkinan bertembung dengan makhluk asing yang dikatakan menghuni planet lain di angkasa. Ini kerana, pertembungan sedemikian hanya mengundang padah. Malah, saintis yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya berkerusi roda itu dan pakar matematik, turut menyamakan kesan pertembungan itu dengan apa yang berlaku apabila Christopher Columbus menjejakkan kaki di tanah Amerika Syarikat yang kehadirannya tidak menyenangkan penduduk pribumi.

“Jika makhluk asing melawat kita, hasilnya sama ketika Columbus mendarat di Amerika, yang tidak disenangi golongan pribumi. Kita perlu meneliti diri sendiri untuk melihat bagaimana kehidupan lebih pintar mungkin berkembang menjadi sesuatu yang kita tidak mahu temui. Makhluk asing maju seperti itu mungkin menjadi nomad, mencari jajahan dan takluk apa saja planet yang boleh mereka sampai,” kata Hawking kepada rangkaian Discovery Channel. Temu bual itu bagi siri ‘Into the Universe with Stephen Hawking’ disiarkan Discovery Channel di Amerika Syarikat pada Ahad lalu. Bagi mempertahankan dakwaannya itu, Hawking turut mengaitkannya dengan teori matematiknya.

“Mengikut teori itu, bilangan angka atau nombor saja sudah cukup menjadikan pemikiran mengenai makhluk asing itu sesuatu yang rasional. Namun, cabaran sebenar ialah apa sebenarnya makhluk asing itu,” katanya yang menyifatkan konsep kewujudan kehidupan asing di tempat lain di alam semesta ini boleh diterima.

Kenyataan Hawking itu, bagaimanapun mengundang reaksi berbeza dengan sebahagian saintis menyangkal pandangan itu secara terbuka, mengkritik ramalan pesimis itu mengenai pertembungan dengan makhluk asing.

Sementara beberapa penyelidik lain berdiri teguh di belakangnya, malah memberikan ramalan hampir sama. Pakar fizik Universiti Manchester, Britain, Profesor Brian Cox, yang menyifatkan bukti bahawa kemungkinan wujudnya hidupan di Planet Marikh semakin nyata.

“Kita cuma akan pasti apabila kapal angkasa baru dilancarkan ke bulan Zuhal dan Marikh dalam dekad akan datang,” katanya.

Hakikatnya, usaha menjejaki makhluk asing dan UFO ini dibuat sejak beberapa dekad lalu. Malah pelbagai cara dilakukan bagi menjejaki asal usul, bentuk, komunikasi dan tamadun yang mungkin wujud itu, termasuk menerusi gelombang radio. Banyak sudah rakaman dan cakera yang turut diletakkan di angkasa lepas selain teleskop radio yang menghantar pelbagai kod misteri. Saintis organisasi seperti Search For Extra-Terrestrial Intelligence atau SETI, pula berharap hubungan dapat dimulakan dalam masa terdekat. Malah salah satu projek SETI pada 1977, mencatat kejayaan penyelidik Universiti Ohio, Dr Jerry R Ehman, mengesan isyarat 72 saat dalam bentuk kod himpunan angka dan abjad yang dikatakan berasal dari sumber makhluk asing.

Pengarah dokumentari dan filem kreatif, Jose Escamilla, yang menyertai barisan saksi UFO paling terkenal berikutan siri video yang dirakamkan daripada tahun 1994 hingga 1998, percaya tidak ramai makhluk asing yang suka bertindak ganas.

“Berdasarkan pengalaman sendiri merakamkan UFO di siang hari di Roswell, saya boleh nyatakan dengan jelas bahawa seperti juga banyak jenis manusia di kalangan kita, kemungkinan juga sudah ada banyak jenis makhluk asing di kalangan kita. Tiada alasan untuk berasakan yang kita belum dilawati atau mereka tidak membuat hubungan dengan kita. Seperti manusia juga, ada yang jahat, begitu juga dengan makhluk asing. Tiada bezanya,” kata Escamilla.

Namun, pakar fizik juga mahir dalam soal UFO, Dr Steven Greer, mempertikaikan kenyataan Hawking yang dianggapnya menambah kebimbangan dan takut terhadap apa yang digelar makhluk asing.

“Sebagai saintis, dia sepatutnya lebih tahu. Jika makhluk asing berniat jahat, ia sudah jelas sejak kita meletupkan bom atom pertama pada tahun 1945 tetapi sehingga hari ini, bumi belum pernah diceroboh, diserang atau dijajah,” katanya.

Persoalannya, apakah ada rasional di sebalik pandangan negatif Hawking bahawa makhluk asing ini memberi ancaman dan lebih maju daripada peradaban manusia hari ini? Pengurus laman web Cosmic Conspiracies, Dave Cosnette, yang melabelkan laman itu sebagai Pangkalan Data UFO Terbesar Eropah, mendakwa ia mencatatkan penemuan dan analisis perspektif kepada bukti pertembungan makhluk asing di seluruh dunia.


“Saya sependapat Hawking bahawa makhluk asing mungkin spesis yang memberi ancaman dan mungkin lebih maju daripada kita. Malah dalam banyak keadaan, manusia yang berhubungan dengan makhluk asing dicederakan. Saya teringat satu kes di Brazil yang mana seorang mangsa dibunuh dengan kejam, kulitnya dilapah dan beberapa bahagian tubuhnya dikeluarkan menggunakan laser,” katanya.

Cosnette juga berpendapat, kepelbagaian kehidupan makhluk asing mungkin sudah cukup untuk mereka mewujudkan pelbagai jenis personaliti.

