Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Khamis, September 18, 2014

KOTA LAMA DUYUNG

Semasa jalan-jalan di Kuala Terengganu, kitorang singgah sebentar di Kota lama Pulau Duyung. Kota Lama Duyong berada ditengah-tengah kawasan perkampungan nelayan di Pulau Duyong dan mudah untuk dijumpai kerana ianya merupakan satu-satunya bangunan yang unik di sini. Semasa kami singgah ke sini, keadaan sekeliling kota ini sunyi sepi. Hanya kami yang datang melawat. Petugas yang bertugas di sini pun tiada pada masa itu. 

Pulau Duyong merupakan sebuah pulau di muara Sungai Terengganu. Dahulunya, ia terbahagi kepada Pulau Duyong Besar dan Pulau Duyong Kecil, tetapi pemendapan dan longgokan pasir telah menyatukannya dan juga merubah garis pantainya. Suatu kawasan pendapan baru telah dimajukan menjadi Resort Teluk Warisan yang menjadi tuan rumah kepada lumba kapal layar tahunan Piala Monsun.

Daripada carian sejarah Pulau Duyong, pulau ini  dahulunya menjadi penginapan ulama terkenal Tok Syeikh Duyong (1802-1889), yang disegani istana dan rakya. Almarhum dan keturunannya serta kota ini merupakan tempat pengajian agama. Oleh kerana bentuk geografinya dan keertian lokasinya dalam keilmuan agama, Pulau Duyong pernah dirujuk sebagai 'lidah Terengganu'.

Daripada tulisan tugu tanda Kota Lama Duyong ini mencatatkan :

Kota Lama Duyong terletak di Pulau Duyong kira-kira tujuh kilometer dari Pusat Bandar. Kota Duyong mempunyai 9 buah bumbung yang menutupi beberapa bahagian yang bersambungan dengan dapur, bilik mandi, sarung, beranda dan titian. Reka bentuknya mirip Istana Kecil Raja Melayu tetapi diperkayakan lagi dengan memasukkan unsur-unsur pengaruh seni bina asing seperti Corinthian atau Mesir terutama pada tiang dan dinding batu. Bangunan (rumah) ini memperlihatkan jenis rumah tradisional Melayu Terengganu iaitu Bujang Berepeleh, Lima Bungkus dan Potong Belanda dengan dihias ukiran sobek di sekeliling beranda.”