Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Sabtu, Februari 27, 2010

KENANGAN DI BUKIT TINGGI, SUMATERA BARAT, INDONESIA


Sesiapa yang pernah pergi ke Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia tentunya mengkagumi keindahan alam dan landskap semula jadi buminya. Bukit Tinggi yang dingin seperti Cameron Highland sering dikunjungi pelancong-pelancong dari Malaysia. Permukaan bumi yang berbukit-bukau dan dihiasi dengan sawah padi sama ada di dataran atau yang berteres sememangnya menyajikan panorama yang cantik sekali. Bukit Tinggi yang terkenal sebagai kota pelancongan (wisata) berhawa sejuk, dan berkembar (sister city) dengan Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia.

Saya pergi ke Bukit Tinggi melalui jalan laut menaiki feri dari Jeti Antarabangsa Kukup menuju ke Tanjung Balai, Pulau Karimun. Transit di Tanjung Balai dan bertukar feri lalu menuju ke Dumai. Dari Tanjung Balai ke Dumai merupakan satu perjalanan yang jauh dengan menaiki feri. Feri melalui dan singgah untuk menurun dan mengambil penumpang di beberapa buah pulau sepanjang perjalanan itu. Dari Dumai saya terus menuju ke Bukit Tinggi dengan menaiki bas pelancong. Di pertengahan jalan singgah makan nasi (Tentunya nasi padang dimana meja penuh dengan lauk-pauk. Kita bayar lauk yang kita makan). Di hentian ini saya lihat orang makan nanas di waktu malam. Saya juga turut sama meniru diorang. Rupa-rupanya di sini rasanya amat manis. Saya sampai di Bukit Tinggi pada waktu tengah malam.

Mengapa saya memilih Bukit Tinggi? Selain daripada untuk menikmati landskap indah anugerah Allah SWT dan budaya Minangkabau yang unik, saya memang suka dengan lagu 'Ayam Den Lapeh'. Saya rasa rakyat Malaysia pernah mendengar dan menyanyikan lagu itu.

Ayam Den Lapeh

Luruihlah jalan Payakumbuah
Babelok jalan Kayu Jati
Dima ati indak karusuah
Ayam den lapeh ai ai… ayam den lapeh

Mandaki jalan Pandaisikek
Basimpang jalan ka Biaro
Di ma ati indak kamaupek
Awak takicuah ai ai… ayam den lapeh

Sikucapang sikucapeh
Saikua tabang saikua lapeh
Tabanglah juo nan karimbo
Oilah malang juo

Pagaruyung Batusangka
Tampek bajalan urang baso
Duduak tamanuang tiok sabanta
Oi takana juo ai ai… ayam den lapeh

Dalam kunjungan saya itu, saya melawat beberapa tempat yang saya kira menarik termasuklah melalui beberapa tempat seperti hutan kayu jati, Pagaruyung, Batusangkar dan Payakumbuh (seperti yang disebut dalam lagu 'Ayam Den Lapeh'). Saya juga telah bertemu dengan pelancong-pelancong Malaysia yang membeli-belah di Bukit Tinggi. Antara tempat-tempat yang saya lawati ialah:


  • Sianok Canyon (Ngarai Sianok)
  • Lobang Jepang (Japanese Caves)
  • Jam Gadang
  • Pasar Atas and Pasar Bawah
  • Taman Bundo Kanduang
  • Istana Pagaruyung.
  • Rumah Gadang.
  • Tasik Maninjau
  • Lain-lain tempat yang menarik termasuk melihat puncak Gunung Merapi yang masih aktif, melihat kehidupan penduduk kampung bersawah, memproses biji kopi, membuat dodol betik, kawasan hutan pokok jati, penanaman pokok cengkih dan penanaman sayur-sayuran (sayur-sayuran tumbuh subur di kawasan Bukit Tinggi).

(Oleh kerana kesilapan teknikal, foto-foto yang saya ambil sebagai kenangan, tak ada dalam simpanan. Hanya inilah sahaja yang ada....)



Di Ngarai Sianok.


Di Lobang Jepang.
Di Istana Pagaruyung.


Bersama cikgu saya iaitu Cikgu Mansor Ibrahim di Istama Pagaruyung.

Khamis, Februari 18, 2010

KENANGAN DI WILDERNESS CAMP PULAU TUBA, LANGKAWI

Kenangan dulu-dulu. Pada 2007 saya mengiringi pelajar-pelajar untuk menjalani program perkhemahan di Wilderness Camp di Pulau Tuba, Langkawi. Perkemahan ini dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Perkhemahan selama 5 hari itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti lasak.

Sebelum program dijalankan, pelajar-pelajar yang datang dari seluruh Malaysia di bahagikan kepada beberapa kumpulan. Peserta yang terdiri pelajar-pelajar lelaki dan perempuan dan berbagai bangsa di bawah kelolaan dua orang jurulatih dan dua orang guru pengiring menjalani latihan siang dan malam di kem-kem yang telah ditetapkan. Saya ditugaskan mengiringi Kumpulan Sirius bersama Cikgu Sri dari Melaka. Pelajar-pelajar dalam Kumpulan Sirius datangnya dari Johor, Melaka, Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sabah.