“Dalam kajian setakat ini, saya menyiasat lebih 60 spesis makhluk asing berbeza. Ia cuma sedikit dan sukar dibayangkan kebanyakannya lebih sukakan permusuhan di bumi,” katanya.

Sejarawan di Universiti Temple, David M Jacobs, yang dikenali sebagai pakar UFO paling unggul di dunia turut bersetuju sepenuhnya dengan Hawking.

“Berhubung dengan makhluk asing tidak digalakkan dan perlu dielakkan sama sekali. Semua yang saya lihat sepanjang karier saya membuatkan saya berani merumuskan pertembungan manusia dengan makhluk asing boleh membawa bencana kepada kita semua,” katanya.

Jacobs berkata, penilaian negatif mengenai hubungan manusia dan makhluk asing berdasarkan penyelidikannya mengenai beratus-ratus kisah penculikan.

“Saya sebenarnya berterima kasih kerana Hawkings mengembalikan semula minat dan perhatian kepada subjek itu dan tiada apa yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan pertembungan dengan makhluk asing selagi komuniti saintifik berasakan ia mengarut,” katanya.

'Roswell bukti kewujudan'Berbicara mengenai kisah makhluk asing dan UFO, tidak sah rasanya tanpa mengaitkan kejadian di Roswell, New Mexico, pada Julai 1947. Kemalangan membabitkan sebuah UFO tetapi tidak ramai mengetahui maklumat terperinci mengenainya biarpun ia menjadi bukti kukuh kepada pemburu UFO untuk meyakinkan dunia makhluk asing memang wujud. Dalam kejadian itu, W W Brazel, keluar awal untuk memeriksa ternakannya selepas semalaman dilanda ribut petir. Dia menemui banyak serpihan luar biasa berselerak di ladangnya. Brazel mengambil sebahagian serpihan itu, menunjukkan ia kepada rakan-rakan dan jirannya. Seterusnya dia menghubungi pegawai polis George Wilcox. Mengesyaki serpihan yang ditemui Brazel mungkin mempunyai kaitan dengan operasi polis, Wilcox memberitahu pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tentera Roswell untuk mendapatkan bantuan.

Pada 8 Julai, akhbar Roswell Daily Record menyiarkan berita mengenai bangkai UFO yang ditemui di sebuah ladang di kawasan berkenaan. Apabila ditanya, Mejar Jesse Marcel, yang terbabit dalam penemuan itu memberitahu bangkai itu sudah dipindahkan dari New Mexico ke ibu pejabat. Komander ke-59 Unit Bom, Kolonel William Blanchard, membuat kenyataan akhbar menyatakan bangkai UFO yang terhempas itu sudah ditemui. Sementara itu, Pusat Pengebumian Ballard mempunyai kontrak menyediakan ambulans dan khidmat pengebumian untuk tentera di Roswell. Glenn Dennis, yang bekerja dengan pusat itu, menerima beberapa panggilan telefon daripada pegawainya sejurus sebelum mengetahui berita penemuan bangkai pesawat.


Dennis ditanya mengenai keranda kecil dan cadangannya untuk mengawet mayat yang sudah terdedah selama beberapa hari. Semua itu menimbulkan tanda tanya kepada Dennis yang kemudian melawat hospital dan diiringi memasuki bangunan itu. Persoalan itu mendorongnya mengatur pertemuan dengan seorang jururawat yang ada ketika bedah siasat diadakan ke atas beberapa ‘mayat bukan manusia.’ Dennis turut menyimpan lakaran makhluk asing dilukis jururawat berkenaan di atas kain pengalas ketika pertemuan mereka. Pertemuan itu adalah yang terakhir bagi kedua-duanya dan Dennis untuk mengetahui lebih banyak maklumat mengenai mayat makhluk asing itu manakala jururawat berkenaan dipindahkan segera ke England dalam masa beberapa hari.

Pada 9 Julai, Roswell Daily Record melaporkan bangkai pesawat itu ditemui di Ladang J B Foster. Beberapa hari berikutnya, semua bukti kemalangan itu dipindahkan segera atau tiba-tiba hilang dari muka bumi yang mencetuskan curiga bahawa ia rahsia kerajaan yang berusaha menyembunyikannya. Beberapa tahun selepas itu, buku, temubual dan artikel daripada beberapa kakitangan tentera, yang terbabit dalam insiden berkenaan, cuma menambah kecurigaan mengenai usaha kerajaan itu. Pada tahun 1979, Jesse Marcel yang ditemubual mengenai peranannya dalam pencarian bangkai pesawat, berkata: “Bangkai (UFO) itu tidak terbakar. Ia diperbuat daripada bahan yang ringan, amat nipis dan tidak boleh bengkok. Kami cuba membengkokkan ia dengan penukul tetapi gagal.”

INFO: UFO dan makhluk asing

  • Objek terbang yang tidak dikenali berlaku hampir di seluruh dunia. Saksi yang melihatnya mengenal pasti objek itu berupa piring terbang dan kapal angkasa dengan pelbagai reka bentuk, malah ada yang mendakwa terserempak dengan makhluk asing.
  • Ada pihak berpendapat sebahagian besar kejadian UFO adalah satu imaginasi seperti diakui pakar Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) yang menghentikan penyelidikan pada 1993 kerana menganggap 90 peratus kejadian UFO tidak benar.
  • Pada 2008, NASA memainkan lagu Beatles, ‘Across the Universe’ ke ruang angkasa lepas bagi menghantar mesej damai kepada mana-mana makhluk asing yang berada di wilayah Polaris, juga dikenali sebagai North Star.
  • Amerika mendapati Pioneer 10 dan 11 yang dilancarkan pada 1972 dan 1973 membawa plak seorang lelaki berbogel dan wanita serta simbol mengenai kedudukan bumi dan matahari.