Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Isnin, April 23, 2012

PERANAN PEMIMPIN SEKOLAH DALAM MEMBANGUN BUDAYA SEKOLAH BERKESAN


Pembinaan dan pembangunan budaya sekolah memerlukan perubahan pemikiran dan sikap, perubahan pendekatan dan strategi, perubahan alat dan instrumen serta perubahan nilai dan norma. Budaya sekolah harus boleh mengadaptasi permintaan dan konflik. Perubahan yang paling berkesan adalah perubahan dari dalam sekolah itu sendiri.

Membangunkan suatu budaya sekolah yang sihat berkait rapat dengan amalan-amalan kepemimpinan yang berkesan di pihak Pengetua/Guru Besar. Budaya sekolah ialah nadi yang menggerak dan mengarahkan serta menggambarkan segala komitmen yang ditunjukkan oleh komuniti sesebuah sekolah itu. Di satu segi, sekolah akan mempersembahkan suatu imej yang menggambarkan budaya sekolah itu kepada seluruh warganya iaitu murid-murid, ibu bapa mereka dan masyarakat umum.

Peranan menangani perubahan bagi membangun dan membina budaya sekolah berkesan yang harus dimainkan oleh para pemimpin sekolah adalah seperti berikut:

  • Pemimpin sekolah melakukan perubahan dengan melihat pengaruh-pengaruh luaran dan dalaman serta isu-isu berkaitan, dan dalam melaksanakannya bertindak secara responsif bukan bertindak secara menghalang.
  • Pemimpin bertanyakan soalan-soalan bukan memberikan jawapan-jawapan.
  • Pemimpin menggalakkan dan memudahkan perbincangan dan pertimbangan mendalam bagi menuju perubahan daripada sekadar merancang atau mengarahkannya sahaja.
  • Kegagalan dan kesilapan dikongsi bersama. Memegang prinsip "The first rule of leadership, everything is my fault."
  • Pemimpin mengekalkan berpegang kepada teras kepercayaan yang merupakan asas kepada kewujudan komuniti sesebuah sekolah.

Khamis, April 12, 2012

PENGGERAK SEKOLAH BERKESAN

Sesebuah sekolah berkesan adalah sebagai sebuah organisasi sekolah yang mantap yang dapat menyumbangkan dan melahirkan kecemerlangan dalam bidang kurikulum, kokurikulum, sahsiah guru dan murid, budaya sekolah dan watak sekolah. Warga sekolah mempunyai tanggapan dan kepercayaan yang dikongsi  bersama oleh ahli-ahli organisasi, berlaku secara tidak disedari dan dalam bentuk 'taken-for-granted'. Budaya ini sebagai konteks dan 'setting' sekolah. Ia menunjukkan suatu proses yang berterusan dan bersifat evolusi, dan digerakkan oleh tekanan luaran, potensi dalaman, respon kepada hal-hal kritikal dan faktor-faktor peluang. 

Siapakah yang menggerakkan budaya sekolah berkesan ini? Manusia yang bernama pemimpinlah yang berperanan penting dalam menggerakkan dan membangunkan budaya ini. Siapakan manusia-manusia itu? Sudah tentulah seseorang yang bernama 'pengetua' dan barisan guru-guru kanannya yang disokong kuat oleh barisan guru-guru penolong yang bekerja penuh bertanggungjawab. Pengetualah yang menggerak dan mengekalkan wawasan, visi dan misi yang jelas yang dikongsi dan dibangunkan bersama oleh seluruh ahli organisasi sekolah.