Pada hari pertama apabila pelajar-pelajar berkenalan dengan jurulatih, kelihatannya mereka tidak selesa, muka masing-masing tegang, susah nak tersenyum dan kurang mahu bercakap. Lama-kelamaan apabila dah menjalani separuh daripada program barulah suasana dalam kumpulan menjadi ceria dengan berbagai cerita, telatah dan karenah yang menghiburkan. Mereka dilatih untuk berdisiplin, menepati masa, bekerjasama, peningkatan motivasi diri, saling bantu-membantu dan menghormati diri sendiri dan orang lain. Di antara perkara-perkara yang ditunjukajar kepada peserta-peserta ini ialah ilmu perkhemahan, ilmu memasak, ilmu membaca peta dan kompas, ilmu pelayaran, ilmu kepentingan kebersihan diri, peralatan dan kawasan, ilmu mengendalikan kayak dan ilmu ikhtiar hidup.

"Hanya pelajar yang manja sahaja yang tak mahu menyertai program ini", kata beberapa peserta perkhemahan tersebut. Itulah kata-kata yang saya dengar di akhir perkhemahan.

Pada hari perpisahan ramai di antara mereka yang menitiskan air mata berpisah dengan jurulatih, rakan-rakan dan guru-guru. Di kesempatan ini saya ucapkan terima kasih kepada jurulatih Abang Lan dan Abang Man.




Isnin, Februari 15, 2010

GERBANG LAMAN

Oleh Rohaniza Idris
Berita Minggu


JUNJUNG taman adalah cara yang mudah menaikkan seri laman di samping menutup dinding yang kotor atau memberikan wajah baru di kediaman. Selain itu, junjung juga menampakkan laman kediaman lebih tinggi kerana ia menjadi tempat pokok berpaut. Junjung juga sesuai menjadi pemisah atau sempadan ruang laman dapur dengan laman hadapan.

Tidak kiralah sama ada menggunakan keluli, kayu atau plastik, junjung taman dapat menjadi titik tumpu laman tambahan pula jika ia dibina seperti pintu gerbang. Junjung sudah pastinya sesuai untuk tanaman memanjat seperti sirih, timun, tomato, labu, peria, petola, kembang pagi, kesidang (kerak nasi), pokok duit-duit, bunga kertas, bunga ros, bunga ketup-ketup dan akar dani. Namun sejak kebelakangan ini, ramai peminat seni hias laman memilih pokok anggur kerana ia tampak unik dan menarik bila menjalar di atas junjung.

Berikut adalah beberapa langkah sesuai membina junjung di laman kediaman:
  • Langkah 1 - Pilih lokasi yang sesuai untuk meletakkan junjung, pastikan kawasan berkenaan terdedah kepada cahaya matahari yang diperlukan pokok memanjat. Pacak junjung di atas tanah atau dalam pasu atau bekas tanaman bergantung kepada kesesuaian.
  • Langkah 2 - Pastikan junjung yang dibina kukuh. Jika junjung berdiri dengan sendiri pastikan ia boleh tegak tanpa sokongan dengan menanamkannya 60 sentimeter di bawah tanah supaya ia stabil. Jika junjung diletakkan di sebelah dinding, tiang kayu atau binaan yang kukuh, junjung lebih selamat jika diletakkan kurungan.
  • Langkah 3 - Ketuk junjung menggunakan penukul dan jika tanah keras tanam junjungan di dalam lubang dan pastikan timbus betul-betul tanah supaya ia kekal tegak dan stabil.
  • Langkah 4 - Pastikan junjung yang dibina mengambil kira vertikal dan horizontal laman. Jika boleh selaraskan betul supaya ia sesuai dengan laman.
  • Langkah 5 - Jika boleh letakkan tiang junjung dekat dengan dinding atau tembok kerana ia akan dapat memastikan junjung tidak beralih atau terjatuh apabila tidak dapat menampung berat pokok apabila tumbuhan semakin matang.
  • Langkah 6 - Bagi memastikan tumbuhan memanjat junjung yang disediakan, asuh pokok atau aturkan tumbuhan mengikut ruang junjung yang disediakan.

TIP: Memilih tanaman memanjat

  • Pilih pokok memanjat dengan daun dan bunga berwarna terang dalam usaha menceriakan laman dan secara langsung menampakkan ruang yang lebih luas.
  • Pastikan struktur sokongan yang betul untuk disesuaikan dengan tanaman yang dipilih supaya tidak mengganggu tumbesarannya.
  • Membeli tanaman memanjat yang ditanam dalam pasu antara pilihan bijak kerana akarnya tidak banyak terganggu apabila ia dipindahkan ke tanah.
  • Tanaman dalam pasu yang dibeli perlu dipastikan juga permukaan tanah tidak diliputi lumut atau akar yang terkeluar dari lubang saliran air pada bahagian bawah pasu.
  • Beli tanaman memanjat yang berkualiti dan bebas serangan serangga perosak.



SYARAT TANAH SUBUR

Oleh Abdul Rahim Rashid
Berita Minggu


SESIAPA saja boleh menanam pokok. Bagaimanapun, ramai tidak tahu bagaimana mahu memastikan pokok yang ditanam terus hidup dan subur. Bagi kebanyakan kes, ramai yang tidak menjaga pokok yang ditanam, termasuk menyelenggara, memangkas dan menggalakkan pertumbuhan pokok dan menjejaskan pertumbuhannya.

Tidak kurang yang beranggapan, memadailah untuk menyuburkan pokok dengan meletakkan baja yang bersesuaian, selain air dan sinaran matahari yang mencukupi mengikut kesesuaian pokok. Hakikatnya, ada banyak masalah lain yang menyebabkan pokok tidak subur atau mampu hidup lama.

Kebiasaannya, masalah yang sering dihadapi pokok yang menyebabkannya tidak subur ialah kehadiran rumput rumpai yang tidak diingini, iaitu pokok terpaksa bersaing untuk mendapatkan nutrien dengan rumput berkenaan. Selain itu, timbul masalah penyusutan media tanaman menyebabkan akar kurang produktif dan seterusnya memberi kesan kepada pertumbuhan pokok. Dalam sesetengah kes pula, tanah menjadi terlalu padat dan menjadi keras. Ini menyebabkan berlaku takungan air serta masalah pengudaraan. Jika tanda-tanda berkenaan wujud, maka pokok akan kekurangan nutrien dan memerlukan proses membaikpulih tanah.

Salah satu cara mudah membaik pulih tanah ialah dengan menggunakan penyubur tanah berasaskan gambut.

Caranya adalah seperti berikut:
  1. Cabut rumput rampai pada sekeliling pokok. Seeloknya lakukan pemangkasan terlebih dulu. Pangkas dahan mati dan yang berpenyakit.
  2. Taburkan penyubur tanah berasaskan gambut setebal 2.54 hingga 5.08 sentimeter (satu hingga dua inci). Jangan bimbang jika ia terlebih kerana ia seratus peratus organik dan tidak mengandungi sebarang najis binatang.
  3. Gemburkan saja atau sekadar gaulkan. Pastikan tidak mencederakan akar. Seterusnya siram air secukupnya.
Fakta Tanah Gambut
  • Di Malaysia, kebanyakan tanah gambut mengandungi 90 peratus bahan organik di dalamnya seperti sisa pereputan kayu, daun, akar dan batang pokok, selain mengandungi mineral yang biasa dijumpai dalam tanah lain.
  • Tanah gambut juga dikatakan mampu menyerap, menapis air dan ia dikatakan menjadi takungan karbon yang amat besar kuantitinya serta mempunyai kepentingan ekonomi untuk sektor pertanian dan penanaman pokok hiasan.
  • Dalam keadaan semula jadi, tanah gambut di negara ini mengandungi bahan pereputan kayu, dari akar, daun hingga ranting pokok. Ini menyebabkan air sentiasa bertakung di permukaan tanah dan melambatkan pereputan.
  • Bagi petani, tanah gambut digelar sebagai tanah hitam kerana warnanya lebih hitam dan berbeza dengan jenis tanah lainnya. Tanah gambut umumnya dalam bidang botani disebut peat, namun ia mempunyai pelbagai gelaran lain mengikut negara.
  • Di Amerika Utara, gambut disebut sebagai fen, manakala di Kanada dikenali sebagai musked. Di Russia dan Amerika Syarikat pula dirujuk sebagai bog, Finland (mire) dan di Jerman (moor).

TEKNIK TANAM HELICONIA

Oleh Abdul Rahim Rashid
Berita Minggu


HELICONIA adalah salah satu spesis tumbuhan landskap yang menjadi pilihan serta mempunyai ramai peminatnya. Tahukah anda pokok heliconia ini berasal dari Amerika Selatan dan mempunyai banyak jenis antaranya ialah heliconia rostrata , heliconia psittacorum dan banyak lagi. Dengan bentuk daun menghijau yang lebar serta mengeluarkan bunga yang mempunyai warna yang sangat menarik, menjadikannya pilihan penggemar landskap dan kadangkala amat sesuai untuk diadaptasikan dalam konsep reka bentuk landskap terutama sekali laman konsep tropika.

Heliconia dikategorikan tumbuhan senang hidup kerana hanya memerlukan tanah yang mengandungi bahan organik tinggi serta mempunyai pengairan baik. Selepas berbunga, tangkai yang mengeluarkan bunga matang serta daun akan menjadi kuning seterusnya kering. Akar akan mengeluarkan anak baru untuk membesar dan seterusnya mengeluarkan tangkai bunga baru. Penjagaan serta pengurusan tanaman heliconia perlu untuk memastikan kekemasan serta pembesaran pokok kerana ia memberikan visual impak yang agak besar.
Sering kali berlaku masalah penggemar landskap suka menanam pokok ini di dalam pasu atau kotak penanaman. Pada satu peringkat, pembesaran pokok akan terhad kerana akar akan padat dan terhad (memenuhi ruang media). Antara penyelesaiannya adalah dengan membuat pemangkasan.

Dan, bagi mereka yang berminat untuk menanam di dalam pasu bolehlah mengikut langkah langkah berikut.

Langkah mudah penyediaannya.

Gambar dari kiri, cabut pokok dengan akar dan tanahnya sekali sebelum ditanam dalam pasu. Gambar atas kanan, gunakan pasu pecah untuk menjadikan lapisan saliran air. Masukkan tanah dalam pasu selepas lapisan saliran air. Potong batang heliconia bagi menggalakkan pertumbuhan pokok.

A. Penyediaan peralatan dan kelengkapan
  1. Pokok Heliconia yang ingin dipindahkan untuk ditanam dalam pasu.
  2. Pasu (bersaiz 1)
  3. Media : Campuran tanah terutama bahan organik (Peatgro)
  4. Peralatan pertanian : sudip tanah, pisau, gunting pokok, penyodok.
  5. Serpihan pasu, sabut kelapa
B. Memindahkan/mencabut pokok - Pastikan ketika mengalihkan pokok, akar masih ada dan tidak terlalu mencederakan akarnya.