Apakah ciri-ciri yang boleh kita lihat di sekolah berkesan ini?
  • Menghargai permuafakatan: Semua guru mesti mengambil berat terhadap 'kesihatan' sekolah sebagai organisasi. Permuafakatan dapat menghindarkan keterasingan guru, sikap pentingkan diri sendiri sehingga tidak mahu mengakui wujudnya masalah atau tidak mahu melihat masalah orang lain. Dengan permuafakatan guru-guru bersama-sama menyelesaikan masalah dan membuat keputusan di samping menghargai kesaling-bergantungan dan bantu-membantu sesama staf.
  • Dalam sekolah berkesan budaya berjalan lebih mirip kepada komuniti berbanding organisasi. Dalam komuniti kejayaan dan kegagalan dikongsi bersama, saling tolong-menolong, dan bertingkah-laku menurut norma-norma dan kepercayaan dalaman. Satu komuniti bertindak berdasarkan kepercayaan teras yang dipersetujui dan berdiri tegak di atas tapak yang satu. Keresahan dan ketidaktentuan tentang apa yang patut dibuat apa tidak patut dibuat, apa yang wajar atau apa pula yang tidak wajar, tidak wujud. Guru-guru tidak hilang punca dengan hal-hal yang tidak  dijangka atau perkara-perkara bukan rutin, tidak juga mereka menyalahkan orang lain jauh sekali daripada memejamkan mata kepada situasi-situasi yang bermasalah. Sebaliknya guru-guru mempamerkan sikap keyakinan yang tinggi, mereka tahu di mana mereka berpijak dan langit mana yang mereke junjung.
  • Budaya sekolah berkesan ialah keyakinan guru. Guru-gurunya penuh yakin dalam tugasnya setiap hari, mereka lebih bersedia menerima cabaran-cabaran, mengambil risiko, dan melahirkan idea-idea kreatif serta rumusan-rumusan. Ekoran daripada keyakinan ini akan wujud optimisme dan iltizam.Tempat kerja menjadi lebih menyeronokkan sementara guru-guru mendapat penyempurnaan dan kepuasan profesionalisme daripada kerja-kerja mereka menerusi kawalan kepada penyelesaian masalah dan membuat keputusan, sokongan dari rakan sejawat dan bertambahnya peluang-peluang belajar dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta kepakaran.

Rabu, April 11, 2012

PERTABALAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XIV


Dengan sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, 84, selamat ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV dalam satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu, di Istana Negara, di sini, hari ini.

Sebaik selesai kemuncak Istiadat Pertabalan itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu Perang bergema di Balairong Seri dan para hadirin berdiri dan melaungkan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali, diketuai oleh Pemangku Datuk Maharaja Lela, Azwan Effendy Zairakithnaini.

Serentak itu juga, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia yang diketuai oleh Leftenan Sabri Abdullah.

Istiadat Pertabalan yang berlangsung penuh berwarna-warni itu disaksikan kira-kira 900 orang tetamu termasuk Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor, Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan isteri masing-masing. Turut menyaksikan acara gemilang itu ialah tetamu-tetamu kehormat yang terdiri dari ketua-ketua diplomat asing dan ketua-ketua jabatan kerajaan lainnya.

Upacara hari ini mengandungi dua sejarah penting bagi Seri Paduka kerana ini merupakan kali kedua baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selain merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama yang ditabalkan di Istana Negara yang baru di Jalan Duta. 

Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong V pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV pada usia 84 tahun.

Menambah keunikan pertabalan kali ini ialah Perdana Menterinya, Datuk Seri Najib Tun Razak, di mana semasa Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong V, Perdana Menteri pada masa itu adalah ayahanda Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain.

Istiadat Pertabalan dimulakan sebaik keberangkatan masuk Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah ke Balairong Seri dengan diiringi tiupan nafiri dan paluan nobat lagu “Belayar” oleh Kumpulan Nobat Diraja Kedah. Seri Paduka berdua kemudiannya bersemayam di Singgahsana untuk Istiadat Pertabalan. 

Istiadat diteruskan dengan membawa masuk baki alatan kebesaran yang diketuai oleh Pemangku Datuk Maharaja Lela bersama Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Awang Kechik Abdul Rahman membawa masuk senaskhah al-Quran, Keris Panjang Diraja yang juga merupakan Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar dibawa oleh pegawai-pegawai Istana Negara, diikuti Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abd Aziz Che Yacob dengan diiringi paluan nobat dengan lagu “Palu”. 

Naskhah al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan kepada Seri Paduka oleh Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela.
Seri Paduka mencium al-Quran dan meletakkannya di atas rehal yang terletak di atas meja tengah di antara Seri Paduka berdua. 

Pemangku Datuk Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan surat pengisytiharan pertabalan kepada Perdana Menteri. Ini diikuti dengan Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela mempersembahkan Keris Kerajaan yang merupakan alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka yang menerima keris berkenaan lalu dihunus, dan dikucup sebelum menyarungkan semula keris itu sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka.

Seri Paduka kemudiannya melafazkan ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.