C. Memulakan proses menanam.

Langkah 1

  1. Sediakan pasu besar bagi pokok heliconia.
  2. Sediakan lapisan saliran (drainage layer).
  3. Bahan yang digunakan : serpihan pasu@batu, sabut kelapa (cocoa fiber).
  4. Susun serpihan pasu sebanyak empat hingga lima lapisan atau sabut kelapa setebal tiga hingga empat inci bagi tujuan pengudaraan dan saliran.
Langkah 2
  1. Masukkan campuran tanah 3 : 2 : 1. (rujuk artikel Berita Minggu:topik campuran tanah pada 7 Jun 2009).
  2. Masukkan 1/3 paras pasu dengan tanah.
  3. Padat dan ratakan tanah berkenaan
  4. Kemudian, masukkan lagi 1/3 bahagian tanah. Padat dan ratakan.

TEKNIK ARBORSCULPTURE (KRAFT ARCA POKOK)

Oleh Rohaniza Idris
Berita Minggu


PERNAHKAH anda mendengar arca pokok atau 'arborsculpture'? Ia adalah teknik yang sudah lama wujud, namun masih baru dalam seni hias laman di negara ini. Arca pokok ialah teknik menanam pokok dan membentuk pokok menjadi bentuk dikehendaki sebagai tarikan kepada laman atau taman. Ia adalah satu teknik seni atau kraf untuk membesarkan sambil membentuk batang, dahan, dan akar pokok.

Kaedah yang digunakan termasuklah cantuman (graf­­ting), bengkokan dan pe­­mangkasan batang, dahan dan cabang seakan-akan kaedah topiari, espalier, bonsai dan pleaching. Perkataan arborsculpture terhasil daripada perkataan arbor (pokok dalam bahasa Latin) dan sculpture (arca). Perkataan ini mula diketahui hasil penulisan Reames dan Delbol dalam buku How to Grow a Chair- The Art of Tree Trunk Topiary 1995. Reames menggunakan perkataan berkenaan sebagai percubaannya menyeragam­­kan cara pembentukan batang yang banyak dilakukan pencinta seni kraf berke­­naan. Sejak itu, perkataan itu sering digunakan dalam media walaupun wu­­jud kontroversi mengenainya.

Istilah 'arborsculpture' kian diterima dan mendapat liputan meluas. Anehnya, perkataan berkenaan masih belum dijumpai dalam mana-mana kamus Inggeris. Apakah kaedah yang digunakan untuk membentuk arca pokok? Kaedah yang digunakan bergantung kepada keupayaan pokok itu dibentuk atau disatukan melalui cara cantuman serta kemampuan mengekalkan bentuk yang baru ketika pembentukan lapisan kayu baru bagi membendung bentuk yang diinginkan.

Bagaimana cantuman di­­ha­­silkan. Ia dilakukan dengan memotong dua atau lebih bahagian pokok dengan membuang kulit kayu mele­­pasi lapisan kambium (lapisan tisu yang juga dipanggil 'me­­ristem' yang menjadi sumber sekunder untuk pertumbuhan sel), kemudian mengikat bahagian yang luka bersama agar melekat dengan baik sehingga bahagian pokok yang dicantum membesar bersama. Ia seakan kaedah dilakukan untuk proses 'tut' pokok. Selain percantuman pokok, kaedah pemangkasan dilakukan bagi membuang dahan yang tidak dikehendaki bagi membentuk arca yang diinginkan.

Pemangkasan juga dilakukan bagi tujuan pertumbuhan batang dan dahan baru, manakala pemotongan di atas tangkai daun boleh mengawal arah pertumbuhan pokok. Jika daun menghala ke kanan, potongan di atas tangkai daun itu akan menghasilkan pertumbuhan baru menghala ke kanan, begitu juga sebaliknya. Dengan kata lain, membentuk arca pokok ini dapat dilakukan dengan memani­­pulasi tisu pokok untuk mengi­­kut bentuk yang dikehendaki sama ada bentuk kerusi, meja atau orang.



Peralatan yang digunakan membuat arca pokok ini yang biasa digunakan untuk berkebun dan penyelenggaraan tanaman hias dan pokok teduhan seperti alat pemangkasan tangan (handpruners/secatuer) dan gergaji pemangkas (pruning saw). Selain itu, gunting kebun (shears atau pruning shears) dan perapi pagar renek (hedge trimmer) juga boleh digunakan seperti dalam kaedah membentuk topiari dan pagar renek.

Bagi menghasilkan arca pokok yang cantik, apa saja barang untuk membentuk pokok seperti papan kayu, paip, tali, dawai, pita boleh digunakan. Malah, objek seperti bangku logam boleh dijadikan acuan. Masa yang diambil bagi membentuk arca pokok bukannya singkat, bergantung kepada pertumbuhan pokok dan arca yang ingin dibentuk. Bagi bentuk yang mudah dan pokok yang cepat membesar, tempohnya mungkin lebih singkat berbanding arca pokok yang lain. Dengan kata lain, jangka waktu untuk pertumbuhan dan pembinaan projek arca pokok berbeza bergantung kepada saiz pokok, kadar pertumbuhan pokok, kadar pemupukan, ketinggian reka bentuk dan kaedah yang digunakan.

Apa pun, bagi yang sukakan kelainan dan seni perkebunan, arca pokok perlu dicuba kerana satu yang baru dan menarik untuk laman anda.

Perbezaan arca pokok dengan topiari.

Topiari bukan hanya memanipulasi batang pokok, tetapi ia adalah seni dan kemahiran menghasilkan bentuk de­­ngan menggunakan dedaun pokok. Secara kontras, pada arca pokok, keutamaannya ialah dengan memanipulasikan batang pokok dan menggabungkan pokok dengan kaedah cantuman. Arca pokok boleh mencakupi sebahagian daripada seni topiari, tetapi topiari bukanlah ciri dan pertimbangan utama secara keseluruhannya.

Cantuman boleh jadi digu­­nakan untuk topiari, tetapi penggunaannya sangat terhad dan jarang sekali digunakan. Arca pokok lebih kepada membentuk pokok menjadi seperti perabot dan barangan yang dibina secara eksklusif mengguna­­kan tumbesaran pokok dan cantuman tisu tumbuhan. Bentuk berkenaan dipisahkan dari akarnya atau dialih dari tanah; bukan lagi menjadi organisme yang hidup manakala topiari hampir-hampir terbatas kepada organisme hidup (tumbuhan) yang berdaun. Topiari hampir keseluruhannya membabitkan pemotongan dan pembentukan dedaun, sedangkan projek arca pokok boleh dibuat dengan mudah tanpa pemotongan dedaun.

Perbezaan dengan espalier

Espalier ialah satu teknik hortikultur melatih pokok melalui teknik pemangkasan dan cantuman bagi membentuk dahan pokok menjadi pola 'dua-dimensi' rasmi atau satu permukaan. Namun, projek arca pokok tidak terbatas kepada satu permukaan yang leper (dinding tembok) atau berpola. Kedua-dua teknik boleh menggunakan pokok yang berbuah, tetapi pokok dilatih secara espalier tidak pernah diketahui dibentuk menjadi bangku, bingkai cermin, meja atau orang.

Teknik espalier popular pada Zaman Pertengahan di Eropah bagi menghasilkan buah yang mana pokok ditanam pada sebelah dalam dinding laman istana tanpa mengganggu kawasan terbuka, selain menghias dinding. Bukti menunjukkan kaedah ini sudah lama digunakan mungkin seawal zaman purba Mesir.

Espalier lebih bertujuan menghias laman serta se­­suai digunakan untuk taman ruangnya terhad. Ia juga boleh ditanam bersebelahan dinding yang akan memantulkan lebih sinar matahari dan membendung haba pada malamnya. Buah pada pokok sebegini matang dengan lebih cepat. Jenis pokok yang sesuai untuk teknik ini adalah zaitun, buah tin (fig), epal dan pear. Peach, plum, aprikot dan ceri juga boleh ditanam meleper pada dinding.

Perbezaan dengan teknik menjalin dahan pokok (pleaching)

Pleaching ialah seni melatih pokok menjadi pagar renek (hedge) yang ditinggikan atau untuk membentuk quincunx (corak susunan lima unit yang terdapat pada lima titik pada buah dadu, daun terup, atau domino). Biasanya pokok-pokok berdaun luruh ditanam berbaris, kemudian dibuat untuk membentuk permukaan yang leper di atas aras tanah. Dahan-dahan pokok dijalinkan, kulit kayu ditoreh pada tempat bertembung dan diikat bersama. Ia akan membesar bersama, proses yang sama dengan cantuman.


Perbezaan dengan bonsai

Bonsai ialah seni menanam pokok di dalam pasu dan bekas, menggunakan teknik pemangkasan untuk menge­­kalkan pokok dalam saiz mini menggunakan kawat tembaga bagi membentuk membentuk dahan dan cabang. Kaedah bonsai biasanya dengan membengkok dahan menyamai bentuk ter­­tentu. Projek bonsai dirancang untuk tampil seolah-olah ia tidak dibentuk manusia, ia sepatutnya me­­lambangkan pokok yang kecil berbentuk asli, yang boleh dijumpai tumbuh meliar. Arca pokok adalah konsep yang bertentangan kerana ia dalam bentuk yang sebenarnya.








TANAMAN PASU GANTUNG

Oleh Abdul Rahim Rashid
Berita Minggu


MEMILIKI kediaman dengan kawasan yang terhad sebenarnya tidak menyekat usaha menghias laman rumah. Sebaliknya, ada banyak cara untuk menghias laman walaupun ruang laman kecil atau sekadar balkoni kecil untuk kediaman tinggi seperti apartmen dan kondominium.

Pasu gantung adalah cara yang terbaik untuk menghias laman terhad atau ruang balkoni kediaman dan pakar landskap pastinya mencadangkan cara berkenaan untuk menceriakan persekitaran kawasan terhad. Namun, teknik ini memerlukan pengetahuan mengenai spesies yang sesuai, pemilihan bekas tanaman dan kreativiti mencipta dekorasi sampingan hingga membolehkan setiap pasu digantung kelihatan indah menawan.

Bagaimanapun, diketahui tidak semua pokok hiasan boleh ditanam dalam pasu gantung kerana sesetengahnya mungkin alah kepada tiupan angin atau hayunan pasu. Selain itu tekstur daun dan bentuk asal batang pokok juga penting kerana jika tidak memiliki sifat berjuntai atau menjalar mungkin tidak cantik untuk laman.