Selasa, April 10, 2012

ISTANA TERCANTIK DI DUNIA

Chateau de Chambord, France


Alhambra, Spain


Potala Palace, Tibet


Palace of Versailles, France


Summer Palace, China


Schönbrunn Palace, Austria


Mysore Palaces. India


Pena National Palace, Portugal


Forbidden City, China


Buckingham Palace, England

Ahad, April 08, 2012

AMALAN MAKAN BERSAMA BAIK UNTUK MINDA DAN EMOSI ANAK

Dapat meluangkan masa makan bersama seisi keluarga sekurang-kurangnya sekali sehari memberi kesan besar kepada kesejahteraan minda dan emosi anak-anak. Memang tidak dapat dinafikan dalam kesibukan kita, amat sukar untuk mencari masa makan bersama terutama pada waktu siang tetapi rasanya kita boleh berkumpul sekeluarga pada waktu makan malam.

Waktu makan bersama bukan saja menjadi saat penting untuk membina ikatan keluarga, malah tanpa anda sedari ia turut mempunyai manfaat besar terhadap kesihatan. Antara kelebihan yang boleh anda peroleh ketika makan bersama ialah:
  • Tabiat makan anak menjadi lebih baik - Ia dapat mengekang masalah berat badan berlebihan di kalangan anak-anak. Bagaimana? Biasanya ketika makan bersama, ibu bapa akan berusaha menyediakan sajian seimbang yang secara tidak langsung boleh merangsang anak-anak untuk mendapat khasiat pemakanan yang diperlukan. Paling penting, sajian yang disediakan di rumah jauh lebih rendah kandungan lemak, gula dan garam berbanding makanan segera.
  • Tabiat makan ibu bapa juga menjadi lebih baik - Pada ketika inilah ibu bapa perlu menunjukkan tabiat pemakanan yang baik supaya boleh menjadi teladan atau ikutan anak-anak. Ini termasuklah makan sayur, buah-buahan dan minum air kosong.
  • Belajar adab sopan - Kalau anda perhatikan, adab di meja makan kini semakin hilang terutama di kalangan generasi muda. Ramai anak-anak lebih suka menikmati makanan di depan televisyen. Jika makan di meja, ada yang tergesa-gesa menghabiskan makanan kerana mahu menonton rancangan kegemaran mahupun sambung mengadap permainan komputer. Ketika inilah anda boleh menetapkan disiplin atau peraturan di meja makan. Ini termasuklah mengajar anak-anak menyiapkan meja makan, makan perlahan-lahan (dan kunyah makanan hingga lumat sebelum ditelan) serta melatih mereka mengemas selepas siap makan. Pastikan anda suami isteri juga mematuhi peraturan yang anda tetapkan. Tahukah anda, perlakuan anak-anak sebenarnya mencerminkan perlakuan kita di rumah? Justeru itu, janganlah kita mempamerkan tingkah laku yang kurang menyenangkan kerana ia akan ditiru dan dipaparkan anak-anak di depan orang.
  • Nikmati masa berkualiti dengan anak-anak - Waktu makan adalah waktu yang tenang dan menyeronokkan. Ketika inilah anda boleh berinteraksi dengan anak-anak. Antara topik yang boleh anda tanyakan ialah peristiwa menarik di sekolah pada hari itu, perkara yang menggembirakan atau menyedihkan anak-anak atau mengenai kawan rapatnya. Cara ini secara tidak langsung akan merangsang anak berinteraksi dan dapat meluahkan pandangan mereka dengan lebih baik. Bahkan ketika inilah juga anda secara rahsia boleh mengesan pergerakan harian anak-anak terutama yang sudah masuk usia remaja.
  • Kajian menunjukkan lebih kerap keluarga makan bersama, lebih rendahlah kemungkinan anak-anak untuk terbabit dalam gejala sosial seperti merokok, minum minuman keras, mengambil dadah, berasa murung, menjauhi seks sehingga tiba waktu sesuai dan mengalami masalah pemakanan. Pada masa sama emosi mereka akan bertambah baik, menunjukkan prestasi baik di sekolah, belajar perkataan baru dan tahu mengenai adab di meja makan. Menurut pakar antropologi di Universiti Rutger di New Jersey, Robin Fox, makan bersama keluarga adalah cara untuk membentuk adab sopan kepada anak-anak. Ia adalah cara mengajar mereka menjadi anggota masyarakat yang berbudaya dan berhemah.
  • Anak-anak mempunyai pandangan negatif positif terhadap ibu bapa mereka - Masa makan juga adalah masa terbaik untuk memuji anak-anak dengan berterima kasih kepada perlakuan baik dan kerajinan mereka membantu anda. Paling mudah anda boleh berterima kasih kerana mereka rajin ke sekolah dan belajar. Anak-anak dari keluarga yang jarang makan bersama akan rasa tertekan apabila sesekali berpeluang berkumpul dengan ibu bapa. Apa yang lebih membimbangkan ialah kajian mendapati anak-anak ini berasa diri mereka tidak begitu penting dan tidak menjadi kebanggaan ibu bapa kerana jarang makan bersama.
  • Kemahiran berfikir dan bertutur anak-anak akan bertambah baik. Ini boleh dicapai kerana ada perbualan panjang antara ibu bapa dan anak-anak ketika makan.
  • Anak-anak lebih cepat belajar perkataan baru ketika perbualan di meja makan berbanding perkataan yang dikutip ketika ibu atau bapa membacakan mereka buku cerita.
  • Keakraban hubungan keluarga yang terbentuk daripada makan bersama seisi keluarga memberi kesan besar kepada kehidupan anak dan kesan positif ini akan mempengaruhi tabiat makan mereka. Tabiat pemakanan yang baik dipupuk dari kecil akan diamalkan sepanjang hayat.
  • Bagi remaja, kekerapan makan bersama keluarga bermakna akan berkuranglah pengambilan makanan segera dan minuman ringan yang mengandungi banyak lemak dan gula.