Berikut langkah mudah penyediaan pasu gantung

A. Penyediaan peralatan dan kelengkapan:
  1. Pokok yang sesuai - contoh : Begonia tuberos, Clorophytum, Petunia, Hemigraphis, Impatiens, Pepromia, Clerodendron.
  2. Bekas pasu gantung
  3. Media : Peatgro ( Bahan Organik ), Cocoa Peat @ Sekam Padi, Baja Asas ( TSP, NPK, Ca/Mg@Kapur pertanian )
  4. Gunting, sudip pertanian

B. Penyediaan media tanaman

  1. Campuran tanah terbaik untuk pasu tanaman pokok gantung: 1 : 1 : 1 Peatgro (Bahan Organik) : Cocoa Pith : Sekam Padi, atau 1 : 1 Peatgro (Bahan Organik) : Cocoa Pith atau Sekam Padi. Perlu diingat, pokok yang baik bermula dengan tanah (media) yang bagus.
  2. Baja asas Baja Organik - 150 gram Baja Phosphate ( TSP ) - 150 g Kapur Pertanian ( Ca ) - 60 g (Sila rujuk keluaran Berita minggu ruangan laman topik : campuran tanah)


C. Cara penanaman dilakukan dengan tiga cara:

  1. Semaian biji benih ( seedling )
  2. Semaian terus - menggunakan keratan atau pokok matang
  3. Pot-in-Pot Ruangan kali ini akan menerangkan kaedah tanaman terus dan Pot-In-Pot saja yang lebih mudah diikuti.


D. Langkah penyediaan pasu gantung:

  1. Campurkan campuran media penanaman dengan sekata. Penggunaan Peatgro sebagai media penanaman utama sangat penting kerana memberikan kualiti media yang baik, pH yang sesuai serta memastikan kelembapan yang sekata. (Rujuk keluaran Berita Minggu pada isu penyediaan media penanaman)
  2. Pastikan pasu gantung sesuai dari segi saiz.
  3. Bahagian lapisan bawah - gunakan sabut kelapa sebagai lapisan pengairan.
  4. Masukkan media tanaman yang sudah dicampurkan


E. Memulakan penanaman

Semaian terus - keratan

  1. Pilih keratan pokok yang sesuai
  2. Sapukan hormon penggalak akar
  3. Tanam mengikut susunan yang dikehendaki. Boleh juga gabungan menjalar (di hujung pasu) dan pokok menonjol di bahagian tengah.

Tanaman terus - pokok matang

  1. Penuhkan sebahagian pasu gantung dengan campuran tanah
  2. Keluarkan pokok dari pasu
  3. Tanam secara mengiring
  4. Penuhkan dengan tanah campuran semula ataupun Peatgro
  5. Buatkan sungkupan menggunakan sabut kelapa ( cocoa fiber )

Pot-In-Pot

  1. Penuhkan sebahagian pasu gantung dengan tanah campuran
  2. Tanam terus pokok bersama pasu . Susun keliling dan secara mengiring ( slanting )
  3. Tambahkan campuran media tanaman ataupun Peatgro
  4. Buat Sungkupan menggunakan sabut kelapa ( Cocoa fiber )

F. Penjagaan dan penyelenggaraan

  1. 1. Pembajaan - Gunakan Side Dressing ( tabur tepi) 4 - 6 minggu, 30 - 40 g baja NPK 15-15-15-TE atau baja cecair
  2. 2. Pengurusan air - Pastikan tidak menggunakan air yang berlebihan. Hanya pastikan media tanaman dalam keadaan lembap
  3. 3. Pemangkasan - Penting menjalankan pemangkasan untuk memastikan lebih banyak tunas bunga baru. Pemangkasan pada cabang yang tua serta tidak memberikan bentuk yang menarik. Pemangkasan juga untuk membuang daun atau cabang yang berpenyakit
  4. 4. Kawalan Penyakit - Sembur menggunakan Racun Serangga dan perosak ( Kelas 4 ) atau menggunakan pencegah serangga organik - campuran bahan Dapur (Rujuk kolum yang lalu mengenai usaha tanam bendi). Guna bila perlu saja.

G. Lokasi

Bergantung kepada jenis tanaman. Rujuk nurseri mengenai pemilihan pokok serta keperluan pencahayaan. Kebanyakan memerlukan cahaya terus dan ada yang memerlukan pencahayaan tidak lebih 40 peratus pencahayaan. Selamat Mencuba.









TERRARIUM: SENI HIAS TUMBUHAN DALAM KACA

PAPARAN akuarium yang juga balang, bekas kaca pelbagai bentuk atau bekas lutsinar yang mempamerkan ikan, sudah biasa kita lihat. Bagaimana pula dengan bekas yang mengandungi tanaman? Ia dikenali sebagai terarium (terrarium) atau vivarium. Terarium ialah media atau wadah daripada kaca atau plastik atau mana-mana bekas lutsinar berisi tanaman.


Ia juga boleh ditafsirkan sebagai seni mengatur tanaman dalam balang kaca atau bekas lutsinar dalam bentuk kecil atau mini. Penataan seni hias dalam terarium ini sama seperti seni menghias landskap tetapi ia dihasilkan dalam bentuk mini.

Terarium akan menampilkan taman mini dalam media kaca. Terarium dapat menggambarkan kedudukan di alam yang sebenar dalam media kaca berkenaan. Misalnya terarium dapat menggambarkan ekosistem gurun, ekosistem padang pasir, ekosistem hutan hujan tropika atau laman Jepun, Cina dan Inggeris.

Terarium diperkenalkan dalam seni hiasan Inggeris yang banyak dilakukan kelompok keluarga bangsawan. Seni taman mini ini turut berkembang ke seluruh dunia dan amat digemari mereka yang suka seni hiasan laman. Sejak kebelakangan ini, seni ini kembali digemari penggemar hiasan seni laman.