Rabu, April 04, 2012

PROTON PREVE - HARAPAN PROTON


PROTON Preve, model baru yang akan dilancarkan PROTON Holdings Bhd pada 16 April ini bakal menjadi penanda aras bagi pengeluar kereta nasional itu dalam menetapkan standard dan kualiti dalam membangunkan produk baru pada masa depan. Kereta yang direka serta dibangunkan sejajar keperluan perundangan dan peraturan automotif global itu juga bakal memperbetulkan persepsi serta pandangan negatif umum terhadap spesifikasi dan kualiti kereta keluaran PROTON Holdings sebelum ini.

Sedan baru PROTON yang akan merapatkan jurang segmen di antara model Persona dan Inspira, serta akan bersaing dalam kelas sama dengan Toyota Corolla Altis, Honda Civic 1.8 liter dan Kia Forte itu juga disasarkan mengukuhkan pasaran eksport pengeluar kereta nasional itu.

PROTON Preve akan membuka lembaran baru buat syarikat kereta nasional itu dalam memasarkan produk yang menepati semua cita rasa pasaran. Sebelum ini, PROTON Holdings tidak membuat sebarang kajian khusus dan mendalam dalam pasaran yang ingin diterokai. Bagaimanapun, bermula dengan PROTON Preve, Proton membuat perubahan dengan menghantar beberapa pasukan ke pasaran sasaran bagi memahami keperluan khusus mereka, memahami bagaimana mereka memandu agar dapat menyesuaikan model baru ini ke pasaran berkenaan, selain menghantar pasukan ujian melakukan analisis data pengguna mengenai pelbagai mod pemanduan.

Semua ini dilakukan khusus bagi memahami dengan mendalam selain mendapat gambaran dan kemahuan sebenar pengguna di semua pasaran sasaran kerana setiap pasaran berbeza dan mempunyai corak pemanduan berbeza.

Selain pasaran domestik, Proton Preve akan dieksport ke luar negara, dengan Indonesia sebagai destinasi pertamanya pada Julai atau Ogos ini, sebelum memasuki Thailand, Australia, United Kingdom dan Asia Barat. 

Proton yakin bahawa PROTON Preve akan mencatatkan jualan luar biasa berbanding model lain berikutan cirinya yang menepati pelbagai penanda aras antarabangsa yang ditetapkan bagi sebuah syarikat pengeluar kenderaan, khususnya dari segi standard pelepasan asap selain dilengkapi ciri keselamatan termasuk empat beg udara, sistem kawalan brek ABS, EBD serta sistem kawalan penstabilan elektronik (ESC). Selain ciri keselamatan, model itu juga dilengkapi pelbagai rekaan terkini serba lengkap, sama ada dari aspek kelengkapan aksesori mahu pun utiliti.