Seperti landskap kediaman, terarium juga perlu dirawat, diselenggara, dipangkas dan disiram selalu bagi membolehkannya terus hidup dan berkembang. Sirami tanaman atau media tanah dengan air apabila tanaman mulai kering.

Seeloknya, secara rutin lakukan penyiraman setiap seminggu sekali atau kurang jika diperlukan mengikut spesies tanaman. Potong daun yang mulai rosak atau kering supaya tanaman dalam terarium tetap indah.


Lokasi tanaman juga perlu diberikan perhatian. Seeloknya jangan letakkan di kawasan yang terdedah dengan sinar matahari secara langsung kerana ia akan menyebabkan tanah cepat kering.

Jika haiwan kecil diletakkan di dalam terarium, bersihkan bahagian dalam bekas itu daripada sisa kumbahan dan makanan haiwan atau serangga berkenaan. Paling menarik letakkan terarium di atas meja laman kerana ia sesuai menggantikan jambangan bunga.

Keunikan terarium jelas membuktikan ketekunan mereka yang menghasilkannya dan satu cabang seni hiasan laman yang perlu dipelajari bagi mereka yang sukakan seni hiasan laman.


INFO: Terarium

  • Terarium terbuka - Terarium jenis ini terbuka dan terdedah di bahagian atasnya atau atau tidak tertutup. Taman mini jenis ini paling digemari ramai
  • Terarium tertutup - Bekas kaca atau lutsinar untuk terarium ini biasanya tertutup rapat di semua bahagian. Tujuannya untuk membuat biosfera yang unik di dalam terarium itu. Terarium ini yang paling sukar dibuat dan dirawat.
  • Terarium haiwan kecil - Terarium ini dikenali sebagai vivarium kerana ia menjadi kaca atau balang penyimpanan dan pameran untuk haiwan kecil dan serangga. Haiwan yang biasa diletakkan dalam vivarium ialah katak, kura-kura kecil, labah-labah dan rama-rama dan ulat. Vivarium juga dihiasi tanaman dan biasanya dihasilkan meniru habitat sebenar haiwan atau serangga yang disimpan.
  • Jenis tanaman - Tanaman seperti sansiviera, kaktus, sukulen, lumut, paku pakis dan bromelia.


Berita Minggu

MEMBIAK POKOK: KERATAN DAUN

Oleh Abdul Rahim Rashid
Berita Minggu





Membiakkan pokok menggunakan keratan daun adalah cara mudah dan ringkas. Ikuti kaedah ini. Saya berharap keluaran lalu dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran serta pengetahuan mengenai keratan batang. Pada pengalaman yang ingin saya kongsi, ia mudah untuk dipraktikkan. Pada minggu ini saya akan menyambungkan topik berkenaan pembiakan vegetatif juga tetapi menggunakan keratan daun yang lebih mudah, ringkas dan senang di lakukan. Kumpulan pokok ini mempunyai banyak tisu lembut.

Keratan daun boleh dilakukan untuk pokok berjenis

  1. Herbaa (herbaceous) seperti pokok ati-ati, sanchzia, misai kucing dan selasih.
  2. Pokok-pokok jenis lendair (succulents) seperti asam batu, gul bakawali, lidah mak mentua, paperomia dan gloxinia.
Ada enam jenis keratan daun yang boleh dilakukan.
  1. Helai daun/leaf blade
  2. Tangkai daun/leaf petiole
  3. Kepingan daun /leaf sectioned
  4. Mengerat urat/veins severed
  5. Ruas daun/leaf node
  6. Tunas daun/leaf bud
Alat dan Bahan
  1. Pisau cantuman
  2. Gunting pemangkas/hand pruner
  3. Media perakaran/rooting media - Peatgro
  4. Penggalak akar/rooting hormone

Perhatian

  • Bahan-bahan tanaman yang dipilih mestilah segar , matang sihat dan tidak berpenyakit. Gunakan Peatgro sebagai media perakaran dan percambahan yang lebih efektif.

Kepingan Daun/Leaf Sectioned

  1. Helai daun di kerat 10 sentimeter lebar berbentuk tiga segi dan mempunyai beberapa urat-urat utama.
  2. Celupkan di dalam penggalak akar. Kepingan daun ditanam secara menegak.
  3. Anak dan akar keluar dari pangkal kepingan daun dan daun asal akan musnah. Anak-anak pokok yang baru boleh ditanam.











MEMBIAK POKOK: TUT

Oleh Abdul Rahim Rashid
Berita Minggu
Setelah mengetahui teknik keratan dahan serta keratan daun, ada satu teknik yang mudah untuk saya terangkan bagi menutup topik pembiakan vegetatif tanaman hiasan. Teknik ini di namakan keratan daun jenis lenturan udara (air layering ) atau tut. Apakah lenturan udara ini? Ia adalah satu cara mudah membiakkan pokok yang sukar dibiakkan melalui keratan dahan dan daun dan sangat sesuai kepada pokok yang mengandungi kayu keras seperti pokok limau, rambutan dan jambu.

Dengan cara ini anda tidak perlu untuk membeli anak pokok di kedai. Dengan mudah anda boleh membiakkan pokok rambutan atau jambu kesukaan anda dan yang pasti ia menjimatkan.