PROTON Preve akan ditawarkan pada harga RM62,000 seunit bagi versi standard, RM65,000 bagi versi sederhana dan RM75,000 seunit bagi versi premium. Ia akan ditawarkan dalam enam pilihan warna, iaitu perak, hitam, putih, coklat, merah dan biru.  Setakat ini, PROTON Holdings telah menerima 1,000 unit tempahan bagi model Preve sejak mula ditampilkan secara ‘teaser’ pada Pameran PROTON Power of 1 di Bukit Jalil, bulan lalu.

Mengenai pemilihan nama, Preve yang dalam bahasa Sepanyol bermaksud ‘bukti’ atau ‘memandang ke depan’ dipilih bagi menggambarkan komitmen serius kumpulan dalam mengeluarkan produk bermutu yang memenuhi semua syarat ketat dan keperluan pasaran eksport. Proton mahu menjadi pembuat dan pengeluar kereta global dengan penampilan global, pemikiran global dan yang nyata kami memerlukan nama yang boleh menunjukkan tahap syarikat hari ini dan ke mana hala tujunya di masa depan.

TAHNIAH DIUCAPKAN KEPADA NUR FATIN LIYANA PENERIMA BEST CELEBRITY BLOG DALAM WORLD BLOGGER & SOCIAL MEDIA AWARD 2012

Nur Fatin Liyana atau lebih mesra dengan panggilan Fatin, 22, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini sejujurnya mengakui penglibatan dalam dunia blog awalnya hanya semata-mata mahu berkongsi pengalaman belajar di negara orang. Lalu terciptalah blog yang bernama honeykoyuki yang pada mulanya berkisar tentang kehidupannya sebagai pelajar di perantauan.

Mula menulis blog pada 5 Januari 2009, dalam tempoh yang singkat dia mampu mengumpul beribu ‘pengikut’ tegar sehingga mampu meraih beberapa anugerah. Blog diberi nama ala Jepun itu telah dinobatkan sebagai Top 6 Fastest Rising People in Google Zeitgeist Malaysia 2011, Top 5 Blog in Google Zeitgeist Malaysia 2011 dan terbaru Best Celebrity Blog in World Blogger and Social Media Award 2012.

Ia merupakan antara pencapaian dalam dunia blog yang tidak pernah sama sekali diduga oleh pelajar tahun empat Ijazah Perubatan, program berkembar antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)-Universitas Padjadjaran Bandung (UNPAD) ini.

“Memang tidak pernah terlintas di hati saya untuk bergelar celebrity blogger. Memang tidak pernah menyangka hasil penulisan pertama saya mempunyai ramai pembaca dan tidak pernah termimpi untuk jadi popular. Apa yang saya buat cuma menulis dan tiba-tiba ramai pula yang baca blog saya. Bagi saya tidak ada apa yang terlalu istimewa sebab seperti mereka, saya juga orang biasa cuma mungkin mereka suka blog saya kerana ia santai dan ‘sempoi’. Bahasa yang saya gunakan juga santai sehingga pembaca boleh merasai dan terkesan dengan apa yang dibaca,” jelas Nur Fatin Liyana.

Melalui blog tersebut, Fatin berkongsi tentang tip fesyen, resipi, tip kesihatan, kehidupan seharian sebagai pelajar dan pengalaman hidupnya yang gemar mengembara. Perkara paling mengujakan gadis ceria ini sejak aktif menjadi penulis blog ialah berkenalan dengan ramai orang yang sebelum ini tidak pernah dikenalinya. Dia juga tidak menafikan dengan adanya blog dia sering bertukar pendapat sekali gus menjadikannya manusia yang lebih baik. Blogging juga mengubah personaliti beliau iaitu menjadi lebih terbuka, lebih bersabar dan lebih kuat.

Fatin yang masih meneruskan latihan kedoktoran di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) juga hanya akan menulis blog pada masa lapangnya sahaja. Fatin menegaskan dan menasihati penulis blog lain terutama yang terdiri daripada para pelajar agar tahu keutamaan dan tahu juga mengawal diri. Apabila membuat sesuatu kebaikan, buatlah bersungguh-sungguh dan ikhlas.