Info: Alat dan Bahan
1. Pisau cantuman
2. Gunting pemangkas/hand pruner
3. Pengalak akar/rooting hormone
4. Tali
Bahan:
1. Plastik lutsinar (10sm x 6 sm)
2. Media perakaran/bahan organik - (Mesti dilembapkan dulu)
3. Pengokot (Stapler)

Gunakan Peatgro sebagai media perakaran terbaik. (disarankan guna 100 peratus) - lebih mudah dan boleh dicampurkan dengan sebarang bahan media lain seperti serbuk sabut kelapa (cocoa pith), tanah loam atau sekam padi.

Langkah Mudah (2)
  1. Pilih dahan sebesar jari kelingking. Pastikan ia dahan yang matang atau separa matang (bukan dahan hijau/muda/lembut). Dahan yang dipilih perlu segar, tidak berpenyakit dan mempunyai bentuk yang seimbang.
  2. Lakukan kelaran (1 sm lebar x 1 sm panjang) di bawah ruas dahan .
  3. Sapukan penggalak akar pada kelaran
  4. Balutkan dengan bungkusan media pada sekeliling dahan
  5. Ikat dengan erat dan kemas bungkusan media itu.
  6. Dalam masa 6 hingga 8 minggu akar, buka plastik dan boleh memulakan proses menanam.

MEMBIAK POKOK: KERATAN

Oleh Abdul Rahim Rashid
Berita Minggu

Ada pelbagai cara menanam pokok, namun ramai yang tidak tahu caranya. Pada keluaran lalu saya menulis berkenaan penggunaan bahan dapur sebagai racun serangga yang lebih selamat, mudah dan murah. Kali ini saya akan menerangkan mengenai cara pembiakan pokok untuk penggemar landskap kediaman. Mungkin ada sesetengah orang lebih mudah membeli pokok daripada nurseri bunga, tetapi pada pendapat saya, kepuasan akan lebih didapati sekiranya kita sendiri menjalankan pembiakan pokok dan seterusnya melihat pokok berkenaan membesar. Terdapat banyak kaedah yang digunakan antaranya secara keratan terdiri dari keratan batang serta keratan daun.

Jenis keratan dahan

  • Keratan kayu keras
  • Keratan kayu sederhana keras
  • Keratan hijau
  • Keratan herba

Keratan daun

  • Helai daun
  • Lenturan udara
  • Tangkai daun
  • Kepingan daun
  • Mengerat urat
  • Ruas daun
  • Tunas daun

Pada minggu ini, saya akan hanya menerangkan kaedah pembiakan vegetative secara keratan dahan untuk kayu keras, kayu sederhana dan kayu hijau.

Alat dan bahan:

  1. Pisau cantuman
  2. Gunting atau pemangkas
  3. Media perakaran - Peatgro
  4. Penggalak akar
  5. Penyembur kabus
  6. Plastik lutsinar
  7. Tali pengikatl
  8. Bekas
  9. Pengcukil (dibber)
  10. Jaring
  11. Sudip tanah.


PERHATIAN
Bahan - bahan tanaman yang diguna hendaklah matang, sihat, segar dan tidak berpenyakit. Gunakan Peatgro sebagai media perakaran dan percambahan yang lebih efektif.

Langkah keratan kayu keras:

  1. Kerat dahan pokok 30 sentimeter memanjang
  2. Buang daun - daun di bahagian pangkal dahan
  3. Potong serong di bawah ruas dahan tentukan potongan bersih dan licin
  4. Letakkan pangkal dahan dengan penggalak akar
  5. Buat lubang di media perakaran
  6. Masukkan keratan kira-kira 1/3 daripada panjang keratan
  7. Padatkan tanah di sekeliling keratan. Bagi keratan kayu sederhana dan kayu hijau, langkah-langkah adalah seperti di atas.
  8. Lazimnya kesemua keratan kayu keras, sederhana dan hijau akan berakar dan mengeluar pucuk baru dalam tempoh 8 hingga 12 minggu.
  9. Keratan yang berakar boleh dialih ke dalam pasu.

Pada kali ini juga terdapat jenis keratan yang lebih mudah untuk dipraktikkan iaitu Keratan BentukTumit ( heeled cuttings ) . Keratan yang berbentuk seperti tumit biasanya boleh di gunakan pada semua jenis kayu dengan memisahkan anak tunas baru dengan batang induknya. Sangat sesuai di gunakan untuk pokok yang sukar untuk mengeluarkan akar seperti jenis conifer, juniper atau thuja.

Langkah-langkah keratan bentuk tumit adalah seperti berikut:

  1. Pegang batang pokok tunggal antara ibu jari dan jari telunjuk. Secara perlahan-lahan, tarik /siat keluar anak tunas baru.
  2. Menggunakan pisau lipat yang tajam, buat sedikit keratan pada tapak tumit. Kemudian sapukan dengan penggalak akar/hormone.
  3. Tetapkan kedudukan tunas di dalam media penanaman. Buat lubang, masukkan keratan dan seterusnya tutup lubang dan padatkan. Lakukan penyiraman.

Info:
Kompos tanah pasuan. Ciri-ciri kompos yang ideal dan berkualiti :
1. Tekstur - gembur, peroi dan rongga
2. Nutrien-nutrien - yang mencukupi dan seimbang kepada semua peringkat tumbesaran pokok.
3. Setiap bahan mempunyai fungsi yang tertentu
4. Bebas daripada segala patogen dan bahan toksik.
5. Bebas daripada najis-najis haiwan.
6. Bahan-bahan - murah dan senang di dapati.
7. Cara mencampur - mudah dan senang